Wednesday 23 March 2011

Artis Sabah mula bangkit

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

TEMPOH dua jam tidak cukup untuk mendengar semua keluh-kesah artis-artis tempatan Sabah yang selama ini merasakan diri mereka dianaktirikan dan tidak mendapat perhatian sewajarnya untuk membolehkan mereka terus bergiat aktif di pentas seni.
      
Idea yang dicetuskan di alam maya kira-kira sebulan lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila hampir 20 penggiat seni tempatan dan orang belakang tabir berhimpun di satu lokasi di Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu malam Sabtu lepas (19 Mac).

Tujuannya hanya satu – ingin mencari jalan untuk mendapat pembelaan sewajarnya atas nama seni.
Orang kata, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Biarpun diuji dengan pelbagai kepayahan dan halangan, segelintir artis kita tetap bersemangat untuk menjayakan pertemuan itu.

Sammy Arif
Antara yang hadir ialah Clarice John Matha, Jenny Gaising, Esther Clement Tubong, Rozza Rothman, Marcellus Gatisi, Aye P.R.Inc dan Atama, juga komposer Julfekar, personaliti TV dan penyanyi Emran Azmie Rosle @ G-Mie, DJ Othoe, penyokong kuat industri hiburan tempatan Arnez Hamidi, pengarah drama Tony Francis Gitom, beberapa penyanyi dan pelakon pelapis, wakil-wakil syarikat produksi dan syarikat pengurusan artis selain beberapa orang pemerhati.

Pertemuan itu dikendalikan oleh penyanyi Sammy Arif.





Bagaimanapun, segelintir artis yang sebelum ini sangat vokal di alam maya tidak pula kelihatan pada malam itu. Ketiadaan mereka mungkin disebabkan komitmen lain memandangkan pertemuan itu diadakan pada malam minggu.

Dalam pertemuan itu, rata-rata artis kita mengeluh kerana bakat dan titik peluh mereka seperti tidak mendapat penghargaan sewajarnya khususnya dari segi bayaran.

“Menyanyi sehingga enam buah lagu tapi bayaran hanya RM500,” kata Sammy ketika berkongsi ceritanya dengan rakan-rakan yang hadir.

Bagaimanapun, menurut Sammy, atas daya usaha dan inisiatif Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun, dapatlah beliau menerima bayaran minimum RM2,000 untuk setiap show dengan agensi-agensi Kerajaan.

Faktanya: kalau Sammy, yang berpengalaman lebih 30 tahun di pentas seni, masih ditawarkan sekadar RM500 untuk menyanyikan beberapa buah lagu dalam satu show, bagaimana pula dengan mereka yang masih berusaha gigih untuk memperkukuh nama?

“Kalau boleh, biarlah kadar itu digunapakai untuk semua artis tempatan. Minimum RM2,000 untuk satu show saya fikir sudah cukup baik tapi biarlah kadar itu dapat dikekalkan dan meliputi semua,” katanya sambil menambah sebelum muncul di pentas, seseorang penyanyi itu juga menggunakan masanya untuk berlatih dan membuat persiapan lain termasuk pakaian dan sebagainya.

“Artis kita pernah ditegur kerana berpenampilan kurang menarik apabila muncul di atas pentas.

“Bayangkan, kalau mahu kelihatan anggun di pentas, seseorang penyanyi itu memerlukan sekurang-kurangnya RM500 untuk membeli pakaian, kasut, make-up untuk penyanyi wanita dan aksesori lain.

“Kalau bayaran yang diterima setakat RM500, bagaimana kita boleh kelihatan cantik di atas pentas?” soalnya sambil disokong oleh mereka yang hadir.

Menurut Clarice pula, dia pernah menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan bayaran bagi show yang telah dijayakannya.

Clarice pernah menunggu berbulan-bulan untuk dapat bayaran

“Malah lebih menyedihkan, saya terpaksa pula banyak kali menghubungi mereka untuk menuntut bayaran,” katanya tanpa menyebut nama penganjur yang dimaksudkan.

Dalam artikel terdahulu, Clarice pernah bercerita mengenai pengalamannya ditipu penganjur satu acara di Sandakan yang mengurangkan bayaran yang telah dipersetujui selepas dia selesai menjayakan acara mereka.

Malam itu, keluhan yang serupa diutarakannya.

Biarpun berdepan dengan pelbagai kerenah penganjur yang seolah-olah ingin membunuh kerjayanya, Clarice masih berdiri teguh sebagai antara penyanyi wanita popular di negeri ini berkat usaha gigih menggilap nama sejak 2004.

Clarice mampu bertahan kerana dia meletakkan jiwa dan raganya dalam bidang ini. Menyanyi adalah pekerjaannya.

“Tapi apa guna semua gelaran “diva”, penyanyi popular dan sebagainya jika bayaran yang saya dapat tidak setimpal dengan titik peluh saya?” katanya kesal.

Hembusan bayu dingin di Pantai Tanjung Aru malam itu bagaikan tidak terasa apabila ruang perbincangan bertukar menjadi medan berdebat di awal acara.

Semuanya bermula apabila Julfekar berkongsi pandangannya mengenai hala tuju muzik tempatan Sabah.

Julfekar ingin melihat kualiti muzik tempatan dipertingkat.
Beliau, juga anak kelahiran Sabah, bercakap dari kaca mata seorang komposer berpangakalan di Kuala Lumpur, yang pastinya amat mementingkan kualiti sesebuah penerbitan album.

Bagaimanapun, di Sabah, katanya, kualiti penerbitan album tidak mencapai tahap yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat global.

“Apabila kita buat sesuatu, kita buat untuk mencapai standard yang boleh dipandang oleh orang lain.

“Apabila kita sudah dihargai, kita akan dibayar mengikut kadar yang sesuai,” Julfekar memberikan pendapat.
Pandangannya itu, bagaimanapun, tidak dikongsi oleh sebahagian yang hadir.

“Kita tidak perlu terlalu mengejar standard yang ada di Semenanjung,” kata Tony Francis Gitom yang sebelum ini pernah bergiat di peringkat nasional sebelum kembali ke Sabah untuk membantu mengembangkan industri perfileman di negeri ini.

Mengikut Tony, soal standard itu mungkin boleh dikaitkan dengan bajet yang dikeluarkan untuk menghasilkan album-album tempatan.

Di Sabah, kos penerbitan sesebuah album hanyalah di antara RM5,000 dan RM15,000 sedangkan di Kuala Lumpur, angkanya berlipat kali ganda bergantung kepada kemampuan kewangan syarikat rakaman ataupun artis itu sendiri.

“Kalau bajet untuk album tempatan setanding dengan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, saya fikir soal kualiti bukan satu masalah,” kata Tony.

Atama pula berpendapat proses pembiayaan perlu dibincang terlebih dahulu.

Atama turut memberikan pendapatnya mengenai industri muzik tempatan.
“Kita tidak ada dana untuk membantu perkembangan industri (hiburan) di Sabah,” katanya.

“Industri kita juga sudah ditindas sejak dari dahalu dari segi hak cipta dan royalti,” tambahnya.

Kadar bayaran RTM untuk artis turut dibangkitkan dalam pertemuan itu.

“Sejak dahulu hingga sekarang, kadar yang dibayar oleh RTM masih sama,” kata Sammy.

Menurutnya, kadar itu wajar dikaji kerana kerja-kerja rakaman untuk program siaran RTM biasanya mengambil masa beberapa hari.

“Tapi berapa bayaran yang kita dapat?” soalnya.

Banyak lagi isu lain yang dibangkitkan dan kebanyakannya berkisar mengenai soal bayaran untuk artis tempatan.

Artis-artis yang menghadiri pertemuan itu turut dimaklumkan mengenai hasrat untuk menubuhkan sebuah persatuan yang akan menaungi artis tempatan Sabah.

“Kita akan berusaha untuk menubuhkan sebuah persatuan dimana kita boleh bernaung,” kata Sammy sebelum menjelaskan peranan persatuan itu.

“Melalui persatuan ini kelak, kita akan fikirkan mengenai kebajikan artis, mengenai caruman KWSP untuk artis, insurans dan sebagainya. Persatuan itu kelak akan mewakili suara artis tempatan,” jelasnya.

Ditanya apa perlunya mewujudkan begitu banyak persatuan untuk artis tempatan sedangkan ketika ini sudah ada sekurang-kurangnya dua buah persatuan untuk tujuan yang sama, Sammy menjelaskan:

“Saya tidak pernah dengar adanya persatuan untuk menaungi artis di Sabah.

“Kalau ada persatuan, kenapa kita tidak dengar sebarang aktiviti yang mereka anjurkan? Kenapa saya tidak pernah dipelawa menjadi ahli mereka?

“Saya ingin bertanya kepada semua yang ada di sini, berapa ramai yang menganggotai mana-mana persatuan membabitkan artis tempatan?” katanya. Dan tidak seorang pun memberikan maklum balas kecuali Rozza.

“Itulah sebabnya maka kita perlukan sebuah persatuan yang aktif untuk menjaga kebajikan artis tempatan,” katanya.

Masih banyak yang ingin bersuara pada malam itu tapi tempoh dua jam yang diberikan kepada mereka oleh pemilik premis membataskan segalanya.

Segala butir perbincangan, menurut Sammy, akan dikumpul dan diserahkan kepada Datuk Masidi dalam kunjungan hormat yang akan mereka lakukan ke atas Menteri itu dalam masa terdekat.

Walaupun kehadiran kurang memberangsangkan, pertemuan itu dilihat sebagai satu permulaan yang baik kerana sekurang-kurangnya, artis-artis tempatan kita kini sudah berani bersuara dan dapat melihat hala tuju perjuangan mereka. Tahniah!



 SATU SUARA…semua yang hadir mengabadikan kenangan di akhir acara
.

Thursday 17 March 2011

Khai sertai keluarga Ch 180 Muzik Aktif

Boyd PV
SEJAK pertengahan Februari lalu, pemilik nama Khairol Azwan Arba atau DJ Khai sudah pun meninggalkan konti stesen radio Sandakan fm untuk melebarkan sayap kerjayanya dalam bidang penyiaran di stesen televisyen pula.

Khai kini semakin serasi dengan Ch 180

Khai kini bertugas sebagai Penerbit Rancangan B17 di Angkasapuri dan ditempatkan di saluran Ch 180 Muzik Aktif yang khabarnya bakal melalui penjenamaan semula dijangka bermula April ini dan akan dikenali sebagai TVi.

“Buat masa ini, saya sedang dalam proses menjalani latihan intensif sebagai persiapan untuk berada di depan kamera,” kata Khai ketika dihubungi di Kuala Lumpur awal minggu ini.

Menurut Khai, tugasnya kini jauh berbeza daripada apa yang lazim dilakukannya di konti Sandakan fm.

“Di Ch 180, saya akan ditugaskan membaca berita, penyampai rancangan, membuat liputan, ‘stand upper’ dan sebagainya,” kata Khai sebelum menambah kebanyakan bahan yang dipaparkan dalam saluran itu adalah berkaitan bidang hiburan.

Dalam tempoh sebulan berada di tempat kerja barunya, Khai berpeluang membuat liputan untuk sekurang-kurangnya tujuh acara.

“Tapi semua itu belum disiarkan lagi. Ia satu latihan yang cukup bagus untuk membina keyakinan diri.

“Banyak yang perlu saya pelajari tapi saya fikir itu tidak menjadi masalah kerana selepas beberapa minggu, saya dapat merasakan bahawa saya menyukai bidang kerjaya yang baru ini,” kata Khai yang berpengalaman selama 5 tahun di konti siaran radio di Labuan dan Sandakan.

“Di peringkat awal bersama Ch 180, saya sedikit gementar dan tidak pasti apa yang harus saya jangkakan.

“Tapi lama-kelamaan, saya semakin selesa bersama keluarga baru saya di sini,” katanya merujuk kepada Ch 180 yang disasarkan untuk penonton golongan remaja dan belia.

“Di sini, kami ada 12 orang warga kerja dan kebanyakan mereka adalah orang baru seperti saya. Tapi kerja sama dan hubungan rapat sesama kakitangan membuatkan saya cepat serasi dengan tempat baru ini,” katanya. Khai kini menetap di Cheras bersama kakaknya.

Masih dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana di tempat baru, Khai mengakui dia amat merindui bekas rakan-rakan sekerja di Sandakan fm serta pendengar-pendengar setia siaran itu.

“Kepada pendengar-pendengar Sandakan fm, terima kasih banyak kerana memberi sokongan kepada saya selama tiga tahun saya bertugas di Sandakan.

“Pengalaman dan kenangan yang saya kutip di sana akan terus tersimpan dalam memori saya, terima kasih banyak.

“Teruskan menyokong kerjaya saya dan saya mengharapkan doa daripada keluarga dan kawan-kawan agar saya terus berjaya dalam bidang yang saya ceburi ini,” kata anak kelahiran Labuan ini yang mengakui rasa sangat gembira dan bersyukurnya kerana selepas menunggu 5 tahun, dia akhirnya menjadi kakitangan tetap RTM.

Penggiat industri hiburan tempatan adakan pertemuan Sabtu ini

Boyd PV
SUSULAN laporan mengenai kenyataan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Siringan Gubat mengenai industri hiburan tempatan yang disiarkan di ruangan ini sedikit masa lalu, nampaknya artis-artis tempatan Sabah kini mula terdorong untuk bersuara.

Sejak sekian lama, artis-artis tempatan kita merasakan mereka seperti dianaktirikan, tidak mendapat perhatian sewajarnya dan berdepan dengan pelbagai masalah serta kekangan dalam mereka memajukan diri dalam bidang yang mereka pilih itu.

Tambahan lagi, industri hiburan di Sabah tidak terletak di bawah mana-mana kementerian. Dan kerana itulah mereka merasakan seperti tidak mempunyai saluran untuk bersuara walaupun mereka sebenarnya mempunyai sebuah persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Artis Sabah atau Pertisa.

Dan sudah tentu saranan Datuk Siringan mengenai keperluan untuk mewujudkan sebuah persatuan bagi membela artis-artis realiti tv dari Sabah membuatkan penggiat-penggiat seni hiburan bagai disambar halilintar.

Keratan akhbar mengenai laporan itu yang diposkan ke laman sosial Facebook mengundang polemik berpanjangan daripada kalangan penggiat tegar industri hiburan di Sabah – dan pemerhati.

Daripada perbincangan mereka di laman sosial itu, penggiat-penggiat industri hiburan kita dilihat semakin bersatu dalam menyuarakan pandangan dan berkongsi pengalaman sehingga akhirnya tercetus idea untuk mereka berbincang, bukan lagi di alam maya, tapi dalam satu pertemuan.

Itu satu perkembangan yang baik dan diharap akan membawa mereka pergi lebih jauh dalam usaha untuk membela nasib pengiat-penggiat industri hiburan tempatan.

Hiburan Ekspres difahamkan bahawa pertemuan berkenaan akan diadakan Sabtu ini (19hb Mac) bermula jam 7 malam di Bilik Mesyuarat Kejuruteraan, RTM Kota Kinabalu.

Ia akan dipengerusikan oleh penyanyi Sammy Ariffin Khan.

Menurut sumber, selain artis, pertemuan itu dijangka turut dihadiri pengacara, pemuzik, pencipta dan penggubah lagu, penulis lirik, penyusun muzik, pengusaha PA system, pemilik studio rakaman, pelakon, jurukamera, juruaudio, penerbit dan pengarah filem serta telefilem dan pelawak, antara lain.

Pendek kata, pertemuan itu dijangka akan menghimpunkan semua yang terbabit secara langsung dalam industri hiburan tempatan.

Ia bertujuan untuk merangka resolusi yang diserahkan kepada pihak-pihak tertentu yang mereka yakini dapat membantu meleraikan pelbagai kekusutan yang dilalui oleh penggiat seni di Sabah selama ini, kata sumber itu.

Hiburan Ekspres turut mengharapkan apa yang dirancang itu akan menjadi kenyataan kerana membaca polemik mereka dalam laman sosial itu, artis-artis tempatan kita mempunyai banyak perkara untuk dikongsi.

Pertemuan itu adalah medan terbaik untuk mereka bersuara serta berkongsi rasa dan diharapkan mereka yang berkenaan akan dapat meluangkan masa untuk menghadiri pertemuan itu kelak.

Sri Bayu lancar album April?

Boyd PV

SUDAH lama Hiburan Ekspres ingin mendengar bila tarikh sebenar pelancaran album Sri Bayu yang menggabungkan vokal empat artis wanita tempatan – Rozza Rothman, Lydia Kalidin, Meeda Hamzani dan Clarice John Matha – dalam sebuah album.

Ruangan ini, satu ketika dahulu, pernah menyiarkan perkembangan proses pembikinan album itu dan khabarnya, kini album itu sudah siap sepenuhnya dan hanya menunggu untuk dilancarkan.

Namun, sehingga ke hari ini, belum ada tarikh yang pasti bila ia akan dilancarkan.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru membabitkan Sri Bayu, mungkin boleh diterima sebagai pembayang jelas bahawa album berkenaan akan dilancarkan dalam masa terdekat .

Gambar-gambar yang dikongsi oleh Rozza dalam laman sosial Facebook mengenai kunjungan hormat Sri Bayu dan pengedar album itu Bestaborneo Sdn Bhd terhadap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun di pejabatnya baru-baru ini menjelaskan sesuatu.
 
Masidi (ketiga dari kiri) berbual dengan (dari kiri) Meeda, Clarice, Pengarah Urusan
Bestaborneo, Osman R. Rizan dan Rozza (kanan) . Photo credit: Rozza Rothman

Kunjungan hormat itu adalah bagi menjemput Datuk Masidi untuk menyempurnakan majlis pelancaran album berkenaan yang dijadualkan berlangsung April ini dan difahamkan Datuk Masidi telah bersetuju untuk menerima pelawaan itu.

Peminat-peminat Clarice, Rozza, Lydia dan Meeda sudah tentu teruja mendengar perkembangan terbaru ini kerana mereka sudah lama dikhabarkan mengenai projek kolaborasi itu dan tidak sabar menunggu buah tangan terbaru daripada penyanyi-penyanyi kegemaran mereka itu.

Album yang diterbitkan oleh Online Productions berpangkalan di Keningau itu berkonsepkan etnik kreatif kontemporari yang dilatari kepelbagaian budaya di Sabah dan mendapat sentuhan komposer muda, Cyril Aloysius.

Sunday 13 March 2011

Perniagaan gaharu bukan kisah dongeng





SEMENTARA aktiviti penanaman gaharu di Sabah masih di peringkat bertatih, di Thailand ia sudah lama berkembang menjadi satu industri.

Difahamkan, tahun lalu sahaja transaksi berkaitan gaharu di negara itu mencecah angka bilion baht.

“Jumlah itu tidak termasuk transaksi di pasaran gelap,” kata Dr Mohammad Lohmoh, Pengarah Projek dan Perancangan, Agarwood Network (Thailand) Co. Ltd. (ANT).

Syarikat itu adalah pemegang paten sejenis vaksin yang mampu mengeluarkan resin gaharu secara menyeluruh dalam masa yang singkat.

Dengan potensinya yang mampu mengurangkan kadar kemiskinan khususnya di luar bandar, Dr Mohammad menggalakkan penduduk di Sabah mengambil peluang untuk turut sama bergiat dalam aktiviti penanaman gaharu baik secara kecil-kecilan mahupun komersil.

“Walaupun hasilnya hanya akan dapat dinikmati seawal-awalnya 5 tahun, usaha itu pasti tidak akan sia-sia jika ianya dimulakan dengan langkah yang betul sejak dari peringkat awal. Ini satu pelaburan jangka panjang yang diyakini mampu memberikan pulangan lumayan,” katanya ketika membawa peserta-peserta lawatan ke Nana Street di bandaraya ibu negara Thailand, Bangkok.

Salah satu kedai menjual gaharu di Nana Street.

Lawatan ke Nana Street itu adalah untuk memberi peluang kepada para peserta melihat sendiri bagaimana teras dan pati minyak gaharu diniagakan di premis-premis perniagaan di sana.

Penulis, bagaimanapun, diingatkan supaya tidak mengambil gambar di dalam premis-premis itu ataupun menemubual penjual-penjual gaharu terbabit secara formal.

Dapat mengesan kekeliruan penulis, Dr Mohammad pantas menjelaskan:
“Mereka tidak suka kerana gaharu-gaharu yang mereka jual di sana diperolehi dari sumber hutan semulajadi.”

Menurut Dr Mohammad, mereka membeli gaharu itu di pasaran gelap dengan harga yang murah dan menjualnya pada harga yang tinggi kepada pembeli-pembeli khususnya dari Timur Tengah.

“Kerana itu, sekalipun mereka melayan kamu, mereka tidak akan berikan maklumat yang tepat,” jelas Dr Mohammad sebelum menambah, pemilik-pemilik kedai itu langsung tidak akan melayan orang-orang Siam sepertinya kerana orang tempatan di sana sedia maklum mengenai sisi gelap urus niaga yang mereka jalankan.

Sekitar 100 meter dari pintu masuk utama ke Nana Street, tersergam Grace Hotel yang mana di bahagian bawahnya turut menempatkan sebuah premis menjual teras dan pati minyak gaharu.

Dengan tulisan Arab tertera pada dinding kacanya, penulis dan beberapa peserta melangkah masuk ke premis itu dengan harapan untuk dapat bertanya sesuatu kepada pekerja atau pemiliknya.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian kerana pekerja di premis itu tidak tahu berbahasa Inggeris manakala peserta-peserta lawatan pula hanya sempat belajar beberapa perkataan dalam bahasa Siam termasuk sawatdee karb (selamat bertemu), sabai deemai (apa khabar), kap kun (terima kasih) selain menghitung neng, song, sam, see, ha, hok, ched, pad, kau dan sip (1 hingga 10 mengikut urutan).

Seorang wanita, yang kemungkinan besar merupakan pemilik perniagaan itu, dilihat khusyuk melayan seorang pelanggan warga Arab yang berminat membeli gaharu.

Butir bicara mereka mudah difahami kerana mereka berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Beberapa jenis gaharu dikeluarkan dari rak-rak kaca dan dibakar satu persatu oleh wanita itu dan pelanggannya pula teruja menghidu asapnya. Ekspresi wajah lelaki Arab itu berubah setiap kali asap itu menyentuh deria baunya.

Proses itu berlanjutan agak lama kerana pelanggan itu sangat teliti dalam mendapatkan nilai terbaik untuk wangnya.

Sesi “membakar gaharu” itu hanya berakhir selepas pelanggan itu menemui apa yang diinginkannya.

Two thousand per kilo (dua ribu satu kilo),” kata wanita separuh umur itu. Transaksi tersebut dijalankan dalam Dolar Amerika.

Lelaki Arab itu mengangguk-anggukkan kepalanya dan mula mengira wang dari dompetnya.

Melangkah masuk ke kawasan Nana Street seluas 200 ekar di utara kota metropolitan Bangkok, anda segera akan merasakan seperti berada di Tanah Arab. Ke mana pun anda bergerak, anda pasti akan berselisih bahu dengan orang-orang Arab yang sibuk dengan urusan masing-masing.

Sesekali, anda akan turut dapat melihat warganegara lain di antara mereka.

“Tempat ini memang terkenal dalam kalangan warga negara asing. Di sini, kamu akan dapat melihat pelancong dari Nigeria, Perancis, Pakistan, Uzbekistan, Myanmar, Nepal malah dari Itali juga,” jelas Dr Mohammad.

Dua pelancong dari Timur Tengah sedang bersantai di Al- Ferros Restaurant. Kebanyakan premis perniagaan di Nana Street mempunyai ciri-ciri Arab termasuk hiasan dan tulisan pada papan tanda dan dinding kedai dan juga dalam menu makanan mereka.
 
Baru melangkah sekitar 100 meter ke dalam kawasan Nana Street, penulis sudah menghitung tidak kurang lapan premis yang menjual gaharu.

Premis-premis itu mudah dikenal pasti melalui teras-teras gaharu yang diperagakan di dalam rak kaca di pintu masuk premis terbabit.

Penulis akur dengan penjelasan Dr Mohammad mengenai keengganan pemilik premis menjual gaharu itu untuk ditemuramah.

Bagaimanapun, itu bukan penamatnya.

Turut bersama kami dalam lawatan itu ialah seseorang yang kelibatnya kelihatan seperti orang Arab sehingga peserta-peserta lawatan lebih mesra memanggilnya dengan nama “Osama”.

'Osama' (kiri) dan Dr Mohammad
Nama sebenarnya ialah Mahlil Mokti, 35, dari Putatan. Beliau boleh bertutur sedikit sebanyak dalam bahasa Arab, Urdu dan Hindustan selain fasih berbahasa Inggeris.

Selepas diyakinkan, Osama akhirnya bersetuju untuk menyamar sebagai pelancong Arab, dengan diiringi Dr. Mohammad dan penulis, untuk misi mendapatkan maklumat daripada peniaga-peniaga gaharu di Nana Street.
Osama melangkah masuk ke sebuah premis yang kelihatan sangat eksklusif dengan kilauan pelbagai barangan perhiasan berwarna keemasan.

Kaifahaluka (apa khabar)?” katanya dalam bahasa Arab untuk menarik perhatian Farouk, 40, salah seorang daripada tiga pekerja di premis itu.
  Kedai menjual gaharu di mana Farouk bekerja
Mere nam Mahlil. Gaharu maujud hei (Nama saya Mahlil, ada jual gaharu di sini)?” sambungnya dalam bahasa Urdu pula.


Dia kemudian rancak berbual dalam bahasa Inggeris dengan Farouk yang berasal dari India.
Farouk menawarkan pelbagai gred gaharu dengan harga yang berbeza-beza bergantung kepada “dari mana ianya diperolehi”.

Premis di mana Farouk bekerja
Harga paling mahal ditawarkannya ialah 50,000 baht (RM5,000) setiap kilo untuk gaharu yang didakwanya diperolehi dari India manakala bekalan tempatan dijualnya pada harga 40,000 baht (RM4,000).
Pati minyak gaharu pula diniagakan pada harga RM3,000 satu tola (12.5 ml).

Untuk meyakinkan Osama, Farouk mengeluarkan bekas membakar gaharu dengan bara api dan mula memberikan sampel-sampel kepada Osama untuk dihidu asapnya.


“Perundingan” mereka berlanjutan agak lama tetapi tiada wang bertukar tangan kerana Osama “tidak berpuas hati dengan bau asap yang dihidunya”.
Premis-premis lain juga menawarkan gaharu pada harga yang berbeza-beza.

Secara kasarnya, harga paling murah ialah RM2,000 sekilogram dan paling mahal mencecah RM8,000, bergantung kepada gred serta kualiti dan sekali lagi, “dari mana ia diperolehi”.

Spesies hibrid “Cambodia” dikatakan mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pembeli Arab.

Difahamkan, benih spesies hibrid itu boleh diperolehi di Sabah menerusi wakil ANT di sini.

Di Nana Street juga ada dijual kayu-kayu hiasan daripada gaharu tetapi rata-ratanya bersaiz kecil, tidak seperti yang pernah penulis lihat di Seng Tung, bengkel milik ANT di wilayah Trat.

Selepas mengamati salah satu kayu hiasan yang dipamerkan, Dr Mohammad, yang mempunyai kepakaran lebih 13 tahun dalam industri gaharu, memberitahu kayu hiasan itu sebenarnya “dicipta”.
 
Dua gambar di atas adalah sebahagian daripada puluhan kedai menjual gaharu di Thailand
Maksudnya, kayu berwarna gelap itu bukan teras gaharu tulen. Ia adalah sejenis kayu yang diwarnakan menyerupai teras gaharu dan sekali pandang ia kelihatan seperti asli.

“Mereka yang tidak mempunyai pengetahuan dalam penggredan gaharu akan mudah terpedaya kerana sekali imbas, ia kelihatan seperti tulen,” jelasnya.

Demikian juga aktiviti penanaman gaharu itu sendiri, ianya penuh dengan dugaan dan penyelewengan khususnya berhubung teknologi vaksin, akui Dr Mohammad.

Sehubungan itu, beliau menasihati penanam-penanam gaharu di Sabah agar berwaspada dan tidak berurusan dengan mana-mana syarikat yang hanya berminat untuk mengaut keuntungan semata-mata dan bukan untuk membantu menghapuskan kemiskinan dalam kalangan orang kampung, seperti yang mereka dakwa.

“Perkara seperti ini juga berlaku di Thailand, malah dimana-mana sahaja. Saya dengar cerita di Kemboja juga begitu.

Angkara orang-orang terdahulu, kami kini terpaksa bermula dari sifar untuk meyakinkan pemilik-pemilik ladang di Thailand mengenai teknologi vaksin kami yang mampu mempercepat penuaian hasil.

“Kewujudan orang-orang oportunis seperti itulah sebenarnya yang merosakkan industri gaharu dan menjejaskan kepercayaan orang ramai sehingga mereka sukar untuk melihat potensi sebenar gaharu,” katanya.

Selepas berada lapan hari di Negara Gajah Putih, penulis yakin bahawa jika dilakukan dengan betul, pokok karas atau gaharu mampu memberi pulangan lumayan kepada penanamnya.

Malah, pembabitan ramai pengusaha tanaman gaharu di Sabah akan dapat mewujudkan sebuah industri ‘emas hitam’ yang mapan di negeri ini sepertimana yang berlaku di Thailand.



Penulis (depan, kanan) bersama Dr Mohammad (depan, kedua dari kanan) serta Prof. Auma Tasa, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, ANT (depan, kiri), mengabadikan kenangan bersama peserta-peserta lawatan (depan, dari kiri) John Lainsin dan Brazilan David, (belakang, dari kiri) Fr Bruno Andau Yasun, Claymark Albert, Mahlil 'Osama' Mokti, Atar Nasar, Musah Osman dan Ahmad Redzuan. 


Thursday 10 March 2011

Inovasi gaharu



BARU-BARU ini, BOYD PV menyertai rombongan sekumpulan lapan pelabur dan bakal pelabur tanaman pokok gaharu dari Sabah ke beberapa wilayah di Thailand untuk mendalami industri gaharu yang sudah lama bertapak di Negara Gajah Putih itu. Tempat-tempat yang diliputi dalam lawatan itu ialah Chanthaburi, Trat, Rayong, Pattaya dan berakhir di Bangkok. Laporan Khas ini adalah bahagian ketiga daripada empat bahagian.




Prof Auma menerangkan fungsi peralatan mengekstrak pati minyak gaharu 
SEBUT sahaja gaharu, kita pasti akan terbayang pati minyaknya yang bernilai tinggi itu.

Atau kalau tidak pun, tumpuan kita akan terarah kepada kayu teras berwarna gelap di tengah-tengah batang pokok itu yang harganya boleh mencecah ribuan ringgit sekilogram.

Di Thailand, ia lebih daripada itu.

Industri gaharu yang sudah bertapak lebih 30 tahun di negara jiran itu menyaksikan produk-produk berasaskan gaharu semakin giat dipelbagaikan.

Daripada produk penjagaan diri sehinggalah kepada minuman dan pelbagai barangan cenderahati, industri gaharu di Thailand sedang melalui proses inovasi yang dijangka akan membawanya pergi lebih jauh.

“Itulah perkembangan yang sedang berlaku di Siam ketika ini,” kata Prof. Auma Tasa, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Agarwood Network (Thailand) Co. Ltd. (ANT).

Syarikat berpejabat di Ladkrabang, Bangkok itu adalah pemegang paten sejenis vaksin yang mampu mendorong pokok karas menghasilkan resin gaharu pada kadar lebih cepat dan menyeluruh.

“Syarikat kami menghasilkan pelbagai produk hiliran berasaskan gaharu dan setakat ini sambutan terhadap produk-produk yang kami hasilkan, khususnya dalam kalangan pembeli di Timur Tengah, sangat memberangsangkan,” katanya kepada peserta-peserta lawatan selama 8 hari itu ketika berada di Ladang Sok Chai, wilayah Rayong, salah satu daripada 76 wilayah di negara jiran itu.

Kunjungan ke ladang itu yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kachet, pekan paling hampir, adalah untuk melawat kilang mengekstrak pati minyak gaharu serta bilik pameran yang memperagakan pelbagai produk hiliran gaharu keluaran syarikat berkenaan.

“Teras perniagaan syarikat kami adalah memasarkan teknologi vaksin. Tetapi pada masa yang sama, kami juga melakukan inovasi untuk mempelbagaikan kegunaan gaharu dalam kehidupan seharian,” katanya.

Ladang seluas 100 ekar yang masih di peringkat awal pembangunan itu mula beroperasi sejak setahun lalu.
Ia dibangunkan secara usaha sama dengan sebuah syarikat tempatan di sana dengan kos mencecah 6 juta bath (RM600,000).

Berhampiran pintu masuk ke ladang itu tersergam sebuah bangunan kayu yang dijadikan ruang pameran produk-produk hiliran berasaskan gaharu.
Pelbagai jenis sabun berasaskan gaharu

Di ruang pameran itu tersusun beberapa rak yang menempatkan pelbagai jenis barangan termasuk sabun mandi, syampu, balsam, lingkaran dan kon penghalau nyamuk, minyak wangi, teh dan kopi gaharu, barangan cenderahati, krim pencerah kulit, minyak aroma terapi, minyak urut serta penyegar udara dan dijual pada harga antara RM10 dan RM100.

“Semua barangan ini dihasilkan oleh penduduk di kawasan sekitar. Kami bekalkan mereka dengan bahan-bahan mentah dan mereka mengambil upah untuk menghasilkan produk. Ada juga produk yang dibuat sendiri oleh pekerja-pekerja di ladang ini,” kata Prof Auma. Ladang itu mempunyai 15 orang pekerja tetap.


Balsam dan minyak angin adalah antara barangan yang dihasilkan
Penduduk kampung yang terbabit dalam aktiviti industri kecil dan sederhana itu dilatih terlebih dahulu oleh syarikat usaha sama tersebut bagi memastikan kualiti produk yang mereka hasilkan menepati piawaian.

“Ini adalah salah satu usaha kami untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk di kawasan sekitar,” jelasnya sambil membayangkan pembukaan beberapa kilang pembuatan produk di kawasan itu pada masa akan datang.

Buat masa ini, produk-produk tersebut hanya dijual secara eksklusif di bilik pameran itu yang kerap menjadi lokasi persinggahan pelabur-pelabur dari negara-negara Timur Tengah.

Suei, penjaga bilik pameran bersama barangan cenderahati yang mereka dijual
Biasanya, apabila pelabur-pelabur Arab singgah ke sini, soalan paling lazim yang mereka akan tanyakan ialah berapa banyak kami boleh bekalkan kepada mereka setiap bulan.

“Buat masa ini, kami tidak mampu memenuhi permintaan mereka kerana perniagaan ini masih di peringkat awal.

“Tapi kami teruja kerana konsep yang kami ketengahkan ini mendapat perhatian,” katanya.

Menurut Prof. Auma, terdapat kira-kira 50 syarikat di Thailand yang terbabit dalam industri gaharu tapi kebanyakannya lebih memberi tumpuan kepada aktiviti mengekstrak pati minyaknya.

“Tidak banyak syarikat yang terbabit dalam pembuatan produk-produk hiliran gaharu,” jelasnya.

Pelbagai jenis syampu dan perapi rambut
Terletak kira-kira 200 meter dari bilik pameran, kelihatan pula sebuah bangunan dua tingkat berukuran kira-kira 5 meter x 10 meter.

“Ini adalah kilang untuk mengekstrak pati minyak gaharu,” jelas Prof. Auma mengenai bangunan yang tampak ringkas buatannya itu.

Tingkat atas bangunan itu menempatkan ruang pengeringan cebisan-cebisan kayu karas selepas dihancurkan menggunakan mesin.
Ruang pengeringan

Suhu di dalamnya sangat panas umpama berada di dalam sebuah ketuhar besar kerana bumbung dan dindingnya diperbuat daripada kepingan zink.

“Ia dibuat sedemikian rupa kerana cebisan-cebisan kayu yang sudah dimesin perlu dikeringkan “tiga kali panas”,” kata Prof. Auma.

Beliau merujuk kepada proses mengeringkan cebisan-cebisan kayu itu selama tiga hari untuk memastikan ianya benar-benar kering kerana sekiranya cebisan kayu itu masih mengandungi air, ia mudah ditumbuhi kulat.

“Itu boleh menjejaskan kualiti pati minyak yang terhasil,” Prof. Auma menjawab soalan seorang peserta lawatan itu.

Jika hujan turun atau matahari tidak cukup terik, kerja mengeringkan cebisan kayu itu masih boleh dilakukan di ruang itu menggunakan bahan api yang dinyalakan di bawah kepingan zink yang digunakan untuk menjemur cebisan-cebisan kayu itu, tambahnya.

Setelah cukup kering, cebisan-cebisan kayu itu dimasukkan ke dalam bekas plastik berpenutup dan direndam dengan air bersih sehingga dua minggu sebelum dipindahkan ke bilik di tingkat bawah bangunan itu untuk proses mengekstrak pati minyaknya.
Cebisan kayu gaharu direndam selama dua minggu

Cebisan-cebisan kayu itu kemudian dimasukkan bersama air rendamannya ke dalam bekas pemanasan bertekanan di bilik berkenaan. Ada 12 bekas kesemuanya.

Mengekstrak pati minyak adalah satu proses yang panjang.

Dengan suhu yang dikawal di antara 80-100 darjah Celsius, kandungan di dalam bekas yang diperbuat daripada aluminium itu dididihkan menggunakan bahan bakar selama satu minggu tanpa henti bersamaan 168 jam!

Wap yang terhasil kemudian akan memasuki saluran dan balang-balang kaca di atasnya yang nampak sangat kompleks susunannya dan dalam proses itu, campuran air dan minyak akan terpisah.

Air yang terhasil melalui proses penyulingan itu didakwa mempunyai khasiat kesihatan walaupun rasanya sangat kelat.
Pati minyak gaharu selepas proses mengekstrak. (Photo credit: Claymark Albert)
Minyak yang diperolehi pula kemudian dipindahkan ke dalam bekas lain untuk dikumpul sebelum dipasarkan.

Proses mengekstrak pati minyak gaharu memang agak rumit tetapi menurut Prof. Auma minyak itu boleh dijual pada harga sekitar RM3,000 satu tola di pasaran Thailand, bergantung kepada grednya. (Satu tola bersamaan 12.5 ml).

“Untuk menghasilkan 1 hingga 2 tola pati minyak gaharu, kami memerlukan sekitar 30 kilogram kayu kering,” katanya sebelum menambah buat masa ini kilang tersebut mampu menghasilkan sehingga 2 liter pati minyak gaharu dalam sebulan.

“Itupun banyak bergantung kepada bekalan bahan mentah,” katanya lagi.

Banyak lagi produk hiliran lain yang boleh dihasilkan daripada pokok gaharu.

Memberikan contoh, alas untuk gelas daripada kayu gaharu adalah sesuatu yang boleh difikirkan.

Sementara pucuk pokok gaharu boleh dijadikan teh, daun tua boleh dijadikan bantal dengan teknologi tertentu.

“Produk-produk seumpama itu belum ada di mana-mana. Kita perlu kreatif untuk mempelbagaikan produk hiliran berasaskan gaharu yang mempunyai prospek perniagaan sangat baik,” kata Prof Auma yang mana syarikatnya turut menghasilkan kayu hiasan berasaskan gaharu untuk memenuhi permintaan di Timur Tengah.

O Bahagian terakhir Laporan Khas ini minggu hadapan akan membawa anda ke pusat jual beli gaharu dan pati minyak gaharu terbesar di Thailand – Nana Street. Ia terletak 10 km ke utara dari pusat kota metropolitan, Bangkok.