Monday 1 October 2012

SMK St Mary, Papar harumkan nama Sabah


ADRIAN (keempat dari kiri) dan Lazarus selepas diumumkan juara pertandingan itu.

DUA pelajar SMK St. Mary, Papar, Adrian Paul Lajium dan Lazarus Thomas mengharumkan nama negeri ini apabila dinobatkan juara Pertandingan Pertunjukan Sains Petrosains Kebangsaan 2012, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan kemenangan itu, Adrian dan Lazarus pulang dengan hadiah wang tunai RM3,000, trofi juara, plak, sijil, program pembangunan sains bernilai RM45,000 dan barangan Petrosains.

Gelaran Naib Johan dimenangi Muhd Nadzmi b. Abd Rahim dan Nurul Ashikin bt. Abd Rahman dari SMK Panchor, Seremban, Negeri Sembilan manakala Nurulain bt. Abdul Razak dan Siti Nur A’Aqila Aimi bt. Md Jailani dari SMK (P) Temenggong Ibrahim, Johor memenangi tempat ketiga.

Pemenang tempat kedua pulang hadiah wang tunai RM2,000 sementara tempat ketiga RM1,000.

Mereka juga turut memenangi hadiah iringan berupa plak, sijil, program pembangunan sains dan barangan Petrosains.

Lapan buah sekolah bersaing sengit di peringkat akhir pertandingan itu yang berlangsung di Panggung Sari, Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim berkata pusingan akhir pertandingan itu mencerminkan piawaian yang semakin meningkat dan ternyata semakin mencabar bagi peserta.

“Keghairahan dan kegigihan yang ditunjukkan pelajar serta guru penasihat mereka amat memberangsangkan, khususnya kerana mereka menjulang etos pertandingan ini, menggalakkan pembelajaran melalui perkongsian dan penyertaan,” kata Tengku Nasariah.

Beliau turut berkongsi kegembiraan Petrosains kerana minat dan penyertaan dalam pertandingan ini semakin bertambah seperti ditunjukkan bilangan penyertaan yang diterima tahun ini.

“Minta dan penyertaan meningkat dalam pertandingan ini adalah bukti kepercayaan kami dalam menyediakan wadah alternatif untuk pelajar memahami serta menerapkan pengetahuan sains yang diperolehi di dalam kelas.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran, kerana sokongan mereka dan pelajar, guru serta sekolah yang melakukan usaha terbaik mereka dalam pertandingan mencabar ini,” katanya.

Pertandingan Pertunjukan Sains Kebangsaan Petrosains 2012 berjaya menarik 763 penyertaan video dari seluruh negara.

Pertandingan itu adalah acara tahunan anjuran Petrosains Sdn Bhd sejak 2009, bertujuan mempromosikan kaedah-kaedah pembelajaran yang merangsang dan berkesan bagi pelajar sekolah menengah.

“Pembelajaran melalui pengalaman berpotensi membantu pelajar belajar dengan lebih berkesan. Memandangkan kejayaan yang dicapai pertandingan setakat ini, kami berharap dapat menambah baik dan memajukan lagi pertandingan tahun depan, dan membawanya ke tingkat lebih tinggi,” tambah Tengku Nasariah.


Gambar atas dan bawah: Adrian dan Lazarus ketika membuat persembahan.


JUARA... Adrian dan Lazarus memperagakan replika cek mereka.
Naib Johan..SMK Panchor, Seremban, NS

Tempat Ketiga...SMK (P) Temenggong Ibrahim, Johor

SUMBER:

Harian Ekspres
2 Oktober 2012

No comments:

Post a Comment