Wednesday 24 October 2012

Clarence Anthonius bingung gara-gara Ni Kali Lah

Boyd PV

Clarence... Ni Kali Lah!
HASRAT di hati sekadar ingin berkongsi bakat dan minat dengan kelompok pendengarnya namun tanpa diduga, salah sebuah lagu yang terkandung dalam album sulungnya telah meletakkan dia dalam keadaan serba salah.

Itu semua berpunca daripada tajuk lagu hitsnya berjudul Ni Kali Lah yang kedengaran sangat sinonim dengan ‘tagline’ sebuah parti politik tempatan.

Disebabkan tajuk lagu tersebut, pemilik album itu, Clarence Anthonius, mengakui tidak pernah ada peluang untuk menyanyikan lagu tersebut dalam mana-mana majlis yang dihadiri orang-orang penting dalam kerajaan.

Gara-gara tajuk itu juga, lagu tersebut dikatakan tidak diputarkan oleh mana-mana stesen radio milik kerajaan.

Terkilan dengan perkembangan itu, Clarence, bagaimanapun terus teguh dengan pendiriannya bahawa lagu Ni Kali Lah tidak mempromosi perjuangan mana-mana parti politik.

Ni Kali Lah sebenarnya adalah sebuah lagu cinta yang disampaikan dengan pendekatan kelakar.

“Ia mengisahkan perkenalan sepasang kekasih melalui laman sosial (Facebook) yang kemudian cuba mengatur pertemuan buat pertama kali.

“Dihimpit debaran yang amat sangat, karektor lelaki dalam lagu ini membulatkan tekad untuk menemui gadis idamannya dengan ungkapan ‘Ni Kali Lah’, suatu ekspresi yang sebelum ini pun memang popular dalam kalangan penduduk Sabah,” katanya kepada Hiburan Ekspres di Tanjung Aru, baru-baru ini.

Clarence mengakui lagu itu adalah gambaran kisah benar di awal percintaannya dengan seorang gadis bernama Madlinah Mairin, yang kini menjadi isterinya.

“Lirik dan melodi lagu itu dihasilkan oleh Lexband setelah saya menyuarakan hasrat kepadanya untuk mengabadikan kisah cinta kami dalam sebuah lagu,” jelasnya.

Jadi apa pun andaian yang cuba mengaitkan lagu Ni Kali Lah dengan perjuangan mana-mana parti politik, itu sebenarnya tidak relevan, katanya lagi.

Ni Kali Lah adalah salah satu daripada lapan lagu yang terkandung dalam album Clarence Anthonius I yang dirakam di LRX Production.

Album format DVD Karaoke itu turut memuatkan lagu Tulu Posurugau, Siou Koupusan, Sinding Pisasawaan, Sumandak Patau, Joget Karamaian, Puun dan Lain Kali Lah

Kembali bercerita mengenai ‘nasib’ Ni Kali Lah, Clarence berkata dia tidak pernah terfikir lagu itu akan mengundang polemik berkaitan politik.

“Tidak pernah terfikir langsung,” katanya sebelum menambah, dia juga bukan sengaja mencipta kontroversi untuk dikenali.

Apa pun, kata Clarence, dia berterima kasih kepada sokongan peminat yang meletakkan lagu itu di tempat ketiga Carta Rojak KKFM minggu lepas di belakang Jangan Ambil Dia (Dayang Noraini) dan Syok Bah Sini Sabah (Marihin @ Dorry).

Klip video lagu Melayu loghat Sabah itu di YouTube telahpun ditonton 23,846 pelawat setakat ini.

Sejak mula dipasarkan awal September lalu, album itu telah terjual lebih 200 unit walaupun pelancaran rasminya hanya akan berlangsung pada 24 November di Central Plaza, Kapayan Ridge, Kota Kinabalu.

Sambutan menggalakkan daripada peminatnya itu menyuntik semangat kepada Clarence untuk lebih gigih memasarkan produk sulungnya itu.

Bagaimanapun, dia mengakui usaha itu tidak dapat dilakukan secara agresif buat masa ini memandangkan dia terikat kepada tugas dan tanggungjawabnya sebagai guru di SK Kiawayan, Tambunan.

“Saya menunggu waktu yang sesuai untuk memulakan rangka promosi. Mungkin pada musim cuti persekolahan nanti saya akan mengaturkan program promosi di beberapa daerah,” kata Clarence, 28, yang lahir dan dibesarkan di Kg Langkawit, Papar.

Buat masa ini, kata Clarence, dia berhubung dengan peminat melalui laman sosial.

“Saya berterima kasih di atas sambutan pendengar dan kalau ada rezeki, saya berhasrat untuk muncul dengan album kedua,” katanya.

Adakah album kedua nanti turut menggunakan tajuk yang berpotensi mencetuskan kontroversi seperti Ni Kali Lah dan secara tidak langsung memerangkap diri sendiri?

“Untuk menjawab pertanyaan itu, apa yang mampu saya katakan ialah saya sebenarnya masih tidak faham kenapa Ni Kali Lah boleh dikaitkan dengan parti politik sedangkan ungkapan itu sudah wujud sejak sekian lama,” katanya.

Sumber:
Harian Ekspres
25 Oktober 2012


No comments:

Post a Comment