Thursday 12 May 2011

Candy kembali dengan semangat baru

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

PERJALANAN kerjaya seni Candy agak kosong selepas meninggalkan sangkar emas Akademi Fantasia 5 lebih tiga tahun lalu menyebabkan namanya tenggelam timbul lantaran ramai muka baru muncul dan mewarnai industri hiburan tanah air.
Candy kelihatan trendy dengan gaya rambut terbarunya.

Dan Candy akur dengan hakikat itu. Dengan hanya berbekalkan sebuah single berjudul Demam yang dihasilkan selepas keluar dari AF, ruang untuk dia bergerak dalam industri sangat terhad.

Lantaran itu, sepertimana sebahagian senior AF dari Sabah – Ebi, Felix dan Velvet, antara lain – gadis kelahiran Tambunan ini membulatkan tekad untuk pulang ke Sabah dan melancarkan semula kerjaya seninya di sini dengan impian untuk kembali mencipta ruang di pentas nasional selepas dia berjaya di sini kelak. Itu strateginya sekarang.

Lalu, pada Disember 2010, Candy pulang ke Sabah dengan semangat yang baru untuk membuktikan bahawa dia juga boleh berjaya seperti rakan-rakan yang lain, cuma rezeki belum lagi memihak kepadanya.

Tidak menunggu lama, kini album pertamanya dalam bahasa Dusun sedang berada di peringkat akhir pembikinan.

“90 peratus sudah siap. Proses rakaman sudah selesai, tinggal lagi pembikinan kulit album,” katanya. Candy menjangka album itu akan menemui peminat seawal-awalnya bulan depan.

Candy bertandang ke pejabat Daily Ekspres di Tanjung Aru baru-baru ini untuk berkongsi perkembangan terbarunya dengan pembaca akhbar ini. Dia ditemani penerbit albumnya, Luke Mason dan jurugambar peribadi, Neyza.

Candy, yang kini kelihatan semakin jelita, mengakui sudah tidak sabar menanti tarikh pelancaran albumnya itu.

Malah, dia cukup teruja memperdengarkan dua buah lagu yang terkandung dalam album itu – Kakal Id Ginawo dan Noilaan Ku Nodi – yang disimpan dalam telefon bimbitnya.

“Kedua-dua lagu ini dirakam di Australia,” kata Candy yang berada selama enam minggu di negara Kangaroo itu awal tahun ini.

Kedua-dua lagu itu kedengaran sangat urban dan catchy persis muzik yang diperjuangkan Avril Lavigne. Apa yang menjadikan ia unik ialah liriknya adalah dalam bahasa Dusun.

“Ini adalah dua daripada 10 lagu yang terkandung dalam album sulung saya,” jelas Candy yang kini sibuk dengan undangan menyanyi di majlis-majlis Pesta Kaamatan di seluruh negeri sepanjang bulan ini.

Menggunakan khidmat komposer Asmin Mudin dan Ading, antara lain, album yang belum diberi tajuk itu turut memuatkan beberapa lagu balada.

Pembikinan album itu, menurut Candy, adalah impian yang tertangguh sejak sekian lama disebabkan kekangan yang dihadapinya termasuk soal masa dan kewangan.

“Tambahan lagi, sewaktu baru-baru keluar dari AF dulu, saya sebenarnya blur. Saya tidak tahu apa harus dilakukan dan ke mana hala tuju kerjaya nyanyian saya.

“Tanpa pengalaman yang cukup kerana waktu itu saya masih terlalu muda, saya akui memang sukar untuk bergerak,” akuinya.

Kali terakhir Candy dilihat muncul di kaca TV sebagai artis jemputan ialah menerusi program realiti Keynote tahun lepas.

Setelah tidak lagi bersama Maestro, perjalanan kerjaya seninya terus suram meskipun sesekali dia dilihat muncul sebagai artis jemputan dalam acara-acara hiburan.

Kisah di belakang tirai industri seni juga pernah menghambat dirinya membuatkan dia hampir tersungkur.

Bukan sekali dua dia ditipu penganjur acara. Pernah juga bertiup gosip mengenai Candy dipulau rakan-rakan artis atas sebab-sebab yang tidak jelas ketika membuat latihan untuk satu persembahan pentas.

Malah cubaannya untuk melebarkan sayap kerjaya ke luar negara tidak menjadi apabila penampilan seksinya dalam video klip bersama sekumpulan jejaka Iran mengundang kontroversi. Klip video untuk lagu Make You My Girl itu khabarnya bukan untuk tayangan di kaca TV negara ini.

“Saya rasa saya dipergunakan oleh mereka untuk menembusi pasaran di negara ini. Kerana itu saya menarik diri daripada terus berkolaborasi dengan mereka,” jelasnya.

Kini, Candy mahu melupakan semua itu dan hanya ingin memfokuskan kepada usaha menggilap semula namanya.

Tapi semua pengalaman berharga yang dikutipnya selama beberapa tahun selepas AF semakin mematangkan dirinya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-22 tahun, kelmarin.

Candy kini jelas dengan hala tujunya. Butir bicaranya ketika ditemubual memberi pembayang jelas bahawa dia kini lebih matang dan tahu apa yang dia mahukan.

Malah, mengikut perancangannya, dia akan ke Indonesia untuk pembikinan video klip untuk lagu Ika yang terkandung dalam album Dusun itu.

“Saya memilih Indonesia kerana tertarik dengan hasil kerja mereka,” jelas Candy yang menjadikan artis antarabangsa Filipina, Charice Pempengco sebagai sumber inspirasi.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seorang peminat yang sanggup menaja pembikinan album sulung saya,” katanya, merujuk kepada seorang guru wanita di Pitas bernama Phine.

“Dia ibu angkat saya. Perkenalan kami bermula secara kasual dalam laman sosial. Dia banyak memberikan saya galakan dan kami semakin rapat selepas itu.

“Yakin dengan bakat saya, dia menawarkan diri untuk merealisasikan impian saya menghasilkan album,” kata Candy yang kini turut menggilap bakat lakonannya.

Bukan tidak pernah menerima tawaran berlakon sebelum ini tapi menurut Candy, ketika itu dia belum cukup bersedia.

“Saya sedar saya bukan seorang yang lahir dengan bakat lakonan semulajadi tapi saya kini sudah bersedia untuk mempelbagaikan cabang kerjaya saya.

“Pembabitan saya dalam penggambaran sebuah sitkom untuk tayangan di RTM sedikit masa lalu membibitkan rasa seronok dalam diri ini dan teringin untuk kembali ke set,” katanya, merujuk kepada sitkom Kopi O terbitan Pentas Wayang Production yang menggandingkan dia dengan Ebi Kornelis, Alex Raja Lawak, Mat Congo, Abu Bakar Ellah, Fazurina dan Danny X Factor, antara lain.

Dia juga dijadual terbabit dalam penggambaran telefilem Cinta Yang Tertinggal arahan T. S. Jeffrey bermula Jun ini.

Dan ketika temu bual ini berlangsung, Candy, yang baru-baru ini  merakamkan semula jingle untuk Sazarice, sedang menunggu pengesahan tarikh penggambaran untuk telefilem Boleh Bah Kalau Kau, juga arahan T.S. Jeffrey.

“Saya harap peminat-peminat saya di Sabah akan terus menyokong kerjaya seni saya,” katanya sambil menambah kini lebih selesa bergerak di bawah naungan syarikatnya sendiri yang baru ditubuhkannya.

Candy yang peminat lihat sekarang jauh berbeza dengan gadis remaja berumur 18 tahun yang pernah anda saksikan gelagatnya di AF5.

Pemilik nama penuh Candy Clement ini telah melalui satu transformasi. Dengan semangat yang baru, dia kini kembali untuk memancing minat anda menyanjung bakat besar gadis bertubuh kecil ini.

No comments:

Post a Comment