CHANCE kelihatan cukup selesa bercakap dengan media |
Persembahan itu menampilkan artis tempatan seperti Dang Bandangs, One Buck Short, Pop Shuvit dan penyanyi-penulis lagu antarabangsa Greyson Chance, yang mendapat sorakan peminatnya sebaik mengambil alih pentas.
Chance menyanyikan lapan lagu dari album terbarunya iaitu Waiting Outside The Lines, Leila, You Might Be The One, Unfriend You, California Sky dan Take My Heart, dalam persembahan cukup bertenaga selama 45 minit.
“Saya sangat menyukai Kota Kinabalu, keadaan di sini amat menyenangkan tetapi saya mempunyai masalah dengan cuaca tropika di sini kerana cuaca di sini panas 30 minit lepas dan sekarang hujan,” katanya, semasa sidang media yang diadakan di 1Borneo sebelum konsert itu berlangsung.
“Saya amat gembira dapat datang ke sini dan membuat persembahan untuk peminat saya. Sudah pasti saya akan memberikan satu persembahan yang cukup berbeza berbanding apa yang mereka pernah saksikan sebelum ini dan saya mahu mereka berasa seronok,” kata Chance, sambil menambah, dia kini 7-inci lebih tinggi berbanding kali terakhir dia datang ke Kota Kinabalu, November tahun lepas. Ini adalah persembahan kali kedua penyanyi dari AS itu di sini.
Bercakap mengenai sensasi pop Korea (K-pop), Chance memberitahu muzik K-pop adalah suatu yang hebat tetapi tidak terlalu mendapat perhatian di Amerika Syarikat seperti mana Psy (penyanyi Oppa Gangnam Style) yang mencetuskan fenomena bukan sahaja di negara Uncle Sam itu tetapi juga di seluruh dunia.
“Saya tidak pernah bertemu Psy tetapi saya tidak pula terfikir untuk membuat video seperti Oppa Gangnam Style kerana saya tahu ia pasti nampak hodoh kerana saya tidak pandai menari,” tambahnya.
Mengenai album EPnya yang berjudul Truth Be Told Part 1, Chance berkata ia memuatkan enam buah lagu yang “terlalu istimewa bagi saya kerana semua lagu ini saya tulis sendiri dan album ini umpama saya mengubah permainan saya kerana saya menukar genre saya dalam album ini berbanding album terdahulu.”
“Ia lebih perlahan, natural dan segar… Saya merasakan ia baik untuk generasi saya mempunyai lagu seperti ini, kerana ketika ini muzik pop sudah mula kedengaran hampir sama dan saya ingin mengubahnya sedikit.
“Album ini lebih kepada penceritaan sebuah kisah mengenai kehidupan peribadi saya dan saya merasakan ia (album) sedikit lebih matang (berbanding EP terdahulu) kerana sekarang saya sudah meningkat dewasa, begitu juga muzik saya.
“Gaya saya sangat berbeza untuk album ini dan mungkin ia akan berubah lagi… saya tidak tahu kerana bagi saya muzik sentiasa berkembang dan walaupun jika anda mendengar artis yang berbeza dan band yang berbeza ia berubah untuk setiap album,” katanya.
Bagaimanapun, Chance menafikan dia mempunyai teman wanita apabila ada peminat cuba mengaitkan dirinya dengan lagu You might be The One dan Leila.
“Semua orang bertanya jika saya mempunyai teman wanita bernama Leila dan saya jawab ‘tidak’.
“You Might Be the One pada dasarnya menceritakan tentang bagaimana diri saya setiap kali saya jatuh cinta sebelum ini, saya seperti orang yang bodoh, di mana saya tidak dapat berfikir… Ia hanyalah satu pemikiran bagaimana rasanya apabila saya berada di alam percintaan dan bukannya benar-benar bercinta.
“Lagu Leila bagi saya merujuk kepada seorang yang sempurna dan tidak wujud, Leila lebih kepada sebuah idea dan proses,” tambahnya.
Mengenai sama ada dia mempunyai perancangan untuk mengikut jejak langkah Justin Bieber, dia berkata, “Tidak”.
“Saya buat hal saya sendiri tetapi saya merasakan tattoo Justin sangat hebat, saya nampak tattoonya yang berbentuk burung hantu dan saya rasa ia hebat.
“Kakak saya juga mempunyai tattoo dan saya mungkin mahu seperti dia apabila saya sudah berusia 18 tahun tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang. Apa pun saya rasa ia pastinya menarik.”
Sebagai remaja yang baru berusia 15 tahun, Chance yang mula mencipta nama melalui YouTube berkata, ketika berumur enam tahun, dia tidak pernah terfikir bahawa dia akan dia akan datang ke Malaysia.
“Ia adalah sesuatu yang di luar realiti tetapi saya berasa seronok dapat melakukan apa yang saya mahu seperti menulis muzik (lagu) dan membuat persembahan.”
Katanya, dia berharap masih boleh menghasilkan muzik dan membuat persembahan sepuluh tahun akan datang dan mahu dikenali sebagai seseorang yang menghasilkan dan mencintai muzik.
“Saya merasakan kadang-kadang artis lebih dikenali kerana rupa mereka dalam gambar dan apa yang mereka pakai dan berapa banyak wang mereka ada tetapi saya hanya ingin dikenali sebagai seseorang yang mencipta dan mencintai muzik.
Mengenai sama ada dia pernah menangis apabila mendengar lagu, Chance mengakui, “sudah tentu, saya menangis setiap hari.
“Muzik sepatutnya bukan sahaja menghiburkan dan seronok untuk didengari, ia harus dapat menyentuh perasaan kita, contohnya apabila saya mendengar sebuah lagu cinta saya akan berasa seperti ‘saya mahu jatuh cinta’ dan jika ia lagu sedih, saya akan menangis.
“Sebagai seorang penulis lagu saya cuba meletakkan sebanyak mungkin hubungan peribadi ke dalam muzik saya seperti mana yang saya dapat rasakan dari muzik lain yang saya dengar.
“Dan untuk peminat saya yang mendengar lagu California Sky dan EP saya, saya mahu mereka memikirkan tentang seseorang yang mereka rindui sebab itulah sebenarnya yang cuba saya sampaikan dalam lagu itu,” katanya.
Gambar-gambar berikut diambil ketika Chance membuat persembahan dalam konsert itu:
Sumber:
Harian Ekspres
6 November 2012
No comments:
Post a Comment