Monday 20 June 2011

Program disusun ikut cita rasa pendengar tempatan, kata bos Suria FM



Boyd PV

KOTA KINABALU: Semua program yang diterbitkan di Suria FM Sabah adalah hasil kajian yang dilakukan oleh badan profesional bebas bersama pendengar-pendengar radio dari semua radio tempatan.

Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Azrullah Mohd Nor, berkata program-program itu disusun mengikut cita rasa pendengar tempatan seperti yang dicadangkan oleh jawatankuasa tersebut melalui beberapa siri kaji selidik yang dilakukan tahun lepas.

Azrullah

"Sebanyak 700 buah lagu-lagu tempatan yang dipilih sendiri oleh penyampai radio Suria FM Sabah yang juga pendengar radio tempatan telah diuji melalui proses kaji selidik tersebut.

"Melalui hasil keputusan kaji selidik tersebut, itulah lagu-lagu yang dimainkan di radio Suria FM Sabah ketika ini.

"Proses kaji selidik ini juga dilakukan berterusan setiap bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Azrullah juga menegaskan bahawa pihaknya kini dalam proses menerbitkan lagi program-program tempatan yang bersesuaian berdasarkan cita rasa pendengar Sabah yang berbilang kaum.
"Malahan kakitangan Suria FM Sabah termasuk penyampai radio dari kalangan penduduk tempatan termasuk eksekutif muzik yang akan dilantik bagi menguruskan penyusunan lagu-lagu yang akan dimainkan berdasarkan kaji selidik tersebut," katanya.

Dalam kenyataan singkat itu, Azrullah mengucapkan jutaan terima kasih kepada DJ Othoe di atas sumbangannya selama tiga tahun di stesen tersebut dan mengharapkan agar beliau akan lebih berjaya pada masa akan datang.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kesemua pendengar radio tempatan Suria FM Sabah dan juga pelanggan yang selama ini tanpa berbelah bagi telah menyokong Suria FM Sabah.

"Kami akan memastikan Suria FM Sabah akan bersama-sama memainkan peranan sebagai satu platform bagi memajukan industri muzik tempatan dan juga penyiaran," katanya.

DJ Othoe sebelum ini mendakwa hala tuju Suria FM Sabah tidak lagi selari dengan matlamatnya untuk membantu memartabatkan industri muzik tempatan melalui penyiaran lagu-lagu tempatan Sabah.

Perkembangan itu mendorong penyampai paling kanan di Suria FM Sabah itu untuk meninggalkan stesen radio berkenaan, baru-baru ini.

Suria FM telah bertapak di dalam industri penyiaran radio di Malaysia sejak lima tahun lalu dan melancarkan studionya di Kota Kinabalu Mac lalu.

Farish Aziz

Sementara itu, Hiburan Ekspres difahamkan bahawa Farish Aziz akan menyertai Dudu, Velvet dan Rey sebagai penyampai di stesen radio berkenaan.
Pelakon/pengacara itu digandingkan dengan Dudu untuk mengendalikan slot Sampaikan Sabah sejak minggu lepas.

Bagaimanapun, perancangan sedang dibuat untuk menggandingkan Farish dan Rey untuk slot Suria Pagi Kinabalu.

Selain Farish, seorang lagi selebriti dijangka akan menyertai Suria fm Sabah.

Suria fm Sabah juga khabarnya sedang dalam perancangan untuk melanjutkan waktu siarannya sehingga jam 4 petang.



No comments:

Post a Comment