Thursday 18 November 2010

Somporing Sabah dapat tumpuan di Negara Matahari Terbit

Dua jenis somporing hasil ciptaan Philipus lengkap dengan kotak yang eksklusif buatannya.

Philipus (kanan) dan rakannya, Edward Kating membuat persembahan lengkap dengan pakaian tradisi kaum Dusun, di hadapan penonton warga emas di pusat beli belah Yamakataya, Kagoshima, Jepun. 
Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

TIADA apa yang lebih menggembirakan Philipus Jani, 41, selain melihat warga Jepun terhibur dengan tiupan somporing (alat muzik seperti saksofon diperbuat daripada bambu) yang dihasilkannya sendiri. Segala penat lelahnya memperkemas ciptaannya itu selama 13 tahun terbalas oleh sambutan hangat warga Kagoshima, Jepun ketika anak kelahiran Kampung Kapayan Lama, Tambunan ini dipelawa oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk memperagakan somporing buatannya kepada warga Negara Matahari Terbit itu dari 12-23 September lalu sempena Festival Asean membabitkan 11 buah negara Asean.

Philipus
"Saya rasa sangat terharu dengan sambutan yang saya terima di sana," kata Philipus baru-baru ini. "Saya tidak menyangka penduduk di Kagoshima, Jepun begitu menghargai bunyi somporing saya," katanya.

Menurut Philipus, bunyi somporingnya umpama satu terapi kepada warga Jepun kerana sebahagian besar penonton yang sempat hadir menyaksikan persembahannya kembali bertenaga walaupun datang dalam keadaan yang sedikit uzur.

"Pusat di mana kami membuat persembahan (kompleks beli belah Yamakataya) terletak berhampiran rumah untuk warga emas. Jadi, ramailah juga warga emas yang datang menyaksikan persembahan kami.

"Ada yang datang bertongkat, ada juga yang datang berkerusi roda, tapi mungkin kerana terlalu teruja dengan tiupan somporing saya, kebanyakan warga emas itu boleh bergerak aktif selepas itu, malah ada yang menari ketika saya mengalunkan irama lagu Bunyi Gitar (P. Ramlee)," katanya mengimbau kenangan manis di Kagoshima. 

Philipus mengakui hatinya lebih tersentuh selepas dia meniupkan lagu Subaru (lagu Jepun).

"Selepas mempersembahkan lagu itu, ramai penonton datang menemui saya dan mengucapkan terima kasih serta menyatakan rasa kagum mereka terhadap saya kerana, sebagai orang luar, saya boleh memainkan lagu mereka dengan peralatan muzik bambu yang saya cipta," kata Philipus yang menyedari pokok bambu mempunyai nilai sentimental dalam kehidupan warga Jepun.

Kunjungan Philipus ke Kagoshima menjadi realiti selepas beliau menerima pelawaan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mewakili negara ke Festival Asean yang berlangsung selama dua minggu itu.

Mewakili Malaysia ialah Philipus dan Edward Kating dengan somporing mereka serta seorang pengusaha batik dari Semenanjung.

"Ramai juga yang berminat untuk membeli somporing saya ketika itu tapi memandangkan itu adalah acara promosi, kami tidak dibenarkan menerima tempahan.

"Bagaimanapun, saya sudah berikan nombor telefon untuk mereka berhubung terus dengan saya selepas festival itu berlangsung," kata Philipus yang setakat ini sudah menjual berpuluh-puluh somporing kepada orang perseorangan dan juga guru muzik.

Malah, beliau juga sedang menyiapkan banyak tempahan daripada sekolah-sekolah di Sabah.

Philipus menghasilkan dua jenis somporing yang beliau namakan Somporing A (bersaiz kecil) dan Somporing C (bersaiz besar).

Penglibatan Philipus sebagai pembuat somporing bermula secara kebetulan 13 tahun dahulu apabila dia berpeluang meminjam sebuah saksofon loyang daripada rakannya.

"Selepas beberapa hari, saya terpaksa memulangkan saksofon itu tapi pada masa sama saya sudah jatuh cinta dengan alat muzik itu.

"Kerana tidak mampu membelinya memandangkan harganya yang sangat mahal, saya mula mencari jalan untuk menghasilkan saksofon saya sendiri.

"Selepas 13 tahun melakukan R&D (penyelidikan dan pembangunan), saya akhirnya berjaya menghasilkan somporing yang mampu mengeluarkan bunyi hampir serupa dengan saksofon dari nada A hingga G major," katanya.

Dan untuk melindungi ciptaannya itu, beliau telah mempatenkannya pada tahun 2007.

"Saya menggunakan bambu Malui kerana ia lebih tahan dan boleh menghasilkan bunyi yang lebih baik. Bambu jenis lain seperti Rugading juga menghasilkan bunyi yang jelas. Masalahnya, ia tidak tidak tahan lama," kata Philipus yang mengakui hampir tidak menang tangan memenuhi permintaan membuat persembahan di majlis-majlis korporat di sekitar Kota Kinabalu.

Philipus membuka sebuah bengkel menghasilkan somporing di belakang rumahnya di Kampung Kepayan dengan dibantu seorang pekerjanya.

Selain somporing, bengkel seluas 18 kaki x 22 kaki itu turut menghasilkan alat muzik, juga menggunakan bambu sebagai bahan asas, termasuk porimba (kulintangan), dram, suling (seruling), turiong, tungkabar, gitar dan clarinet, antara lain.

Bercakap mengenai gitar, Philipus menjelaskan ia masih menggunakan tali gitar biasa tapi sedang mencari kaedah lain untuk menggantikannya dengan bahan organik.

"Cuma badan gitar itu sendiri dihasilkan sepenuhnya menggunakan bambu yang dikorek dari pangkal akarnya sebelum dibuatkan lubang untuk menghasilkan gema. Untuk menampakkan kesan semulajadi, saya biarkan urat-urat akarnya berjuntaian," jelas Philipus yang dikurniakan enam orang anak hasil perkongsian hidupnya dengan Emilia Adolf.

Sepanjang temuramah ini berlangsung, Philipus beberapa kali membetulkan penulis setiap kali penulis menyebut perkataan "saksofon bambu".

"Saya sebenarnya lebih suka orang ramai mengenali alat ini sebagai somporing, bukan saksofon," katanya sambil tersenyum.


DI bengkel inilah Philipus menghabiskan
masa 13 tahun untuk
melakukan R&D dan
menghasilkan peralatan muzik bambunya. 


Philipus memilih saiz batang bambu yang
tepat untuk somporing buatan tangannya.



*****************************************
Untuk sebarang pertanyaan, hubungi 013-8776286 (Philipus) 

No comments:

Post a Comment