Tuesday 16 October 2012

LaVOC 2012 sasar seramai mungkin peserta

Ronney Bikin Panas
Boyd PV

PERTANDINGAN Labuan Voice Of Champ (LaVOC 2012) mensasarkan penyertaan seramai mungkin bakat nyanyian solo dari Labuan, Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, kata pengarah program itu, Ronney Ajim, 25 keping borang telah diambil sejak penyertaan dibuka minggu lepas.

“Penyertaan akan terus dibuka sehingga jam 10 malam pada 2 November ini,” katanya ketika dihubungi di Labuan, pada Selasa.

“Kalau ada 30 penyertaan itu kami anggap sudah memenuhi sasaran kami. Tapi kalau lebih ramai, rasanya lebih seronok kerana saingan akan menjadi lebih sengit,” katanya.

“Setakat ini, kebanyakan yang mengambil borang penyertaan adalah bakat-bakat dari Labuan tapi kami juga ada menerima pertanyaan daripada mereka yang berada di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Menurut Ronney, mereka yang berada di Sabah dan Sarawak boleh menghubungi urusetia pertandingan untuk mendapatkan borang penyertaan melalui emel.

“Bayaran boleh dijelaskan ketika menghadiri sesi saringan pada 3 November,” tambahnya.

Bagi mereka yang bermastautin di Labuan, borang-borang boleh diperolehi dengan menghubungi Flovina Iding (017-8653328) dan Marjorie Stephen (016-8361536) atau di Victoria Island Club, di mana pertandingan itu akan berlangsung.

Perlu diingatkan, kata Ronney, untuk kelancaran pengurusan, borang penyertaan sama ada menerusi emel atau serahan tangan tidak akan diterima selepas jam 10 malam, pada 2 November.

LaVOC 2012, anjuran Dronncreative, dibuka kepada bakat-bakat nyanyian solo dari Labuan, Sabah dan Sarawak yang berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira bangsa, dengan yuran pendaftaran minimal.

Peserta dikehendaki menyanyikan lagu pilihan sendiri dalam mana-mana bahasa dan perlu menyediakan CD atau Minus One masing-masing.

“Pihak penganjur, bagaimanapun, tidak bertanggungjawab terhadap segala perbelanjaan peserta untuk menyertai pertandingan itu,” tambah Ronney.

Cabutan undi akan diadakan pada 3 November pada pukul 1 petang di ruang legar Victoria Island Club Labuan, yang merupakan penganjur bersama pertandingan itu.

Peringkat saringan akan diadakan pada sebelah malamnya iaitu 3 November bermula 7 malam sementara pertandingan akhir akan diadakan pada 4 November, jam 8 malam, di lokasi sama.

Juara pertandingan ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, Naib Juara akan memenangi RM750 manakala tempat ketiga pula akan menerima RM500. Kesemua tiga pemenang tempat teratas ini juga akan menerima trofi.

Sebuah trofi turut menanti pemenang kategori Vokal Terbaik.

“Saya ingin menjemput peminat seni suara terutama yang berada di sekitar Labuan, Sabah dan Sarawak supaya datang beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada peserta-peserta LaVOC pada malam saringan dan final nanti.

“Kami yakin sokongan anda semua akan memeriahkan LaVOC kelak. Kami juga menyediakan cabutan bertuah untuk penonton,” kata Ronney.

Malam final LaVOC 2012 bakal diserikan oleh beberapa artis tempatan Sabah. Masuk adalah percuma.

Sumber:
Harian Ekspres
17 Oktober 2012

No comments:

Post a Comment