Tuesday 23 October 2012

Atama, SM Muthu disaman RM50 juta


Atama
SEORANG bekas Peguam Negeri Sabah memfailkan saman fitnah terhadap dua orang aktivis dan menuntut ganti rugi RM50 juta atas kenyataan mereka yang dicatat pada media sosial berikutan pelantikan beliau sebagai salah seorang anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap pendatang tanpa izin di Sabah.

Tan Sri Dr Herman James Luping, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri semasa era Usno, menamakan Andrew Ambrose atau Atama dan SM Muthu masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua dalam samannya yang difailkan kepada pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi melalui e-failing pada Isnin lepas.

Luping juga meminta injunksi terhadap defendan untuk menghalang mereka daripada membuat kenyataan memfitnah mengenainya dan perintah untuk mengeluarkan artikel tersebut daripada Freemalaysiatoday.com

Beliau menuntut ganti rugi punitif, faedah statutori dan relif lain yang dianggap wajar oleh Mahkamah Tinggi.

Luping
Dalam kenyataan tuntutannya, Luping mendakwa defendan pertama, menurutnya, seorang pemuzik tempatan yang menjadi aktivis dan jurucakap Bersih Sabah dan defendan kedua, seorang bekas penjawat awam dan juga seorang aktivis, menuliskan kata-kata makian dan berniat jahat terhadapnya dalam laman media sosial iaitu Twitter, Facebook dan Freemalaysiatoday.com.

Luping berkata defendan pertama membuat kenyataan fitnah dalam satu artikel bertajuk “Luping appointment came under fire” (Pelantikan Luping dikecam) yang diterbitkan oleh FreeMalaysiaToday pada 13 Ogos, tahun ini, yang didakwanya menjejaskan perwatakan, nama dan reputasi beliau, serta menimbulkan skandal, rasa benci dan menyakiti perasaannya.

Kenyataan berkenaan dibuat untuk memberi tanggapan negatif dan palsu tentangnya, bahawa beliau tidak boleh dipercayai, tidak layak menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin di Sabah, tidak jujur dan rendah integriti dan seorang penjenayah.

Beliau turut mendakwa kenyataan defendan pertama dalam Facebook pada 12 Ogos tahun ini dan juga di Twitter sengaja dibuat untuk memberi tanggapan negatif dan palsu tentangnya, bahawa Luping tidak boleh dipercayai dan seorang ahli politik korup.

Begitu juga, Luping berkata defendan kedua turut membuat kenyataan palsu, berniat jahat dan makian di Facebook, yang bertujuan memberi tanggapan negatif dan palsu tentang plaintif bahawa beliau tidak boleh dipercayai, suka menyenangkan hati orang, tidak layak berada dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja dan tidak layak untuk jawatan awam.

Menurut Luping, oleh itu beliau layak mendapat ganti rugi punitif dan/atau ganti rugi teladan dengan jumlah yang setimpal bagi menghukum defendan untuk menghalang mereka daripada melakukan perbuatan keji seumpama pada masa hadapan.

Terdahulu, Luping berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji isu pendatang tanpa izin di Sabah serta mengumumkan nama-nama anggota suruhanjaya tersebut.

Luping ialah salah seorang anggota RCI yang dilantik di mana bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim sebagai pengerusi.

Saman difail melalui peguamnya Marcel Jude.

Sumber:
Harian Ekspres
24 Oktober 2012

No comments:

Post a Comment