Saturday 11 June 2011

Rey dilamar Suria fm Sabah

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

SEMAKIN ramai artis melebarkan sayap kerjaya dengan menyertai bidang penyiaran sebagai DJ selebriti di stesen-stesen radio di seluruh negara. 

Terbaru, juara Suara Emas Bintang RTM 2007 Reynaldo Pagie @ Rey menerima lamaran stesen radio popular Suria fm Sabah untuk mengendalikan slot Suria Pagi Kinabalu dari jam 6 pagi hingga 10 pagi bermula Isnin, 13 Jun.

Sejak awal minggu ini, Rey kerap dilihat keluar masuk konti Suria fm di 1Borneo untuk menjalani latihan intensif meskipun pada masa yang sama, dia perlu membahagikan masa untuk melunaskan beberapa komitmen persembahan pentas yang telah dipersetujui lebih awal.

"Saya akui sedikit kalut kerana terpaksa bergegas ke sana-sini dan pada masa sama perlu menjalani latihan di konti Suria fm Sabah untuk persediaan muncul sebagai penyampai radio bermula Isnin ini.

“Pun begitu, saya sebenarnya tidak sabar untuk mula bersiaran, berkenalan dan berceloteh dengan pendengar-pendengar setia Suria fm Sabah,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Bagaimanapun, dalam keterujaannya itu, dia mengakui debaran yang mengisi ruang hatinya tatkala memikirkan bagaimana harus dia mengharungi hari pertama bertugas di konti kelak.

“Kemahiran teknikal sedikit menggusarkan saya. Walaupun telah menjalani latihan, saya masih kurang berkeyakinan untuk mengendalikan peralatan yang kelihatan sangat kompleks. Tambahan lagi, dalam sebuah program yang ke udara secara langsung, apa pun boleh berlaku.

“Kerana itu saya mohon pendengar memaafkan saya jika saya tersilap tekan butang,” katanya sambil ketawa.

Tapi Rey yakin, lama-kelamaan dia akan dapat menguasai kemahiran teknikal itu serta kemahiran-kemahiran lain yang diperlukan untuk menjadi seorang penyampai berkualiti.

“Saya bersyukur kerana mendapat bimbingan daripada Othoe dan Dudu, serta kakitangan teknikal di Suria fm Sabah. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Bagaimana Rey boleh terbabit dengan Suria fm Sabah?

“Awal tahun ini, saya dan ratusan yang lain menghadiri uji bakat untuk menjadi penyampai radio di Suria fm Sabah. Dan nasib menyebelahi saya apabila nama saya berada dalam senarai pendek untuk pemilihan akhir.

“Sebenarnya, Suria fm pernah menawarkan kepada saya untuk menjadi penyampai mereka. Itu berlaku agak lama dulu ketika saya masih menetap di KL dan Suria fm Sabah pula masih bersiaran dari konti di sana.

“Tapi bukan rezeki saya untuk bersama mereka ketika itu disebabkan jadual saya yang sangat ketat.

“Saya bersyukur kerana tawaran itu datang lagi selepas saya kembali memusatkan kerjaya saya di sini dan Suria fm Sabah sendiri beroperasi dari 1Borneo,” kata Rey yang masih ligat memenuhi pelbagai undangan menyanyi walaupun agak sepi dari sebarang publisiti.

Menurut Rey, dia tidak nampak bagaimana kerjaya barunya sebagai penyampai radio akan menjejaskan aktiviti seninya serta kelas muzik dan vokal yang dikendalikannya.

“Apa yang penting, saya perlu bijak membahagikan masa. Lagipun, kebanyakan undangan menyanyi biasanya hadir pada hujung minggu dan saya pula akan bertugas di konti dari Isnin hingga Jumaat.

“Jadi, dari segi itu, saya tidak nampak percanggahan. Tapi saya percaya pihak pengurusan akan bersikap memahami sekiranya timbul keadaan-keadaan di mana saya terpaksa meninggalkan tugas di konti untuk memenuhi undangan menyanyi di luar Sabah,” kata bekas penuntut Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini.

“Mengenai kelas yang saya kendalikan, sedikit rombakan jadual waktu mungkin perlu untuk disesuaikan dengan jadual kerja saya di Suria fm Sabah. Tapi saya fikir itu bukan satu masalah,” katanya.

Apapun, kata Rey, dia berharap pendengar-pendengar setia Suria fm Sabah akan dapat menerima kehadirannya bersama-sama dengan Othoe, Dudu dan Velvet.

“Sebagai orang baru dalam bidang penyiaran, saya harap pendengar setia Suria fm Sabah akan dapat memberi sokongan kepadanya.

“Saya pasti ada pendengar yang akan membandingkan penyampaian saya dengan Othoe atau Dudu mahupun Velvet atau mana-mana penyampai radio yang lain.

“Tapi saya mohon diberi ruang dan peluang untuk mencari identiti sendiri,” katanya.

Rey pernah mendapat liputan meluas di akhbar selepas menjuarai pertandingan Suara Emas Bintang RTM pada tahun 2007.

Dan pada 2008, dia mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asean apabila meraih pingat emas bagi kategori lagu rakyat di Festival Melodi Emas Asean di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

Anak kelahiran Tuaran berumur 24 tahun ini juga pernah muncul dengan single Bicara Cinta yang dimuatkan dalam projek album kompilasi terbitan RTM dan pada 2010 dia tampil dengan sebuah album penuh bahasa tempatan berjudul Ikoyu Tudan Pomusarahan Ku.

Selain Rey, Dudu (Lotter Edwin) dan Velvet, artis Sabah lain yang melebarkan kerjaya dalam bidang penyiaran sebagai penyampai radio ialah Ebi Kornelis (Sabah fm), Alvin Infinatez, Felix Agus serta pelakon tempatan Ramli Carlo. Ketiga-tiga mereka menjadi nadi di KK fm.

No comments:

Post a Comment