Friday 6 April 2012

Ebi lebih bersedia untuk Mania

Ebi memperagakan album AK-PAAS
Boyd PV
Harian Ekspres

“KALAULAH saya menang di Mania, saya akan bagi separuh daripada hadiah kemenangan itu kepada mereka yang memerlukan. Ini sumpah saya... tapi ini tidak dapat saya buat kalau saya terkeluar dari Mania... Minta tolong sama kamu, sama-sama kita realisasikan apa yang saya mau buat ini. Insya’Allah... doakan dan undikan ya...”

Itu kandungan status Ebi Kornelis dalam rangkaian sosial Facebook.

Ebi nyata terdesak untuk merayu sokongan daripada peminat-peminatnya kerana saingannya dalam program realiti terbaru Astro, Mania, bukan calang-calang.

Mereka terdiri daripada artis-artis popular yang mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Bukan tidak yakin dengan kemampuan diri tapi persembahannya pada penampilan pertama di Mania mengundang kritikan dan polemik yang berpanjangan.

Isu “sujud” juga bagai melemahkan semangatnya.

Tapi Ebi enggan tunduk kepada keadaan.  Belajar dari kesilapan adalah langkah pertamanya untuk bertahan dalam Mania.

“Saya akui persembahan saya pada kemunculan pertama di Mania tidak bagus. Bukan mahu memberi alasan tapi hakikatnya, saya kurang bersedia untuk menyanyikan lagu itu. Rehat tidak cukup kerana terpaksa bersengkang mata untuk meraih undian.

“Kali ini, saya lebih bersedia dari segala sudut dan mengharapkan penyokong akan memberi peluang kepada saya untuk terus bertahan di Mania,” akui penyanyi dan pelakon ini.

Dia diminta oleh M. Nasir untuk berlari sambil menyanyi bagi membantu pernafasannya.
“Itu sudah saya lakukan dua hari lepas. Memang memenatkan tapi ia banyak membantu,” katanya ketika ditemubual usai persembahannya pada acara pra-pelancaran Album Kompilasi-Program Amal Artis Sabah di BB Café, Jalan Gaya, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Awal minggu ini, Ebi melalui sesi bersama guru vokal, Cikgu Shafi, selain latihan rutin yang tidak berkesudahan untuk memantapkan kawalan vokalnya.

Ketika dihubungi di Kuala Lumpur pada Rabu, Ebi baru selesai menghadiri kelas vokal.

“Malam ini saya ada latihan bersama Dato' M. Nasir di studio Luncai Emas,” katanya.

Ebi mengakui dia perlu bekerja keras untuk terus bertahan di Mania dan kerana itu dia memohon sokongan daripada peminat dan penyokongnya di Sabah.

“Kalau saya bertahan lama dalam Mania, saya akan bawa juga lagu-lagu Sabah. Ini janji saya. Tolonglah undi saya supaya saya boleh bawa lagu-lagu tempatan Sabah di Mania,” kata Ebi dalam satu lagi status akaun Facebooknya.

Berkat sokongan peminat dan rakan-rakannya, semakan dalam laman sesawang www.mania.com.my pada Rabu lepas menunjukkan Ebi berada di kedudukan teratas.

Tapi usah terlalu yakin dengan paparan maklumat itu kerana ia boleh berubah sekelip mata. Tambahan lagi, masih ada sehari untuk peminat menghantarkan undian untuk menyokong artis pilihan mereka yang bertanding di Mania. Maka, perubahan kedudukan itu pada saat akhir adalah sesuatu yang memang dijangka.

Selain Ebi, Mania turut menampilkan Atilia, Adira, kumpulan Estranged, Hafiz, Stacy, Jaclyn Victor, Akim, Shila, kumpulan Kristal, Hazama, Aril, Chaq, Alyah dan Awi Rafael.

EBI menjalani raptai untuk lagu Menyesal.
“Program Mania pada Sabtu, 7 April adalah yang paling getir dan penting kerana ia akan menentukan sama ada saya terus bersaing di Mania atau tidak,” kata Ebi yang memilih lagu Menyesal dendangan Sixth Sense untuk dibawakan ketika konsert Battle itu berlangsung kelak.

Selain bidang nyanyian, Ebi juga semakin menyerlah dalam bidang lakonan apabila satu demi satu drama dan telefilem lakonannya disiarkan di kaca tv.

Petang ini (Jumaat) merupakan episod terakhir drama bersiri Puteri Salamia yang menggandingkan dia dengan Mardiana Alwi.

Dan Sabtu ini (7 April), telefilem Redha lakonannya akan menemui penonton TVi pada jam 12 tengahari.

Mengangkat nilai dan moral dalam masyarakat, Redha menggandingkan Ebi dengan pelakon dari Sarawak, Firdaus Affandi.


Telefilem genre melodrama yang mengisahkan persahabatan antara dua insan berlainan latar kehidupan itu turut dijayakan Azean Juzanty, Arbaya Suni dan Rodin Madun.

Mereka turut dibantu dua pelakon cilik berbakat, Aaron Frando Ujin dan Ruddy Giwol Selverinus Tiko selain Ramli Carlo, Sarah Diana Michele Durai dan Chole Nicole Majinbon, antara lain.

Dalam telefilem itu, watak Imal lakonan Ebi dimatikan di penghujung cerita.

Mampukah Ebi menjiwai watak berat itu? Jawapannya ada dalam Redha di TVi, 7 April ini.


No comments:

Post a Comment