Wednesday, 11 April 2012

Pencarian model JKHAN masih berjalan

Boyd PV
Datin Rahmahjan ketika ditemuramah di pejabatnya.
Harian Ekspres

PENCARIAN di seluruh negara untuk sepuluh model yang akan memperagakan produk beg tangan dan pakaian jenama JKHAN masih berjalan sehingga 20 April ini.

Setakat ini, pertandingan JKHAN Model Search 2012 itu menerima penyertaan yang sangat menggalakkan.

Bagaimanapun pemilik jenama itu, Datin Rahmahjan Sulaiman Khan, ingin melihat penyertaan seramai mungkin gadis Sabah dalam pencarian yang diadakan buat julung kalinya itu.

“Ini adalah satu peluang terbaik bagi gadis-gadis tempatan yang berminat dalam bidang peragaan.

“Jika anda mempunyai kualiti yang kami inginkan, ambil peluang ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di KK Times Square di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Pereka fesyen itu berkata beliau ingin membantu wanita-wanita muda di Sabah yang berminat untuk menceburi bidang peragaan dengan cara yang berkesan melalui bantuan profesional tempatan dalam industri itu.

Rahmahjan mahukan wajah-wajah wanita muda tempatan untuk memperagakan produk syarikatnya dalam iklan-iklan di media cetak dan katalog barangan.

“Itu memang menjadi hasrat saya dan itu jugalah antara sebab kenapa pertandingan ini dianjurkan. Saya berharap ramai wanita muda Sabah akan merebut peluang ini,” katanya.

Bidang peragaan adalah salah satu bidang yang amat sengit persaingannya.

Lantaran itu, JKHAN Model Search 2012 boleh menjadi titik tolak bagi wanita-wanita muda tempatan yang berminat untuk memulakan langkah dalam bidang ini dengan cara yang berkesan.

Pertandingan itu terbuka kepada wanita Malaysia berumur antara 18 dan 25 tahun.

“Pengalaman bukan satu syarat dalam pertandingan ini kerana JKHAN mencari seseorang yang mempunyai kualiti seorang bintang dan memiliki personaliti hebat.

“Mereka akan dibentuk untuk menjadi model yang akan membawa jenama kami ke pentas dunia,” kata Rahmahjan.

“Saya suka membayangkan model-model saya mempunyai ‘Kadazan-look’ tapi tidak bermakna gadis dari bangsa lain di Sabah tidak ada peluang.

“Cuba saja dan kami akan nilai nanti berdasarkan kriteria yang kami gariskan,” katanya.

Sepuluh model yang terpilih dalam pencarian itu akan menandatangani kontrak peragaan selama setahun dengan JKHAN dan salah seorang daripada mereka akan menjadi duta jenama itu, yang semakin menempa nama di negara ini dan di peringkat antarabangsa termasuk di Paris dan United Kingdom.

Selain kontrak, pemenang juga akan menerima hadiah wang tunai, dandanan rambut, peluang bekerjasama dengan jurugambar tersohor (Wan Izhar), barangan mekap serta beg barangan JKHAN, antara lain.

“Sepanjang tahun, kerjaya peragaan mereka akan dirangka dengan teliti dan dipacu oleh pelbagai peluang termasuk sesi bergambar yang dikendalikan secara profesional dan pertemuan dengan agensi modeling terkenal,” tambahnya.

Borang penyertaan boleh diperolehi di pejabat JKHAN di KK Times Square, Kota Kinabalu.

Penyertaan dalam pertandingan ini adalah percuma.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 088-487468 untuk maklumat lanjut atau melawat laman facebook JKHAN.

Setakat ini, JKHAN mempunyai himpunan lebih 50 produk, kebanyakannya beg tangan dan pakaian, yang diterima baik di luar negara.


 

Saturday, 7 April 2012

Esther tangguh pemergian ke Surabaya gara-gara H151

Boyd PV
Harian Ekspres

PENYANYI Esther Applunius tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila terpaksa menangguhkan hasrat berhijrah ke Surabaya, Indonesia gara-gara wabak penyakit H151 yang dikesan berlaku di sana.

Esther dan sekumpulan pemuzik, Mixed Up Band, sepatutnya terbang ke Surabaya awal Mac lalu, malah Esther pernah berkongsi dengan peminatnya mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru di Surabaya berhubung wabak H151 tidak begitu memberangsangkan dan pemilik premis di mana mereka sepatutnya mengikat kontrak menyanyi menangguhkan urusan membawa Esther dan Mixed Up Band menyanyi di tempat itu atas sebab tersebut.

“Saya sangat kecewa kerana minda dan fizikal saya sudah saya fokuskan untuk bekerja dan menimba pengalaman menyanyi di sana.

“Tapi kami diberitahu mengenai perkembangan terbaru di Surabaya berhubung wabak H151 dan bakal majikan kami di Surabaya menangguhkan hasrat untuk membawa kami ke sana sehinggalah keadaan pulih,” katanya.

Esther ditemui ketika menjadi penyanyi undangan untuk menghiburkan tetamu majlis Makan Malam Amal Alumni UiTM Sabah 2012 di Magellan Sutera Harbour, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Esther berkongsi pentas dengan penyanyi/guru vokal Shafinaz Selamat, DJ Dave dan kumpulan Wan Rul Puppet dalam segmen hiburan majlis itu yang diceriakan oleh kemunculan Abu Bakar Ellah sebagai pengacara.

Esther pernah memberitahu peminatnya, dia berhasrat untuk meninjau peluang merakam single ketiganya serta mencari ruang untuk memasarkan bakatnya di Surabaya.

Penangguhan itu sekaligus bermakna Esther terpaksa menunggu lebih lama untuk muncul dengan single terbaru.

“Dan itu jugalah sebabnya kenapa saya sangat kecewa. Tapi saya percaya ada hikmah di sebalik semua ini.

“Sekurang-kurangnya, saya masih boleh bersama-sama keluarga dan peminat ketika menyambut Pesta Kaamatan tahun ini,” katanya sambil menambah, mereka akan ke Surabaya apabila keadaan mengizinkan kelak.


Rubisa jayakan album kompilasi penyanyi Sabah


Boyd PV
Harian Ekspres

DITEMUI dalam satu majlis pelancaran album artis tempatan di Kota Kinabalu baru-baru ini, alumni Akademi Fantasia, Rubisa Tiasin berkata dia sedang bekerjasama dengan beberapa penyanyi tempatan untuk menyiapkan sebuah album kompilasi.

Penyanyi single Jangan Bilang Siapa-Siapa itu memberitahu projek tersebut menumpukan kepada genre fusion R&B dan Irama Malaysia yang diwarnai dengan cita rasa tempatan.

“Projek ini menarik perhatian saya dan saya rasa terpanggil untuk terbabit di dalamnya,” kata Rubisa yang kini menetap di Selangor.

Antara penyanyi lain yang terbabit dalam album itu ialah Terry Peter dan Evron Tsai.

Menurut Terry, yang turut ditemui pada majlis sama, album itu sudahpun 50 peratus siap dan dijangka menemui peminat pada penghujung tahun ini.

Gambar menunjukkan Rubisa bersama Terry (tengah) dan Evron ketika menghadiri majlis pelancaran album sulung Fabian William berjudul Id Pagandadan di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu baru-baru ini. 

Showcase AK-PAAS meriah

ARTIS-ARTIS AK-PAAS dan tetamu mengiringi persembahan Marcel Gatisi  dalam lagu Numbur Bah.

Boyd PV
Harian Ekspres

MAJLIS pra-pelancaran Album Kompilasi-Projek Amal Artis Sabah (AK-PAAS) yang berlangsung di BB Café, Jalan Gaya, Kota Kinabalu baru-baru ini menyaksikan sokongan yang menggalakkan daripada peminat dan pengunjung premis itu termasuk pelancong luar.

Sepanjang tempoh dua jam acara itu berlangsung, penonton dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu dari album AK-PAAS secara live oleh artis-artis terbabit.

Showcase itu diadakan lebih kepada memperkenalkan album amal itu serta artis-artis terbabit sementara menunggu majlis pelancaran yang belum ditetapkan tarikhnya.

Acara bermula dengan ucapan alu-aluan daripada komposer/penerbit album itu, Nick Tudol.

Nick 
“Projek ini telah membuka mata banyak pihak dan mereka menyokong penerbitan album ini kerana hati mereka tersentuh dengan keprihatinan artis-artis tempatan kita terhadap anggota masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau juga berharap penerbitan album amal itu akan menjadi perintis kepada usaha membantu golongan memerlukan melalui bakat-bakat nyanyian artis-artis tempatan.

“Saya berharap projek ini akan terus mendapat sokongan daripada pendengar. Ini penting agar kita dapat sama-sama berganding bahu dalam usaha membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Nick mengulangi bahawa sebahagian daripada hasil jualan album itu kelak akan disumbangkan kepada golongan memerlukan yang telah dan akan mereka tentukan.

“Pada 7 April nanti (Sabtu), artis-artis AK-PAAS akan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada dua buah keluarga masing-masing di Kampung Kopimpinan dan Kg Tanaki di Papar,” katanya.

Pada 14 April pula, artis-artis AK-PAAS dijadual melakukan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Pencegahan Keganasan Terhadap Haiwan, Kota Kinabalu (SPCAKK) bagi membantu usaha persatuan itu membela nasib haiwan-haiwan terbiar dan dianiaya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Datuk Ayub Aman, Datuk Hajiji Bin Haji Mohd. Noor, Datuk Seri Hj. Ghulam M. Sayeed (Sayfol International School Sabah), Dr. Florentius Epin Banaik, Chaw Cheng Vun, Kong Soon Yen dan isteri serta Robert Kamijan di atas sumbangan mereka dalam pembikinan album ini,” katanya.

Tirai persembahan dimulakan oleh Marcel Gatisi yang menyampaikan lagu Songkuro Pinodih.

Marcel memberikan komitmen yang baik walaupun suaranya kedengaran masih serak kerana menghidap demam.

Esther Clement Tubong kemudian mengambil alih pentas dengan lagu Au Ababasan disusuli lagu Sopirati-Rati oleh Lydia Kalidin.

Persembahan nyanyian diteruskan dengan lagu Linangkas Nu oleh Clarice John Matha dan lagu Murut Oko Yak Sangulun oleh Ryna Tongkooh.

Momentum persembahan menjadi semakin rancak apabila Ebi Kornelis mengambil alih pentas dengan iringan muzik akustik oleh kumpulan Mereejen.

Sebelum menyampaikan single bahasa Kadazan dari AK-PAAS, Hangadon Diau, Ebi menyanyikan lagu terbarunya, Sayang Sabah.

Ketika menyanyikan lagu itu, Ebi turun dari pentas untuk mengajak seorang pelancong luar menari bersamanya.

Rozza Rothman kemudian naik ke pentas untuk menyampaikan single Oupus Oku Diya disusuli Clarice Sipanul dengan lagu Pintutunan.

Gosip mengenai hubungan dingin kedua penyanyi ini atas sebab-sebab tertentu ternyata meleset apabila mereka memberikan pose mesra sambil berpelukan ketika diminta bergambar bersama.

Syra Gom kemudian mencuri tumpuan dalam lagu Tiad om Kaus Ku.

Momentum showcase itu tiba di kemuncaknya apabila Marcel kembali ke pentas untuk menyampaikan antara lagu hits dalam album itu, Numbur Bah.

Ruang hadapan pentas tampak meriah dengan artis AK-PAAS dan tetamu menari sumazau untuk mengiringi persembahan Marcel.

Teruja dengan kemeriahan itu, seorang penonton turut naik ke pentas menemani Marcel hampir sepanjang lagu itu dinyanyikan.

Usai persembahan Marcel, showcase itu diakhiri oleh nyanyian versi wanita lagu yang sama oleh Ryna dan Clarice J Matha.

Berlangsung dalam suasana santai dan menghiburkan, showcase itu selayaknya diberi pujian kerana kualiti persembahan keseluruhan artis-artis terbabit boleh dibanggakan walaupun masih ada ruang untuk peningkatan.

Mungkin disebabkan kesuntukan masa untuk membuat persediaan, ada di kalangan mereka ini masih merujuk kepada lirik walaupun menyanyikan lagu sendiri.


Pengacara majlis, Ateh Wildan, berjaya menyuntik suasana meriah kepada acara itu. Beliau mungkin banyak dibantu oleh pengalamannya menjadi penyampai di radio online Sapsaifm. Bagaimanapun, perasaan yakin itu baik tapi terlebih yakin akan membunuh mood penonton lebih-lebih lagi apabila mereka kerap dipaksa bertepuk tangan.

Secara keseluruhan, showcase itu boleh digambarkan sebagai berjaya mencapai matlamatnya memperkenalkan lagu-lagu dalam album itu sekaligus meraih lebih banyak sokongan untuk kerja amal yang mereka lakukan. Syabas!


NICK (depan, kanan) dan artis-artis AK-PAAS memperagakan album itu.
Bersama mereka ialah pengacara majlis, Ateh Wildan (depan, kedua dari kanan)
Esther Tubong dengan lagu Au Ababasan.
EBI mengajak seorang pelancong menari bersamanya ketika menyampaikan lagu Sayang Sabah.
DENGAN penuh penghayatan, Clarice J Matha menyampaikan lagu Linangkas Nu.

LYDIA mempromosikan album AK-PAAS.

Rozza (kanan) dan Clarice Sipanul memberikan pose istimewa .

RYNA menyuntik kelainan kepada showcase itu dengan lagu Murut, Oko Ya Sangulun.

EBI mengusik bos Sufiafm, Cassie.
ESTHER mengajak seorang pelancong untuk mengiringi persembahan Syra Gom.

Sebahagian daripada penonton yang menyaksikan showcase itu.






Friday, 6 April 2012

Ebi lebih bersedia untuk Mania

Ebi memperagakan album AK-PAAS
Boyd PV
Harian Ekspres

“KALAULAH saya menang di Mania, saya akan bagi separuh daripada hadiah kemenangan itu kepada mereka yang memerlukan. Ini sumpah saya... tapi ini tidak dapat saya buat kalau saya terkeluar dari Mania... Minta tolong sama kamu, sama-sama kita realisasikan apa yang saya mau buat ini. Insya’Allah... doakan dan undikan ya...”

Itu kandungan status Ebi Kornelis dalam rangkaian sosial Facebook.

Ebi nyata terdesak untuk merayu sokongan daripada peminat-peminatnya kerana saingannya dalam program realiti terbaru Astro, Mania, bukan calang-calang.

Mereka terdiri daripada artis-artis popular yang mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Bukan tidak yakin dengan kemampuan diri tapi persembahannya pada penampilan pertama di Mania mengundang kritikan dan polemik yang berpanjangan.

Isu “sujud” juga bagai melemahkan semangatnya.

Tapi Ebi enggan tunduk kepada keadaan.  Belajar dari kesilapan adalah langkah pertamanya untuk bertahan dalam Mania.

“Saya akui persembahan saya pada kemunculan pertama di Mania tidak bagus. Bukan mahu memberi alasan tapi hakikatnya, saya kurang bersedia untuk menyanyikan lagu itu. Rehat tidak cukup kerana terpaksa bersengkang mata untuk meraih undian.

“Kali ini, saya lebih bersedia dari segala sudut dan mengharapkan penyokong akan memberi peluang kepada saya untuk terus bertahan di Mania,” akui penyanyi dan pelakon ini.

Dia diminta oleh M. Nasir untuk berlari sambil menyanyi bagi membantu pernafasannya.
“Itu sudah saya lakukan dua hari lepas. Memang memenatkan tapi ia banyak membantu,” katanya ketika ditemubual usai persembahannya pada acara pra-pelancaran Album Kompilasi-Program Amal Artis Sabah di BB Café, Jalan Gaya, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Awal minggu ini, Ebi melalui sesi bersama guru vokal, Cikgu Shafi, selain latihan rutin yang tidak berkesudahan untuk memantapkan kawalan vokalnya.

Ketika dihubungi di Kuala Lumpur pada Rabu, Ebi baru selesai menghadiri kelas vokal.

“Malam ini saya ada latihan bersama Dato' M. Nasir di studio Luncai Emas,” katanya.

Ebi mengakui dia perlu bekerja keras untuk terus bertahan di Mania dan kerana itu dia memohon sokongan daripada peminat dan penyokongnya di Sabah.

“Kalau saya bertahan lama dalam Mania, saya akan bawa juga lagu-lagu Sabah. Ini janji saya. Tolonglah undi saya supaya saya boleh bawa lagu-lagu tempatan Sabah di Mania,” kata Ebi dalam satu lagi status akaun Facebooknya.

Berkat sokongan peminat dan rakan-rakannya, semakan dalam laman sesawang www.mania.com.my pada Rabu lepas menunjukkan Ebi berada di kedudukan teratas.

Tapi usah terlalu yakin dengan paparan maklumat itu kerana ia boleh berubah sekelip mata. Tambahan lagi, masih ada sehari untuk peminat menghantarkan undian untuk menyokong artis pilihan mereka yang bertanding di Mania. Maka, perubahan kedudukan itu pada saat akhir adalah sesuatu yang memang dijangka.

Selain Ebi, Mania turut menampilkan Atilia, Adira, kumpulan Estranged, Hafiz, Stacy, Jaclyn Victor, Akim, Shila, kumpulan Kristal, Hazama, Aril, Chaq, Alyah dan Awi Rafael.

EBI menjalani raptai untuk lagu Menyesal.
“Program Mania pada Sabtu, 7 April adalah yang paling getir dan penting kerana ia akan menentukan sama ada saya terus bersaing di Mania atau tidak,” kata Ebi yang memilih lagu Menyesal dendangan Sixth Sense untuk dibawakan ketika konsert Battle itu berlangsung kelak.

Selain bidang nyanyian, Ebi juga semakin menyerlah dalam bidang lakonan apabila satu demi satu drama dan telefilem lakonannya disiarkan di kaca tv.

Petang ini (Jumaat) merupakan episod terakhir drama bersiri Puteri Salamia yang menggandingkan dia dengan Mardiana Alwi.

Dan Sabtu ini (7 April), telefilem Redha lakonannya akan menemui penonton TVi pada jam 12 tengahari.

Mengangkat nilai dan moral dalam masyarakat, Redha menggandingkan Ebi dengan pelakon dari Sarawak, Firdaus Affandi.


Telefilem genre melodrama yang mengisahkan persahabatan antara dua insan berlainan latar kehidupan itu turut dijayakan Azean Juzanty, Arbaya Suni dan Rodin Madun.

Mereka turut dibantu dua pelakon cilik berbakat, Aaron Frando Ujin dan Ruddy Giwol Selverinus Tiko selain Ramli Carlo, Sarah Diana Michele Durai dan Chole Nicole Majinbon, antara lain.

Dalam telefilem itu, watak Imal lakonan Ebi dimatikan di penghujung cerita.

Mampukah Ebi menjiwai watak berat itu? Jawapannya ada dalam Redha di TVi, 7 April ini.


Sunday, 1 April 2012

Double Take to perform at STS 13 April

DOUBLE TAKE... Roger and Mia


GUITARIST Roger Wang and jazz-pop songstress Mia Palencia, will perform in the Sabah Theological Seminary (STS) auditorium on April 13.

The concert in Kota Kinablu is a charity event in aid of the St. Simon Educational Complex Learning Centre. This Centre was formed to assist full-time pupils with various learning difficulties.

The Learning Centre covers all three schools in the St. Simon Educational Complex - the preschool, the primary and the secondary. Each section operates separately and will benefit according to need.

Principal of the Learning Centre, Datin Amy-Jean Yee, said, “These difficulties are not so severe that the pupil cannot attend a normal school but are such that he or she has considerable difficulty participating in normal classroom tasks for several subjects. These pupils need special help to cope with the demands of school work and the Centre aims to give them the education they need within a normal school environment.”

More details can be obtained from www.rogerwang.net or at telephone number 218395 / 431687. The SMS Hotline is 014-6844801.


Aura Syafinaz


SYAFINAZ Selamat menghiburkan tetamu dan ahli
Persatuan Alumni UiTM Sabah pada Majlis Makan Malam Amal  2012
alumni itu di Magellan Sutera Harbour pada Sabtu, 31 Mac 2012.