Saturday 7 April 2012

Esther tangguh pemergian ke Surabaya gara-gara H151

Boyd PV
Harian Ekspres

PENYANYI Esther Applunius tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila terpaksa menangguhkan hasrat berhijrah ke Surabaya, Indonesia gara-gara wabak penyakit H151 yang dikesan berlaku di sana.

Esther dan sekumpulan pemuzik, Mixed Up Band, sepatutnya terbang ke Surabaya awal Mac lalu, malah Esther pernah berkongsi dengan peminatnya mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru di Surabaya berhubung wabak H151 tidak begitu memberangsangkan dan pemilik premis di mana mereka sepatutnya mengikat kontrak menyanyi menangguhkan urusan membawa Esther dan Mixed Up Band menyanyi di tempat itu atas sebab tersebut.

“Saya sangat kecewa kerana minda dan fizikal saya sudah saya fokuskan untuk bekerja dan menimba pengalaman menyanyi di sana.

“Tapi kami diberitahu mengenai perkembangan terbaru di Surabaya berhubung wabak H151 dan bakal majikan kami di Surabaya menangguhkan hasrat untuk membawa kami ke sana sehinggalah keadaan pulih,” katanya.

Esther ditemui ketika menjadi penyanyi undangan untuk menghiburkan tetamu majlis Makan Malam Amal Alumni UiTM Sabah 2012 di Magellan Sutera Harbour, di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Esther berkongsi pentas dengan penyanyi/guru vokal Shafinaz Selamat, DJ Dave dan kumpulan Wan Rul Puppet dalam segmen hiburan majlis itu yang diceriakan oleh kemunculan Abu Bakar Ellah sebagai pengacara.

Esther pernah memberitahu peminatnya, dia berhasrat untuk meninjau peluang merakam single ketiganya serta mencari ruang untuk memasarkan bakatnya di Surabaya.

Penangguhan itu sekaligus bermakna Esther terpaksa menunggu lebih lama untuk muncul dengan single terbaru.

“Dan itu jugalah sebabnya kenapa saya sangat kecewa. Tapi saya percaya ada hikmah di sebalik semua ini.

“Sekurang-kurangnya, saya masih boleh bersama-sama keluarga dan peminat ketika menyambut Pesta Kaamatan tahun ini,” katanya sambil menambah, mereka akan ke Surabaya apabila keadaan mengizinkan kelak.


No comments:

Post a Comment