Thursday 2 August 2012

Impian Ailon jadi nyata

Dokudrama Ailon… Tiad Ku Di Kosodop dilancar 2 September ini 

AILON (kedua dari kanan) dan keluarganya memperagakan tiket untuk majlis makan malam amal itu.


Boyd PV
Harian Ekspres

HASRAT penyanyi cacat penglihatan, Ailon Mojilik untuk mengabadikan kisah hidupnya dalam sebuah dokudrama akhirnya menjadi kenyataan.

Proses pembikinan dokudrama itu sudahpun selesai dan akan mula diedarkan selepas majlis pelancaran dan tayangan perdana berlangsung bulan depan.

Perkembangan itu tentunya menggembirakan Ailon kerana itulah impian yang diburunya sejak lima tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan dokudrama itu khususnya saudara P. Dik Ganai (Bayo Pictures Sdn. Bhd.) yang sudi mengarahkan projek saya ini,” katanya kepada Hiburan Ekspres baru-baru ini.

Menelan kos pembikinan mencecah RM112,000, dokudrama itu – Ailon… Tiad Ku Di Kosodop – menjalani penggambaran dari 2 – 14 April lalu di sekitar Kg Nosoob, Babagon dan Kibabaig di Penampang serta beberapa lokasi di Papar.

“Menerusi dokudrama ini, saya berkongsi dengan peminat kisah suka duka yang pernah saya harungi di gelanggang seni. Ia menyoroti pengalaman penyanyi buta seperti saya yang pernah disanjung oleh peminat tetapi tidak pernah menatap wajah mereka,” kata Ailon, yang menghasilkan skrip dokudrama itu bersama P. Dik Ganai. Ailon adalah penerbit eksekutif dokudrama tersebut.

Kini berusia 66 tahun, Ailon sudah lama meninggalkan pentas nyanyian dan generasi baru mungkin tidak mengenalinya.

Bagaimanapun, penyanyi ini pernah mencipta fenomena dalam bidang seni suara tempatan sekitar pertengahan tahun 1960-an, seangkatan dengan penyanyi Justin Stimol, Minie Inus (mendiang) dan yang lain.

Lagu-lagunya, Tiad Ku Di Kosodop (Tangisan Semalam) dan Oluo Do Soovon (Perit Untuk Dikenang), antara lain, pernah menjadi siulan peminat ketika itu.

Kecacatan penglihatan yang dialaminya sejak remaja tidak pernah menjadi penghalang kepada anak kelahiran Kg Nosoob Baru, Penampang untuk mengejar cita-citanya bergelar penyanyi dan pemuzik.
Bersama kumpulannya The New Generation, mereka menjelajah ke hampir setiap pelusuk negeri ini untuk menghiburkan peminatnya.

AILON (ketiga dari kanan) menjayakan salah satu babak
dalam dokudrama itu.

Ailon dan The New Generation merupakan antara kumpulan pemuzik yang paling laris ketika itu malah mereka pernah mengiringi persembahan Raja Ema, ketika penyanyi popular era 80-an itu mengadakan persembahan di sekitar negeri ini satu ketika dahulu.

Mereka tidak pernah merakam album tetapi memiliki himpunan lebih 30 buah lagu di RTM Sabah.

Malah sehingga ke hari ini, sesekali lagu-lagu malar segar dendangannya masih kedengaran dalam siaran di Sabah Vfm.

Ailon juga mengharapkan dokudrama itu, dan himpunan lagu-lagunya, akan menjadi legasi seninya apabila dia sudah tidak ada kelak.

Selain Ailon, dokudrama itu turut dijayakan Clarice John Matha yang dibantu oleh bakat-bakat baru.

Ailon...Tiad Ku Di Kosodop berkisar mengenai Ailon yang dilahirkan sebagai kanak-kanak normal yang aktif dan ceria. Namun kehidupannya berubah apabila dia menjangkau umur 8 tahun di mana dia menjadi buta akibat serangan demam panas yang berpanjangan.

Dengan keadaan yang mengubah kehidupannya itu, Ailon bertambah sedih apabila bapanya sendiri tidak dapat menerima nasib yang menimpa anaknya itu sehingga dia dibenci dan dilemparkan kata-kata kesat.

Menyedari kekurangan yang ada, Ailon menerima segala cacian yang dilontarkan kepadanya itu sebagai pembakar semangat untuk meneruskan kehidupannya seperti orang lain.

Ailon terpaksa akur dan menolak untuk menerima pendidikan di Sekolah Khas Pendidikan Orang Buta di Johor kerana enggan berpisah dengan ibunya.

Pada usia remaja, Ailon yang meminati alat muzik mendapat peluang bermain gitar sambil menyanyi dalam sebuah kumpulan kugiran di daerahnya.

Bermula dari situ, bakat Ailon mula menyerlah sebagai penyanyi dan kumpulannya mendapat tempat di hati peminat dan telah membuat mereka sering diundang ke majlis perkahwinan.

Kumpulan kugiran yang pimpin oleh Ailon sering dijemput untuk mengadakan persembahan di Funfare dan persembahan pentas anjuran RTM.

Ailon semakin dikenali dan mencetuskan satu fenomena apabila dia berpeluang merakam lagu di Radio Sabah.

Kenangan terindah Ailon ialah apabila kugirannya diberi kepercayaan untuk mengiringi persembahan artis terkenal tanah air yang mengadakan persembahan di Sabah.

Ailon – Tiad Ku Di Kosodop dijangka dilancarkan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Adun Moyog, Datuk Donald P Mojuntin, dalam satu Majlis Makan Malam Amal, Pelancaran dan Tayangan Perdana di Hongkod Koisaan KDCA di Penampang bermula jam 6 petang pada September ini.

Maklumat lanjut serta tiket-tiket untuk majlis tersebut boleh diperolehi daripada Ailon sendiri (010-7836003) dan Sarah Augustine (088-726491).

Sebahagian daripada hasil jualan tiket majlis tersebut akan disumbangkan kepada Persatuan Orang Buta Sabah, di Tuaran.

Sehubungan itu, Ailon amat berharap projek tersebut akan mendapat sokongan daripada peminat-peminat yang pernah merasa terhibur mendengarkan lagu-lagu nyanyiannya.


PENGARAH P.Dik Ganai (berdiri, ketujuh dari kanan) bersama pelakon dan krew
ketika melakukan penggambaran di Papar.

No comments:

Post a Comment