Tuesday 30 October 2012

LaVOC 2012 masih buka penyertaan


Ronney
Boyd PV

MEREKA yang berminat untuk menyertai pertandingan nyanyian di Labuan, LaVOC 2012, masih berpeluang untuk menghantarkan borang penyertaan sehingga jam 10 malam, Jumaat ini (2 November). 

Pengarah program itu, Ronney Ajim, berkata setakat ini hampir 20 peserta telah mengesahkan penyertaan mereka dan akan mengharungi peringkat saringan pada Sabtu ini, 3 November, bermula jam 7 malam di Victoria Island Club, Labuan, yang menjadi penganjur bersama pertandingan itu.

Peringkat akhir pertandingan tersebut akan berlangsung pada Ahad, 4 November bermula jam 8 malam, di tempat sama.
“Kami berharap semua peserta yang sudah menghantar borang penyertaan agar dapat datang pada masa yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran program itu.

“Pada petang Sabtu nanti, selain cabutan undi, peserta juga akan diberi taklimat mengenai pertandingan ini,” katanya sambil menambah, penganjur tidak bertanggungjawab terhadap perbelanjaan peserta yang menyertai pertandingan berkenaan.

LaVOC 2012, anjuran Dronncreative, dibuka kepada bakat-bakat nyanyian solo dari Labuan, Sabah dan Sarawak yang berumur 18 tahun ke atas. 
 
Peserta dikehendaki menyanyikan lagu pilihan sendiri dalam mana-mana bahasa dan perlu menyediakan CD atau Minus One masing-masing.

Juara pertandingan itu bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, Naib Juara akan memenangi RM750 manakala tempat ketiga pula akan menerima RM500. Kesemua tiga pemenang tempat teratas ini juga akan menerima trofi.

Sebuah trofi turut menanti pemenang kategori Vokal Terbaik.

Malam final pertandingan itu akan diserikan oleh kehadiran selebriti dan artis tempatan Sabah dan Labuan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai LaVOC 2012 boleh dikemukakan kepada Urusetia Program, Flovina Iding (017-8653328) dan juga Marjorie Stephen (016-8361536).

No comments:

Post a Comment