boyd_pv@yahoo.com
TEMPOH dua jam tidak cukup untuk mendengar semua keluh-kesah artis-artis tempatan Sabah yang selama ini merasakan diri mereka dianaktirikan dan tidak mendapat perhatian sewajarnya untuk membolehkan mereka terus bergiat aktif di pentas seni.
Idea yang dicetuskan di alam maya kira-kira sebulan lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila hampir 20 penggiat seni tempatan dan orang belakang tabir berhimpun di satu lokasi di Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu malam Sabtu lepas (19 Mac).
Tujuannya hanya satu – ingin mencari jalan untuk mendapat pembelaan sewajarnya atas nama seni.
Orang kata, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.
Biarpun diuji dengan pelbagai kepayahan dan halangan, segelintir artis kita tetap bersemangat untuk menjayakan pertemuan itu.
Sammy Arif |
Pertemuan itu dikendalikan oleh penyanyi Sammy Arif.
Bagaimanapun, segelintir artis yang sebelum ini sangat vokal di alam maya tidak pula kelihatan pada malam itu. Ketiadaan mereka mungkin disebabkan komitmen lain memandangkan pertemuan itu diadakan pada malam minggu.
Dalam pertemuan itu, rata-rata artis kita mengeluh kerana bakat dan titik peluh mereka seperti tidak mendapat penghargaan sewajarnya khususnya dari segi bayaran.
“Menyanyi sehingga enam buah lagu tapi bayaran hanya RM500,” kata Sammy ketika berkongsi ceritanya dengan rakan-rakan yang hadir.
Bagaimanapun, menurut Sammy, atas daya usaha dan inisiatif Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun, dapatlah beliau menerima bayaran minimum RM2,000 untuk setiap show dengan agensi-agensi Kerajaan.
Faktanya: kalau Sammy, yang berpengalaman lebih 30 tahun di pentas seni, masih ditawarkan sekadar RM500 untuk menyanyikan beberapa buah lagu dalam satu show, bagaimana pula dengan mereka yang masih berusaha gigih untuk memperkukuh nama?
“Kalau boleh, biarlah kadar itu digunapakai untuk semua artis tempatan. Minimum RM2,000 untuk satu show saya fikir sudah cukup baik tapi biarlah kadar itu dapat dikekalkan dan meliputi semua,” katanya sambil menambah sebelum muncul di pentas, seseorang penyanyi itu juga menggunakan masanya untuk berlatih dan membuat persiapan lain termasuk pakaian dan sebagainya.
“Artis kita pernah ditegur kerana berpenampilan kurang menarik apabila muncul di atas pentas.
“Bayangkan, kalau mahu kelihatan anggun di pentas, seseorang penyanyi itu memerlukan sekurang-kurangnya RM500 untuk membeli pakaian, kasut, make-up untuk penyanyi wanita dan aksesori lain.
“Kalau bayaran yang diterima setakat RM500, bagaimana kita boleh kelihatan cantik di atas pentas?” soalnya sambil disokong oleh mereka yang hadir.
Menurut Clarice pula, dia pernah menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan bayaran bagi show yang telah dijayakannya.
Clarice pernah menunggu berbulan-bulan untuk dapat bayaran |
“Malah lebih menyedihkan, saya terpaksa pula banyak kali menghubungi mereka untuk menuntut bayaran,” katanya tanpa menyebut nama penganjur yang dimaksudkan.
Dalam artikel terdahulu, Clarice pernah bercerita mengenai pengalamannya ditipu penganjur satu acara di Sandakan yang mengurangkan bayaran yang telah dipersetujui selepas dia selesai menjayakan acara mereka.
Malam itu, keluhan yang serupa diutarakannya.
Biarpun berdepan dengan pelbagai kerenah penganjur yang seolah-olah ingin membunuh kerjayanya, Clarice masih berdiri teguh sebagai antara penyanyi wanita popular di negeri ini berkat usaha gigih menggilap nama sejak 2004.
Clarice mampu bertahan kerana dia meletakkan jiwa dan raganya dalam bidang ini. Menyanyi adalah pekerjaannya.
“Tapi apa guna semua gelaran “diva”, penyanyi popular dan sebagainya jika bayaran yang saya dapat tidak setimpal dengan titik peluh saya?” katanya kesal.
Hembusan bayu dingin di Pantai Tanjung Aru malam itu bagaikan tidak terasa apabila ruang perbincangan bertukar menjadi medan berdebat di awal acara.
Semuanya bermula apabila Julfekar berkongsi pandangannya mengenai hala tuju muzik tempatan Sabah.
Julfekar ingin melihat kualiti muzik tempatan dipertingkat. |
Bagaimanapun, di Sabah, katanya, kualiti penerbitan album tidak mencapai tahap yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat global.
“Apabila kita buat sesuatu, kita buat untuk mencapai standard yang boleh dipandang oleh orang lain.
“Apabila kita sudah dihargai, kita akan dibayar mengikut kadar yang sesuai,” Julfekar memberikan pendapat.
Pandangannya itu, bagaimanapun, tidak dikongsi oleh sebahagian yang hadir.
“Kita tidak perlu terlalu mengejar standard yang ada di Semenanjung,” kata Tony Francis Gitom yang sebelum ini pernah bergiat di peringkat nasional sebelum kembali ke Sabah untuk membantu mengembangkan industri perfileman di negeri ini.
Mengikut Tony, soal standard itu mungkin boleh dikaitkan dengan bajet yang dikeluarkan untuk menghasilkan album-album tempatan.
Di Sabah, kos penerbitan sesebuah album hanyalah di antara RM5,000 dan RM15,000 sedangkan di Kuala Lumpur, angkanya berlipat kali ganda bergantung kepada kemampuan kewangan syarikat rakaman ataupun artis itu sendiri.
“Kalau bajet untuk album tempatan setanding dengan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, saya fikir soal kualiti bukan satu masalah,” kata Tony.
Atama pula berpendapat proses pembiayaan perlu dibincang terlebih dahulu.
Atama turut memberikan pendapatnya mengenai industri muzik tempatan. |
“Industri kita juga sudah ditindas sejak dari dahalu dari segi hak cipta dan royalti,” tambahnya.
Kadar bayaran RTM untuk artis turut dibangkitkan dalam pertemuan itu.
“Sejak dahulu hingga sekarang, kadar yang dibayar oleh RTM masih sama,” kata Sammy.
Menurutnya, kadar itu wajar dikaji kerana kerja-kerja rakaman untuk program siaran RTM biasanya mengambil masa beberapa hari.
“Tapi berapa bayaran yang kita dapat?” soalnya.
Banyak lagi isu lain yang dibangkitkan dan kebanyakannya berkisar mengenai soal bayaran untuk artis tempatan.
Artis-artis yang menghadiri pertemuan itu turut dimaklumkan mengenai hasrat untuk menubuhkan sebuah persatuan yang akan menaungi artis tempatan Sabah.
“Kita akan berusaha untuk menubuhkan sebuah persatuan dimana kita boleh bernaung,” kata Sammy sebelum menjelaskan peranan persatuan itu.
“Melalui persatuan ini kelak, kita akan fikirkan mengenai kebajikan artis, mengenai caruman KWSP untuk artis, insurans dan sebagainya. Persatuan itu kelak akan mewakili suara artis tempatan,” jelasnya.
Ditanya apa perlunya mewujudkan begitu banyak persatuan untuk artis tempatan sedangkan ketika ini sudah ada sekurang-kurangnya dua buah persatuan untuk tujuan yang sama, Sammy menjelaskan:
“Saya tidak pernah dengar adanya persatuan untuk menaungi artis di Sabah.
“Kalau ada persatuan, kenapa kita tidak dengar sebarang aktiviti yang mereka anjurkan? Kenapa saya tidak pernah dipelawa menjadi ahli mereka?
“Saya ingin bertanya kepada semua yang ada di sini, berapa ramai yang menganggotai mana-mana persatuan membabitkan artis tempatan?” katanya. Dan tidak seorang pun memberikan maklum balas kecuali Rozza.
“Itulah sebabnya maka kita perlukan sebuah persatuan yang aktif untuk menjaga kebajikan artis tempatan,” katanya.
Masih banyak yang ingin bersuara pada malam itu tapi tempoh dua jam yang diberikan kepada mereka oleh pemilik premis membataskan segalanya.
Segala butir perbincangan, menurut Sammy, akan dikumpul dan diserahkan kepada Datuk Masidi dalam kunjungan hormat yang akan mereka lakukan ke atas Menteri itu dalam masa terdekat.
Walaupun kehadiran kurang memberangsangkan, pertemuan itu dilihat sebagai satu permulaan yang baik kerana sekurang-kurangnya, artis-artis tempatan kita kini sudah berani bersuara dan dapat melihat hala tuju perjuangan mereka. Tahniah!
SATU SUARA…semua yang hadir mengabadikan kenangan di akhir acara |
No comments:
Post a Comment