TUAH ayam nampak di kaki… sekalipun dia agak menyepi kebelakangan ini, dalam status akaun Facebooknya baru-baru ini, Marcel Gatisi berkongsi dengan peminat dan kenalan FBnya mengenai undangan yang diterima untuk menghiburkan kakitangan sebuah syarikat mega di Indonesia hujung tahun ini.
Kiranya Marcel dapat undangan menyanyi untuk dinner show di sana oleh keluarga pemilik syarikat itu.
Siapa sangka, selepas beberapa tahun meninggalkan pentas Kontes Dangdut Indonesia Musim Keempat (KDI4) yang disertainya, Marcel masih mempunyai ramai peminat tegar di negara jiran itu.
Dan panggilan telefon dari Indonesia mengenai undangan itu benar-benar membuatkan Marcel gembira kerana menurutnya, dia rindu untuk membuat persembahan di sana.
“Saya rindukan crowd di sana yang sangat happenning.
“Kerana itu saya akui sangat teruja dengan jemputan itu tapi pada masa sama, tidak mengharap sangat kerana tarikhnya pun masih jauh.
“Tambahan lagi, belum ada hitam putih. Tempahan hanya dibuat secara lisan melalui telefon,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Marcel, keluarga pemilik syarikat itu adalah penyokong setianya sepanjang dia terbabit dalam KDI4.
“Saya terharu kerana mereka masih mengingati saya,” katanya.
Segala perbelanjaan untuk ke sana khabarnya ‘ditanggung beres’ dan bayarannya juga cukup lumayan.
“Kalau sudah di Indonesia, sah-sahlah transaksinya bernilai juta-juta,” katanya sambil ketawa, merujuk kepada matawang rupiah.
Selepas terbabit dalam pembikinan Album Kompilasi-Projek Amal Artis Sabah pertengahan tahun ini, Marcel kembali menyepi. Sesekali suaranya kedengaran menyanyi di majlis-majlis tertentu.
Kebanyakan paparan statusnya di Facebook juga seolah-olah memberi gambaran dia berdepan masalah yang berat.
Dan apa yang paling ketara ialah berat badannya semakin susut. Ini membuatkan peminatnya tertanya-tanya apa sudah jadi kepada penyanyi yang baru menghasilkan single terbaru berjudul Miiso Kito ini.
Apabila ditanyakan perkara itu, Marcel mengunci rapat mulutnya.
Bagaimanapun, menerusi rakan-rakannya, penulis dimaklumkan Marcel rupanya sedang gigih menurunkan berat badan dan setakat sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu, dia berjaya menurunkan lebih 10kg.
Dua gambar yang dipaparkan di sini mengesahkan perkara itu.
Gambar Marcel dahulu (kanan) dan terbaru. |
Sumber:
Harian Ekspres
Harian Ekspres
22 September 2012
No comments:
Post a Comment