Kecacatan anggota badan tidak menghalang Jailani untuk mencari rezeki di lautan dalam yang sangat menguji kekuatan |
Boyd PV
myyzoom.blogspot.com
ADA sesuatu yang menarik mengenai lelaki berumur 40 tahun ini – kejituan semangatnya dalam menjalani kehidupan walaupun dengan segala kekurangan yang ada.
Sekali imbas, dia kelihatan sama seperti orang lain tapi hakikatnya, dia kehilangan kaki kirinya dalam satu nahas jalan raya lebih 14 tahun lalu sekaligus meletakkan dirinya dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU).
JAILANI ramah melayani pelanggan-pelanggannya. |
JAILANI sedang membaiki sebatang joran milik pelanggannya. |
Bagi sesetengah orang, kekurangan itu mungkin akan membataskan pergerakan dan merampas segala kebebasan untuk menjalani kehidupan aktif dan produktif.
Namun tidak bagi pemilik nama penuh, Jailani Husin, dari Kampung Tanjung Aru Baru ini.
Kecacatan itu menjadi pembakar semangatnya untuk membuktikan bahawa dia masih boleh mengerah kudrat untuk mencari rezeki dan tidak sekadar berharap kepada ihsan orang lain.
Malah, lebih menarik, sebahagian daripada punca rezeki lelaki ini diperolehinya bukan hanya di darat tetapi juga dari dasar lautan dalam – sesuatu yang jarang dilakukan walau oleh orang yang sempurna fizikalnya!
Memancing di laut dalam sudah lama menjadi sebahagian dari kehidupan Jailani.
Walaupun pergerakannya agak terhad, itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus bergiat aktif sebagai pemancing tegar.
Tapi berbeza dengan pemancing tegar lain, bagi Jailani memancing di laut bukan sekadar untuk suka-suka. Ia merupakan sebahagian daripada pekerjaannya untuk menjana pendapatan kerana kebanyakan ikan yang ditangkapnya ketika memancing di lautan dalam akan dijualnya kepada pelanggan tetap dan pendapatan itu dijumlahkan kepada hasil yang dijana oleh kedai pancing yang diusahakannya di Tanjung Aru.
Itulah yang dilakukannya sejak dia membuka kedai pancing itu lebih dua tahun lepas.
“Hidup perlu diteruskan,” katanya ketika berbual dengan penulis di atas dek kapal KK Lau yang membawa 11 pemancing tegar ke perairan Kota Belud baru-baru ini.
Pada mulanya, kata lelaki peramah ini yang mesra disapa dengan nama Jai, selepas dia diberitahu bahawa kaki kirinya terpaksa dipotong paras lutut kerana tulang betisnya retak sama sekali akibat kemalangan yang dialaminya di Papar pada tahun 1996, dia merasakan bahawa masa depannya suram.
Pelbagai pemikiran negatif bersarang di mindanya. Bagaimana harus dia menjalani kehidupannya selepas itu? Bagaimana penerimaan orang lain terhadapnya yang dikategorikan sebagai cacat anggota.
Ketika terbabit dalam kemalangan itu, dia bekerja tetap sebagai jurukimpal di Jabatan Makenikal, Hospital Queen Elizabeth.
Selepas lebih dua tahun terlantar di hospital, Jailani kemudian dibenarkan keluar untuk meneruskan kehidupannya.
Ketika itu dia perlu membiasakan diri untuk berjalan menggunakan kaki palsu.
Yakin bahawa rezeki ada di mana-mana, selepas bekerja selama 10 tahun lagi di hospital itu, Jailani mengambil keputusan untuk meletak jawatannya kerana dia sudah nampak apa yang ingin dilakukannya dalam hidup. Sesuatu yang ada kaitan dengan dunia memancing.
Jailani didedahkan dengan dunia memancing sejak dari kecil kerana arwah bapanya, Husin Mat Noor, adalah nelayan sambilan yang menyara kehidupan keluarga dengan menangkap ikan.
“Saya selalu ikut bapa saya ke laut dan ikan-ikan yang kami tangkap menjadi hidangan kami sekeluarga.
“Malah, saya pernah ke sekolah (SRK Tg Aru) dengan membawa bekal ikan yang bapa saya tangkap,” Jailani tergelak ketika mengimbau kenangan silam. Raut wajahnya yang tenang seolah-olah membayangkan tidak pernah wujud rasa terkilan di hatinya dengan nasib yang menimpa. Dia redha dengan apa yang berlaku.
Menggunakan wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jailani membuka kedai pancing, MZ Tackle Shop di Pekan Tanjung Aru sebelum memindahkan operasinya ke Tanjung Aru Plaza tidak lama kemudian.
Di kedai bersaiz kecil itu, Jailani menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk menjual dan menyewakan peralatan memancing, membaiki dan menyelenggara joran dan kekili serta mengatur trip memancing di laut dalam.
Terkini, kedainya itu terus mengorak langkah ke hadapan dengan menawarkan kursus berkaitan memancing kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia memancing.
“Kedai saya agak tersorok jadi tidak ramai orang datang,” akuinya.
“Tapi saya mencuba pelbagai cara untuk mempromosi kedai ini yang menjadi punca rezeki kami sekeluarga,” kata Jailani yang mempunyai dua cahaya mata – Nur Sari Zulaika dan Nur Sari Maizara – hasil perkongsian hidupnya dengan Nur Khalisma Abdullah.
Selain melalui kawan-kawan, Jailani turut mempromosi kedai pancingnya itu dengan menyertai gerbang komuniti memancing di laman facebook.
“Facebook banyak membantu saya mengembangkan perniagaan. Saya berkenalan dengan ramai pemancing dari kalangan anggota komuniti pemancing di laman sosial itu,” jelas Jailani.
Aktiviti mengatur trip memancing ke laut dalam dimulakannya untuk diselarikan dengan aktiviti perniagaan MZ Tackle Shop.
Menurut Jailani, setakat ini dia sudah pernah membawa kumpulan pemancing dari China, Brunei, Singapura, Taiwan dan dari Semenanjung Malaysia serta dari sekitar negeri ini untuk meneroka medan memancing khususnya di perairan Pantai Barat.
“Dalam mana-mana trip yang saya atur, saya perlu ada di atas kapal bersama-sama dengan pemancing untuk menjadi jurupandu mereka.
“Biasanya kami akan ke perairan Kota Belud, Pulau Mengalum, Ulu Karang-Karang dan di Karang-Karang sendiri, Pulau Mantanani, Balambangan, perairan Tiga Dua hingga Tiga Lima, berhampiran Pulau Banggi, Bonanza (Kudat) dan sebagainya.
“Kami juga sudah beberapa kali ke Samarang dan Pulau Tiga (Kuala Penyu) serta beberapa kawasan berhampiran untuk memburu ikan-ikan bersaiz besar termasuk GT (ebek) yang mudah memutuskan tali pancing jika pemancing kurang bersedia,” kata Jailani sambil memandang ke arah Pelantar Minyak Tombogo.
“Dulu kami pernah memancing berhampiran pelantar itu tetapi ikan-ikan di sana sedikit berbau seperti minyak,” spontan dia memberitahu penulis.
Temu bual ini terganggu banyak kali kerana ia berlangsung ketika ikan sedang galak menyambar umpan.
“Kawasan ini (Tiga Lima) banyak dihuni oleh ikan-ikan besar pelbagai spesies terutamanya kertang, kerisi bali dan tambung,” katanya sambil menggulung tali pancing benang sulamnya yang dipadankan dengan kekili automatik.
“Kekili automatik bukan syarat untuk mendapat ikan besar. Ia hanya memudahkan kita,” kata Jailani.
Tangannya pantas memegang joran untuk menaikkan seekor ikan tambung seberat lebih 8 kg ke dalam kapal.
Kejayaan mendapat ikan bersaiz besar, kata Jailani, lebih banyak bergantung kepada teknik kita mempersembahkan umpan, pemilihan umpan yang sesuai dan mungkin juga dibantu oleh pengetahuan mengenai peralatan yang sesuai.
“Kesungguhan juga sangat penting kerana memancing di laut dalam memang memenatkan khususnya apabila kita menggunakan kekili manual. Selain itu, ia berbalik kepada soal rezeki,” katanya yang pernah menaikkan ikan aruan tasik seberat 32 kg.
Sepanjang membawa pemancing meneroka lautan dalam, pengalaman paling buruk pernah dilaluinya ialah ketika membawa 14 pemancing yang terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi PDRM memancing di perairan Simpang Mengayau di Kudat pada tahun 2009.
Ketika itu, katanya, kapal komersil sepanjang 70 kaki x 18 kaki yang mereka naiki dilambung ombak setinggi 15 meter akibat cuaca buruk yang berlaku secara tiba-tiba.
Dalam keadaan kelam-kabut, mereka hanya dapat bertahan dengan memanjangkan tali sauh kerana kapal tidak sempat berlindung di pulau berhampiran.
“Ketika itu hanya Allah saja yang tahu betapa kecutnya hati kami menghadapi keadaan cemas seperti itu. Malah pegawai-pegawai tinggi PDRM di dalam bot itu juga tidak putus-putus membaca apa-apa doa yang mereka ingat. Ujian itu sangat hebat,” perlahan suara Jailani mengimbau kenangan itu.
“Kami bersyukur kerana selepas dua jam berdepan dengan keadaan getir itu, angin mula reda dan kapal segera digerakkan untuk berteduh di Pulau Kalampunian.
“Sejak dari awal perjalanan, cuaca seperti tidak menentu tetapi tidak ada tanda-tanda akan berlaku taufan menyebabkan kami sepakat untuk meneruskan perjalanan selepas dua kali mengadakan perbincangan untuk mendapatkan suara ramai.
“Tapi keadaan berubah apabila kami mula memasuki lautan lepas. Gerun dengan apa yang dilalui, trip itu akhirnya terpaksa dibatalkan demi keselamatan semua pemancing,” kata Jailani.
Bagaimanapun, Jailani tidak pernah serik dengan kejadian itu.
Dalam keghairahan memancing, katanya, jangan lupa pantang larang apabila berada di lautan dalam.
“Sama seperti apabila kita memasuki hutan, kita tidak tahu keadaan bagaimana yang kita akan hadapi. Jadi, nasihat saya, kita jaga adab apabila berada di laut. Jaga tutur kata dan tingkah laku. Niat kita kena betul, insya’Allah, kita selamat,” katanya sambil turut menggalakkan pemancing mengamalkan konsep “tangkap dan lepas” untuk spesies ikan tertentu terutamanya jerung atau ikan-ikan yang belum matang untuk kesinambungan aktiviti memancing.
“Kalau semuapun kita sapu, apa lagi yang tinggal apabila kita kembali ke tempat itu pada masa akan datang?” dia melontarkan soalan.
“Apabila berada di atas kapal juga, jangan buang apa-apa sampah sarap ke laut. Ada pemancing yang sewenang-wenangnya membuang plastik-plastik ke laut. Itu tidak wajar dilakukan. Biasanya saya akan tegur dan mereka akan akur,” jelas Jailani.
Dalam kerancakannya bercerita, beberapa ekor ikan bersaiz besar didaratkan dan dimasukkannya ke dalam tong berwarna merah yang sudah separuh penuh, walaupun kami masih ada lebih sehari lagi di laut.
Penulis terfikir, dengan aktiviti memancing di laut dalam yang telah menjadi sebahagian daripada aktiviti perniagaannya, tidakkah lelaki ini terfikir untuk memiliki kapal sendiri?
“Itu adalah impian saya, tapi memandangkan harganya sangat mahal, saya belum nampak bila hasrat itu dapat saya realisasikan.
“Buat masa ini, apa yang dapat saya lakukan ialah berurusan dengan penyedia kapal komersil yang akan membawa kumpulan pemancing saya ke laut lepas.
JAILANI bersama sebahagian kecil hasil tangkapannya ketika membawa sekumpulan pemancing tegar ke perairan Kota Belud baru-baru ini. |
No comments:
Post a Comment