Tuesday 23 October 2012

Waspada kegiatan pelobi politik palsu di Facebook

Datuk Hamza Taib
PESURUHJAYA Polis Sabah Datuk Hamza Taib menggesa rakyat agar berhati-hati terhadap mereka yang menyamar sebagai pelobi politik yang hanya mahukan wang daripada orang ramai menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata wujud penipuan yang kini sedang tersebar di laman-laman media sosial seperti Facebook di mana orang ramai ditipu untuk mempercayai bahawa mereka kononnya berpeluang menjadi adun atau ahli parlimen.

“Penipuan ini akan menghantar mesej kepada orang ramai memberitahu mereka untuk menjalani kaji selidik tertentu dan jika orang itu layak dicalonkan untuk pilihan raya, nama-nama mereka akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pertimbangan.

“Mereka yang ‘layak’ kemudian akan diminta untuk mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu untuk yuran pemprosesan,” katanya.

Setakat ini, polis sudah menerima satu laporan seumpamanya daripada seorang lelaki berumur 52 tahun yang mengesyaki sesuatu tidak kena dalam rundingan itu. Lelaki tersebut, bagaimanapun, tidak memasukkan wang ke dalam akaun seperti yang diminta.

Kes itu ketika ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 (511) Kanun Keseksaan untuk cubaan menipu.

“Saya ingin mengingatkan semua orang bahawa hanya Perdana Menteri boleh menentukan siapa yang akan menjadi calon bagi Barisan Nasional dan hanya pemimpin pembangkang boleh menentukan calon-calon mereka,” katanya.

Hamzah bercakap pada perhimpunan bulanan polis di ibu pejabat polis Negeri di Kepayan, Selasa (23 Okt).

No comments:

Post a Comment