ROZZA: Pengalaman adalah guru terbaik |
“Pengalaman adalah guru terbaik. Sebelum ini saya sudah pernah bersuara dan memberi amaran kepada segelintir rakan artis mengenai individu yang dimaksudkan.
“Tapi ketika itu saya pula dituduh iri hati dengan mereka. Jadi saya biarkan. Sekarang apabila saya dengar perkara seperti ini masih berlaku, saya rasa sangat terkilan kerana saya sudah pernah bagi amaran mengenainya tapi tidak diendahkan,” kata Rozza.
Menurut pemilik syarikat Rozza Entertainment ini, dia cukup mengenali promoter yang dimaksudkan kerana individu itu pernah bekerja dengannya.
“Tidak lama tapi cukup untuk saya mengenali siapa dia sebenarnya. Kawan-kawan pernah bagi amaran juga tapi saya bukan jenis yang mudah percaya cakap orang bulat-bulat.
“Saya selidik dulu dan berdasarkan pengamatan saya, apa yang disampaikan kepada saya oleh kawan-kawan memang benar,” katanya ketika diminta menjelaskan post yang dihantarnya ke laman Facebook.
“Beginilah,” kata Rozza, “artis-artis kita yang serius mencari rezeki dalam bidang ini perlu tahu hak mereka. Jangan biar diri diperalatkan.
“Bagi saya, mana-mana promoter tidak sepatutnya memotong bayaran yang sudah dikhususkan untuk artis.
“Contohnya, kalau bayaran RM2,000 sudah dipersetujui untuk artis buat persembahan, serahkan jumlah itu kepadanya kerana itu hak dia. Kenapa perlu dipotong?
“Promoter kalau mahu cari pendapatan, dia boleh mark-up bayaran yang diminta oleh artis. Berapa dia dapat, itu rezeki dia, kami tidak mahu ambil tahu.
“Tapi tolonglah jangan potong bayaran yang sudah dipersetujui untuk artis dengan memberikan pelbagai alasan. Enough is enough!”
Menurut Rozza, selagi artis terus berurusan dengan mana-mana promoter tidak jujur, selagi itulah promoter-promoter seperti itu akan terus memperalatkan mereka.
Rozza juga menegur sikap persatuan artis tempatan, Pertisa, yang menurutnya langsung tidak mengambil tahu mengenai masalah artis.
“Pertisa sepatutnya mendepani artis dalam hal-hal seperti ini. Atau setidak-tidaknya, datang bertanya mengenai apa yang berlaku dan tawarkan apa-apa bantuan yang boleh.
“Di Facebook, saya ada ramai kawan dari kalangan mereka yang memegang jawatan penting dalam Pertisa.
“Mereka tahu mengenai apa yang berlaku tapi tidak seorangpun bertanya kepada saya mengenai perkara itu, apa lagi menawarkan sebarang bantuan atas nama persatuan,” kata Rozza yang baru-baru ini merakamkan single Oupus Oku Diya untuk dimuatkan dalam album kompilasi Projek Amal Artis-Artis Sabah.
Penyanyi lain yang turut terbabit dalam projek itu ialah Clarice J Matha, Ebi Kornelis, Marcel Gatisi, Esther Clement Tubong, Lydia Kalidin, Ryna dan Syra Gom.
No comments:
Post a Comment