Sammy |
KOTA KINABALU: Majlis Seni Sabah (MSS) tidak menyokong mana-mana ahlinya menyertai sebarang bentuk perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih) yang dijadual diadakan Sabtu ini (9 Julai 2011) atau pada masa-masa lain.
Pengerusi Penaja Majlis yang sedang dalam rangka untuk didaftarkan itu, Sammy Mohammad Ariffin Khan, berkata meskipun Majlis itu menghormati kebebasan bersuara dalam amalan demokrasi berperlembagaan di negara ini, ia tidak bermakna kebebasan bersuara itu wajar dilaksana dalam bentuk mendesak dan agresif.
"Bagaimanapun, jika ada ahli MSS yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dengan perhimpunan itu, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa selain mengingatkan mereka mengenai risiko yang bakal mereka hadapi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Sammy, sebagai rakyat, tidak semestinya kita bersetuju dalam semua hal.
"Tetapi untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, ia hendaklah diajukan melalui landasan yang tidak bertentangan dengan undang-undang, keselamatan, keharmonian dan ketenteraman awam," tegasnya.
MSS, menurut Sammy merupakan sebuah badan NGO yang tidak terlibat dengan mana-mana pertubuhan politik mahupun kumpulan.
"Majlis ini hanya terlibat dalam urusan seni dan oleh kerana itu pihaknya risau pertumbuhan industri seni tidak akan berkembang jika negara ini menjadi kacau bilau," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sammy mengucapkan terima kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim kerana memberi geran RM5 juta kepada pengusaha filem di negeri ini serta ruang di saluran baharu TVi di Astro 180.
"Kami juga berharap Dr. Rais dapat turut mempertimbangkan kemudahan serupa kepada penggiat seni muzik di Sabah.
"Sabah merupakan negeri yang aktif membangunkan industri seni muzik selain perfileman dan jika ditambah sedikit ruang lagi, bidang ini mampu menjana pendapatan kepada rakyat dan juga negeri Sabah khususnya, sebagaimana bidang lain seperti pertanian, penternakan dan perikanan," katanya sambil menambah, pihaknya sedia mengadakan pertemuan dengan menteri berkenaan jika diberi peluang.
No comments:
Post a Comment