Tuesday 30 October 2012

Jangan samakan lagu patriotik Star dan Ni Kali Lah: Star Sabah

CLARENCE... penyanyi
lagu Ni Kali Lah
LAGU patriotik Star “Ini Kali Lah” amat berbeza dari segi melodi dan lirik daripada lagu cinta yang ditulis seorang penyanyi tempatan, Clarence Anthonius, dengan tajuk sama.

Ketua Pemuda Star Sabah, Hasmin Azroy Abdullah berkata lagu parti itu telah wujud sejak 2011 sebelum ia dilancarkan secara rasmi dengan album “Ini Kali Lah” pada 20 April, 2012 di hadapan orang ramai di Dewan KDCA di Penampang.

Clarence dilaporkan kecewa kerana stesen radio milik kerajaan tidak memainkan lagunya “Ni Kali Lah”, yang baru dikeluarkan September lalu.

Bagaimanapun, Hasmin berkata memang dikesali bahawa stesen-stesen radio milik kerajaan menyamakan lagu cinta Clarence dengan lagu patriotik Star untuk rakyat Sabah dan tidak mampu membeza antara lagu itu, muzik dan liriknya.

“Malah, “Ini Kali Lah” atau “Ni Kali Lah” merupakan ungkapan umum kegunaan sejagat di Sabah dan tidak mempunyai sebarang konotasi politik, dan harus dibolehkan penggunaannya tanpa prasangka atau bantahan.

“Jika stesen radio milik kerajaan “mengharamkan” lagu “Ini Kali Lah!” milik Star yang bercerita mengenai hak Sabah dan perjuangan Star untuk pengembalian hak tersebut, itu boleh difahami memandangkan murid sekolah pun menyanyikan lagu menarik itu walaupun ia menunjukkan rasa gementar kerajaan untuk menghadapi populariti Star,” kata beliau.

Namun, melarang lagu “Ni Kali Lah” nyanyian Clarence diputarkan adalah tidak munasabah dan mendedahkan kesempitan fikiran dan sikap tidak berpandangan jauh stesen-stesen radio, katanya.

Hasmin berkata sayap Pemuda Star Sabah ingin mengucapkan tahniah kepada Clarence atas lagu itu dan perkahwinan beliau dengan gadis idamannya, dan mengucapkan semoga berjaya kepadanya dalam memasarkan album dan lagu-lagunya itu.

“Jika stesen radio milik kerajaan masih tidak mahu mempromosi lagunya, “Ni Kali Lah”, sayap Pemuda Star akan bersenang hati membantu Clarence walaupun lagunya tiada kaitan dengan lagu Star, “Ini Kali Lah!” katanya.

Dilaporkan bahawa Clarence menulis lagu itu tentang bagaimana beliau memberanikan diri untuk membuat temu janji dengan Madlinah Mairin yang akhirnya berkahwin dengannya, dan tiada kaitan dengan parti politik yang dipimpin Datuk Dr Jeffrey Kitingan di Sabah.

Malangnya, stesen radio terutamanya milik kerajaan enggan memutarkan lagu itu, salah satu daripada lapan lagu yang dimuatkan dalam album bertajuk “Clarence Anthonius I” dan dirakam di LRX Productions disebabkan tajuk lagu yang menyerupai lagu Star Sabah iaitu “Ini Kali Lah.”

Clarence menegaskan lagu tersebut bukan lagu politik atau mempromosi perjuangan mana-mana parti.

Albumnya mencatat jualan lebih 200 unit sejak dipasarkan September lalu walaupun pelancaran rasminya hanya akan diadakan di Central Plaza di Kepayan Ridge di sini pada bulan depan.

Klip video lagu itu juga dimuatnaik di YouTube.


No comments:

Post a Comment