Friday 23 November 2012

Tangguh bulan madu

Boyd PV

USAI majlis resepsi perkahwinan mereka Ahad lepas, T.S. Jeffry dan Domithilla Servatius kembali sibuk dengan urusan kerja.

Hanya sempat bercuti beberapa hari, tumpuan mereka kini diarahkan semula kepada baki kerja dua buah projek drama untuk tayangan di televisyen sempena Tahun Baru Cina, tahun depan di mana T.S. Jeffry terlibat sebagai pengarah sementara isterinya beraksi di hadapan kamera.

Dengan kesibukan itu, nampak gayanya, pasangan pengantin baru ini terpaksa menangguhkan dahulu sebarang hasrat untuk berbulan madu.

Malah, kata T.S. Jeffry, dia belum membincangkan secara serius perancangan bulan madu dengan isterinya.

“Tunggu masa sesuai,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun, T.S. Jeffry membayangkan Australia sebagai lokasi bulan madu mereka.

“Kalau tidak pun, tentu seronok kalau dapat berbulan madu di China.

“Atau kalau susah sangat mencari masa yang sesuai, saya fikir tempat yang dekat seperti Thailand adalah satu pilihan yang baik,” katanya.

Bercerita mengenai perkenalannya dengan Domithila, T.S. Jeffry berkata dia “menemui” isterinya itu di Bumi Kenyalang, bukan di Sabah.

“Itu yang saya rasa kelakar,” katanya.

Domithila berasal dari Kg Kolopis di Penampang sementara T.S. Jeffry adalah anak jati Pasir Mas, Kelantan.

“Saya berkenalan dengan isteri saya ketika saya sedang membuat penggambaran drama RTM bertajuk Waris Pawang Buaya di Sarawak.

“Domithila ketika itu sedang berada di tahun akhir pengajiannya di Kuching. Kebetulan pula, dia turut berlakon dalam produksi itu,” katanya.

Menurut T.S. Jeffry, dia tertarik dengan keperibadian Domithila yang menepati ciri-ciri gadis idamannya.

Merasakan jodohnya sudah sampai, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk melamar Domithila menjadi suri dalam hidupnya.

Dengan bantuan rakan-rakan di Sabah termasuk pengarah/pelakon P.Dik Ganai, T.S. Jeffrey mendekati Domithila dan keluarganya.

Mereka bertunang selama dua tahun dan dalam tempoh itu, mereka lebih mengenali satu sama lain.

“Walaupun masih muda, Domithila berfikiran matang.

“Saya juga suka sifatnya yang sangat memahami diri saya dan kesibukan saya sebagai pengarah dan pelakon,” kata T.S. Jeffry.

Lebih penting lagi, katanya, mereka ada keserasian.

“Saya selesa setiap kali bersamanya walaupun kami mempunyai latar budaya yang berbeza.

“Kami sebenarnya tidak nampak perbezaan itu. Kalau adapun, kami hanya fokus kepada persamaan, bukan perbezaan,” akui T.S. Jeffry, kini berumur 40-an.

Pilih lelaki matang

Domithila, yang setakat ini sudah membintangi beberapa drama TV termasuk Waris Pawang Buaya, berkata dia tidak kisah bersuamikan lelaki yang jauh lebih berusia berbanding dirinya.

“Umur sekadar nombor. Saya yakin dengan keputusan saya berkahwin awal dan dengan orang yang lebih matang.

“…dan saya harap rakan-rakan mendoakan rumahtangga yang kami bina akan berkekalan,” pintanya.

Menyenangi sikap T.S. Jeffry yang matang dan kelakar, Domithila mengakui bukan mudah untuk memahami situasi seorang pengarah dan pelakon yang banyak menghabiskan masa dengan kerja.

Tapi sedikit pengalaman berada di lokasi penggambaran dapat membantu Domithila memahami tuntutan kerjaya suaminya.

Selain Waris Pawang Buaya, Domithila juga membintangi drama bersiri Demi Sugit, Inspektorku Sayang dan Gong Xi Fa Cai Jun Yee. Ketiga-tiga drama ini masih belum ditayangkan.

Pada masa sama, Domithila juga sedang menimba pengalaman melakukan kerja-kerja di belakang tabir produksi.

T.S. Jeffry pula sudah lebih dua dekad mengabadikan diri dengan bidang seni.

Bermula sebagai pelakon, dia kemudian melebarkan sayap ke bidang pengarahan dan menubuhkan syarikat produksi Pentas Wayang Production Sdn Bhd.

Membintangi lebih 80 buah drama TV dan tujuh filem cereka termasuk Maria Mariana dan Lurah Dendam, T.S. Jeffry juga duduk di kerusi pengarah untuk drama popular di Astro Prima yang mengundang kontroversi, Halimah Jongang.

Mahu enam anak

Bercerita soal anak, tanpa berselindung, Domithila berkata kalau ada rezeki dia ingin memiliki ramai anak.

“Kalau boleh saya mahu enam,” katanya sambil tergelak.

Bagaimanapun, katanya, semua itu terpulang kepada soal rezeki.

Berapa pun bilangannya, dia tetap akan terima dan akan membezarkan anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.

Majlis resepsi kedua pasangan itu akan berlangsung pada 12 Disember ini di Kg Tendong, Pasir Mas, Kelantan.











Sumber:
Harian Ekspres
22 November 2012

No comments:

Post a Comment