Tuesday 14 June 2011

Pengurusan Suria fm tidak faham kehendak pendengar di Sabah: Othoe

SEPERTI yang pernah diwar-warkan sebelum ini, berikut adalah laporan penuh temu bual rakan wartawan Ricardo Unto (thanks dude!) dengan Othoe @ Andrew Impongan dalam satu pertemuan di Kota Kinabalu Ahad lepas (12 Jun 2011) mengenai keputusan personaliti radio popular itu untuk meninggalkan Suria fm.

      Dalam temu bual lebih sejam itu, Othoe menjelaskan secara terperinci kenapa dia mengambil keputusan nekad itu ketika namanya sedang meniti puncak dan perancangannya selepas ini.

      Othoe juga mengulas mengenai pembabitan Juara Bintang RTM 2007, Reynaldo Pagie @ Rey sebagai penggantinya untuk slot Suria Pagi Kinabalu.

      Ikuti luahan hati Othoe….

************************************************


Teks dan gambar oleh Ricardo Unto
(facebook.com/riqiriqi)



KEPUTUSAN sudah dibuat... tiada apa lagi yang mampu menggoncang pendirian Othoe, 36, daripada mengundur diri sebagai penyampai radio untuk slot Suria Pagi Kinabalu di Suria FM.

Bermula minggu ini, menurut Othoe yang ditemui Ahad lepas, dia tidak lagi mengendalikan slot kegemaran ramai itu.

"Saya menghargai dan berasa kasihan terhadap pendengar setia saya, tapi apa boleh buat? Walaupun sukar, saya rasa ini adalah jalan terbaik bagi saya," jelasnya.

Katanya, keputusan untuk keluar daripada Suria FM sudah terbit di benaknya kira-kira sebulan sebelum Suria FM mendarat di Sabah.

"Sebulan saya tidak bersiaran (ketika itu)... tapi bila Suria FM membuka studio di sini, hati saya terbuka untuk memberi peluang kedua kepada pihak pengurusan.

"Saya benar-benar berharap aturan yang mereka rancang untuk dilaksanakan di Sabah tidak akan dibuat, dan mengekalkan sistem sebelum ini," ujar pemilik nama sebenar Andrew Impongan ini.

Namun, bagai menunggu kucing bertanduk, harapannya tidak termakbul.

"Sistem yang digunapakai sekarang adalah berbeza dengan apa yang diaplikasi ketika Suria FM Sabah bersiaran di KL dahulu.

"Salah satu daripadanya adalah 'kuasa' pemilihan dan pengaturan lagu, yang dahulunya 100 peratus terletak di tangan saya."

Kini, pemilihan lagu, menurut Othoe, dilakukan sepenuhnya oleh pihak pengurusan dan "penyampai radio tidak mempunyai kuasa untuk berkata 'tidak'."

Pemilihan lagu yang dibuat, selain 'kurang menyelerakan', kata Othoe, ia juga tiada kepelbagaian.

"Sejak Mac, lagu-lagu yang dimainkan di Suria FM tidak berubah. Kalau bukan dimainkan dalam slot saya, lagu itu akan dimainkan dalam slot seterusnya – Sampaikan Sabah. Playlist itu seolah-olah hanya diputar-putar.

"Cuba bayangkan... ada ribuan lagu dalam pangkalan data, tapi yang dipilih untuk diputarkan hanya beberapa buah saja. Dan setiapkali waktu siaran, yang dipilih hanya nyanyian artis tertentu sahaja, yang bezanya hanya lagu yang dibawakan. Bukan ada seorang dua artis saja di Sabah."

Lanjutnya lagi, dahulu Suria FM menjadi platform bagi artis-artis Sabah melakar populariti dan juga dilabel sebagai stesen radio yang memainkan lagu-lagu Sabah terkini, namun sekarang 'kejuaraan' itu sudah dirampas oleh stesen radio lain.

"Stesen-stesen radio lain sebenarnya memerhati rapat Suria FM. Mereka jadikan Suria FM sebagai benchmark untuk dilangkaui dari segi penyiaran lagu-lagu Sabah.

"Dahulu, katakan saya diberikan lagu baru hari ini, saya boleh memainkan lagu tersebut keesokan harinya. Sekarang, tiada satupun lagu baru yang dihantar sejak Mac diputarkan."

Kekecewaannya terhadap sistem baru ini mencapai klimaksnya minggu lepas apabila Othoe menerima pesanan daripada pihak pengurusan yang memaklumkan bahawa "semua penyampai radio tidak boleh mengubah atau tidak memainkan lagu-lagu yang dimasukkan di dalam senarai lagu.

"Kami macam robot... mainkan lagu, bercakap, mainkan lagu, bercakap... untuk klik 'stop' atau 'skip' pun tidak boleh. Jika ini dilaksanakan, buat apa saya berada di Suria FM?" soalnya dengan nada hampa.

Jika dilihat kepada peratusan, kata Othoe, dahulu, 90 peratus lagu yang dimainkan adalah produk Sabah dan 10 peratus lagi dari Semenanjung dan luar negara. Kini, katanya peratusan itu diterbalikkan.

Ujarnya: "Pihak pengurusan mengatakan bahawa apa yang dimainkan di Suria FM sekarang adalah berdasarkan kepada tinjauan kumpulan fokus.

"Pihak pengurusan kini mengambil langkah untuk menjadi sebuah stesen radio yang 'sebenar'. Mereka menggunakan khidmat sebuah syarikat yang ternama untuk menentukan halatuju program mereka. Semua stesen radio menggunakan khidmat syarikat sama."

Tambah Duta Bandaraya Kota Kinabalu ini, dia tidak membelanjakan ribuan ringgit untuk membuat tinjauan. "Tapi setiap hari, saya berjumpa dengan ramai orang. Mana yang lebih berkesan? Maklum balas secara terus atau maklum balas daripada tinjauan yang dibuat di dalam sebuah bilik dimana anda diminta menjawab soalan selama beberapa jam. Berapa ramai yang boleh menjawab soalan itu dengan jujur dan tepat?

"Mereka lupa bahawa sebelum tinjauan ini dibuat, naluri saya sendiri dan maklum balas daripada orang-orang Sabah yang saya temui yang menaikkan Suria FM. Saya menggarap segala input ini dan mengetengahkannya melalui siaran saya.

"Suria FM kini berada di Sabah, kenapa pihak pengurusan tidak menggunakan kelebihan ini? Atau adakah mereka masih ragu dengan apa yang saya lakukan selama ini?

"Saya rasa, jika makin lama saya di sana, saya akan mereput. Seolah-olah orang Sabah ni sekadar 'pak turut'."

Katanya lagi, Suria FM sebenarnya tersilap perhitungan, dan sedang membuka jalan untuk meluncur ke bawah, dan bukan menongkat naik dari segi penerimaan umum.

Othoe turut menafikan bahawa pengundurannya daripada Suria FM adalah disebabkan oleh konflik berhubung kontraknya.

"Mungkin ada orang yang ingin menjadi penyampai radio kerana gaji yang lumayan, mendapat banyak perhatian, tapi saya sebaliknya. Saya juga jadi penyampai radio bukan untuk menjadi terkenal. Secara tidak langsung, saya akui memang sekarang saya jadi figura awam, tapi saya masih Othoe seperti dahulu.

"Saya ingin memartabatkan muzik, memberi peluang dan menyediakan platform serta memperkukuh kedudukan bahasa Sabah agar orang Sabah tidak malu untuk berbahasa Sabah. Kalau perkara yang sebutkan ini adalah objektif saya untuk masuk, ini jugalah objektif yang saya pegang untuk keluar dari Suria FM," tutur pemuda kelahiran Tuaran ini.

"Cara saya mungkin agresif daripada penyampai radio lain. Mereka juga ingin memartabatkan industri kita, tapi pendekatan mereka berlainan. Saya tidak salahkan Suria FM tetapi sistem yang digunapakai sekarang.

"Tidak banyak yang dapat saya lakukan di sana dengan kewujudan sistem ini. Kalau ingin mencapai objektif yang saya perjuangkan, mungkin hanya tercapai di luar waktu siaran, dengan penganjuran event dan sebagainya.

"Kenapa pihak pengurusan Suria FM tidak memahami dan menerima apa yang diingini oleh pendengar Sabah. Saya tidak tahu apa lagi yang mampu saya lakukan untuk menyedarkan mereka. Segalanya sudah saya lakukan," katanya dengan mata yang berkaca.



Nasihat Othoe untuk Rey

Menyentuh mengenai kehadiran Reynaldo Pagie atau Rey sebagai pengisi slot Suria Pagi Kinabalu seperti yang dilaporkan oleh Hiburan Ekspres, Ahad lepas, Othoe ternyata gembira dengan perkembangan ini.

"Pengunduran diri saya ini nampaknya ada baiknya juga... sebenarnya, Rey adalah antara mereka yang ingin saya jadikan sebagai penyampai radio di Suria FM.

"Saya gembira dia jadi pengganti saya dan dia adalah pilihan saya. Saya lebih gembira jika dia dimasukkan lebih awal, supaya kami boleh bergandingan tenaga.

"Jika saya boleh ibaratkan slot Suria Pagi Kinabalu sebagai anak saya, saya memberi kepercayaan penuh kepada Rey untuk mengasuh dan menjaganya," kata Othoe memberi sokongan kepada bekas juara Bintang RTM 2007 itu.

Tambahnya, ketika dia bersiaran di KL, Rey yang juga teman serumahnya di sana, pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi penyampai radio.

"Pernah sekali, dia beritahu saya bahawa tugas sebagai penyampai radio adalah menyeronokkan. Dia beritahu yang dia ingin menjadi penyampai radio seperti saya.

"Saya melihat dan menilai karakter yang dimilikinya, saya rasa dia mempunyai aura untuk menjadi penyampai radio yang bagus. Saya percaya dia mampu melakukannya dengan baik.

"Tapi syaratnya, dia perlu kekalkan personalitinya... jangan cipta Rey yang lain. Bila masuk Suria FM, biarlah dia adalah Rey seperti yang dikenali oleh orang lain sebelum ini," nasihat ringkasnya untuk Rey.


Perjuangan belum selesai

"Saya ada objektif, misi dan visi untuk memartabatkan industri hiburan Sabah. Fokus saya besar. Setakat inipun, hanya beberapa peratusan kecil daripada perancangan saya yang terlaksana. Masih banyak yang ingin saya lakukan," kata Othoe.

Sama seperti Perkampungan Seni KDCA yang diadakan pada sambutan Pesta Kamaatan Peringkat Negeri hujung Mei lepas, Othoe menyimpan hasrat untuk mengadakan karnival dan konsert untuk semua penggiat seni hiburan di Sabah, tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, dia kini sedang dalam proses menyiapkan usul untuk perlaksanaan projek mega dan eksperimental ini.

Jika tiada halangan, jelasnya, impian ini akan dizahirkan pada Hari Malaysia – 16 September.

"Pada tarikh ini semua artis dan rakyat Sabah bergabung atas nama muzik. Pada sama kita... seluruh Sabah menerima artis Sabah dan membantu membangun industri hiburan Sabah. Kita memerdekakan diri kita.

"Tanpa mengira stesen radio apapun... kita lupakan di mana kita bekerja, kita hanya tumpukan kepada azam untuk menaikkan industri ini. Selain itu, penggiat seni lain seperti telefilem juga akan dijemput untuk mempromosi produk mereka," katanya dengan penuh semangat.

Othoe turut tidak menafikan bahawa dia sudah menerima tawaran untuk berkhidmat di stesen radio lain, tetapi "buat masa ini, saya ingin berehat dahulu. Belum terlintas di kepala saya untuk melompat menaiki kapal lain. Tapi yang pasti, saya tidak ingin perkara sama berulang semula."

Pada kesempatan itu, Othoe mengajukan penghargaan kepada semua pendengar setianya, termasuk menteri-menteri dan orang kenamaan yang tidak jemu melontarkan sokongan kepadanya selama ini.

"Terima kasih dan maaf saya ucapkan kepada semua pendengar saya. Di mana saja anda terserempak atau berjumpa dengan saya... tegur saja, walaupun saya bukan lagi seorang penyampai radio. Tanpa mengira siapa kita, marilah kita bersama-sama membangun industri hiburan tempatan."

"Dan kepada artis Sabah, seperti yang saya tekankan sebelum ini, mendaftarlah dengan MACP. Ini adalah penting kerana, jika lagu anda dimainkan di radio, kompleks beli-belah atau di mana sahaja, anda akan menerima royalti," pesannya pada penghujung temubual tersebut.

2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. haish... ambik valson la jadi DJ..

    ReplyDelete