Tuesday 20 November 2012

Pekerja ladang mati ditikam rakan, tiga lagi cedera serius

SHAMSUDIN (kiri) dan pegawai penyiasat Insp Muthalib Harun
menunjukkan barangan yang dirampas.
SEORANG pekerja ladang berumur 37 tahun mati sementara lagi cedera serius selepas ditikam rakan sekerja mereka ketika sesi berjudi “domino” di hadapan rumah pekerja di Ladang Matamba, di Lahad Datu, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah, Supt Shamsudin Mat dalam satu sidang media berkata susulan insiden itu, polis menahan suspek pada hari kejadian.

Menurut Shamsudin, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Amirudin Raside, dari Indonesia, sementara suspek adalah rakan senegaranya, berumur 35 tahun.

“Siasatan awal mendapati bahawa sekitar jam 10 pagi Ahad lepas, keempat-empat mangsa pergi ke rumah suspek untuk berjudi. Ketika berjudi, keempat-empat mangsa menuduh suspek menipu dalam permainan itu dan tindakan itu mencetuskan pergaduhan.

“Bimbang dipukul oleh keempat-empat lelaki itu, suspek masuk ke bilik tidurnya dan mengambil pisau sebelum menikam keempat-empat mangsa.

“Amirudin rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara tiga lagi, yang turut ditikam oleh suspek, berjaya melarikan diri,” katanya.

Menurut Shamsudin, selepas dimaklumkan mengenai insiden itu, satu pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah pergi ke tempat kejadian dan menahan suspek yang ketika itu bersembunyi di sebuah rumah, tidak jauh dari tempat kejadian.

Beliau berkata pasukan itu turut merampas pisau Bugis sepanjang 20sm yang dipercayai digunakan dalam insiden itu dan ditemui di tangga rumah itu, di mana suspek turut menyembunyikan set permainan ‘domino’.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat, sementara tiga mangsa lain, yang masing-masing cedera di dada, perut dan rusuk kanan, kini di rawat di hospital sama dan berada dalam keadaan stabil.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambahnya.


Sumber:
Harian Ekspres
20 November 2012

No comments:

Post a Comment