Thursday, 8 March 2012


"Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia..."    


Penghargaan  ikhlas daripada Z-o-o-m! Team.

Selamat Hari Wanita 

‘Bantu kami untuk membantu mereka’

(Dari kanan) Lydia, Clarice J Matha, Clarice Sipanul
dan Syra memperagakan album mereka.

Boyd PV
Harian Ekspres


DENGAN niat untuk beramal, sembilan penyanyi tempatan bergabung dalam sebuah album yang memuatkan lagu-lagu baru dalam bahasa Kadazan, Dusun dan Murut.

Idea untuk melaksanakan projek murni itu dicetuskan komposer Nick Tudol yang bertanggungjawab menghasilkan kesemua 10 lagu dalam album tersebut, yang turut memuatkan minus one untuk setiap lagu.

Nick Tudol
“Ini adalah sumbangan kecil kami untuk membantu golongan yang memerlukan,” kata Nick, penerbit album itu yang mana sebahagian hasil jualannya kelak akan didermakan kepada individu atau keluarga kurang bernasib baik serta badan kebajikan terpilih di sekitar negeri ini.

“Selain beramal, album ini juga memperkenalkan lagu-lagu baru dan menambah khazanah lagu-lagu tempatan,” jelasnya sebelum menambah, proses menghasilkan lagu dan memilih penyanyi dibuat sepanjang tahun lepas.

Penyanyi yang terbabit dalam projek Album Kompilasi – Projek Amal Artis Sabah itu ialah Clarice John Matha, Ebi Kornelis, Marcel Gatisi, Esther Clement Tubong, Rozza Rothman, Lydia Kalidin, Ryna Tongkooh, Clarice Sipanul dan Syra Gom.

Baru-baru ini, Clarice, Lydia, Syra dan Clarice Sipanul bertandang ke pejabat percetakan akhbar ini di Tanjung Aru untuk mewar-warkan kemunculan album tersebut.

Mendengar setiap butir bicara mereka, keempat-empat penyanyi itu jelas cukup teruja dengan peluang yang hadir untuk terbabit dalam album berkenaan yang menelan kos pembikinan sekitar RM14,000.

“Selain dapat merakam lagu baru, saya juga berpeluang untuk beramal kerana sebahagian hasil jualan album ini akan didermakan kepada individu atau keluarga terpilih untuk meringankan bebanan mereka,” kata Lydia yang menyanyikan lagu Sopirati-Rati dalam album itu.

“Saya rasa seronok dan berharap peminat juga akan terhibur dengan nyanyian saya dalam album ini,” tambahnya.

Untuk rekod, lagu itu pantas memanjat anak tangga Carta Rojak KKFM.

Clarice John Matha pula berkata pembabitannya dalam album itu adalah sesuatu yang tidak disangka memandangkan namanya tidak berada dalam senarai awal artis yang terbabit.

“Tapi saya tidak mengambil masa yang panjang untuk memberikan persetujuan apabila Nick menghubungi saya untuk mengisi tempat orang lain.

“Dan saya bersyukur kerana mengambil keputusan itu. Dari segi pendapatan, saya tidak mengharapkan album ini akan memberikan saya pulangan yang tinggi kerana artis yang terlibat hanya mendapat peratusan yang kecil daripada harga jualan album.

“Tapi saya perlu melihat jauh ke hadapan melangkaui soal bayaran. Ini adalah album amal jadi bayaran yang diterima tidak pernah menjadi perkara utama,” katanya. Clarice menyanyikan dua lagu dalam album itu – Linangkas Ku dan Numbur Bah (versi penyanyi wanita).

Dua penyanyi yang sudah lama menyepi dari bidang nyanyian, Syra Gom dan Clarice Sipanul juga mempunyai sebab untuk merasa sangat teruja.

Album Kompilasi Projek Amal Artis Sabah ini membuka pintu untuk mereka membuat kemunculan semula di persada seni suara tempatan dan mengubati kerinduan peminat terhadap lagu-lagu mereka.

Satu ketika dulu, lagu-lagu mereka, Au Zou Kaanu Mamalati Diau (Clarice Sipanul) dan Kahangadan Soumul-Umul (Syra) pernah menjadi siulan peminat sebelum mereka menyepi untuk memberikan tumpuan kepada perkara lain.

Clarice Sipanul aktif menyanyi sekitar awal tahun 1990-an sementara Syra pada pertengahan 1990-an.

“Saya rasa sangat gembira kerana diberi peluang untuk terbabit dalam album ini,” kata Syra.

Clarice Sipanul pula mengharapkan sokongan, khususnya dari kalangan etnik Kadazandusun dan Murut, untuk membeli album tersebut sambil beramal.

“Sama-samalah kita membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam album itu, Syra menyanyikan lagu Tiad Om Kaus Ku sementara Clarice Sipanul diberi tanggungjawab memberikan jiwa kepada lagu Pintutunan.

Lagu-lagu lain dalam album itu ialah Numbur Bah (versi penyanyi lelaki) oleh Marcel Gatisi, Oupus Oku Diya (Rozza Rothman), Au Ababasan (Esther Clement Tubong), Songkuro Pinodih (Marcel Gatisi), Oko Yak Sangulun (Ryna Tongkooh) dan Hangadon Diau (Ebi Kornelis).

Ebi
Biarpun Ebi bukan dari suku kaum Kadazan, kesungguhannya untuk menyanyikan lagu Hangadon Diau persis penyanyi Kadazan tulen wajar diberi pujian.

Dengan sebutan yang jelas, pendengar pasti akan yakin dengan nyanyiannya.

Lari dari jalur muzik Kadazan yang biasa didengar, Hangadon Diau menawarkan pilihan kepada peminat lagu bahasa tempatan yang inginkan muzik agak ke hadapan.

Rozza pula, dalam laman sosial facebook, memohon kerjasama daripada rakan-rakan dan kenalan untuk memberikan kepadanya nama-nama individu atau keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik untuk menjadi benefisiari kepada sumbangan amal dari hasil jualan album itu.

Berikut antara catatan Rozza dalam status facebooknya:

Rozza
    “Saya dan rakan-rakan daripada projek “Album Kompilasi Projek Amal Artis Sabah” bercadang untuk mengadakan lawatan amal ke rumah keluarga-keluarga daif. Ini sudah pernah kami lalukan sebelum ini.
    Sumbangan yang bakal diberikan tidaklah banyak, sekadar dapat membantu mereka menghadapi hidup dengan ‘selesa’ untuk beberapa ketika (yang mereka sendiri tidak pernah rasai sepanjang hayat mereka).
     Kepada yang prihatin untuk turut membantu kami, anda boleh menyalurkan dana dan bantuan tersebut melalui pembelian CD album itu. Bantu kami untuk membantu mereka. Pandang seketika di sekeliling anda, jangan lupakan ‘mereka’... Moga Allah SWT sahajalah yang mampu membalas budi dan amal baik kita di dunia. Jangan lokek barang seringgit dua, ingat janji Allah SWT, DIA akan melipat gandakannya kepada mereka yang ikhlas.”

Penghasilan album itu dipermudah oleh kerjasama yang diberikan oleh Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Datuk Ayub Aman, Datuk Hajiji Mohd Nor, Datuk Seri Ghulam M Sayeed dari Sayfol International School Sabah, Dr Florentius Epin Banaik, Chau Cheng Vun, Kong Soon Yen dan Robert Kamijan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam apa bentuk sekalipun,” kata Nick.

Sejak mula dipasarkan secara terus dua minggu lepas, album itu yang mana pra-pelancarannya akan dibuat hujung bulan ini, sudah terjual hampir 600 unit dan khabarnya akan diulang cetak dalam masa terdekat.

Untuk mendapatkan album tersebut, anda boleh berhubung terus dengan artis-artis yang terbabit dalam projek itu atau menerusi laman facebook mereka.

Monday, 5 March 2012

Uji bakat Bintang RTM 2012 di KK, 10-11 Mac

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

PENCARIAN peserta untuk pertandingan Bintang RTM 2012 akan bermula hujung minggu ini.

Untuk peserta-peserta di Sabah, anda boleh menghadirkan diri di bangunan RTM Kota Kinabalu pada 10 dan 11 Mac (Sabtu dan Ahad) dengan membawa bersama salinan kad pengenalan, sekeping gambar berukuran 4R dan borang penyertaan yang lengkap diisi. Borang boleh dimuat turun dari laman sesawang www.rtm.gov.my.

Uji bakat ini, bagaimanapun, terbuka hanya untuk warganegara Malaysia yang berumur antara 15 dan 25 tahun.

Selain itu, anda juga mestilah seorang amatur, tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman atau pengurusan dan masih bujang.

Ketika uji bakat kelak, anda bebas menyanyikan mana-mana lagu yang dihasilkan pencipta tempatan atau antarabangsa sama ada irama pop komersil, balada, rock, R& B, jazz, dangdut dan pop etnik.

Genre trash, punk, heavy metal, black metal dan underground serta lagu-lagu yang tidak diluluskan oleh Rakam Khanah RTM tidak dibenarkan.

Anda hendaklah membawa CD minus one untuk lagu yang anda akan nyanyikan dan perlu tampil kemas dan sopan.

Hanya peserta yang layak akan dihubungi, menurut butiran dalam borang penyertaan itu.

Pertandingan mencungkil bakat nyanyian paling lama di Malaysia, Bintang RTM menyaksikan kemunculan penyanyi-penyanyi hebat dari Sabah antaranya Azharina Azhar, Rey Kimara dan Jo-Anna Sue Henley Rampas.

Sudirman Haji Arshad, Ramlah Ram, Misha Omar, Amir Sofaz, Sarah Raisuddin, Farahwahida, Jamal Abdillah, Sudirman Hj Arshad dan Ramlah Ram, antara lain, juga dicungkil menerusi pertandingan itu.

Friday, 2 March 2012

Jo-Anna enggan dikongkong


Jo-anna

Boyd PV
Harian Ekspres


SELEPAS berakhirnya pertandingan Bintang RTM 2009, peminat tidak banyak mendengar perkembangan kerjaya nyanyian Jo-Anna Sue Henly Rampas.

Sesekali dia diusik dengan gosip cinta dengan Adam di awal kemunculannya dan selepas itu lagu duetnya dengan Vince, Ajar Ku Cinta, yang dimuatkan dalam album kedua penyanyi itu, Kronologi Cinta.

Sementara rakan-rakan lain ligat mengatur langkah untuk diterima peminat, Jo-Anna pula bagai mengelak perhatian umum.

Tanpa single, jauh sekali album penuh, kerjaya nyanyian Jo-Anne bagai berkubur.

Adakah penyanyi jelita ini tidak serius untuk mencipta nama dalam bidang yang diminatinya sejak kecil?

“Saya sebenarnya sambung belajar,” Jo-Anna ramah memulakan bicara ketika ditemui dalam satu majlis anugerah anjuran RTM di 1Borneo, baru-baru ini.

Tampil dengan imej baru yang trendy, Jo-Anna berkata dia sudah menghabiskan silibus untuk pengajian tiga tahunnya dalam bidang undang-undang peringkat ijazah di Kolej ATC di Ibu Negara.

“Sekarang tinggal tunggu tarikh untuk menduduki peperiksaan. Doakan kejayaan saya,” katanya.

Sepanjang tempoh tiga tahun itu, Jo-Anna mengakui hatinya meronta untuk kembali aktif menyanyi.

“Tapi keutamaan saya adalah terhadap pelajaran jadi saya tiada pilihan selain menolak mana-mana show yang bercanggah dengan jadual pembelajaran saya,” jelasnya.

Dalam tempoh tiga tahun itu juga, kata Jo-Anna, dia mengambil peluang untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan dalam nyanyiannya.

“Kalau ikut perancangan saya akan menyambung pengajian di peringkat sarjana sama ada di sini (Malaysia) atau di UK.

“Kalau saya buat di Malaysia, mungkin saya akan banyak perform lah tapi kalau buat di UK, terpaksalah saya cuti lagi setahun (dari menyanyi),” katanya.

Tapi sebelum semua itu, Jo-Anna mahu memanfaatkan masa yang ada untuk menghasilkan single.

“Saya belum ada single,” akuinya jujur.

Menurut Jo-Anna, dalam tempoh tiga tahun itu, dia banyak mencipta lagu tapi katanya, tumpuannya lebih kepada lagu Dusun.

“Saya harap ini akan menjadi langkah awal untuk sesuatu yang lebih besar dalam kerjaya nyanyian saya.”

Dalam urusan pembikinan single atau album, Jo-Anna bertekad untuk menghasilkannya mengikut cita rasanya sendiri.

“Saya tidak mungkin akan bergantung kepada syarikat rakaman dan sebagainya. Biarlah apa yang saya hasilkan itu datang dari hati saya dan bukannya orang lain beritahu saya apa yang saya harus lakukan,” tegasnya.

Mungkinkah sebelum ini Jo-Anna pernah merasa seperti dikongkong oleh orang lain dalam berkarya?

“Bukan begitu. Maksud saya, kalau dalam satu sfera di mana kita terpaksa mengikut trend, saya akan cuba mengubah keadaan itu, kalau boleh.”

Berapa lama peminat boleh menjangka single itu dikeluarkan?

“Susah mahu cakap tapi saya akan berusaha untuk merealisasikan impian itu secepat mungkin. Tiada jangka masa tertentu.”

Anda nampak trendy dengan fesyen rambut pendek.

“(Ketawa) Terima kasih, saya suka imej baru saya, rasa sangat ringan. Sudah sebulan saya tampil dengan imej begini,” katanya dengan ramah.

JO-ANNA dan jejaka itu sedang menjamu selera
di sebuah kopitiam di Jalan Gaya. Gambar ini dirakam menggunakan
kamera telefon bimbit oleh seorang peminatnya.
Jo-Anna, bagaimanapun, belum sedia berkongsi dengan peminatnya mengenai identiti lelaki yang pernah dilihat bersamanya di bandaraya.

“Lelaki mana satu? Saya memang ramai kawan dan saya akui saya suka keluar dengan mereka. Saya tidak pasti mana satu lelaki yang kamu maksudkan,” katanya sambil ketawa.

Peminat Jo-Anna mendakwa pernah terserempak dengan penyanyi itu bersama seorang lelaki “tinggi lampai dan berkulit sawo matang.”

Mereka dikatakan sangat mesra umpama pasangan kekasih ketika menjamu selera di sebuah kopitiam di Jalan Gaya.

“Itu personal,” katanya dengan nada riang ketika diminta mengesahkan hubungannya dengan lelaki itu.

Tuesday, 28 February 2012

Kenapa Kalimah Cinta menang CLAS Musim Ke-5


Boyd PV
Harian Ekspres


Eddie Hamid
“Lagu itu senang menangkap halwa telinga pendengar,” ringkas jawapan Eddie Hamid.

Eddie adalah salah seorang daripada lima juri profesional yang mengadili pertandingan Anugerah Carta Lagu Artis Sabah ke-5 (CLAS V) yang berlangsung di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, minggu lepas.

Menjelaskan lebih lanjut, Eddie yang ditemuramah selepas acara itu berlangsung, berkata Kalimah Cinta mempunyai melodi yang “serasi” dengan liriknya.

“Apabila melodi dan lirik selari, lagu yang terhasil akan mudah menangkap pendengaran kita. Kalimah Cinta, sekali dengar kita sudah dapat tangkap lagu itu.

“Lagu-lagu lain yang bersaing di final pertandingan ini bukannya tidak bagus, cuma kita hanya mencari satu pemenang sahaja dan juri sebulat suara memilih Kalimah Cinta berdasarkan faktor itu,” jelas Eddie yang merupakan seorang komposer dan penyanyi.

Selain Eddie, pertandingan itu turut diadili Mohamed Anuar Mohd Dahalan (RTM KL), Prof Madya Abdul Jamal Abdul Hamid (Pensyarah Muzik UMS), Zubaidi Abas (Pengarah DBP) dan penggiat seni tempatan Datuk Hajah Raya Erom.

Eddie menilai kualiti lagu-lagu yang dipertandingkan sebagai sangat bagus tapi masih ada ruang untuk peningkatan.

Kerana itu, Eddie menggalakkan pencipta-pencipta lagu di negeri ini agar terus aktif menghasilkan karya terbaik dan memanfaatkan rancangan Carta Lagu Artis Sabah untuk mengasah dan mengetengahkan bakat.

Lailah Elok
Bagi penerbit rancangan itu, Lailah Elok, komitmen yang diberikan oleh semua yang terlibat memastikan kejayaan penganjuran Anugerah CLAS musim ke-5 itu.

“Tercapai atau tidak matlamat penganjuran program itu, saya serahkan kepada orang lain untuk menilai.

“Tapi bagi saya, kami telah lakukan yang terbaik untuk memastikan kelancaran program ini dan terima kasih kepada yang telah menghulurkan bantuan,” kata Lailah.

Menurut penerbit itu, jika dia terus diberi kepercayaan untuk mengendalikan rancangan CLAS musim ke-6 yang bermula awal Mac ini, dia mengharapkan komposer-komposer tempatan akan lebih kreatif dan berani bereksperimentasi dalam menghasilkan karya mereka.

“Saya galakkan mereka menyelitkan lebih banyak elemen tradisional Sabah dalam muzik mereka agar satu hari nanti, kita dapat menghasilkan muzik wajah Sabah yang dapat diterima secara meluas oleh orang luar.

“Dengan kreativiti yang dimiliki komposer-komposer tempatan, tidak mustahil satu hari nanti muzik yang kita hasilkan mampu melangkaui sempadan negara sebagai muzik dunia,” katanya penuh optimis sambil menambah, CLAS menyokong usaha ke arah itu.

Pertandingan akhir CLAS V berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan dihadiri hampir 2,000 penonton yang memenuhi ruang Centre Atrium hingga ke tingkat teratas di 1Borneo Hypermall pada 25 Februari lepas.
S. Welly membolot dua anugerah
pada pertandingan itu.

Peserta pertama S. Welly meletakkan penanda aras yang tinggi menerusi lagu Kau Slalu Milik Ku ciptaan sepenuhnya oleh Bernard Laimen Michael.

Diiringi pemuzik Kombo RTM pimpinan Moses Vasanthan De Silva, vokal S. Welly kedengaran sangat menyerlah sekaligus mendorong penonton untuk menjangkakan suatu persembahan yang lebih hebat selepas itu.

Cahaya D’Folk meneruskan momentum pertandingan dengan muzik mereka yang kedengaran unik dalam lagu Kau Harus Tahu.

Adunan bunyi dari alat muzik tradisional dan moden serta kemantapan vokal dua penyanyi mereka seolah-olah membawa penonton ke satu dimensi lain.

Malik Nasir muncul selepas itu dengan mempertaruhkan lagu Surat Untuk Dewi ciptaan sepenuhnya Azahari Asli.

Meskipun tanpa menggunakan khidmat
 penari latar, Cahaya D'Folk tetap mampu
memancing perhatian juri untuk memberikan anugerah
Persembahan Terbaik kepada mereka. 
Pengalaman Malik selama lebih 20 tahun sebagai penyanyi profesional banyak membantu persembahannya.

Ruang Centre Atrium sekali lagi bergema dengan sorakan penonton sebaik sahaja kumpulan rock Makhluk mengambil alih pentas untuk menyampaikan lagu ciptaan sepenuhnya Norhazlie Hazim, Hidup Yang Baru.

Persembahan mantap kumpulan itu, bagaimanapun, “dicacatkan” oleh kemunculan seorang gadis berimej rock di akhir persembahan yang tidak jelas peranannya kecuali menyuntik sedikit elemen kelakar.

Membawakan lagu Keliru ciptaan Rodie Sofaz/Jojo, penonton turut keliru melihat elemen lakonan yang mengiringi persembahan Gi-Mie. Lontaran vokal penyanyi itu kedengaran matang tapi rezeki tidak berpihak kepadanya.

Momentum semakin memuncak tatkala The Fingers mengambil alih ruang pentas.

Kelantangan vokal penyanyi mereka Suib Zainin memberi jiwa kepada keseluruhan persembahan untuk lagu Impian yang dicipta sepenuhnya oleh kumpulan itu.

Pada bahagian tertentu, muzik progresif metal yang diketengahkan kedengaran begitu mistik sehingga meremangkan bulu roma namun ia bagai memerangkap vokalis kumpulan itu yang kelihatan kaku pada banyak bahagian persembahannya.

Jiwa penonton segera dibuai dengan kelunakan suara penyanyi Fanzi yang mendendangkan lagu berentak R&B, Dua Cinta Menjadi Satu ciptaan sepenuhnya oleh Asmin Mudin.

The Ariez menggunakan khidmat
dua pasang penari.
The Ariez yang muncul selepas itu disambut oleh sorakan peminat mereka. Lagu Kalimah Cinta  pantas meresap ke sanubari penonton meskipun bagi mereka yang pertama kali mendengarnya.

Usai urusan memilih pemenang, penonton dihidangkan pula dengan persembahan jauh lebih hebat daripada juara CLAS musim lalu, Esther Applunius, Naib Juara Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue Henly Rampas dan kumpulan muzik tempatan Momain Blues.

Esther mengotakan janjinya kepada peminat untuk
memberikan persembahan all-out.
Tampil dengan busana rona hitam, Esther memukau penonton dengan persembahan bertenaga penyanyi itu menerusi lagu miliknya berjudul Selalu dan versi cover Love On Top (Beyonce).

Sebelum pertandingan itu, Esther pernah berjanji kepada peminatnya untuk memberikan persembahan all-out memandangkan itu adalah persembahan terakhirnya di Sabah sebelum berhijrah ke Surabaya, Indonesia awal Mac ini. Dan penyanyi itu telah mengotakan janjinya.

Hanya ada satu perkataan untuk menggambarkan keseluruhan persembahannya petang itu – superb!

Momain Blues yang muncul selepas itu meredakan ketegangan penonton menerusi lagu-lagu irama blues mereka. Tidak begitu meninggalkan kesan namun persembahan santai dan ‘gila-gila’ daripada empat pemuzik berbakat itu memberi ruang untuk penonton dan peserta melupakan seketika debaran pertandingan.

Jo-Anna tampak lebih yakin dan matang
Kelihatan trendy dengan fesyen rambut pendek, Jo-Anna mengambil alih pentas dengan lagu versi cover Kisah Hati (Alyah) dan Bencinta (Faizal Tahir).

Hampir tiga tahun selepas meninggalkan pentas pertandingan Bintang RTM 2009, Jo-Anna bukan sahaja semakin matang dari segi penampilan tapi juga matang dari segi vokal.

Tiada kelemahan ketara dapat disaksikan sepanjang lebih dua jam acara itu berlangsung. Kalau adapun, ia dapat ditutup oleh perkara-perkara lebih hebat.

Memandangkan acara itu turut disiarkan secara langsung di Sabahfm dan rakaman juga dibuat untuk siaran TVi Astro Ch 180, kelancaran acara tidak dikompromi sehinggalah tiba giliran The Fingers membuat persembahan.

Mungkin disebabkan perkara luar jangka, mereka lewat membunyikan nota muzik pertama. Tapi hos Ebi dan Obbie bijak menutup insiden itu.

Ebi dan Obbie
Gandingan dua pengacara itu dilihat serasi tapi masih ada banyak ruang untuk peningkatan khususnya ketika mengendalikan satu program hiburan yang perlu disuntik dengan lebih banyak mood santai.

Mereka juga sepatutnya lebih kreatif kerana kaedah menggabungkan tajuk-tajuk lagu untuk membentuk ayat dalam perbualan sudah pernah dilakukan pengacara lain.

Dalam usaha memburu anugerah persembahan terbaik, kebanyakan peserta lupa bahawa kehadiran penari latar, dalam banyak keadaan, boleh mengganggu tumpuan penonton terhadap vokal mereka.

Peserta sepatutnya dapat berfikir di luar kebiasaan dalam memancing perhatian juri untuk memberikan lebih markah bagi persembahan dan tidak bersandar sepenuhnya kepada khidmat penari latar yang hanya menjadikan persembahan mereka kelihatan klise.

Selain Kalimah Cinta (The Ariez) yang dinobatkan juara bagi kategori Lagu Terbaik, pemenang kategori lain ialah Cahaya D’Folk (Persembahan Terbaik), Dua Cinta Menjadi Satu (Lirik Terbaik), The Fingers (Vokal Terbaik), Lagu Paling Lama Dalam Carta (Kau Slalu Milik Ku/S. Welly) dan Penyanyi Paling Popular juga S. Welly.

Kalimah Cinta memenangi hadiah wang tunai RM3,500 dan trofi sementara pemenang setiap kategori lain menerima wang tunai RM1,500 dan trofi.

Hadiah-hadiah disampaikan Pemangku Pengarah Penyiaran Sabah, Ali Haji Ngasio.


The Fingers mengungguli kategori Vokal Terbaik.


Lirik lagu Dua Cinta Menjadi Satu yang diilhamkan Asmin Mudin
dan dinyanyikan oleh  Fanzi dinobatkan lirik terbaik.


Persembahan Azahari diiringi seorang penari ballet.


Gi-Mie ketika menyampaikan lagu Keliru.


Kemunculan 'Gadis rock' menjadikan persembahan Mahkluk
 kelihatan sedikit kelakar di penghujung lagu. 


Persembahan Momain Blues mengurangkan tekanan.









Monday, 27 February 2012

Kalimah Cinta lagu terbaik CLAS V


Anggota kumpulan The Ariez menerima hadiah daripada Ali Ngasio (keempat dari kiri)


Boyd PV
Harian Ekspres

LAGU Kalimah Cinta ciptaan sepenuhnya dan dinyanyikan sendiri oleh kumpulan The Ariez dipilih sebagai lagu terbaik pada pertandingan Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah Musim ke-5 (CLAS V) yang dipentaskan di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Kemenangan kumpulan yang dianggotai lima anak muda dari Kota Kinabalu dalam kategori utama itu membolehkan mereka pulang dengan hadiah wang tunai RM3,500 serta trofi.

Kategori Lirik Terbaik pula dimenangi lagu Dua Cinta Menjadi Satu yang ditulis oleh Asmin Mudin dan dinyanyikan oleh Fanzi sementara Kategori Vokal Terbaik dimenangi kumpulan The Fingers yang menyanyikan lagu ciptaan mereka, Impian.

Tiga kategori lain ialah Anugerah Persembahan Terbaik yang dimenangi kumpulan Cahaya D’Folk (Kau Harus Tahu), Lagu Paling Lama Dalam Carta (Kau Selalu Milik Ku nyanyian S. Welly) dan Penyanyi Paling Popular yang turut dimenangi S. Welly.

Pemenang lima kategori itu menerima wang tunai RM1,500 dan trofi manakala RM500 diberikan kepada penerima saguhati.

Hadiah-hadiah disampaikan Pemangku Pengarah Penyiaran Sabah, Ali Ngasio.

Acara anjuran Unit Hiburan dan Muzik, RTM Kota Kinabalu dan diterbitkan oleh Lailah Elok itu bermatlamat untuk meningkatkan kualiti penciptaan lagu dalam kalangan bakat-bakat tempatan.

   

Friday, 24 February 2012

Siapa juara CLAS V?

Boyd PV
Harian Ekspres


Lailah
MENELITI senarai finalis Anugerah Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) Musim ke-5 yang akan dipentaskan petang Sabtu ini (25 Februari, 2011) di 1Borneo Hypermall, anda pasti pantas menyedari hakikat bahawa pertandingan itu didominasi sepenuhnya oleh peserta lelaki. 

Menurut, penerbit CLAS, Lailah Elok, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana lagu-lagu yang layak ke final disenaraikan berdasarkan pencapaiannya dalam carta mingguan.

“Tambahan lagi, untuk tahun 2011, terutamanya selepas saya mengambil alih rancangan itu, lagu-lagu yang diterima dinyanyikan oleh penyanyi lelaki. 

“Hanya selepas pencalonan ditutup barulah saya menerima lagu-lagu yang dirakam oleh penyanyi wanita. Lagu-lagu itu akan dinilai untuk dimainkan di SabahFM seterusnya dicalonkan untuk CLAS musim seterusnya,” katanya.

Ketiadaan penyanyi wanita di final acara itu kelak, bagaimanapun, akan diimbangi oleh kemunculan dua penyanyi wanita yang sentiasa dinanti kemunculan mereka – Esther Applunius dan Jo-Anna Sue Henly Rampas.

Mereka akan mengisi segmen persembahan dan akan turut berkongsi pentas dengan kumpulan yang dianggotai empat pemuzik berbakat besar, Momain Blues.

Menurut Lailah, pemilihan artis jemputan dibuat dengan cukup teliti menerusi perbincangan orang-orang kuat RTM Kota Kinabalu.

Esther, misalnya, adalah juara CLAS edisi lepas di mana dia mempertaruhkan lagu Selalu. Umum juga sudah maklum mengenai pencapaian terbaik Esther dalam program realiti One In A Million Musim Ke-3 pada tahun 2009 yang membantu melonjakkan popularitinya.

Jo-Anna pula adalah naib juara Pertandingan Bintang RTM tahun sama dan menjadi peserta paling menonjol dalam pertandingan itu disebabkan pakej lengkap yang dimilikinya. 

Momain Blues
Momain Blues adalah sebuah kumpulan muzik tempatan yang mempunyai ramai peminat. Ini dibuktikan tahun lepas apabila mereka menyapu dua kategori di final Anugerah CLAS Musim ke-4 iaitu Anugerah Penyanyi Paling Popular dan Lagu Paling Diminati, kedua-dua kategori yang penilaiannya dibuat berdasarkan sokongan peminat. 

Bermula jam 1.45 petang, lapan peserta akan berada di pentas Centre Atrium, 1Borneo Hypermall untuk memperdengarkan persembahan mereka bagi merebut empat anugerah yang dinilai oleh juri profesional iaitu Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Lirik Terbaik dan Anugerah Persembahan Terbaik. 

Dua kategori lagi ialah Anugerah Lagu Paling Diminati yang dinilai berdasarkan prestasi lagu itu dalam carta mingguan serta Anugerah Penyanyi Paling Popular membabitkan undian SMS.

Empat peserta solo ialah Fanzi, Gi-Mie, S. Welly dan Malik Nasir sementara peserta berkumpulan ialah Fingers, Ariez, Makhluk dan Cahaya D’Folk.

Fanzi akan mempertaruhkan lagu berjudul Dua Cinta Menjadi Satu ciptaan sepenuhnya oleh Asmin Mudin.

Tanpa bermaksud menidakkan kemampuan lagu lain, berdasarkan pencapaian Asmin Mudin di peringkat Negeri dan nasional, Dua Cinta Menjadi Satu dilihat mempunyai kelebihan.

Bagaimanapun, lagu-lagu lain juga mempunyai kekuatan tersendiri untuk bergelar juara termasuk lagu Surat Untuk Dewi dendangan Malik Nasir (ciptaan sepenuhnya Azahari Asli) yang pantas menguasai carta mingguan CLAS selepas hanya seminggu dicalonkan.

Lagu Kau Selalu Milik Ku ciptaan sepenuhnya Bernard Laimen Michael dan dinyanyikan oleh S Welly juga dilihat mampu memberikan saingan sengit. Pencapaian lagu ini dalam carta mingguan amat luar biasa.

Demikian juga Keliru (Lagu Jojo/Rodie Sofaz; Lirik Rodie Sofaz) yang meletakkan nama Gi-Mie sebaris dengan artis popular tempatan yang lain.

Tapi jika tahun ini juri ingin melihat satu kelainan, Kau Harus Tahu (Lagu Mazrun/Mazwan/Izhamudin; Lirik Mazwan/Izhamudin) wajar diberi perhatian kerana lagu nyanyian Cahaya D’Folk itu menghidangkan sesuatu yang segar berpaksikan kepada adunan muzik moden dan tradisional. 

Lagu lain yang dipertandingkan ialah Hidup Yang Baru (Lagu/Lirik Norhazlie Hazim) dendangan kumpulan Makhluk; Kalimah Cinta (Lagu/Lirik Ariez) dan dinyanyikan oleh kumpulan Ariez sendiri serta Impian (Lagu/Lirik/Penyanyi Fingers).

Kesemua lapan lagu yang dipertandingkan mempunyai kelebihan masing-masing. Namun lagu mana akan menjadi juara bergantung penuh kepada penilaian lima juri profesional dibarisi Mohamed Anuar Mohd Dahalan (RTM KL), komposer/penyanyi Eddie Hamid, Prof Madya Abdul Jamal Abdul Hamid (Pensyarah Muzik UMS), Zubaidi Abas (Pengarah DBP) dan penggiat seni Datuk Hajah Raya Erom. 

Perjalanan acara Anugerah CLAS V itu akan disiarkan secara langsung di SabahFM dan turut dirakam untuk siaran di Astro Saluran TVi 180.

Dalam pada itu, bagi kategori Penyanyi Paling Popular, undian SMS akan terus dibuka sehingga kesemua lapan peserta selesai membuat persembahan. 

Untuk mengundi, taipkan CLAS <jarak> KOD Artis dan hantar ke 32776.

Kod Artis ialah MALIK (untuk Malik Nasir), SWELLY (S. Welly), GIMIE (Gi-Mie), FANZI (Fanzi), FINGERS (Kumpulan Fingers), ARIEZ (Kumpulan Ariez), MHLUK (Kumpulan Makhluk) dan CDF (untuk Cahaya D’Folk).




Persembahan terakhir Esther?


Esther
DIHUBUNGI di Kuala Lumpur malam Khamis lepas, Esther Applunius berkata, persembahannya di Anugerah CLAS V adalah yang terakhir.

Terakhir? Adakah penyanyi lagu Selalu itu memberi pembayang bahawa dia akan meninggalkan bidang seni suara yang diceburinya sejak remaja?

“Tidak,” kata Esther sebelum ketawa. “Ia persembahan pentas saya yang terakhir di Sabah sebelum saya ke Surabaya, Indonesia awal Mac ini.” 

Menurut Esther, dia dan kumpulannya, Mixed Up Band (tujuh anggota kesemuanya) akan berlepas ke Surabaya, Indonesia awal bulan depan untuk kontrak menyanyi selama setahun dengan opsyen untuk melanjutkan tempoh kontrak.

“Tidak pasti bila saya akan kembali ke sini tapi untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun dari sekarang, ini adalah persembahan pentas terakhir saya untuk peminat di Sabah. 

“Jadi saya berharap penyokong-penyokong saya akan datang ke 1B Sabtu ini (petang ini) di mana saya akan buat persembahan all-out menerusi lagu Selalu dan Love On Top (Beyonce) sebagai menghargai sokongan mereka kepada saya selama ini. Saya mahu peminat mengingati persembahan itu untuk tempoh yang lama,” katanya.

“Sudah tentu saya akan merindui peminat di sini dan juga sambutan Pesta Kaamatan Mei nanti,” tambah Esther. 

Di Surabaya kelak, Esther berhasrat untuk meninjau peluang merakam single ketiganya serta mencari ruang untuk memasarkan bakatnya di sana.

Esther pernah menghasilkan dua single – Menggapai Mimpi (2009) dan Selalu (2010) dan sebuah album Kadazandusun menggunakan namanya sebagai tajuk yang dirakamnya pada tahun 2005. 




Jo-Anna janjikan yang terbaik untuk peminat


Jo-Anna
NAIB Juara Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue Henly Rampas, berjanji untuk memberikan persembahan terbaik khusus untuk peminatnya menerusi dua lagu versi cover – Kisah Hati (Alyah) dan Bencinta.

Lagu Bencinta pasti akan menggamit memori peminatnya yang pernah mengikuti persembahan Jo-Anna di final Bintang RTM 2009 itu di mana dia memberikan persembahan yang sangat berkesan dengan suntikan tersendiri kepada lagu dendangan asal Faizal Tahir itu.

Ketika dihubungi malam Khamis lalu, Jo-Anna sedang gigih mengadakan latihan bersama Kombo RTM Sabah di bawah pimpinan Moses Vasanthan De Silva.

“Saya harap peminat akan datang menonton persembahan saya dan memberi sokongan kepada semua finalis CLAS musim ke-5.

“Kepada semua peserta pula, saya mengucapkan selamat bertanding dan semoga berjaya.”