Monday 15 November 2010

Rey seronok bergerak berkumpulan

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com
SELEPAS menamatkan pengajiannya dalam bidang muzik di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tidak lama dahulu, Rey mengambil keputusan untuk memusatkan kerjaya seninya di Sabah bermula tahun ini.
Selain mengendalikan kelas muzik dan vokal di beberapa sekolah muzik di Tuaran dan Kota Kinabalu, dia terus aktif menyanyi dan bermain muzik bersama kumpulan Kimara, menjelajah dari kelab ke satu kelab di Ibu Negeri.
Rey mengakui seronok bergerak bersama sebuah kumpulan muzik kerana dapat saling bertukar pengalaman sesama ahli kumpulan. Tambahan lagi kebanyakan anggota kumpulan Kimara adalah kenalan rapatnya sejak dari zaman sekolah lagi.
"Ini satu pengalaman baru bagi saya. Kalau sebelum ini saya lebih banyak bergerak secara solo, peluang untuk berkarya bersama sebuah kumpulan memberikan pengalaman dan keterujaan yang berbeza," katanya yang telah bersama Kimara sejak Jun lepas.
Menjawab satu soalan, Rey menjelaskan dia ingin kerjaya nyanyian solonya bergerak seiring dengan pembabitannya dengan kumpulan Kimara.
"Saya masih lagi bergerak secara solo apabila keadaan memerlukan saya berbuat begitu dan anggota Kimara memahami keadaan itu dan memberi kebebasan kepada saya untuk bergerak secara solo, jika ada keperluan. Itu tidak pernah menjadi satu isu," jelasnya.
Minggu ini, single terbaru Rey, Kasih Tak Kesampaian, mula kedengaran di ruang udara, khususnya di Suria fm. Versi Dusun lagu itu Koginavaan Aanu Humusi dijadual akan dipromosi sedikit masa lagi.
"Saya suka lagu itu dan saya harap pendengar juga menyukainya. Ia adalah sebuah lagu tribute kepada ibu bapa… Lirik puitisnya dihasilkan oleh Jovinia Sipanil manakala melodinya dicipta oleh Golib," kata Rey.
Malam Sabtu ini, Rey dan Kimara akan berada di My Way, Penampang untuk menjayakan sebuah program hiburan membabitkan ramai artis wanita tempatan.
  

No comments:

Post a Comment