Monday, 22 August 2011

Nostalgia Lebaran Jass Pok Silap

Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

APABILA umur sudah menginjak dewasa, kemeriahan Hari Raya Aidilfitri bagai terbatas kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Tidak semeriah seperti ketika melewati zaman kanak-kanak dahulu.

Itulah yang dirasakan penyanyi lagu Pok Silap, Jass.

Pada umur 33 tahun, kemeriahan menyambut Hari Lebaran bagi anak kelahiran Kampung Pirasan, Kota Belud ini jauh berbeza. Puas dicarinya perasaan yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu namun tidak ditemui. Semuanya sudah lama berlalu, yang tinggal hanyalah nostalgia indah.

"Saya fikir ia satu perkara lumrah dan seiring dengan pertambahan usia. Rasanya orang lain pun begitu juga.

"Seingat saya, waktu zaman kanak-kanak dulu, beberapa hari menjelang Hari Raya Aidilfitri, saya sudah dapat merasakan kemeriahan sambutan itu.

"Malah momentum itu mula terbina sejak dari awal Ramadan lagi," katanya sambil memandang ke luar tingkap. Jauh fikirannya menerawang.

Sekarang ini, katanya, dia hanya akan dapat merasa kemeriahan itu apabila mendengar lagu-lagu klasik Raya ketika berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai sambil menikmati juadah Raya.

"Suasana itu mengembalikan nostalgia saya ke zaman kanak-kanak dan remaja," kata Jass.

Mengimbau kenangan silam ketika menyambut Lebaran, seperti kanak-kanak lain, Jass sangat suka bermain bunga api.

"Kalau sudah pegang bunga api, tidak ingat dunia," katanya sambil tergelak.

Jass juga terkenang kisah dia berjalan keliling kampung menggumpul duit raya bersama rakan-rakan.

"Saya rasa sangat seronok waktu itu. Bersama kawan-kawan sekampung, kami bergerak dari rumah ke rumah semata-mata untuk menggumpul duit raya… bukan mahu makan pun. Jamah kuih sikit-sikit, tunggu dihulur duit raya lepas itu kami ke rumah sebelah pula," katanya.

Menurut Jass, paling seronok ketika kanak-kanak, dia pernah menggumpul duit Raya sehingga mencecah RM50.

"Dulu waktu budak-budak, nilai RM50 macam RM5,000. Sudah tentulah saya rasa sangat seronok," katanya.

Ketika remaja pula, Jass pernah berkonvoi dengan rakan-rakannya sehingga 6 – 7 buah kereta untuk bertandang ke rumah orang.

"Bayangkan riuhnya suasana waktu itu. Tuan rumah pun agaknya susah hati tengok kami datang," katanya sambil tergelak besar.

Jass menambah, setiap kali Lebaran tiba, tugas hakikinya ialah memasang tabir.

"Kalau bikin biskut memang saya tidak pandai... saya hanya pandai tolong makan saja. Tapi kalau pasang tabir…itu bidang ‘kepakaran’ saya sejak dulu," katanya berseloroh.

Seperti tahun-tahun lepas, Jass bercadang untuk balik kampung pada subuh Hari Raya pertama tahun ini bersama tiga adiknya.

Jass menetap di Kampung Laya-Laya di Tuaran bersama keluarganya.

"Mengikut perancangan kami… ahli keluarga lain balik awal, kami berempat akan menyusul pada subuh Hari Raya pertama. KB (Kota Belud) bukan jauhpun, masih sempat untuk ke masjid.

Lepas sembahyang solat sunat Aidilfitri, Jass akan berkumpul di rumah keluarga sebelah ibunya di Kampung Pirasan. Pada sebelah petangnya, mereka akan menziarahi kubur saudara mara di kampung yang sama sebelum berkonvoi ke rumah keluarga sebelah bapanya di Kampung Pandasan, juga di Kota Belud.

"Tapi kami sekeluarga biasanya tidak akan lama di kampung. Masuk Raya ketiga, kami selalunya beraya di Tuaran pula," kata penyanyi ini yang menggemari juadah rendang ayam masakan ibunya serta air bandung yang disediakan makciknya.

Melihat kepada gambar Jass yang tertera di ruangan ini, mungkin ramai pembaca akan segera mengaitkan Jass dengan Felix Agus.

Itu tidak dapat dielakkan kerana selain menyanyi, Jass masih menguruskan kerjaya nyanyian Felix yang kini semakin sibuk dengan tugasnya sebagai penyampai radio di KKfm.

Lagu Pok Silap nyanyian Jass, yang turut menampilkan kumpulan Jiaja, pernah bertakhta di hati peminat sekitar tahun 2009.

Bagaimanapun, Jass tidak banyak mendapat publisiti menyebabkan peminat tidak begitu mengenalinya.

"Saya akui perkara itu. Tapi saya tidak terasa hati asalkan lagu saya mendapat tempat di hati pendengar.

"Keadaan itu berlaku mungkin disebabkan oleh diri saya sendiri.

"Saya tidak pandai menarik perhatian media untuk menemubual saya," katanya yang kini turut sibuk menguruskan syarikat yang ditubuhkannya bersama Felix, D’Sulap Entertainment.

Perkembangan terbaru penyanyi ini, khabarnya dia telah pun menubuhkan sebuah kumpulan diberi nama Ramaianti (Aramai Ti dalam bahasa Bajau).

Selain Jass selaku vokalis, kumpulan itu turut dianggotai Achai (violin), Anif (bass) Bujal (drum) dan Jai (gitar utama).

"Single pertama kami Bisa Kah Aku Bertanya akan dipromosikan, insya’Allah, selepas Raya," katanya.

Album penuh sedang dalam pembikinan, tambah Jass.

No comments:

Post a Comment