Thursday 12 April 2012

Somporing Philipus diiktiraf sebagai produk Malaysia

PHILIPUS (kedua dari kiri) bergambar kenangan bersama Muhyiddin (ketiga dari kiri)
dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,  Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili (tengah)
serta penerima Anugerah Pengiktirafan Inovasi Akar Umbi yang lain
termasuk Wasinah (kiri) dan Hamid (ketiga dari kanan).  –  fotoBERNAMA 

Boyd PV
Harian Ekspres

TARIKH 9 April 2012 pasti akan menjadi tarikh keramat bagi anak kelahiran Tambunan, Philipus Jani, kerana pada tarikh itu, alat muzik somporing yang mula diciptanya hampir 19 tahun lalu akhirnya diiktiraf sebagai produk Malaysia dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

SOMPORING berbeza saiz yang dihasilkan Philipus.
Philipus, 43, adalah salah seorang daripada lapan penerima Anugerah Pengiktirafan Inovasi Akar Umbi sempena Majlis Perasmian Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012).

Anugerah itu yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berkunjung ke pejabat percetakan Harian Ekspres di Tanjung Aru Rabu lepas, Philipus bersyukur kerana akhirnya somporing yang diciptanya itu mendapat pengiktirafan tertinggi.

“Sudah lama saya menantikan detik itu kerana saya percaya somporing yang saya cipta boleh pergi jauh jika saya mendapat bantuan, bimbingan dan sokongan sewajarnya daripada kerajaan.

“Saya bersyukur kerana akhirnya kerja keras saya sejak berbelas tahun lalu mendapat perhatian dan pengiktirafan,” katanya.

Somporing adalah sejenis alat muzik menyerupai saksofon dan dimainkan seperti saksofon. Bezanya, ia yang diperbuat sepenuhnya daripada bambu.

Dengan pengiktarafan itu, Philipus boleh menarik nafas lega kerana impiannya untuk membesarkan atau sekurang-kurangnya menaiktaraf bengkelnya yang ketika ini hanya berkeluasan 18 kaki x 12 kaki di Kampung Kepayan Lama, Tambunan akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Penerima anugerah ditawarkan geran untuk meningkatkan perusahaan termasuk menambahbaik premis serta pembelian peralatan yang lebih moden untuk menghasilkan produk.

“Selain dibimbing dari segi R&D, kami juga akan dibantu untuk memasarkan produk ke luar negara,” jelas Philipus mengenai ganjaran yang bakal diperolehinya susulan pengiktirafan somporing sebagai produk Malaysia. 

Philipus mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kerana memperkenalkan program Jejak Inovasi yang akhirnya menemui somporing buatannya ketika program itu mengadakan jelajah mereka di Sabah 17 hingga 19 Julai menerusi Siri II, tahun lalu.

Memulakan usahanya pada tahun 1993, Philipus akhirnya berjaya menghasilkan somporing pertamanya 12 tahun kemudian, iaitu pada 2005, setelah berdepan kegagalan demi kegagalan.

Penglibatan Philipus sebagai pembuat somporing bermula secara kebetulan apabila dia berpeluang meminjam sebuah saksofon loyang daripada rakannya. Kisah itu sudah 19 tahun berlalu.

“Selepas beberapa hari, saya perlu memulangkan saksofon itu tapi pada masa sama saya sudah jatuh cinta dengan alat muzik tersebut.

“Kerana tidak mampu membelinya memandangkan harganya yang sangat mahal, saya mula mencari jalan untuk menghasilkan saksofon saya sendiri.

“Selepas 12 tahun melakukan R&D (penyelidikan dan pembangunan) dan inovasi, saya akhirnya berjaya menghasilkan saksofon buluh yang saya panggil “somporing”. Ia boleh mengeluarkan bunyi hampir serupa dengan saksofon dari nada A hingga G major,” katanya.

PHILIPUS (kanan) ketika membuat persembahan di Jepun.
Produk ciptaannya itu bukan sahaja berjaya menarik pengkaji muzik, profesor universiti dan peminat muzik seluruh negara tetapi juga telah membawa Philipus ke Kagoshima, Jepun sempena Festival Asean membabitkan 11 buah negara pada September 2010.

Ilhamnya itu juga telah membawa rezeki sampingan melalui kontrak persembahan kumpulan muzik buluh yang dibentuknya, Bambooza Exotica, di beberapa tempat di sekitar ibu negeri.

Tapi lebih menyuntik semangat Philipus, somporing yang dihasilkannya menerima banyak tempahan khususnya daripada sekolah-sekolah di Sabah dan orang perseorangan.
Selain somporing, bengkelnya turut menghasilkan seruling, dram dan gitar elektrik daripada buluh, antara lain.

“Saya menggunakan buluh Malui kerana ia lebih tahan dan boleh menghasilkan bunyi yang lebih baik. Buluh jenis lain seperti Rugading juga menghasilkan bunyi yang jelas. Masalahnya, ia cepat rosak,” jelasnya.

“Bercakap secara umum, apabila kita telah yakin dengan rekaan yang kita hasilkan, teruskan berusaha melakukan inovasi demi inovasi sehingga kita dapat menghasilkan satu produk yang berkualiti dan menonjolkan kelainan.

“Kita fikirkan satu produk yang boleh digunakan secara praktikal dalam kehidupan dan tidak sekadar mengisi ruang almari perhiasan.

“Apabila bercakap mengenai inovasi, kegagalan kerap mengiringi usaha awal kita. Itu perkara biasa. Tetapi jika kita terus cekal dan yakin dengan ciptaan yang kita hasilkan, percayalah, suatu hari nanti usaha kita pasti akan berjaya.

“Dalam apapun yang kita lakukan, kita perlu fokus dan komited,” katanya.

Sementara itu, berucap pada majlis penyampaian itu, Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata kerajaan menyediakan pelbagai pengiktirafan bertujuan memupuk minat anak muda dan warga Malaysia ke arah menyumbang idea-idea terbaik bagi menggalakkan inovasi.

Ini termasuk Anugerah Inovasi Negara, Anugerah Inovasi Perdana Menteri, Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam, Anugerah Saintis Muda Negara dan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA). 
 
“Penekanan kerajaan terhadap inovasi telah menghasilkan 310 produk daripada 1,862 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan berjaya dipasarkan di dalam dan luar negara.

“Bagi tempoh 2008 hingga 2011, 13,213 permohonan dana berjumlah RM7.34 bilion telah diterima, dan sejumlah RM1.59 bilion telah diluluskan untuk membiayai 2,029 projek,” katanya.

Dana-dana R&D tersebut dibuka kepada syarikat industri kecil dan sederhana, institusi penyelidikan serta institusi pengajian tinggi meliputi sektor ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), bioteknologi, industri, teras sains dan teknologi dan ‘Sea to Space’.

Kerajaan melalui MOSTI memperuntukkan RM2.2 bilion untuk R&D di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

“Selain pemberian geran, kerajaan juga menyokong peningkatan keupayaan R&D negara melalui pembangunan modal insan dalam bidang penyelidikan. Ini dibuat melalui skim-skim biasiswa yang ditawarkan menerusi Program Pembangunan Modal Insan,” jelasnya. 

SGI2012 diwujudkan untuk menyemarakkan penyebaran budaya sains dan inovasi di negara ini.

Selain Philipus, dua lagi anak kelahiran Sabah yang turut menerima Anugerah Pengiktirafan Inovasi Akar Umbi pada majlis itu ialah Hamid Jasmin dari Tambunan yang menghasilkan projek hidro mini untuk menjana tenaga elektrik di sekitar kampungnya dan Wasinah Kuntagi, juga di Tambunan, yang menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan ‘Tuhau’.

PHILIPUS bersama ibunya, Salukim Gidong, ketika
berkunjung ke pejabat Harian Ekspres di Tanjung Aru.



No comments:

Post a Comment