Tuesday 20 November 2012

Penduduk Palestin di Gaza takut keluar rumah


SERANGAN bertalu-talu oleh tentera rejim Israel terhadap Semenanjung Gaza tanpa mengira siang atau malam menyebabkan penduduk Palestin kini tidak berani keluar rumah, kata seorang penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

“Penduduk awam hanya berada di rumah dengan pintu terkunci dan tidak berani untuk keluar ke mana-mana...hanya kelihatan para pejuang Palestin yang terus berada di luar rumah untuk menentang Israel.

“Banyak orang terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak. Letupan berlaku di mana-mana termasuk di belakang kediaman saya,” kata Wesam Ahmad.

Wesam berkata penduduk di Gaza ketika ini hanya mampu bertahan dengan bekalan makanan yang mereka ada memandangkan bekalan sukar diperoleh disebabkan suasana tegang.

“Begitu juga dengan bekalan perubatan dan pengangkutan, segalanya terhad dan penduduk di Gaza berharap agar pergolakan di sini dapat dihentikan segera,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Wesam yang kehilangan lima orang anggota keluarga akibat keganasan Israel, berkata rakyat Palestin berharap penduduk dunia terus berdoa agar kemelut di Gaza berakhir dengan baik tanpa meragut lebih banyak nyawa.

Serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza sejak Rabu lepas telah mengorbankan lebih 80 penduduk Palestin manakala 700 yang lain cedera.

Sementara itu Islamic Relief Malaysia (IRM) meminta rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan keturunan supaya menghulur sumbangan bagi membantu rakyat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Zairulshafuddin Zainal Abidin berkata apa yang berlaku di Semenanjung Gaza sekarang bukan lagi isu agama dan bangsa, tetapi telah menjadi isu kemanusiaan yang harus dipandang berat oleh semua penduduk dunia.

Untuk maklumat lanjut, lawati laman facebook ini: Islamic Relief Malaysia


No comments:

Post a Comment