Sunday, 11 March 2012

BRTM 2012 tawar sebuah kereta

"Kami percaya Sabah
mempunyai ramai penyanyi
 berbakat besar dan ini
pernah dibuktikan
dengan kemunculan
Azharina Azhar
dan Rey, antara lain"

Mohd Yusni Mohd Ali
Penerbit BRTM 2012

Boyd PV
Harian Ekspres


BUAT kali pertama sepanjang sejarah penganjurannya, Bintang RTM edisi 2012 menyediakan sebuah kereta Chery Tigo bernilai RM79,000 untuk sang juara.

“Ini antara kelainan yang kami bawa kali ini,” kata penerbit pertandingan itu, Mohd Yusni Mohd Ali, yang ditemui sewaktu mengadili uji bakat pencarian peserta Bintang RTM 2012 di perkarangan bangunan RTM di Jalan Tuaran, pada Sabtu.

Selain sebuah kereta, pertandingan itu turut menawarkan hadiah wang tunai.

Selepas agak lama pertandingan itu tidak dianjurkan, uji bakat pada Sabtu itu mendapat sambutan hangat daripada kalangan penyanyi amatur di sekitar negeri ini.

“Kami percaya Sabah mempunyai ramai penyanyi berbakat besar dan ini pernah dibuktikan dengan kemunculan Azharina Azhar dan Rey, antara lain,” kata Mohd Yusni.

“Peserta-peserta yang datang pagi ini (Sabtu) rata-ratanya berbakat besar tapi kami akan terus mencari seramai mana peserta yang mempunyai x-factor untuk dinilai kali kedua di mana 16 peserta terbaik dari seluruh negara diserap ke separuh akhir.

“Bintang RTM 2012 akan mula bersiaran di kaca TV pada 12 Mei ini,” katanya sebelum menambah, hanya lima peserta akan beraksi di final pertandingan itu.

“Jumlah lima peserta di final merupakan satu lagi pembaharuan yang diperkenalkan dalam penganjuran kali ini,” tambahnya.

Berapa ramai peserta dari Sabah akan dipilih?

“Tiada kuota tertentu. Kami tidak memilih jumlah peserta berdasarkan negeri. Kami hanya mencari 16 peserta terbaik dari seluruh negara,” jelas Mohd Yusni.

Berdasarkan sambutan memberangsangkan pada sebelah pagi, penganjur uji bakat itu menjangkakan akan ada lebih ramai peserta mendaftar pada sebelah petang Sabtu dan juga hari ini.

Semakan di kaunter pendaftaran uji bakat pada tengahari Sabtu menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peserta telah mendaftar dan sedang menunggu giliran untuk menjalani uji bakat itu.

Bagi anda yang terlepas uji bakat kelmarin, anda masih berpeluang untuk menghadiri uji bakat itu hari ini (Ahad, 11 Mac) yang akan diadakan antara jam 9 pagi dan 5 petang.

Sila hadirkan diri ke perkarangan bangunan RTM Kota Kinabalu di Jalan Tuaran dengan berpakaian sopan dan membawa bersama salinan kad pengenalan serta CD minus one untu lagu yang akan anda nyanyikan.

Peserta juga perlu membawa sekeping gambar berukuran 4R. Borang boleh diperolehi di kaunter pendaftaran.

Uji bakat ini, bagaimanapun, terbuka hanya untuk warganegara Malaysia yang berumur antara 15 dan 25 tahun.

Selain itu, peserta juga mestilah seorang amatur, tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman atau pengurusan dan masih bujang.

Ketika uji bakat kelak, peserta bebas menyanyikan mana-mana lagu yang dihasilkan pencipta tempatan atau antarabangsa sama ada irama pop komersil, balada, rock, R& B, jazz, dangdut dan pop etnik.

Genre trash, punk, heavy metal, black metal dan underground serta lagu-lagu yang tidak diluluskan oleh Rakam Khanah RTM tidak dibenarkan.

Sementara itu, diminta mengulas penganjuran Bintang RTM yang dihentikan selepas 2009, Mohd Yusni berkata ia bagi memberi ruang kepada penganjuran program lain seperti Rentak Juara, Akustik dan Bakat Lukisan, antara lain.

“Atas sebab itu, penganjuran Bintang RTM ditangguhkan dan tahun ini, ia kembali dengan beberapa kelainan untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baru mengetengahkan bakat mereka,” katanya.











Saturday, 10 March 2012

Uji bakat Bintang RTM 2012

Berikut adalah gambar-gambar sekitar uji bakat Bintang RTM 2012 di perkarangan bangunan RTM, Jalan Tuaran pada Sabtu, 10 Mac.

Setakat jam 12 tengahari, sekurang-kurangnya 50 orang telah mengesahkan penyertaan dalam uji bakat itu. Penyanyi tempatan Arnold Wences Linus turut dilihat mencuba nasib dalam uji bakat itu.

Artikel penuh akan menyusul....


Sesi pendaftaran peserta sedang berjalan.

Arnold (berdiri, belakang, baju hitam) menunggu giliran untuk pendaftaran.

Borang boleh diisi di lokasi uji bakat.

Wajah tiga remaja ini kelihatan tenang, tapi debaran di hati hanya mereka yang tahu.

Arnold bersama kenalannya dari Tambunan.

Antara yang mengambil bahagian.

Sebahagian kecil daripada peserta yang menyertai uji bakat
pada sebelah pagi.

Petugas AV

Petugas AV

Gadis berumur 18 tahun dari Ranau ini memiliki suara yang menarik.
Mungkinkah dia akan ke peringkat seterusnya?

Gadis berumur 18 tahun dari Kg Kawang, Papar  yang
menyanyikan lagu  Anggapan Mu (Ziana Zain) dengan baik.


Antara peserta yang boleh menyanyi dengan baik.

Peserta ini juga boleh menyanyi dengan baik.


Arnold memilih lagu Mencintai Mu.


Penerbit Bintang RTM 2012, Mohd Yusni Mohd Ali (kiri) sedang mengadili peserta.
Sesi uji bakat diteruskan pada Ahad, 11 Mac 2012 di tempat yang sama dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Sila  baca post terdahulu untuk butiran.

Thursday, 8 March 2012

Pertandingan mencipta video P. Ramlee

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Arkib Negara Malaysia cawangan Pulau Pinang sedang menganjurkan pertandingan mencipta video P. Ramlee @ Youtube sempena sambutan Hari Seniman 2012.

Pertandingan itu memerlukan setiap peserta mengetengahkan bakat nyanyian, meniru aksi atau sketsa berkaitan Seniman Agung itu.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian Malaysia Pulau Pinang, Jabatan Penerangan Pulau Pinang dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pulau Pinang,  menurut laporan BERNAMA pada Khamis (8 Mac 2012).

Penyertaan terbuka kepada semua termasuk warga negara asing bagi kategori solo atau berkumpulan. Tempoh setiap video adalah lima minit.

Syarat lain ialah setiap peserta yang dipilih sebagai pemenang perlu hadir pada majlis sambutan Hari Seniman 2012 pada 8.30 pagi 22 Mac ini di Pulau Pinang dan keputusan pengadil adalah muktamad.

Tarikh tutup penyertaan adalah sebelum atau pada 12 tengah hari 19 Mac ini. Setiap video mesti dimuat naik ke Youtube dan dihantarkan ke alamat e-mel broadbandutara@gmail.com.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 untuk pemenang tempat pertama, RM700 untuk tempat kedua, RM500 bagi tempat ketiga dan tiga hadiah saguhati RM100.

"Tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia..."    


Penghargaan  ikhlas daripada Z-o-o-m! Team.

Selamat Hari Wanita 

‘Bantu kami untuk membantu mereka’

(Dari kanan) Lydia, Clarice J Matha, Clarice Sipanul
dan Syra memperagakan album mereka.

Boyd PV
Harian Ekspres


DENGAN niat untuk beramal, sembilan penyanyi tempatan bergabung dalam sebuah album yang memuatkan lagu-lagu baru dalam bahasa Kadazan, Dusun dan Murut.

Idea untuk melaksanakan projek murni itu dicetuskan komposer Nick Tudol yang bertanggungjawab menghasilkan kesemua 10 lagu dalam album tersebut, yang turut memuatkan minus one untuk setiap lagu.

Nick Tudol
“Ini adalah sumbangan kecil kami untuk membantu golongan yang memerlukan,” kata Nick, penerbit album itu yang mana sebahagian hasil jualannya kelak akan didermakan kepada individu atau keluarga kurang bernasib baik serta badan kebajikan terpilih di sekitar negeri ini.

“Selain beramal, album ini juga memperkenalkan lagu-lagu baru dan menambah khazanah lagu-lagu tempatan,” jelasnya sebelum menambah, proses menghasilkan lagu dan memilih penyanyi dibuat sepanjang tahun lepas.

Penyanyi yang terbabit dalam projek Album Kompilasi – Projek Amal Artis Sabah itu ialah Clarice John Matha, Ebi Kornelis, Marcel Gatisi, Esther Clement Tubong, Rozza Rothman, Lydia Kalidin, Ryna Tongkooh, Clarice Sipanul dan Syra Gom.

Baru-baru ini, Clarice, Lydia, Syra dan Clarice Sipanul bertandang ke pejabat percetakan akhbar ini di Tanjung Aru untuk mewar-warkan kemunculan album tersebut.

Mendengar setiap butir bicara mereka, keempat-empat penyanyi itu jelas cukup teruja dengan peluang yang hadir untuk terbabit dalam album berkenaan yang menelan kos pembikinan sekitar RM14,000.

“Selain dapat merakam lagu baru, saya juga berpeluang untuk beramal kerana sebahagian hasil jualan album ini akan didermakan kepada individu atau keluarga terpilih untuk meringankan bebanan mereka,” kata Lydia yang menyanyikan lagu Sopirati-Rati dalam album itu.

“Saya rasa seronok dan berharap peminat juga akan terhibur dengan nyanyian saya dalam album ini,” tambahnya.

Untuk rekod, lagu itu pantas memanjat anak tangga Carta Rojak KKFM.

Clarice John Matha pula berkata pembabitannya dalam album itu adalah sesuatu yang tidak disangka memandangkan namanya tidak berada dalam senarai awal artis yang terbabit.

“Tapi saya tidak mengambil masa yang panjang untuk memberikan persetujuan apabila Nick menghubungi saya untuk mengisi tempat orang lain.

“Dan saya bersyukur kerana mengambil keputusan itu. Dari segi pendapatan, saya tidak mengharapkan album ini akan memberikan saya pulangan yang tinggi kerana artis yang terlibat hanya mendapat peratusan yang kecil daripada harga jualan album.

“Tapi saya perlu melihat jauh ke hadapan melangkaui soal bayaran. Ini adalah album amal jadi bayaran yang diterima tidak pernah menjadi perkara utama,” katanya. Clarice menyanyikan dua lagu dalam album itu – Linangkas Ku dan Numbur Bah (versi penyanyi wanita).

Dua penyanyi yang sudah lama menyepi dari bidang nyanyian, Syra Gom dan Clarice Sipanul juga mempunyai sebab untuk merasa sangat teruja.

Album Kompilasi Projek Amal Artis Sabah ini membuka pintu untuk mereka membuat kemunculan semula di persada seni suara tempatan dan mengubati kerinduan peminat terhadap lagu-lagu mereka.

Satu ketika dulu, lagu-lagu mereka, Au Zou Kaanu Mamalati Diau (Clarice Sipanul) dan Kahangadan Soumul-Umul (Syra) pernah menjadi siulan peminat sebelum mereka menyepi untuk memberikan tumpuan kepada perkara lain.

Clarice Sipanul aktif menyanyi sekitar awal tahun 1990-an sementara Syra pada pertengahan 1990-an.

“Saya rasa sangat gembira kerana diberi peluang untuk terbabit dalam album ini,” kata Syra.

Clarice Sipanul pula mengharapkan sokongan, khususnya dari kalangan etnik Kadazandusun dan Murut, untuk membeli album tersebut sambil beramal.

“Sama-samalah kita membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam album itu, Syra menyanyikan lagu Tiad Om Kaus Ku sementara Clarice Sipanul diberi tanggungjawab memberikan jiwa kepada lagu Pintutunan.

Lagu-lagu lain dalam album itu ialah Numbur Bah (versi penyanyi lelaki) oleh Marcel Gatisi, Oupus Oku Diya (Rozza Rothman), Au Ababasan (Esther Clement Tubong), Songkuro Pinodih (Marcel Gatisi), Oko Yak Sangulun (Ryna Tongkooh) dan Hangadon Diau (Ebi Kornelis).

Ebi
Biarpun Ebi bukan dari suku kaum Kadazan, kesungguhannya untuk menyanyikan lagu Hangadon Diau persis penyanyi Kadazan tulen wajar diberi pujian.

Dengan sebutan yang jelas, pendengar pasti akan yakin dengan nyanyiannya.

Lari dari jalur muzik Kadazan yang biasa didengar, Hangadon Diau menawarkan pilihan kepada peminat lagu bahasa tempatan yang inginkan muzik agak ke hadapan.

Rozza pula, dalam laman sosial facebook, memohon kerjasama daripada rakan-rakan dan kenalan untuk memberikan kepadanya nama-nama individu atau keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik untuk menjadi benefisiari kepada sumbangan amal dari hasil jualan album itu.

Berikut antara catatan Rozza dalam status facebooknya:

Rozza
    “Saya dan rakan-rakan daripada projek “Album Kompilasi Projek Amal Artis Sabah” bercadang untuk mengadakan lawatan amal ke rumah keluarga-keluarga daif. Ini sudah pernah kami lalukan sebelum ini.
    Sumbangan yang bakal diberikan tidaklah banyak, sekadar dapat membantu mereka menghadapi hidup dengan ‘selesa’ untuk beberapa ketika (yang mereka sendiri tidak pernah rasai sepanjang hayat mereka).
     Kepada yang prihatin untuk turut membantu kami, anda boleh menyalurkan dana dan bantuan tersebut melalui pembelian CD album itu. Bantu kami untuk membantu mereka. Pandang seketika di sekeliling anda, jangan lupakan ‘mereka’... Moga Allah SWT sahajalah yang mampu membalas budi dan amal baik kita di dunia. Jangan lokek barang seringgit dua, ingat janji Allah SWT, DIA akan melipat gandakannya kepada mereka yang ikhlas.”

Penghasilan album itu dipermudah oleh kerjasama yang diberikan oleh Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Datuk Ayub Aman, Datuk Hajiji Mohd Nor, Datuk Seri Ghulam M Sayeed dari Sayfol International School Sabah, Dr Florentius Epin Banaik, Chau Cheng Vun, Kong Soon Yen dan Robert Kamijan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam apa bentuk sekalipun,” kata Nick.

Sejak mula dipasarkan secara terus dua minggu lepas, album itu yang mana pra-pelancarannya akan dibuat hujung bulan ini, sudah terjual hampir 600 unit dan khabarnya akan diulang cetak dalam masa terdekat.

Untuk mendapatkan album tersebut, anda boleh berhubung terus dengan artis-artis yang terbabit dalam projek itu atau menerusi laman facebook mereka.

Monday, 5 March 2012

Uji bakat Bintang RTM 2012 di KK, 10-11 Mac

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

PENCARIAN peserta untuk pertandingan Bintang RTM 2012 akan bermula hujung minggu ini.

Untuk peserta-peserta di Sabah, anda boleh menghadirkan diri di bangunan RTM Kota Kinabalu pada 10 dan 11 Mac (Sabtu dan Ahad) dengan membawa bersama salinan kad pengenalan, sekeping gambar berukuran 4R dan borang penyertaan yang lengkap diisi. Borang boleh dimuat turun dari laman sesawang www.rtm.gov.my.

Uji bakat ini, bagaimanapun, terbuka hanya untuk warganegara Malaysia yang berumur antara 15 dan 25 tahun.

Selain itu, anda juga mestilah seorang amatur, tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman atau pengurusan dan masih bujang.

Ketika uji bakat kelak, anda bebas menyanyikan mana-mana lagu yang dihasilkan pencipta tempatan atau antarabangsa sama ada irama pop komersil, balada, rock, R& B, jazz, dangdut dan pop etnik.

Genre trash, punk, heavy metal, black metal dan underground serta lagu-lagu yang tidak diluluskan oleh Rakam Khanah RTM tidak dibenarkan.

Anda hendaklah membawa CD minus one untuk lagu yang anda akan nyanyikan dan perlu tampil kemas dan sopan.

Hanya peserta yang layak akan dihubungi, menurut butiran dalam borang penyertaan itu.

Pertandingan mencungkil bakat nyanyian paling lama di Malaysia, Bintang RTM menyaksikan kemunculan penyanyi-penyanyi hebat dari Sabah antaranya Azharina Azhar, Rey Kimara dan Jo-Anna Sue Henley Rampas.

Sudirman Haji Arshad, Ramlah Ram, Misha Omar, Amir Sofaz, Sarah Raisuddin, Farahwahida, Jamal Abdillah, Sudirman Hj Arshad dan Ramlah Ram, antara lain, juga dicungkil menerusi pertandingan itu.

Friday, 2 March 2012

Jo-Anna enggan dikongkong


Jo-anna

Boyd PV
Harian Ekspres


SELEPAS berakhirnya pertandingan Bintang RTM 2009, peminat tidak banyak mendengar perkembangan kerjaya nyanyian Jo-Anna Sue Henly Rampas.

Sesekali dia diusik dengan gosip cinta dengan Adam di awal kemunculannya dan selepas itu lagu duetnya dengan Vince, Ajar Ku Cinta, yang dimuatkan dalam album kedua penyanyi itu, Kronologi Cinta.

Sementara rakan-rakan lain ligat mengatur langkah untuk diterima peminat, Jo-Anna pula bagai mengelak perhatian umum.

Tanpa single, jauh sekali album penuh, kerjaya nyanyian Jo-Anne bagai berkubur.

Adakah penyanyi jelita ini tidak serius untuk mencipta nama dalam bidang yang diminatinya sejak kecil?

“Saya sebenarnya sambung belajar,” Jo-Anna ramah memulakan bicara ketika ditemui dalam satu majlis anugerah anjuran RTM di 1Borneo, baru-baru ini.

Tampil dengan imej baru yang trendy, Jo-Anna berkata dia sudah menghabiskan silibus untuk pengajian tiga tahunnya dalam bidang undang-undang peringkat ijazah di Kolej ATC di Ibu Negara.

“Sekarang tinggal tunggu tarikh untuk menduduki peperiksaan. Doakan kejayaan saya,” katanya.

Sepanjang tempoh tiga tahun itu, Jo-Anna mengakui hatinya meronta untuk kembali aktif menyanyi.

“Tapi keutamaan saya adalah terhadap pelajaran jadi saya tiada pilihan selain menolak mana-mana show yang bercanggah dengan jadual pembelajaran saya,” jelasnya.

Dalam tempoh tiga tahun itu juga, kata Jo-Anna, dia mengambil peluang untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan dalam nyanyiannya.

“Kalau ikut perancangan saya akan menyambung pengajian di peringkat sarjana sama ada di sini (Malaysia) atau di UK.

“Kalau saya buat di Malaysia, mungkin saya akan banyak perform lah tapi kalau buat di UK, terpaksalah saya cuti lagi setahun (dari menyanyi),” katanya.

Tapi sebelum semua itu, Jo-Anna mahu memanfaatkan masa yang ada untuk menghasilkan single.

“Saya belum ada single,” akuinya jujur.

Menurut Jo-Anna, dalam tempoh tiga tahun itu, dia banyak mencipta lagu tapi katanya, tumpuannya lebih kepada lagu Dusun.

“Saya harap ini akan menjadi langkah awal untuk sesuatu yang lebih besar dalam kerjaya nyanyian saya.”

Dalam urusan pembikinan single atau album, Jo-Anna bertekad untuk menghasilkannya mengikut cita rasanya sendiri.

“Saya tidak mungkin akan bergantung kepada syarikat rakaman dan sebagainya. Biarlah apa yang saya hasilkan itu datang dari hati saya dan bukannya orang lain beritahu saya apa yang saya harus lakukan,” tegasnya.

Mungkinkah sebelum ini Jo-Anna pernah merasa seperti dikongkong oleh orang lain dalam berkarya?

“Bukan begitu. Maksud saya, kalau dalam satu sfera di mana kita terpaksa mengikut trend, saya akan cuba mengubah keadaan itu, kalau boleh.”

Berapa lama peminat boleh menjangka single itu dikeluarkan?

“Susah mahu cakap tapi saya akan berusaha untuk merealisasikan impian itu secepat mungkin. Tiada jangka masa tertentu.”

Anda nampak trendy dengan fesyen rambut pendek.

“(Ketawa) Terima kasih, saya suka imej baru saya, rasa sangat ringan. Sudah sebulan saya tampil dengan imej begini,” katanya dengan ramah.

JO-ANNA dan jejaka itu sedang menjamu selera
di sebuah kopitiam di Jalan Gaya. Gambar ini dirakam menggunakan
kamera telefon bimbit oleh seorang peminatnya.
Jo-Anna, bagaimanapun, belum sedia berkongsi dengan peminatnya mengenai identiti lelaki yang pernah dilihat bersamanya di bandaraya.

“Lelaki mana satu? Saya memang ramai kawan dan saya akui saya suka keluar dengan mereka. Saya tidak pasti mana satu lelaki yang kamu maksudkan,” katanya sambil ketawa.

Peminat Jo-Anna mendakwa pernah terserempak dengan penyanyi itu bersama seorang lelaki “tinggi lampai dan berkulit sawo matang.”

Mereka dikatakan sangat mesra umpama pasangan kekasih ketika menjamu selera di sebuah kopitiam di Jalan Gaya.

“Itu personal,” katanya dengan nada riang ketika diminta mengesahkan hubungannya dengan lelaki itu.