Boyd PV
PERANCANGAN yang dibuat dua tahun lalu kini hampir menjadi realiti. Empat penyanyi wanita tempatan yang bersahabat karib – Rozza Rothman, Clarice John Matha, Lydia Kalidin dan Meeda Hamzani – ketika ini sedang sibuk menyiapkan sebuah album mini yang menggabungkan vokal mereka.
Album yang diberi tajuk Wanita itu dijangka siap sepenuhnya Disember ini, kata mereka.
Sesekali mendengar perkembangan artis-artis tempatan berkolaborasi dalam sebuah album memang menyeronokkan. Apa lagi jika projek itu membabitkan empat penyanyi wanita yang mempunyai kelompok peminat masing-masing.
EMPAT jelitawan ini bergaya dengan busana tajaan Rothman Batik. (Dari kiri) Rozza, Lydia, Clarice dan Meeda. |
"Ini adalah sebuah projek album mini kompilasi yang memuatkan lima buah lagu," kata Rozza sambil diiyakan oleh tiga yang lain dalam temu bual yang berlangsung di pejabat Rothman Batik Sdn Bhd di Tuaran baru-baru ini.
Album yang diterbitkan oleh Online Productions berpangkalan di Keningau itu berkonsepkan etnik kontemporari yang dilatari kepelbagaian budaya di Sabah.
Menurut Rozza, setakat ini dua lagu sudah selesai dirakam di mana salah satu daripadanya ialah lagu berjudul Budaya Kita. Lagu ini menggabungkan kelunakan vokal keempat-empat mereka dan memaparkan kepelbagaian budaya dan bahasa di Sabah. Bait-bait liriknya menggabungkan bahasa-bahasa tempatan termasuk Bajau, Brunei, Kadazandusun dan Melayu, antara lain.
Empat lagu lagi adalah lagu solo masing-masing.
Setakat ini, hanya Rozza sahaja yang sudah menyelesaikan rakaman singlenya yang diberi tajuk Lagenda Huminodun.
"Baki tiga lagu lagi akan disiapkan dalam masa terdekat dan kami menjangka, jika tiada aral melintang, menjelang Disember nanti album ini akan menemui peminat," kata Clarice sebelum menambah, baki tiga lagu single itu belum diberikan tajuk (ketika temu bual berlangsung).
Menurutnya, rakaman album ini sudah bermula sejak bulan Ramadan lalu di studio Canang Production di Kinarut. Tapi kekangan masa kerap membantutkan perancangan mereka.
Bukan mudah untuk menyatukan empat artis dalam satu album kerana komitmen yang mengikat diri masing-masing.
Tapi menurut mereka, peluang berkurung di studio untuk merakam lagu Budaya Kita dipergunakan sebaik mungkin.
Lydia berkata mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk memberi jiwa kepada lagu ciptaan Cyril Aloysius itu.
"Ketika rakaman, lontaran vokal kami adalah spontan kerana kami sudah mengetahui bahagian masing-masing. Kami sukakan hasilnya dan berharap peminat juga begitu," katanya yang mengakui hubungan rapat yang terjalin di antara mereka membantu mempermudah sesi rakaman lagu tersebut.
"Ketika rakaman, kami saling bertukar pandangan dan teguran untuk mencari keharmonian vokal dan teknik penyampaian terbaik. Suasana di studio rakaman ketika itu memang kecoh tapi saya fikir itu sangat membantu dalam menghadirkan mood yang sesuai untuk lagu itu," jelas Lydia.
Bagaimana tercetusnya idea menghasilkan album mini kompilasi ini?
"Kami sebenarnya sudah saling mengenali sejak dahulu lagi kerana kami berada dalam bidang yang sama… kebetulan pula kami memang satu kepala," Meeda berkongsi cerita.
"Apabila kerap bertemu, ideapun tercetus untuk tampil dengan sebuah album mini…tapi itu cerita dua tahun lalu. Dan idea itu mengambil masa untuk dikembangkan kerana faktor kos pembikinan selain sibuk dengan urusan peribadi masing-masing.
"Beberapa bulan lalu, kami mendapat tawaran daripada Online Productions untuk merealisasikan impian itu… kami tidak berfikir lama untuk memberikan persetujuan. Kalau ditanya perasaan kami ketika ini, sudah tentu kami sangat teruja dan tidak sabar untuk melihat hasilnya," katanya.
Rozza menambah: "Tempoh rakaman agak mengambil masa tapi kami tetap akur. Lagipun, kami tidak mahu album ini jadi album tangkap muat... Biarpun ia sekadar sebuah album mini kompilasi, kami tetap mahukan yang terbaik."
Prestasi jualan album penuh yang agak hambar ketika ini juga menjadi satu faktor kenapa mereka memilih untuk bersatu dalam sebuah album.
"Kami fikir ini adalah pendekatan terbaik," kata Rozza. "Bagi saya sendiri, saya sifatkan pembabitan saya dalam album mini ini sebagai satu cubaan untuk melakukan comeback ke dalam industri," katanya.
"Biasanya apabila ada sesuatu acara berbentuk hiburan, ianya hanya akan membabitkan artis-artis yang sama. Saya ingin menjadi sebahagian daripadanya tapi tanpa lagu terbaru, susah juga untuk saya mendapat perhatian. Dengan adanya single saya dalam album ini, saya berharap peluang akan lebih terbuka luas," katanya.
Bagi Clarice, pembabitannya dalam album ini adalah lambang kesinambungan perjuangannya dalam memartabatkan lagu-lagu berkonsepkan "tempatan" yang sudah sinonim dengan dirinya.
Lydia dan Meeda juga turut berharap kemunculan single masing-masing dalam album ini, serta kolaborasi mereka berempat dalam lagu Budaya Kita akan membuka ruang untuk mereka terus diingati peminat sekali gus membuka jalan untuk mereka muncul dengan album penuh masing-masing.
"Kami sudah lama tidak muncul dengan album penuh masing-masing dan album Wanita ini adalah satu percubaan untuk menguji penerimaan peminat terhadap lagu-lagu kami sebelum kami memikirkan langkah seterusnya," kata mereka penuh optimis.
No comments:
Post a Comment