Thursday, 25 August 2011

Clarice rindu arwah adik


Lokasi: Hotel Megah D’Aru,
Tanjung Aru (terima kasih Felix Joikon).
Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

TEMU BUAL ini yang bermula rancak, bertukar sayu apabila Clarice diminta berkongsi kenangan Raya.

Terusik seketika hati kecil pemilik nama penuh Clarice John Matha ini apabila mengimbau kenangan bersama adiknya, Nurfatihah Abdullah @ Lydia John Matha yang pergi buat selamanya pada Disember tahun lalu selepas beberapa tahun bertarung dengan penyakit luekemia.

Setelah diberi ruang untuk menenangkan diri, dengan nada perlahan, Clarice berkata dia amat merindui adiknya itu.

"Dulu, apabila tiba Ramadan, dialah yang paling sibuk menyediakan keperluan kami menyambut Raya terutamanya biskut-biskut Raya.

"Dialah juga yang paling sibuk mengatur segalanya untuk kami menyambut Lebaran. Sebab itulah, tahun ini, kami begitu terasa ketiadaannya," kata Clarice yang mengakui sangat rapat dengan adiknya itu.

"Sangat rapat sehingga anak-anak dia panggil saya mummy."

Sibuk dengan kerjaya barunya sebagai penyampai di stesen radio Suria FM Sabah, Clarice sukar mencuri ruang untuk membuat persiapan Raya tahun ini.

Ditambah lagi dengan kesibukannya melayani kerenah tiga anaknya yang sedang membesar – Khairil Iman (6) dan dua anak kembarnya yang berumur hampir 2 tahun, Nur Aleeya dan Nur Aleesya – hasil perkongsian hidupnya dengan Mike Ibrahim.

"Baju anak-anak pun belum sempat dibeli. Insya’Allah, hujung minggu ini saya akan bawa mereka keluar membeli barang-barang keperluan mereka untuk Raya ini.

"Untuk biskut-biskut Raya, saya tempah sahaja daripada kawan-kawan. Tidak laratlah mahu buat sendiri," katanya.

Tahun ini, mereka sekelurga akan beraya di rumah kakaknya di Kampung Bilit, Sandakan. Lima daripada lapan adik-beradik Clarice memeluk agama Islam. Jadi meriahlah juga sambutan hari raya Aidilfitri mereka saban tahun.

"Anak-anak akan ke Sandakan dulu beberapa hari sebelum Raya. Saya akan menyusul kemudian pada hari raya ketiga kerana saya dan suami dijadualkan bekerja pada hari Raya ini," katanya.

Ketika sesi fotografi, Clarice yang memilih nama Nurul Atiqah Abdullah ketika memeluk Islam tujuh tahun lepas, tetap kelihatan anggun dengan persalinan kebarung rona merah jambu meskipun sarat mengandungkan anak keempatnya.

"Saya dijadualkan melahirkan anak keempat saya pada penghujung Oktober. Sekarang usia kehamilan saya sudah masuk tujuh bulan.

"Sudah tersurat, setiap kali saya mengandung, saya akan melalui bulan Ramadan," katanya sambl tersenyum.

Tiga anaknya yang terdahulu dilahirkan melalui kaedah cesarean section.

"Anak keempat ini juga dijangka akan dilahirkan melalui kaedah yang sama. Saya sedang menunggu nasihat doktor mengenai bila prosidur itu boleh dilakukan.

"Alhamdulillah, kandungan saya sihat. Saya berpuasa setakat mana yang termampu," katanya yang sangat teruja dengan kehamilan ketiganya itu kerana dia bakal mendapat seorang lagi cahayamata lelaki.

"Dapat dua pasang, cukuplah," katanya penuh makna.

Mengenai kerjaya barunya sebagai penyampai radio, Clarice berkata tawaran itu datang bergolek.

"Ia umpama rezeki terpijak. Saya tidak pernah terbayang sebelum ini bahawa suatu hari nanti saya akan menjadi penyampai radio. Alhamdulillah, semua ini rezeki anak-anak."

Menurut Clarice, dia dihubungi oleh Suria fm yang bertanya kepadanya jika dia berminat untuk menjadi penyampai mereka.

"Saya teragak-agak juga untuk menjawab ketika itu kerana minat itu memang ada tapi saya tidak pernah terfikir sejauh itu.

"Mereka minta saya datang audition. Dari situlah kerjaya saya di konti bermula," katanya yang mengakui masih gugup walaupun sudah bersiaran selama tiga minggu.

"Memang tidak mudah untuk menjadi seorang penyampai (radio) kerana banyak perkara perlu kita fikirkan tapi saya harap pendengar dapat memberi saya ruang untuk terus mengasah bakat," kata Clarice.

"Saya bersyukur kerana ada rakan-rakan setugas – Lotter, Dudu dan Rey – yang sentiasa memberikan tunjuk ajar," katanya.

Bagaimana sambutan pendengar setakat ini?

"Alhamdulillah, mereka dapat menerima saya. Pada mulanya pendengar agak keliru dan sering menyangka saya Velvet (Aduk)," kata pelantun lagu Adaa ini.

Setakat ini juga, kata Clarice, kerjaya barunya di stesen radio itu tidak bercanggah dengan aktiviti nyanyiannya.

"Saya bertugas di konti Suria fm dari jam 10 pagi hingga 2 petang, Isnin hingga Jumaat.

"Kalau adapun undangan menyanyi, biasanya ia adalah untuk acara pada sebelah malam, jadi saya tidak nampak wujud konflik dari segi masa.

"Tapi kalau ada undangan di sebelah siang, saya percaya masih ada ruang perbincangan dengan majikan saya," katanya.

Pertengahan tahun ini, Clarice muncul dengan album kompilasi Sri Bayu bersama tiga lagi rakannya, Lydia Kalidin, Rozza Rothman dan Meeda Hamzani.

Itu adalah projek album terakhir yang dijayakannya sebelum menjadi penyampai radio. Tapi entah di mana silapnya, selepas dilancarkan dalam satu acara yang gah, album itu dan lima lagu di dalam tidak menjadi sebutan peminat.

Tanpa lagu baru yang lebih komersil, Clarice tidak bimbang peminat akan melupakan bakat Clarice sebagai penyanyi?
"Saya terfikir juga perkara itu tapi biarlah saya berehat dahulu. Saya pun sedang sarat mengandung jadi apa-apa pun, tunggulah sehingga saya bersalin barulah saya fikirkan perkara itu."

Clarice menambah, ada perancangan untuk syarikat rakaman Skyline menaja pembikinan album terbarunya.

"Semuanya masih di peringkat awal perbincangan," jelasnya.

Clarice juga tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pembaca akhbar ini yang menyambut perayaan itu. Maaf zahir dan batin, katanya.

"Semoga sambutan Aidilfitri anda tahun ini lebih meriah dan bermakna berbanding tahun lepas.

"Dan kepada seluruh rakyat Malaysia, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-54. Salam 1Malaysia untuk semua."



 

No comments:

Post a Comment