Friday, 13 January 2012

Kisah Benar: Papa kedana gara-gara percayakan wanita Facebook

Di sinilah Fathad tidur sejak lebih sebulan lalu.

Fathad menunjukkan laporan polis
yang dibuatnya terhadap wanita itu di
Balai Polis Penampang pada 27 Disember 2010
 
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 40 tahun dari semenanjung kecewa, keliru, marah dan tidak mempunyai wang – semuanya gara-gara dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada seorang wanita, yang didakwanya menyebabkan dia kerugian RM10,000.

“Semua duit saya habis,” dakwa Abd. Fathad Mohd Saghir, yang sejak bulan lepas terpaksa tidur di atas sekeping kotak kertas di sebuah stesen minyak di Petagas.

Fathad mendakwa telah ditipu oleh teman wanitanya, berbangsa Kadazan-Iban dan berumur 42 tahun, yang dia sangkakan sangat mencintainya.

Menurutnya, mereka berkenalan sejak tiga tahun lalu dan dalam tempoh itu, wanita itu mendorongnya untuk percaya bahawa dia juga amat mencintainya.

“Saya akan masukkan ke dalam akaunnya antara RM500 dan RM600 setiapkali dia meminta wang,” kata Fathad, yang berkata mereka mengenali satu sama lain melalui Facebook pada 2009.

“Saya juga pernah belikan dia kasut, telefon bimbit malah beg tangan berjenama. Pendek kata, apa sahaja yang dimahukannya, saya akan berusaha tunaikan.”

“Rakan-rakan saya meletakkan nombor telefon bimbit, nama dan butiran peribadi lain di laman sosial itu dan di situlah saya menemui wanita idaman saya itu.

“Dia membuatkan saya benar-benar percaya bahawa dia sudi berkahwin dengan saya.”

Malah sebelum mereka bertemu, dia sudahpun menghantar sejumlah wang kepadanya.

Mereka akhirnya bertemu ketika Fathad berkunjung ke sini selama tiga hari dan turut dibawa bertemu anggota keluarga wanita itu sebelum dia kembali ke semenanjung.

Fathad mendakwa dia dan bekas teman wanitanya terus berhubungan selepas dan meneruskan hubungan jarak jauh sepanjang tahun itu.

Pada 2010, dia mendapat tahu rahsia wanita itu yang didedahkan oleh salah seorang anggota keluarganya.

“Rupanya dia sudah dua kali jadi janda, tapi saya tetap menerima dia seadanya,” katanya sambil menambah dia tidak kisah dengan masa lalu wanita itu dan bersedia untuk memberi komitmen kepada hubungan mereka.

Seperkara lagi yang membuatkan Fathad sangat marah ialah hakikat bahawa wanita itu mematikan telefon bimbitnya ketika lawatan keduanya dan itu menjadi punca mereka bergaduh besar.

“Saya datang ke rumahnya tapi keadaan menjadi semakin tidak terkawal, jadi saya tempah penerbangan pulang ke Kuala Lumpur,” katanya. “Saya mendapat alamatnya melalui bungkusan-bungkusan yang saya hantar kepadanya sejak 2009.

“Dia sangat tidak setia dan tidak menghargai apa yang telah saya lakukan untuknya.”

“Saya bantu dia selama tiga tahun dan inikah balasan yang saya dapat?”

“Walaupun dengan apa yang terjadi, saya masih mengirim wang kepadanya.”

Disember lalu, Fathad datang ke Sabah sekali lagi. “Saya berkunjung ke rumahnya dengan hasrat untuk mengahwininya. Malangnya, dia menghubungi polis dan saya ditangkap kerana dia mendakwa saya mengganggunya.”

“Saya rasa sangat malu.” Ramai orang di kawasan kejiranan di mana bekas teman wanitanya itu tinggal nampak dia digari.

Fathad mendakwa dia mendorongnya untuk percaya bahawa dia mahu mengahwininya. Sekarang dia sangat tidak berpuas hati dan mahukan semula wangnya yang menurutnya, berjumlah RM10,000.

Dia juga ingin mengingatkan golongan lelaki di luar sana khususnya agar berwaspada dengan wanita pisau cukur seperti bekas teman wanitanya itu dan berkata wanita itu adalah pembohong yang suka menggoda lelaki untuk kepentingan dirinya.

Dia juga berharap golongan lelaki dapat mengesan sifat-sifat wanita yang boleh membawa kepada situasi yang dialaminya.

“Dia hanya mahukan wang. Saya sepatutnya nampak perkara itu. Dia pergunakan saya,” katanya yang amat kesal kerana mempercayainya.

Menurut rakan sekerja Fathad, Abdullah Asri, dia baru sahaja menyertai SRT-EON Security dan bergantung kepada ehsan mereka untuk makan minumnya setiap hari.

“Di sinilah dia tidur,” kata Asri sambil menunjukkan kotak kertas dan sebiji bantal di lantai di dalam premis stesen minyak itu.

“Bekas teman wanitanya tinggal di Petagas.”

“Sekarang ini dia hanya ada kami,” katanya.

Fathad membuat laporan polis di Penampang pada 27 Disember.

Credit: Rini Zahlifah Ismail

No comments:

Post a Comment