Tuesday 24 May 2011

Masih mencari arah

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

ARIE ketika bertanding di Sugandoi Negeri tahun lalu.
HAMPIR setahun lalu, nama Arie Famree Sius pernah menjadi sebutan apabila dia diumumkan sebagai johan Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri.

Tapi selepas kemeriahan Pesta Kaamatan 2010 berlalu, secepat mana namanya naik, secepat itulah juga ia menghilang.

Kejayaan anak kelahiran Kota Belud itu tidak disusuli dengan sebarang perkembangan yang mewajarkan dia terus diberi ruang publisiti.

Tidak ada album penuh atau sekurang-kurangnya single  untuk dia terus mengorak langkah dalam bidang nyanyian.

Arie bagaikan hilang tanpa sebarang kesan.

Bagaimanapun minggu lepas, Hiburan Ekspres berjaya menjejaki pemuda berumur 22 tahun itu yang ketika ini sedang melanjutkan pelajaran di Petaling Jaya, Selangor.

Arie berada di kolejnya
“Saya mengambil jurusan radiologi di Vision College,” kata Arie menerusi perbualan telefon.

Arie memulakan pengajiannya di kolej swasta itu sejak Januari tahun ini dan dijangka menamatkan pengajiannya pada penghujung 2013.

“Sehingga sekarang saya belum sempat menghasilkan sebarang produk yang boleh saya kongsikan dengan pendengar.

“Itulah sebabnya kenapa tidak ada sebarang publisiti untuk saya di mana-mana,” akuinya.

Bukan tidak pernah ada usaha ke arah itu, kata Arie. Malah, tidak lama selepas menjuarai pertandingan itu, beberapa buah lagu sudah pun disiapkan untuk proses pembikinan album penuh.

“Tapi hasrat itu tidak kesampaian apabila studio rakaman yang sepatutnya terbabit dalam pembikinan album sulungnya  itu berdepan dengan masalah tertentu dan tidak memungkinkan projek itu diteruskan.

Pada mulanya Arie enggan berkongsi apa sebenarnya yang berlaku tetapi setelah didesak, dia berkata studio terbabit telah dipecah masuk dan semua peralatan di dalamnya telah dicuri.

“Tapi saya tidak kecewa dan menganggap semua itu sebagai satu cabaran. Apa yang berlaku itu tidak mematahkan semangat saya untuk sekurang-kurangnya muncul dengan single yang saya harap dapat direalisasikan dalam masa terdekat,” kata Arie yang akan pulang bercuti di Sabah hujung bulan ini.

Khabarnya, Arie akan memanfaatkan cuti pengajiannya yang akan datang ini untuk melunaskan projek singlenya. Khabarnya juga, projek itu turut membabitkan kolaborasinya dengan seorang penyanyi wanita yang pernah mencipta nama dalam sebuah program realiti. 

“Perancangan saya memang ke arah itu tapi buat masa ini, saya hanya dapat berharap agar semua perancangan itu akan berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

Mengimbas penyertaannya dalam pertandingan Sugandoi Negeri 2010, Arie berjaya meyakinkan juri untuk memilihnya sebagai juara menerusi lagu Guminavo Zou Diau dendangan asal Stephen Masil dan Sugandoi (David Yuntala).

Meskipun nyanyiannya kedengaran sempurna, Arie mengakui dia sebenarnya merasa kalut di awal persembahannya apabila lontaran nada rendahnya ketika menyanyikan lagu Guminavo Zou Diau kurang jelas.
Bagaimanapun, dia memanfaatkan pengalamannya untuk menutup kesilapan itu.

“Nervous memanglah nervous…tapi saya teruskan menyanyi seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dan berharap keajaiban akan berlaku,” katanya.

Dan seperti yang diharapkannya, keajaiban benar-benar berlaku pada malam itu.

Arie tidak pernah menyangka pembabitan kali pertamanya dalam pertandingan Sugandoi tahun lalu membuahkan hasil.
“Ketika itu saya berumur 21 tahun dan menyertai pertandingan Sugandoi untuk menimba pengalaman memandangkan saya kurang berpengalaman di pentas pertandingan nyanyian,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik kepada pasangan Sius Amit dan Japilin Majin ini.

“Tapi saya bersyukur sebab juri nampak bakat dan kesungguhan saya dan itu memberikan saya keyakinan untuk terus mengasah bakat selepas pertandingan itu,” jelas Arie. Jejaka ini pernah tersenarai sebagai peserta Top 40 program realiti Akademi Fantasia ke-9.

Biarpun sehingga kini Arie belum mampu berdiri sebaris dengan penyanyi-penyanyi tempatan yang lain, kemenangannya di Sugandoi Negeri tahun lepas telah membuka sedikit ruang untuk dia dikenali.

Malah, namanya berada sebaris dengan Martha Ginun, Arnold Wences Linus, Malvin Kalbin, Esther Applunius, Joy Georgia Binsol, Marcus Payus, Johnny Guntavid Evaristus Gungkit, Ambrose Poisol dan Siti Sarina Mansur, antara lain.

 “Kalau dulu, orang tidak pandang saya pun tapi selepas menjuarai pertandingan itu, apabila saya menghadiri satu-satu majlis keramaian di kampung-kampung, layanan yang saya terima sedikit berbeza,” kata Arie, yang lahir dari keluarga Dusun Tindal.

Peringkat separuh akhir pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat negeri 2011 akan berlangsung di Hongkod Koisaan di Penampang malam esok (Rabu) sementara final pertandingan itu akan diadakan di pentas yang sama pada 28 Mei (Jumaat).

Sebagai seorang yang pernah beraksi di pentas dan pertandingan yang sama, mungkin Arie boleh berkongsi sesuatu dengan peserta-peserta Sugandoi Peringkat Negeri 2011 ini?

“Ketika kita menyanyi, apa pun boleh berlaku. Kadang-kadang, boleh lupa lirik, kadang-kadang suara seperti tersekat dan tidak begitu jelas.

“Tapi apa pun yang berlaku, jangan panik. Teruskan menyanyi kerana jika kita panik, juri dan penonton akan dapat mengesannya melalui wajah dan nyanyian kita,” katanya.

Menurut Arie, biasanya untuk dia menghilangkan rasa gemuruh, sebelum keluar ke pentas, dia akan menghela nafas dalam-dalam sebanyak tiga kali.

“Kalau kurang persediaan, rasa gemuruh itu besar kemungkinan akan menjejaskan lontaran vokal pada baris pertama lagu. Apabila masuk baris kedua dan seterusnya, baru kita dapat menyanyi dengan lebih yakin.

“Tapi itu tidak sepatutnya berlaku kerana baris pertama itu sangat penting. Saya bercakap dari pengalaman sendiri. Jika kita melakukan kesilapan pada baris pertama, ia akan menjejaskan keyakinan kita untuk menghabiskan lagu itu.

“Jadi selain membuat persediaan dari segi vokal, mental kita juga harus dipersiapkan agar rasa gemuruh itu dapat kita kawal sebelum kita mula memegang mikrofon,” katanya yang turut mengakui, dia sendiri sering mengalami rasa gemuruh setiap kali mula menyanyi di hadapan penonton yang ramai.

** Gambar-gambar di atas diambil dari akaun facebook Arie.

Nilai hadiah Sugandoi Negeri 2011 ditambah

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

MALAM esok (Rabu, 25 Mei 2011), 38 peserta akan mewakili daerah masing-masing untuk peringkat separuh akhir pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri yang akan berlangsung di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang bermula jam 7 malam.

10 peserta terbaik akan dipilih untuk beraksi di peringkat akhir di tempat yang sama Jumaat ini.
Menurut Pengerusi Penganjur pertandingan itu, Venitha Lojuti, hadiah-hadiah untuk pemenang tahun ini lebih menarik berbanding tahun-tahun lepas.

“Juara akan memenangi hadiah wang tunai RM3,000, naib juara (RM2,500) dan tempat ketiga RM2,000,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Selain itu, peserta popular akan pulang dengan hadiah wang tunai RM300 manakala tujuh penerima hadiah saguhati juga akan menerima hadiah RM300 setiap seorang.

Antara hadiah lain yang ditawarkan ialah hamper dan beras.

“28 peserta yang tidak berjaya melangkah ke final juga akan mendapat hadiah wang tunai RM100 setiap seorang,” tambah Venitha yang juga mengalu-alukan orang ramai agar hadir memberikan sokongan kepada peserta-peserta yang akan bertanding di separuh akhir malam esok.

“Kami turut menyediakan hadiah untuk penonton bertuah melalui cabutan tiket pada malam pertandingan separuh akhir kelak,” kata Venitha.

Sugandoi Kaamatan, yang dianjurkan sempena sambutan pesta itu, diperkenalkan sejak tahun 1980-an walaupun ketika itu ia dikenali dengan nama yang lain.

Selari dengan keperluan semasa dan peredaran zaman, ia pernah dikenali sebagai Bintang Kaamatan sebelum nama Sugandoi digunapakai pada tahun 2004 sehingga kini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1987, pertandingan itu telah melahirkan 23 juara. Ia tidak dianjurkan pada tahun 1993.

Malah ada dalam kalangan peserta Sugandoi itu yang telah atau sedang memahat nama di peringkat kebangsaan termasuk Esther Applunius yang dinobatkan naib juara pertandingan realiti One In A Million musim ke-3.

Naib Juara Sugandoi Negeri 2006, Reynaldo Pagie, juga mengharumkan nama negeri ini apabila menjuarai pertandingan Suara Emas Bintang RTM 2007 dan setahun selepas itu, mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas di Festival Suara Emas Asean di Ho Chi Min City, Vietnam.

Dan Melvin Kalbin, yang menjuarai pertandingan Sugandoi Negeri pada 2008, kini sedang mengorak langkah lebih jauh bersama kumpulan D’Prince di bawah naungan produksi milik Cat Farish.

Thursday 12 May 2011

Candy kembali dengan semangat baru

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

PERJALANAN kerjaya seni Candy agak kosong selepas meninggalkan sangkar emas Akademi Fantasia 5 lebih tiga tahun lalu menyebabkan namanya tenggelam timbul lantaran ramai muka baru muncul dan mewarnai industri hiburan tanah air.
Candy kelihatan trendy dengan gaya rambut terbarunya.

Dan Candy akur dengan hakikat itu. Dengan hanya berbekalkan sebuah single berjudul Demam yang dihasilkan selepas keluar dari AF, ruang untuk dia bergerak dalam industri sangat terhad.

Lantaran itu, sepertimana sebahagian senior AF dari Sabah – Ebi, Felix dan Velvet, antara lain – gadis kelahiran Tambunan ini membulatkan tekad untuk pulang ke Sabah dan melancarkan semula kerjaya seninya di sini dengan impian untuk kembali mencipta ruang di pentas nasional selepas dia berjaya di sini kelak. Itu strateginya sekarang.

Lalu, pada Disember 2010, Candy pulang ke Sabah dengan semangat yang baru untuk membuktikan bahawa dia juga boleh berjaya seperti rakan-rakan yang lain, cuma rezeki belum lagi memihak kepadanya.

Tidak menunggu lama, kini album pertamanya dalam bahasa Dusun sedang berada di peringkat akhir pembikinan.

“90 peratus sudah siap. Proses rakaman sudah selesai, tinggal lagi pembikinan kulit album,” katanya. Candy menjangka album itu akan menemui peminat seawal-awalnya bulan depan.

Candy bertandang ke pejabat Daily Ekspres di Tanjung Aru baru-baru ini untuk berkongsi perkembangan terbarunya dengan pembaca akhbar ini. Dia ditemani penerbit albumnya, Luke Mason dan jurugambar peribadi, Neyza.

Candy, yang kini kelihatan semakin jelita, mengakui sudah tidak sabar menanti tarikh pelancaran albumnya itu.

Malah, dia cukup teruja memperdengarkan dua buah lagu yang terkandung dalam album itu – Kakal Id Ginawo dan Noilaan Ku Nodi – yang disimpan dalam telefon bimbitnya.

“Kedua-dua lagu ini dirakam di Australia,” kata Candy yang berada selama enam minggu di negara Kangaroo itu awal tahun ini.

Kedua-dua lagu itu kedengaran sangat urban dan catchy persis muzik yang diperjuangkan Avril Lavigne. Apa yang menjadikan ia unik ialah liriknya adalah dalam bahasa Dusun.

“Ini adalah dua daripada 10 lagu yang terkandung dalam album sulung saya,” jelas Candy yang kini sibuk dengan undangan menyanyi di majlis-majlis Pesta Kaamatan di seluruh negeri sepanjang bulan ini.

Menggunakan khidmat komposer Asmin Mudin dan Ading, antara lain, album yang belum diberi tajuk itu turut memuatkan beberapa lagu balada.

Pembikinan album itu, menurut Candy, adalah impian yang tertangguh sejak sekian lama disebabkan kekangan yang dihadapinya termasuk soal masa dan kewangan.

“Tambahan lagi, sewaktu baru-baru keluar dari AF dulu, saya sebenarnya blur. Saya tidak tahu apa harus dilakukan dan ke mana hala tuju kerjaya nyanyian saya.

“Tanpa pengalaman yang cukup kerana waktu itu saya masih terlalu muda, saya akui memang sukar untuk bergerak,” akuinya.

Kali terakhir Candy dilihat muncul di kaca TV sebagai artis jemputan ialah menerusi program realiti Keynote tahun lepas.

Setelah tidak lagi bersama Maestro, perjalanan kerjaya seninya terus suram meskipun sesekali dia dilihat muncul sebagai artis jemputan dalam acara-acara hiburan.

Kisah di belakang tirai industri seni juga pernah menghambat dirinya membuatkan dia hampir tersungkur.

Bukan sekali dua dia ditipu penganjur acara. Pernah juga bertiup gosip mengenai Candy dipulau rakan-rakan artis atas sebab-sebab yang tidak jelas ketika membuat latihan untuk satu persembahan pentas.

Malah cubaannya untuk melebarkan sayap kerjaya ke luar negara tidak menjadi apabila penampilan seksinya dalam video klip bersama sekumpulan jejaka Iran mengundang kontroversi. Klip video untuk lagu Make You My Girl itu khabarnya bukan untuk tayangan di kaca TV negara ini.

“Saya rasa saya dipergunakan oleh mereka untuk menembusi pasaran di negara ini. Kerana itu saya menarik diri daripada terus berkolaborasi dengan mereka,” jelasnya.

Kini, Candy mahu melupakan semua itu dan hanya ingin memfokuskan kepada usaha menggilap semula namanya.

Tapi semua pengalaman berharga yang dikutipnya selama beberapa tahun selepas AF semakin mematangkan dirinya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-22 tahun, kelmarin.

Candy kini jelas dengan hala tujunya. Butir bicaranya ketika ditemubual memberi pembayang jelas bahawa dia kini lebih matang dan tahu apa yang dia mahukan.

Malah, mengikut perancangannya, dia akan ke Indonesia untuk pembikinan video klip untuk lagu Ika yang terkandung dalam album Dusun itu.

“Saya memilih Indonesia kerana tertarik dengan hasil kerja mereka,” jelas Candy yang menjadikan artis antarabangsa Filipina, Charice Pempengco sebagai sumber inspirasi.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seorang peminat yang sanggup menaja pembikinan album sulung saya,” katanya, merujuk kepada seorang guru wanita di Pitas bernama Phine.

“Dia ibu angkat saya. Perkenalan kami bermula secara kasual dalam laman sosial. Dia banyak memberikan saya galakan dan kami semakin rapat selepas itu.

“Yakin dengan bakat saya, dia menawarkan diri untuk merealisasikan impian saya menghasilkan album,” kata Candy yang kini turut menggilap bakat lakonannya.

Bukan tidak pernah menerima tawaran berlakon sebelum ini tapi menurut Candy, ketika itu dia belum cukup bersedia.

“Saya sedar saya bukan seorang yang lahir dengan bakat lakonan semulajadi tapi saya kini sudah bersedia untuk mempelbagaikan cabang kerjaya saya.

“Pembabitan saya dalam penggambaran sebuah sitkom untuk tayangan di RTM sedikit masa lalu membibitkan rasa seronok dalam diri ini dan teringin untuk kembali ke set,” katanya, merujuk kepada sitkom Kopi O terbitan Pentas Wayang Production yang menggandingkan dia dengan Ebi Kornelis, Alex Raja Lawak, Mat Congo, Abu Bakar Ellah, Fazurina dan Danny X Factor, antara lain.

Dia juga dijadual terbabit dalam penggambaran telefilem Cinta Yang Tertinggal arahan T. S. Jeffrey bermula Jun ini.

Dan ketika temu bual ini berlangsung, Candy, yang baru-baru ini  merakamkan semula jingle untuk Sazarice, sedang menunggu pengesahan tarikh penggambaran untuk telefilem Boleh Bah Kalau Kau, juga arahan T.S. Jeffrey.

“Saya harap peminat-peminat saya di Sabah akan terus menyokong kerjaya seni saya,” katanya sambil menambah kini lebih selesa bergerak di bawah naungan syarikatnya sendiri yang baru ditubuhkannya.

Candy yang peminat lihat sekarang jauh berbeza dengan gadis remaja berumur 18 tahun yang pernah anda saksikan gelagatnya di AF5.

Pemilik nama penuh Candy Clement ini telah melalui satu transformasi. Dengan semangat yang baru, dia kini kembali untuk memancing minat anda menyanjung bakat besar gadis bertubuh kecil ini.

Kami selesa berkawan: Candy

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

CANDY meminta agar hubungan romantisnya dengan Luke Mason tidak digembar-gemburkan.

Namun, dia akhirnya akur bahawa peminat hari ini lebih bersikap terbuka dan meminati artis berdasarkan bakat serta mutu kerja yang mereka hasilkan.
CANDY dan Luke

“Kami masih dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing,” kata Candy mengenai jejaka berumur 37 tahun dari Australia itu.

Luke sebenarnya bukan asing dalam industri muzik tanah air kerana sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan beberapa artis bernama besar di negara ini antaranya Ziana Zain, OAG, Juliet The Orange, Amelina, Ruhil serta Man Bai dan pernah menjadi pemuzik undangan untuk persembahan artis-artis tempatan dan antarabangsa termasuk Jaclyn Victor, Siti Nurhaliza, Radhi OAG, Ella, Ronan Keating, Faye Wong dan A-Mei, sekadar menyebut beberapa nama.

Perkenalan mereka bermula apabila Candy menyakat Luke selepas dipertemukan oleh Radhi.

“Waktu itu saya kata dia “orang putih sesat”,” dan dia hanya tersenyum,” kata Candy tanpa mengetahui yang Luke sebenarnya fasih bertutur dalam bahasa Melayu loghat semenanjung kerana dia tinggal lama di Ibu Negara.
Bermula dari situ, mereka semakin selesa berkawan dan hubungan mereka semakin rapat.

Luke pernah bertandang ke rumah keluarga Candy di Tambunan dan menurut Candy, Luke menyukai dan dapat menerima kehidupan keluarganya yang serba ringkas.

Pasangan kekasih ini, bagaimanapun, belum mahu memikirkan secara serius mengenai hubungan mereka.

“Buat masa ini, kami lebih selesa berkawan dan memberi tumpuan kepada kepada kerja-kerja pembikinan album sulung saya,” katanya.

Tuesday 10 May 2011

MHMB semakin dekat di hati pendengar Sabahfm

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

PROGRAM
realiti radio Moon & Hafrina Mencari Bintang (MHMB) semakin dekat di hati pendengar setia Sabahfm apabila ia kini telah menarik lebih 600 peserta sejak rancangan itu mula bersiaran 2 Januari lalu.
DJ Moon (kiri) dan DJ Hafrina

Penerbit bersama program itu DJ Hafrina (Norhafirnah Hanif) dan DJ Moon (Sarifah Monazra Sharif) teruja dengan perkembangan itu dan berharap ia akan dapat mencapai matlamat mencungkil bakat-bakat terpendam dari negeri ini.

“Kami dapati ada ramai belia di Sabah yang tidak berpeluang menyertai mana-mana sesi uji bakat dan mempamer kebolehan sebenar mereka.

“Dan dengan adanya program ini, mereka berpeluang menunjukkan bakat terpendam mereka,” ujar Dj Hafrina yang turut menjadi penyampai untuk segmen Segar di Sabahfm.

Bagi DJ Moon pula, peserta MHMB bukan sahaja dapat menunjukkan bakat nyanyian mereka tetapi turut berpeluang menggumpul kelompok peminat dalam proses itu.

“Menjelang final pada bulan Disember nanti, mana-mana pemenang mingguan yang kemudian menjadi juara bulanan sudah pasti akan dapat menggumpul pengikut sendiri,” tambah DJ Moon yang sinonim dengan segmen Bah Ngamlah Itu.

Format pertandingan nyanyian itu, yang bersiaran setiap Ahad dari jam 9.30 malam – 11.45 malam, amat santai di mana pendengar hanya perlu mencuba nasib membuat panggilan ke nombor 088-213478 dan 088-218096 ketika program itu bersiaran.

Anggaplah ia sebagai satu sesi uji bakat nyanyian program realiti seperti yang pernah anda saksikan sebelum ini. Bezanya, sesi uji bakat ini disiarkan secara ‘live’ di Sabahfm. Tekanan juga hampir tidak ada langsung kerana anda di uji bakat tanpa perlu berada di hadapan juri dan pesaing.

Dalam pencarian juara itu, peserta hanya perlu menyanyi sehingga bahagian korus lagu sahaja sama ada dengan iringan muzik minus one, tanpa iringan muzik atau dengan iringan alat muzik seperti gitar akustik dan sebagainya. Apa yang penting adalah nyanyian anda.

Syarat lain ialah pemanggil haruslah seorang warganegara Malaysia dan berumur sekurang-kurangnya 18 tahun.

Sabahfm juga mewajibkan peserta menyanyikan hanya lagu-lagu ciptaan Malaysia sahaja.

“Mana-mana peserta yang terlepas pandang perkara ini dan menyanyikan lagu-lagu selain ciptaan Malaysia akan ditolak penyertaan mereka,” kata DJ Moon.

Nyanyian peserta kemudian akan disenarai pendek bagi penilaian seterusnya untuk memilih pemenang mingguan dan juara bulanan oleh panel penilai yang terdiri daripada kalangan para pemuzik Kombo RTM Sabah.

“Kami memohon maaf jika tidak sempat melayani semua pemanggil ketika siaran itu ke udara kerana jumlah panggilan yang terlalu banyak. Apa pun kami akan cuba melayani seramai mungkin pemanggil,” kata DJ Moon.

Penilaian awal dilakukan oleh mantan dj Sabahfm Abdul Hamid Hassan @ Arnez Hamidi.

Panel Penilai Kombo RTM Sabah terdiri daripada Suhaimi Jamli, Moses Vasantha De Silva, Annabel Eliza Tiu, Wing @ Abdul Rasid Mado dan Mohd. Nizam Zulkifli.

Pemenang mingguan dan Juara Bulanan pula akan diumumkan secara ‘live’ oleh panel penilai semasa program itu ke udara.

“Bermula 1 Mei lalu, rancangan ini ditambah nilai dengan penglibatan beberapa pengkritik undangan setiap minggu,” tambah DJ Hafrina pula.

Dua peserta wild card dari kalangan pemenang mingguan yang tidak terpilih sebagai pemenang bulanan akan menyertai 11 Juara Bulanan untuk merebut enam tempat di final, tambahnya.

Menjelang final nanti, semua juara bulanan itu dan dua peserta wild card terbabit akan diminta memasuki studio rakaman untuk penilaian vokal. Daripada jumlah itu, tujuh akan digugurkan manakala enam yang terbaik akan beraksi di final yang akan dipentaskan Disember ini.

Setakat ini, MHMB telah melahirkan empat juara bulanan.

Pencarian bakat sepanjang bulan Januari telah menemui juaranya iaitu Felix dari Kolombong, Inanam, Elalia (Februari/Tambunan), Lia (Mac/Sandakan) dan Anna (April/Labuan).

Sabahfm menyediakan hadiah barangan elektrik dan Baju-T siap dengan logo Moon Dan Hafrina Mencari Bintang untuk Juara Bulanan. Majlis penyerahan hadiah itu berlangsung di RTM Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Sabahfm Malinaziah Datu Julaspi berkata stesen radio itu teruja dengan sambutan yang diterima daripada pendengar rancangan itu.

“Saya bukan sahaja bercakap mengenai jumlah peserta yang mencuba bakat setiap minggu, tetapi juga jumlah respon SMS yang dihantar ke 32776.

“Ketika MJMB baru diperkenalkan, kami hanya menerima sekitar 20 hingga 30 SMS ketika rancangan ini ke udara tetapi sejak kebelakangan ini jumlah itu meningkat sehingga lebih 100 SMS.

“Kerana itu, kami memohon maaf jika penyampai-penyampai kami sempat membaca kesemua SMS yang diterima disebabkan kesuntukan masa,” kata Malinaziah.

Pendengar Sabahfm boleh memberi respon dengan menjadi rakan rangkaian sosial facebook rancangan itu atas nama Moon & Hafrina Mencari Bintang.

Bagi mereka berada di luar Sabah, rancangan itu boleh diikuti dengan melawat laman sesawang www.rtmsabah.gov.my.

Pada majlis penyerahan hadiah itu, Penolong Pengurus Sabahfm, Cusna Yusof, yang mewakili Malinaziah, berkata selain mencungkil bakat, MHMB juga adalah salah satu cara untuk Sabahfm menghargai sokongan para pendengar setia saluran itu.

Cusna juga melahirkan penghargaan dan terima kasih stesen itu kepada beberapa individu yang menaja hadiah untuk para pemenang bulanan.

“Saya berharap kerjasama seumpama itu akan berterusan bagi membantu RTM khususnya Sabahfm dalam usahanya menyebarkan maklumat kepada rakyat sambil berhibur.

“Kami berharap lebih ramai penaja akan tampil apabila pertandingan akhir MHMB diadakan Disember nanti,” katanya.
CUSNA (kanan) menyampaikan hadiah kepada juara bulan April, Anna.

Felix (kiri) dan Elalia yang masing-masing dinobatkan juara bagi bulan Januari dan Februari. Pemenang bulan Mac, Lia tidak sempat menghadiri majlis itu.