Wednesday 8 June 2011

Toman 3.4kg bernilai RM2,500

JULITA bersama Aaron (kedua dari kiri), Marzuki (kiri) dan Donald
Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

MEMBAKUT: Cuaca panas terik di Membakut Sabtu lalu tidak melemahkan semangat 170 pemancing untuk memburu ikan toman dengan berat sekurang-kurangnya 8kg di Tasik Membakut yang membolehkan mereka memenangi hadiah "jackpot" bernilai RM4,000 dalam pertandingan memancing Cabaran Toman Tasik Membakut Siri Ke-3 Edisi 2011 anjuran Membakut Lake Eko Resort.

Menjelang tengahari, penganjur menurunkan berat ikan sasaran kepada hanya 5kg apabila belum ada seorangpun pemancing berjaya mendaratkan toman gergasi yang dipercayai menghuni tasik seluas 40 ekar itu.

Namun, sehingga isyarat penamat dibunyikan tepat jam 2 petang, tiada peserta yang berjaya mendaratkan ikan sasaran berkenaan.

Bagaimanapun, toman seberat 3.4kg yang didaratkan sebelum matahari tegak di atas kepala oleh pemancing dari Papar, Aaron Jilip, membolehkan beliau pulang dengan hadiah pertama bernilai RM2,500.

Tempat kedua dimenangi Marzuki Hj Keria dari Putatan dengan tangkapan toman seberat 3.34kg. Beliau menerima hadiah wang tunai RM1,500.
SEBAHAGIAN daripada 64 ekor toman yang didaratkan.
Toman seberat 3.2kg yang didaratkan oleh pemancing dari Kota Kinabalu, Donald Ayau memberikan wang tunai RM900 kepadanya.

Ketiga-tiga mereka turut menerima trofi dan barangan memancing.

Penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai kepada empat pemancing di tempat keempat hingga ketujuh selain pemancing paling pantas mendaratkan ikan dan pemancing yang mendaftarkan jumlah tangkapan terbanyak.

Menurut wakil penganjur, Julita Osman Reuben, 64 ekor ikan toman pelbagai saiz didaratkan sepanjang acara enam jam itu berlangsung.

Dianjurkan untuk tahun ketiga berturut-turut, cabaran memancing itu menarik penyertaan pemancing-pemancing tegar dari seluruh Sabah termasuk dari Kudat, Keningau, Labuan, Kota Kinabalu, Papar, Beaufort dan di sekitar kawasan ladang seluas 3,000 ekar yang menempat tasik buatan terbesar di Sabah itu.



SEMUA pemenang mengabadikan kenangan di akhir acara penyampaian hadiah.

SEORANG peserta menikmati keindahan alam semulajadi di Membakut Fishing Lake yang mendamaikan.

Bahagian tengah Membakut Fishing Lake yang mempunyai keluasan 40 ekar.



Donald bersama toman lapar yang membaham isi ikan basung seawal jam 9.15 pagi.


Seorang kanak-kanak dilihat turut mengiringi bapanya ke pertandingan memancing tahunan itu.
  .

1 comment:

  1. nahhh ni kali lar...kanapatan owh eskimo sasat d membakut...muahahahahah

    ReplyDelete