Monday, 26 December 2011

Rey dan Lotter kongsi kisah Natal

Boyd PV

DUA penyampai Suria fm, Rey dan Lotter, sangat teruja apabila diajak bercerita mengenai sambutan Natal mereka.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Lotter akan merayakan Natal bersama keluarganya di Kg Dungau, Mambakut.

Rey pula akan bersama keluarganya di Kg Tagas, Tuaran.

Persiapan mereka?
"Ala kadar sahaja," pantas Lotter menjawab.

Rey pula belum membuat sebarang persiapan ketika temubual ini diadakan di Perdana Park, Tanjung Aru, seminggu sebelum Natal.

"Saya biasanya akan membeli-belah pada saat akhir. Bukan sengaja melewatkan urusan itu tapi kesibukan tugas dan aktiviti membataskan pergerakan saya," jelas Rey.

Natal datang dan pergi. Namun setiap kali ia hadir, ia pasti meninggalkan suatu kenangan yang ada ketikanya mampu mengusik jiwa.

Kongsikan pengalaman Natal anda.
Rey: Pada semester kedua pengajian saya di Aswara (2005), saya tidak cukup duit tambang untuk balik menyambut Natal bersama keluarga di Tuaran kerana ada keperluan lain yang perlu saya dahulukan.

Sedih jugalah kononnya waktu itu kerana itulah kali pertama saya berjauhan dengan keluarga ketika menyambut Natal.

Boyd tahu apa yang saya buat untuk menyambut Natal pada tahun itu? Saya dan seorang rakan juga dari Sabah, Markus, melepak dari jam 10 malam hingga 8 pagi keesokan harinya di Dataran Merdeka (KL) sambil menonton skrin besar, makan bun dan minum susu kacang soya!

Kami bertukar cerita mengenai pengalaman Natal masing-masing untuk menghilangkan rasa sedih…kononnya. (Ketawa)

Seboleh mungkin, saya tidak mahu lagi melalui situasi di mana saya berjauhan dengan keluarga ketika menyambut hari Natal. Ia bukan suatu pengalaman yang menarik.

Lotter: Bagi saya pula, sambutan Natal kami sekeluarga setiap tahun biasa-biasa sahaja…sangat sederhana. Kami sambut Natal cara kampung sebab kami bukan orang berada. Malah, biskut-biskut juga adalah sesuatu yang asing bagi kami adik beradik.

Ketika saya meningkat remaja, bapa saya (Petrus Edwin Edin) membenarkan kami makan gaji menanam padi ketika musim cuti sekolah hujung tahun.

Dipendekkan cerita, saya dan adik-adik gembira kerana Natal tahun itu kami ada duit yang kami cari sendiri. Kami cadang gunakan duit itu untuk beli baju dan kasut idaman kami untuk sambut Natal.

Seingat saya, waktu itu saya dapat kumpul lebih RM100. Saya rasa sangat gembira tapi kesudahannya, saya tidak dapat beli baju dan kasut yang saya idamkan kerana harganya sangat mahal.

Saya beli juga pakaian dan kasut waktu itu tapi yang murah saja. Lebihan duit itu saya guna untuk belanja Natal saya.

Pengalaman itu kekal di minda saya. Kenapa? Sebabnya…tidak seperti kebanyakan remaja lain ketika itu, saya jarang dapat pegang duit ketika sambut Natal.

Itulah sebabnya saya sangat bersyukur dengan rezeki yang Tuhan bagi kepada saya hari ini.

Apa makna Natal bagi anda?
Rey: Selain menghayati kelahiran Juruselamat, Natal adalah masa paling sesuai untuk kita saling bermaafan. Atau sekurang-kurangnya kita ikhlaskan diri kita untuk memaafkan semua kesalahan yang orang lain lakukan terhadap kita…selebihnya itu urusan dia dengan Tuhan.

Lotter: Sama. (Ketawa) Tapi saya mahu tambah sikit… Natal adalah kesempatan terbaik untuk kita berkumpul seisi keluarga. Sepanjang tahun kita sibuk dengan urusan masing-masing, maka pada sambutan Natal, luangkan masa untuk bersama keluarga.

Sementara itu, sempena Natal ini, Rey akan muncul dalam sebuah rancangan khas di TV2 bermula jam 9.30 pada 25 Disember. Artis lain yang turut menjayakan rakaman program itu ialah Francisca Peter, Esther Khoo, Leonard Tan dan Nikki Palikat, antara lain.