Thursday, 22 March 2012

Lagu tema Tour of Borneo 2012 projek terbaru Nick

Boyd PV
Harian Ekspres

Nick Tudol
KOMPOSER Nick Tudol berharap Album Kompilasi – Projek Amal Artis Sabah akan menjadi satu permulaan kepada usaha yang berpanjangan untuk golongan artis membantu mereka yang memerlukan.

“Ia satu usaha murni di pihak penggiat seni kita untuk membantu golongan kurang mampu. Saya berharap usaha ini mendapat sokongan daripada semua pihak khususnya penyokong artis-artis tempatan,” katanya.

Nick mengakui usaha menerbitkan album itu bukan sesuatu yang mudah.

“Menghimpun artis yang sibuk dengan jadual masing-masing adalah perkara yang kerap memperlahankan kerja menyiapkan album ini.

“Kerana itu, saya tidak dapat menunaikan impian saya untuk menggabungkan mereka semua dalam sebuah lagu yang memerlukan mereka menyanyikan verse masing-masing.

“Tapi saya berterima kasih kepada artis-artis yang terbabit dalam album ini di atas komitmen yang diberikan. Apabila ada kesungguhan, usaha itu akan dipermudahkan,” katanya.

Nick turut membayangkan projek album amal itu akan dibuat setiap tahun.

“Tapi ia bergantung kepada sokongan semua pihak termasuk artis dan peminat mereka terhadap projek sulung ini.

“Untuk album amal kedua nanti, saya mungkin akan libatkan lebih ramai artis,” katanya.

Mengenai sumbangan amal itu, Nick berkata mereka sedang memperhalusi senarai yang diperolehi daripada banyak sumber untuk menentukan benefisiari yang benar-benar memerlukan.

“Sumbangan itu tidak sebanyak mana tapi kami akan pastikan mereka yang benar-benar memerlukan akan didahulukan.

“Setakat ini senarai pendek sudah ada. Kami akan turun padang dan melihat sendiri keadaan mereka untuk membantu kami memuktamadkan senarai penerima sumbangan,” kata Nick.

Nick juga mempelawa peminat untuk menghadiri acara prapelancaran album amal itu di BB Café Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada 30 Mac ini bermula jam 7 malam.

Kesungguhan Nick dalam berkarya mula membuahkan hasil di mana dia diberi peluang untuk mencipta lagu tema Tour of Borneo 2012 berjudul Menyahut Cabaran Destinasi.

Proses rakaman untuk lagu tema itu sudahpun selesai dan khabarnya lagu itu akan mula diputarkan dalam masa terdekat.

“Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menghasilkan lagu tema untuk acara besar itu,” katanya yang menggabungkan Ryna, Marcel, Esther, Clarice John Matha, Clarice Sipanul dan Lydia Kalidin dalam lagu bernada tinggi dengan muzik upbeat itu.

Tour of Borneo 2012 dijadual berlangsung April ini.




Friday, 16 March 2012

Rey Kimara kahwin tahun depan?

Rey janganlah marah, okay....
gosip jak pun....hehe -  Z-o-o-m! Team
Boyd PV
Harian Ekspres

KHABARNYA penyampai popular Suria fm/penyanyi, Rey Kimara, 26, akan mendirikan rumah tangga tahun depan dengan gadis pilihannya dari Tambunan.

Menurut sumber, Rey kini sedang hangat bercinta dengan “Miss V”, berumur 25 tahun.

Pasangan itu dikatakan sering berpakaian sedondon ketika keluar bersiar-siar dan keluarga mereka juga khabarnya merestui hubungan itu.

Menurut sumber itu, Rey dan Miss V kini sedang rancak membuat persiapan untuk majlis pertunangannya mereka yang dirancang berlangsung pada pertengahan tahun ini.

“Bulan Jun,” kata sumber itu yang mengaku sangat rapat dengan Miss V.

Patutpun, sejak beberapa bulan lepas, peminat kerap melihat Rey mengunjungi pusat kecergasan 1Fitness di 1Borneo Hypermall dan gigih menggunakan pelbagai peralatan yang disediakan di pusat itu untuk membantu dia menurunkan berat badan.

Mungkin Rey mahu kelihatan segak pada hari pertunangan dan perkahwinannya kelak kerana sebelum ini, kata peminatnya, badan Rey semakin menjadi.

Ketika muncul dalam siaran langsung di TV1 baru-baru ini untuk konsert tribute kepada penghibur Sudirman Hj Arshad, Rey kelihatan sangat berisi. Tapi vokal klasiknya ketika mendendangkan lagu “Salam Terakhir” membuatkan ramai terpegun.

Menurut sumber itu lagi, Rey dan Miss V, yang bekerja di sektor swasta, berkenalan ketika kedua-duanya masih bekerja di Ibu Negara.

Selepas kembali ke Sabah, hubungan mereka menjadi semakin serius dan selepas bercinta hampir tiga tahun, mereka kini sudah bersedia untuk membawa hubungan itu ke gerbang perkahwinan, menurut si pembawa cerita ini.

Z-o-o-m! Team mengucapkan tahniah kepada Rey dan Miss V. Tapi andai apa yang disampaikan oleh sumber itu sekadar gosip yang tersasar, anggap sahajalah ini sebagai satu usikan untuk menceriakan hari anda, okay...

Apapun, bila ada kesempatan nanti,  Z-o-o-m! Team akan minta Rey jawab gosip ini...cheers! 

Thursday, 15 March 2012

Hangadon Diau datang dari hati: Ebi

"Saya tidak akan mengambil
walau satu sen pun hasil
jualan album tersebut.
Apa-apa bayaran yang saya
 layak terima akan saya
dermakan kepada mereka
yang memerlukan”

- Ebi Kornelis 
Boyd PV
Harian Ekspres

PEMBABITAN Ebi Kornelis dalam projek Album Kompilasi – Projek Amal Artis Sabah membuka pintu untuk dia sama-sama  membantu golongan yang memerlukan menerusi bidang seni.

Dalam album itu yang turut menampilkan lapan artis lain, Ebi menyanyikan lagu Kadazan berjudul Hangadon Diau ciptaan Ebi dan Nick Tudol sementara liriknya oleh Nick.

Di peringkat awal, ramai yang skeptikal dengan keupayaan penyanyi itu menyanyikan lagu dalam bahasa Kadazan kerana mereka tahu Ebi bukan penutur bahasa itu.

Namun hasilnya tidak mengecewakan malah Ebi menawarkan satu pilihan kepada peminat yang menggemari lagu Kadazan.

Hangadon Diau datang dari hati,” kata Ebi ketika diminta berbicara mengenai lagu itu.

“Tidak sukar untuk saya menjiwai Hangadon Diau kerana saya mendapat bantuan daripada rakan-rakan terutamanya penerbit album itu, Nick Tudol,” jelasnya.

“Pertama, saya kena faham maksud lirik lagu itu. Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada Nick kerana membantu saya memahami lirik Hangadon Diau.

“Selepas memahami maksud liriknya, saya menyuntik sendiri feel untuk lagu itu. Saya sudah melakukan yang terbaik dan saya harap peminat, khususnya dari etnik Kadazan, akan menyukainya.”

Sudah tentu ramai yang menyukai lagu itu kerana selain nyanyian Ebi yang kedengaran lebih matang, penataan muziknya juga sangat berbeza.

Hangadon Diau mendapat khidmat pemuzik dari Australia, Luke Mason,” jelas Ebi.

Ramai melihat Hangadon Diau sebagai satu cubaan Ebi untuk lebih mendekati peminat dari etnik Kadazan.

“Itu betul dan atas sebab itulah maka saya sanggup bersusah payah memperbetulkan sebutan bahasa Kadazan saya. Kalau ada kekurangan di mana-mana, saya minta maaf,” katanya sebelum menambah, selepas ini dia ada perancangan untuk menghasilkan lagu bahasa tempatan yang lain pula.

Dalam pada itu, ada sumber memberitahu Ebi sudah merakam single Hangadon Diau yang menyaksikan dia berduet dengan rakannya, Candy Clement.

Ebi tidak menafikan perkara itu tapi dia enggan mengulas mengenainya buat masa ini.

“Kalau boleh kita tumpukan dahulu bicara kita terhadap lagu Hangadon Diau dalam album amal itu. Mengenai versi duet lagu itu, kita cerita kemudian,” pintanya.

Ebi merayu sokongan semua peminatnya untuk membeli album tersebut.

“Dengan sedikit bakat yang saya ada, saya juga ingin membantu golongan memerlukan yang akan menjadi benefisiari kepada sebahagian daripada jualan album itu kelak.

“Saya sudah maklumkan kepada penerbit album itu mengenai hasrat saya untuk tidak mengambil walau satu sen pun hasil jualan album tersebut. Apa-apa bayaran yang saya layak terima akan saya dermakan kepada mereka yang memerlukan,” katanya bersungguh-sungguh.

Selain Ebi, Album Kompilasi – Projek Amal Artis Sabah itu turut dijayakan Clarice John Matha, Marcel Gatisi, Esther Clement Tubong, Rozza Rothman, Lydia Kalidin, Ryna Tongkooh, Clarice Sipanul dan Syra Gom.


Perlu sokongan untuk Mania

Ebi melihat Mania sebagai peluang kedua untuk dia mencipta nama di peringkat nasional.

“Saya sentiasa percaya kepada peluang kali kedua,” katanya yang sebelum ini mula dikenali selepas menyertai Akademi Fantasia musim ke-5, tetapi memilih untuk bertapak di Sabah beberapa tahun selepas itu apabila perjalanan kerjaya seninya tidak sepertimana yang dia harapkan.

Sekarang ini, dengan adanya Mania, dan senarai profil seninya juga sudah semakin panjang, Ebi mengharapkan peminat akan memberi peluang kepadanya untuk menyertai program anjuran Astro itu.

“Saya serius untuk mahu terbabit dalam Mania kerana program itu akan menjadi platform terbaik untuk saya mengkhabarkan kepada peminat bahawa saya semakin matang dalam industri,” kata Ebi.

Pemilihan tiga peserta untuk menyertai 12 penyanyi lain sedang dibuat menerusi undian dalam laman rasmi Mania yang akan berakhir pada jam 12 tengahari esok (16 Mac).

Kesemua 15 penyanyi itu kelak akan dikumpul dan diasah lagi bakat mereka oleh tiga nama besar dalam industri muzik nusantara iaitu Datuk M.Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito yang akan bertindak sebagai mentor.

Dua belas artis yang sudah disahkan tempat mereka untuk program itu ialah Stacy AF6, Jaclyn Victor, Hafiz AF7, Shila Amzah, Hazama AF9, Atilia, Akim AF7, Alyah, Adira AF8, Estranged, Kristal dan juga Awi Rafael.

Ebi bersaing untuk tiga slot lagi dalam Hot Seats dan setakat tengahari pada Rabu, Ebi berada di kedudukan teratas tetapi sedang dikejar rapat oleh Aril dan Chaq Mentor dari Sabah.

“Terima kasih kepada peminat yang sudah tekan butang LIKE untuk saya. Kepada yang belum, saya harap kamu menyokong saya dengan melawat laman rasmi Mania (www.mania.com.my) dan tekan profil saya,” katanya.

Penyanyi dari Sabah lain dalam kelompok itu ialah Noni dan Lena dari AF dan Fiq Mentor.

Baru-baru ini, Ebi mengadakan busking bersama rakan-rakannya di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, Kota Kinabalu untuk rakaman klip video yang khabarnya akan dimuat naik untuk Mania.
Ebi (kiri) dan rakan-rakannya
mengadakan busking di Lintasan Deasoka.
Persembahan santainya itu menarik perhatian ramai peminat yang kebetulan berada di sana untuk mengunjungi Pasar Minggu Jalan Gaya.

Mania akan ditayangkan secara langsung bermula Sabtu ini (17 Mac) menerusi Astro Ria (104) dan menawarkan ganjaran wang tunai RM500,000 untuk juara, kedua RM200,000 dan ketiga pula ialah RM100,000.

Bagi Mentor yang berjaya mengasah bakat artis sehingga menjadi juara
akan menerima wang tunai RM300,000.


Puteri Salamia cabar kemampuan lakonan Ebi

Drama bersiri Puteri Salamia yang mula ditayangkan di kaca TV minggu lepas memberikan cabaran tersendiri kepada Ebi yang menjadi hero dalam cerita berlatarkan dua zaman itu.

Selain perlu menghidupkan dua watak, penggambaran drama itu sendiri dibuat dalam bulan Ramadan tahun lepas.

“Jadi bayangkan sahajalah kesukarannya apabila terpaksa bekerja ketika berpuasa. Memberi jiwa kepada dua watak juga agak sukar tapi alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya dapat memberikan tahap lakonan yang diinginkan oleh pengarah Yusuf Kelana.

Puteri Salamia adalah drama terbaru lakonan saya yang ditayangkan di kaca TV,” kata Ebi.

Dalam drama itu, Ebi melakonkan watak Kesatria Qalif dan watak pemuda zaman moden bernama Ben.

Diterbitkan oleh Wide Angle Film Production Sdn Berhad, ia mengangkat kisah dongeng masyarakat Bajau Semporna mengenai Puteri Salamia (lakonan Mardiana Alwi) dari Kerajaan Indera Saputra yang telah ditunangkan dengan Putera Sulu sejak kecil.

Bagaimanapun, tatkala meniti usia dewasa, cinta Puteri Salamia berputik kepada Kesatria Qalif, Pahlawan Istana kerajaan ayahandanya.

Poster drama Puteri Salamia.
Puteri Salamia kemudian telah mengembara merentas masa dan sampai ke zaman sekarang. Dia kemudian bertemu dengan Ben, seorang pemuda yang seiras dengan wajah kekasihnya.

Lagu runut bunyi Puteri Salamia yang dicipta dan dinyanyikan sendiri oleh Ebi turut mengangkat lagi nilai drama itu. Penataan muzik untuk lagu itu disempurnakan oleh Luke Mason dan menampilkan Candy sebagai penyanyi latar.

Puteri Salamia turut dijayakan Hasnah Ibrahim, Ridah Malanjang, Azrie Basalie, Azean Juzeanty, Rodih Madun, Marlin Malalin, Affy Jacklynda Entawin, Amirul Abdul dan Jurinah.

Ia bersiaran di TV2 setiap Jumaat selama 60 minit bermula jam 3 petang.

Selain Puteri Salamia, peminat juga boleh menantikan lakonan Ebi dalam drama Redha, Sepilok Cinta dan Kinabalu Blues serta filem Left Wings dan Gerimis Mengundang.


Ebi monopoli bidang hiburan?

Sebagai anak seni, Ebi melakukan apa sahaja pekerjaan yang ada kaitan dengan seni. Dia menyanyi, berlakon, menghasilkan telefilem, mencipta lagu, menulis lirik, mengacara majlis malah dia juga pernah menjadi penyampai radio sehingga ada pihak melihat seolah-olah Ebi cuba memonopoli bidang ini.

Ebi tergelak ketika diajukan perkara itu.

“Sama seperti orang lain, saya bekerja untuk cari makan. Dalam kes saya, rezeki saya adalah bidang seni, jadi dengan sedikit bakat yang Allah anugerahkan kepada saya, saya manfaatkan ia sebaiknya untuk mencari rezeki. Saya tidak terniat untuk bersaing dengan sesiapa tapi saya percaya persaingan sihat itu bagus untuk peningkatan kerjaya kita,” katanya optimis.

Ebi adalah antara segelintir artis tempatan yang prolifik dalam menghasilkan karya untuk terus kekal di hati peminat.

Bergerak di bawah naungan syarikat miliknya, Empayar Bayu Production Sdn. Bhd., Ebi berharap setiap langkahnya dalam bidang seni mendapat restu peminat.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong perjalanan kerjaya seni saya selama ini,” katanya.

Usaha gigihnya mempromosi single Sayang Sabah mula membuahkan hasil apabila lagu itu semakin diterima pendengar.

Selain itu, Ebi juga pernah muncul dengan single Sujud dan beberapa lagu lain dan sedang menunggu peluang untuk hadir dengan album terbaru.

“Ada ketikanya saya hanya sempat rehat antara 3 dan 4 jam sehari. Saya perlu bekerja keras kerana bukan mudah untuk kekal dalam bidang ini. Tanggungjawab saya menjadi semakin besar selepas menubuhkan syarikat Empayar Bayu. Saya ingin melihat syarikat itu menjadi legasi saya dalam bidang seni,” katanya.

Dengan kesibukannya melayari kehidupan sebagai anak seni, tidakkah jejaka berumur 28 tahun ini merasa sunyi apabila terpaksa melalui kehidupannya tanpa seseorang yang dipanggil kekasih?

“Tumpuan sekarang adalah pada kerjaya. Sekitar dua tahun lalu saya pernah ada teman wanita tapi hubungan kami putus di tengah jalan. Sekarang saya lebih selesa seperti ini dan saya tidak mahu lagi memberi harapan kepada sesiapa,” katanya.








Wednesday, 14 March 2012

Artis popular nyanyi tepi jalan?

LENSA Z-o-o-m! Team merakam kelibat seorang artis popular yang sedang khusyuk menyanyi bersama rakan-rakannya di tepi sebatang jalan utama yang sibuk di Kota Kinabalu baru-baru ini. Kenapa artis ini memilih untuk menyanyi di tepi jalan? Adakah dia sangat terdesak untuk meraih perhatian sehingga mengambil pendekatan itu? Nantikan pendedahan eksklusif kami....

Sunday, 11 March 2012

BRTM 2012 tawar sebuah kereta

"Kami percaya Sabah
mempunyai ramai penyanyi
 berbakat besar dan ini
pernah dibuktikan
dengan kemunculan
Azharina Azhar
dan Rey, antara lain"

Mohd Yusni Mohd Ali
Penerbit BRTM 2012

Boyd PV
Harian Ekspres


BUAT kali pertama sepanjang sejarah penganjurannya, Bintang RTM edisi 2012 menyediakan sebuah kereta Chery Tigo bernilai RM79,000 untuk sang juara.

“Ini antara kelainan yang kami bawa kali ini,” kata penerbit pertandingan itu, Mohd Yusni Mohd Ali, yang ditemui sewaktu mengadili uji bakat pencarian peserta Bintang RTM 2012 di perkarangan bangunan RTM di Jalan Tuaran, pada Sabtu.

Selain sebuah kereta, pertandingan itu turut menawarkan hadiah wang tunai.

Selepas agak lama pertandingan itu tidak dianjurkan, uji bakat pada Sabtu itu mendapat sambutan hangat daripada kalangan penyanyi amatur di sekitar negeri ini.

“Kami percaya Sabah mempunyai ramai penyanyi berbakat besar dan ini pernah dibuktikan dengan kemunculan Azharina Azhar dan Rey, antara lain,” kata Mohd Yusni.

“Peserta-peserta yang datang pagi ini (Sabtu) rata-ratanya berbakat besar tapi kami akan terus mencari seramai mana peserta yang mempunyai x-factor untuk dinilai kali kedua di mana 16 peserta terbaik dari seluruh negara diserap ke separuh akhir.

“Bintang RTM 2012 akan mula bersiaran di kaca TV pada 12 Mei ini,” katanya sebelum menambah, hanya lima peserta akan beraksi di final pertandingan itu.

“Jumlah lima peserta di final merupakan satu lagi pembaharuan yang diperkenalkan dalam penganjuran kali ini,” tambahnya.

Berapa ramai peserta dari Sabah akan dipilih?

“Tiada kuota tertentu. Kami tidak memilih jumlah peserta berdasarkan negeri. Kami hanya mencari 16 peserta terbaik dari seluruh negara,” jelas Mohd Yusni.

Berdasarkan sambutan memberangsangkan pada sebelah pagi, penganjur uji bakat itu menjangkakan akan ada lebih ramai peserta mendaftar pada sebelah petang Sabtu dan juga hari ini.

Semakan di kaunter pendaftaran uji bakat pada tengahari Sabtu menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peserta telah mendaftar dan sedang menunggu giliran untuk menjalani uji bakat itu.

Bagi anda yang terlepas uji bakat kelmarin, anda masih berpeluang untuk menghadiri uji bakat itu hari ini (Ahad, 11 Mac) yang akan diadakan antara jam 9 pagi dan 5 petang.

Sila hadirkan diri ke perkarangan bangunan RTM Kota Kinabalu di Jalan Tuaran dengan berpakaian sopan dan membawa bersama salinan kad pengenalan serta CD minus one untu lagu yang akan anda nyanyikan.

Peserta juga perlu membawa sekeping gambar berukuran 4R. Borang boleh diperolehi di kaunter pendaftaran.

Uji bakat ini, bagaimanapun, terbuka hanya untuk warganegara Malaysia yang berumur antara 15 dan 25 tahun.

Selain itu, peserta juga mestilah seorang amatur, tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman atau pengurusan dan masih bujang.

Ketika uji bakat kelak, peserta bebas menyanyikan mana-mana lagu yang dihasilkan pencipta tempatan atau antarabangsa sama ada irama pop komersil, balada, rock, R& B, jazz, dangdut dan pop etnik.

Genre trash, punk, heavy metal, black metal dan underground serta lagu-lagu yang tidak diluluskan oleh Rakam Khanah RTM tidak dibenarkan.

Sementara itu, diminta mengulas penganjuran Bintang RTM yang dihentikan selepas 2009, Mohd Yusni berkata ia bagi memberi ruang kepada penganjuran program lain seperti Rentak Juara, Akustik dan Bakat Lukisan, antara lain.

“Atas sebab itu, penganjuran Bintang RTM ditangguhkan dan tahun ini, ia kembali dengan beberapa kelainan untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baru mengetengahkan bakat mereka,” katanya.











Saturday, 10 March 2012

Uji bakat Bintang RTM 2012

Berikut adalah gambar-gambar sekitar uji bakat Bintang RTM 2012 di perkarangan bangunan RTM, Jalan Tuaran pada Sabtu, 10 Mac.

Setakat jam 12 tengahari, sekurang-kurangnya 50 orang telah mengesahkan penyertaan dalam uji bakat itu. Penyanyi tempatan Arnold Wences Linus turut dilihat mencuba nasib dalam uji bakat itu.

Artikel penuh akan menyusul....


Sesi pendaftaran peserta sedang berjalan.

Arnold (berdiri, belakang, baju hitam) menunggu giliran untuk pendaftaran.

Borang boleh diisi di lokasi uji bakat.

Wajah tiga remaja ini kelihatan tenang, tapi debaran di hati hanya mereka yang tahu.

Arnold bersama kenalannya dari Tambunan.

Antara yang mengambil bahagian.

Sebahagian kecil daripada peserta yang menyertai uji bakat
pada sebelah pagi.

Petugas AV

Petugas AV

Gadis berumur 18 tahun dari Ranau ini memiliki suara yang menarik.
Mungkinkah dia akan ke peringkat seterusnya?

Gadis berumur 18 tahun dari Kg Kawang, Papar  yang
menyanyikan lagu  Anggapan Mu (Ziana Zain) dengan baik.


Antara peserta yang boleh menyanyi dengan baik.

Peserta ini juga boleh menyanyi dengan baik.


Arnold memilih lagu Mencintai Mu.


Penerbit Bintang RTM 2012, Mohd Yusni Mohd Ali (kiri) sedang mengadili peserta.
Sesi uji bakat diteruskan pada Ahad, 11 Mac 2012 di tempat yang sama dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Sila  baca post terdahulu untuk butiran.

Thursday, 8 March 2012

Pertandingan mencipta video P. Ramlee

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Arkib Negara Malaysia cawangan Pulau Pinang sedang menganjurkan pertandingan mencipta video P. Ramlee @ Youtube sempena sambutan Hari Seniman 2012.

Pertandingan itu memerlukan setiap peserta mengetengahkan bakat nyanyian, meniru aksi atau sketsa berkaitan Seniman Agung itu.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian Malaysia Pulau Pinang, Jabatan Penerangan Pulau Pinang dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pulau Pinang,  menurut laporan BERNAMA pada Khamis (8 Mac 2012).

Penyertaan terbuka kepada semua termasuk warga negara asing bagi kategori solo atau berkumpulan. Tempoh setiap video adalah lima minit.

Syarat lain ialah setiap peserta yang dipilih sebagai pemenang perlu hadir pada majlis sambutan Hari Seniman 2012 pada 8.30 pagi 22 Mac ini di Pulau Pinang dan keputusan pengadil adalah muktamad.

Tarikh tutup penyertaan adalah sebelum atau pada 12 tengah hari 19 Mac ini. Setiap video mesti dimuat naik ke Youtube dan dihantarkan ke alamat e-mel broadbandutara@gmail.com.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 untuk pemenang tempat pertama, RM700 untuk tempat kedua, RM500 bagi tempat ketiga dan tiga hadiah saguhati RM100.