Tuesday, 10 January 2012

Pinjaman sehingga RM300,000 tanpa penjamin, cagaran

PUTRAJAYA: Dalam usaha memastikan peningkatan pengeluaran makanan negara tercapai, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menawarkan pinjaman tanpa penjamin dan cagaran kepada usahawan tani yang terlibat dalam ternakan, tanaman sayuran dan perikanan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata menerusi pinjaman yang diuruskan Agro Bank itu, sejumlah RM55 juta peruntukan disediakan yang membolehkan pinjaman dibuat sehingga maksimum RM300,000.

“Tetapi pinjaman itu adalah khas kepada mereka yang sudah memulakan projek tanaman, ternakan atau pertanian. Mereka yang sudah memperoleh pinjaman dari Tekun atau institusi pinjaman lain juga boleh memohon,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Noh berkata kadar faedah adalah rendah iaitu empat peratus setahun, dengan tempoh pembiayaan sehingga 60 bulan dan terbuka kepada mereka berusia 18 hingga 60 tahun.

“Sesiapa yang berminat hanya perlu membawa surat sokongan dari persatuan-persatuan pertanian yang diiktiraf oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan terbuka untuk projek ternakan ikan dalam sangkar dan ikan hiasan; ternakan lembu fidlot dan ruminan; taman pengeluaran makanan; dan penanaman sayur-sayuran serta bunga-bungaan.

Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment