Wednesday 7 November 2012

Uji bakat pementasan broadway Benny and the Emerald Forest

CHUA bersama mereka yang terbabitkan dalam produksi itu.
 
SEBAGAI menyokong usaha program transformasi ekonomi kerajaan berserta kejayaan muzikal terdahulu, Persatuan Teater Muzikal Sabah menganjurkan produksi penuh Broadway, Benny and the Emerald Forest, lengkap dengan kostum dan muzik berhakcipta.

Presidennya, Peter Chua berkata, sekiranya kita berhasrat memiliki masyarakat dan gaya hidup berpendapatan tinggi, muzik dan kesenian adalah penting.

“Perubahan hidup luar biasa yang dilihat pada golongan belia yang mengambil bahagian dalam bengkel kami sebelum ini, mendorong kami terus berusaha dan memberi lebih.”

Beliau berkata demikian semasa satu sidang media yang diadakan di Music Mart, Asia City di sini pada Sabtu lepas.

Benny and the Emerald Forest adalah sebuah Muzikal Broadway yang diadaptasi daripada Wonderful Wizard of Oz milik Frank Baum.

Selain itu, Chua menyeru agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk membantu mereka dalam usaha muzik mereka yang berupaya mengubah hidup seseorang.

Beliau menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka semasa cuti sekolah, namun hanya mengalu-alukan mereka yang mempunyai masa untuk memberi komitmen penuh kepadanya selama sepuluh hari.

Uji bakat dibuka kepada mereka yang berumur antara 13 dan 26 tahun. Pendaftaran boleh dibuat secara atas talian di http://www.sabahmusicaltheatre.org atau berkunjung ke Music Mart (Asia City) untuk mendapatkan borang.

Tarikh tutup pendaftaran ialah 10 November. Selepas mendaftar, peserta akan diminta memuat turun Kit bahan uji bakat. (Pilih satu lagu daripada dua pilihan, dan satu daripada tiga monolog).

Uji bakat akan bermula pada 15 November, 2012 (di Music Mart, Asia City). Setelah dipilih, peserta diminta membayar RM500 untuk sewa kostum, bahan untuk bengkel serta pakaian berlatih.

Bengkel tersebut akan diadakan dari 13 hingga 23 Disember di Dewan Konvensyen Star City. Peserta akan menjalani lapan jam latihan setiap hari, selama sepuluh hari.

Acara lain termasuk Makan Malam Gala & Konsert Perdana dari jam 7 malam di Dewan Konvensyen Star City pada 23 Disember.

Sebuah Konsert Waktu Siang akan diadakan di Dewan berkenaan pada jam 2 petang pada 24 Disember.

Program muzikal ini disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah, dipersembahkan oleh Persatuan Teater Muzikal Sabah, Broadway Academy, TheRockSchool Musical Theatre, Music Mart serta dianjurkan oleh Persatuan Media Sabah dan e-Sabahdaily.com (Laporan Rini Zahlifah Ismail)


Sumber:
Harian Ekspres
7 November 2012















No comments:

Post a Comment