Sunday, 17 June 2012

Tapak arkeologi berpotensi jadi produk baru pelancongan: Masidi

RENCANA empat bahagian ini menggarisbawahi kepentingan bidang arkeologi kepada manusia di mana penyelidikan, penemuan serta kajian yang sangat saintifik akan dapat membantu kita membina jati diri dengan mengenali asal-usul kita.
   Dalam bahagian terakhir ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun bercakap mengenai potensi sektor arkeo-pelancongan di Sabah secara menyeluruh serta kepentingan penemuan Tapak Paleolitik Bingkor di Keningau kepada industri pelancongan di negeri ini.


___________________________________________________________________________

Boyd PV
Harian Ekspres

BIDANG arkeologi, selain dapat membantu kita membina jati diri, ia sebenarnya dapat dimanfaatkan untuk memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negara.

Datuk Masidi Manjun
Berbeza dengan negara-negara seperti Itali, Mesir, Greece dan Amerika Selatan, antara lain, yang sudah lama memajukan sektor arkeo-pelancongan mereka, sektor tersebut di negara ini masih di peringkat bertatih dan mempunyai banyak ruang untuk dikembangkan kerana pada masa ini, kita sudah mempunyai banyak data penting yang dapat menyumbang kepada perkembangan bidang arkeologi di negara ini.

Di Sabah sendiri, setakat ini, hanya ada dua tapak arkeologi yang telah dimajukan sepenuhnya oleh Jabatan Muzium Sabah sebagai destinasi arkeo-pelancongan iaitu Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak di Semporna serta Muzium Arkeologi Agop Batu Tulug di Kinabatangan.

Dalam tiga bulan pertama tahun ini sahaja, seramai 7,921 pelawat telah berkunjung ke Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak sementara 1,452 pelawat direkodkan mengunjungi Muzium Arkeologi Agop Batu Tulug.

Walaupun statistik itu dianggap kecil, ia wajar dilihat sebagai satu permulaan yang baik kepada perkembangan sektor arkeo-pelancongan di negeri ini.

Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sendiri berharap tapak-tapak arkeologi yang ada di negeri ini dapat dikembangkan sebagai produk pelancongan terbaru. 

Menterinya, Datuk Masidi Manjun, bagaimanapun, mengakui sektor arkeo-pelancongan di Sabah masih di peringkat awal.

“Kesedaran masih kurang malah kita setakat ini belum pernah mempromosikan tapak-tapak arkeologi secara serius sebagai sebuah produk pelancongan,” akuinya.

Menurut beliau, walaupun kewujudan tapak-tapak itu diketahui, pelawat yang datang setakat ini lebih kepada mereka yang terbabit dalam lawatan berbentuk ilmiah.

“Kita ada menerima pelawat ke Agop Batu Tulug di Kinabatangan dan di Bukit Tengkorak, Semporna, tetapi jumlah mereka tidak begitu besar,” katanya, sambil mengakui keadaan itu berlaku mungkin kerana belum ada pakej yang direka khusus untuk arkeo-pelancongan.

Dalam perkara ini, katanya, pemain-pemain industri pelancongan sendiri harus memainkan peranan utama kerana merekalah yang merangka pakej lawatan di Sabah.

Muzium in-situ Agop Batu Tulug. Dua gambar di bawah
ialah perkarangan tapak itu serta keadaan
di dalam salah sebuah gua di sana.

“Saya percaya, mereka sendiri sebenarnya menunggu apa yang kita (Kerajaan) akan buat untuk mempromosikan tempat-tempat ini.

“Cuma apabila kita melihat daerah Keningau secara khusus, bila kita katakan ada tarikan pelancongan di sana, itu tidak bermakna orang akan datang ke daerah itu semata-mata untuk melihat tapak-tapak arkeologi yang ada di sana,” katanya.

Beliau merujuk kepada penemuan satu tapak zaman paleolitik di Kg Lipasu, Bingkor di Keningau oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia dan Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah baru-baru ini.

Tapak arkeologi itu sangat signifikan kepada data arkeologi global kerana ia adalah penemuan pertama seumpamanya di Sabah Barat. Sebelum ini, kebanyakan penemuan dilakukan di Sabah Timur.

Masidi berpendapat, tapak paleolitik itu perlu dipakejkan dengan tarikan lain termasuk Pusat Kraftangan Keningau yang baru dirasmikan, Taman Pertanian Sabah di Tenom dan Rumah Besar di Bingkor, antara lain. 

“Semua ini boleh diperkenalkan sebagai satu pakej lawatan yang menarik di kawasan pedalaman,” katanya sambil menambah, terpulanglah kepada kebijaksanaan dan inisiatif pengendali perkhidmatan pelancongan untuk memperkenalkan pakej menarik yang boleh dijual.

Peranan kerajaan, kata Masidi, hanyalah membantu mereka menyediakan prasarana dan mempromosikannya tapi akhirnya pemain utama sektor pelancongan sendiri yang harus mengambil inisiatif memperkenalkan produk pelancongan itu untuk menjana pendapatan.

“Kerajaan tidak terbabit dalam perniagaan,” tegasnya.

Menurut Masidi, ada yang bertanya kepadanya apa yang kerajaan boleh lakukan untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong.

“Saya fikir soalan itu harus ditujukan kepada pemain-pemain industri pelancongan. Ini semua adalah peluang perniagaan,” tegasnya.

Tapak arkeologi Mansuli di Lahad Datu
yang berusia 235,000 tahun dan
merupakan tapak arkeologi tertua di Borneo.
Mengenai tapak arkeologi tertua Borneo di Lembah Mansuli, Lahad Datu, berusia 235,000 tahun, yang belum dibangunkan potensinya sebagai destinasi arkeo-pelancongan, Masidi berkata:

“Ia belum dibangunkan kerana tapak Mansuli merupakan penemuan baru dan masih belum terkenal.” 

Tapi beliau berpendapat, tapak sahaja mungkin tidak begitu menarik untuk dikunjungi kecuali di tapak itu ada artifak-artifak yang masih boleh dilihat. 

“Salah satu contoh ialah Bukit Tengkorak di mana kita boleh nampak banyak kesan sejarah.

 “Kita harus terima hakikat ini. Kalau sekadar satu atau dua artifak kecil, walaupun usianya dikatakan 1 juta tahun, contohnya, orang ramai masih berfikir dua kali sama ada mahu datang atau tidak.

Tapak Warisan Arkeologi Bukit Tengkorak, Semporna.
“Jadi, apa yang boleh kita lakukan untuk memberi nilai tambah kepada tapak itu? Mungkin kita boleh bina sebuah muzium in-situ (muzium di tapak arkeologi), sesuatu yang dapat membuktikan tempat itu pernah diduduki oleh manusia purba. Ini telah kita lakukan di Agop Batu Tulug, Kinabatangan. Di sana, kita masih boleh nampak keranda dan sebagainya,” jelas menteri itu.

Walaupun penyelidikan membuktikan bahawa sesuatu kawasan itu pernah diduduki oleh manusia purba, katanya, kalau tidak ada apa-apa untuk dilihat, tidak ramai pelancong akan tertarik untuk datang.

Prasarana turut disediakan di Tapak Warisan
Bukit Tengkorak, Semporna
untuk kemudahan pelawat.
“Apapun, pandangan peribadi saya ialah pertimbangan komersil tidak harus mengatasi pertimbangan sejarah.

“Benar, kita boleh menjana pendapatan (menerusi arkeo-pelancongan) tetapi akhirnya, bagi saya, setiap artifak itu harus dijaga dengan baik. Sebab tempat itu lebih bermakna bagi orang Sabah sendiri berbanding orang luar. Ia menceritakan mengenai kita…nenek moyang kita.”

Sebagai rekod, selain Agop Batu Tulug, Bukit Tengkorak, Mansuli dan yang terbaru Tapak Paleolitik Bingkor, antara tapak arkeologi lain di Sabah ialah Timbang Dayang di Pulau Bangi, Tingkayu di Kunak, Batu Supu di Kinabatangan, Bukit Kemiri dan Melanta Tutup di Semporna, Batu Sirih di Pulau Balambangan, Baturong di Kunak dan Gua Samang Buat di Lahad Datu.


Penemuan Tapak Paleolitik Bingkor penting


Masidi yakin penemuan Tapak Paleolitik Bingkor di Keningau itu pasti akan meletakkan Sabah dalam peta arkeologi global sekaligus membuka lembaran baru bukan sahaja kepada bidang arkeologi tetapi juga kepada sejarah Sabah sendiri.
Tapak Paleolitik Bingkor ini berpotensi dimajukan
untuk memberi nilai tambah kepada industri
pelancongan di daerah pedalaman Sabah.   

“Saya difahamkan sampel tanah untuk pentarikhan telahpun diambil di Tapak Paleolitik Bingkor dan akan dihantar ke Korea untuk proses pentarikhan. Keputusannya dijangka akan mengambil sedikit masa.

“Tapi tidak kira berapa usia tapak itu, ia tetap sebuah tapak arkeologi penting yang akan mencetuskan lebih banyak persoalan baru mengenai migrasi manusia. 

“Saya percaya kita perlu tunggu dahulu keputusan proses pentarikhan untuk mengesahkan usia sebenar tapak itu sebelum tindakan susulan yang lebih konkrit boleh diambil.

“Sementara menunggu keputusan proses pentarikhan itu, saya yakin pihak Jabatan Muzium Sabah mempunyai Prosidur Operasi Standard (SOP) mereka untuk memastikan keselamatan artifak-artifak atau tapak itu.

“Tapak dan artifak adalah tinggalan manusia zaman dahulu dan kita harus melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan khazanah itu. Kalau artifak-artifak itu rosak atau hilang, apa lagi yang kita ada?” soalnya.


Dasar Kementerian mengenai tapak-tapak arkeologi


Menurut Masidi, Jabatan Muzium Sabah dipertanggungjawabkan untuk memastikan tapak-tapak arkeologi tidak diganggu oleh individu tidak bertanggungjawab terutamanya pencari harta karun.

Sesuatu tapak arkeologi itu juga harus diwartakan sebagai Tapak Warisan Sejarah, menerusi enakmen tertentu, supaya ia tidak terlibat dalam sebarang projek pembangunan.

“Ini penting kerana jika tanah itu milik orang lain dan mereka mahu membangunkannya untuk tujuan tertentu, ia akan menjejaskan usaha kita untuk mengekalkan tinggalan sejarah atau artifak yang ada di sana,” kata Masidi

“Sekiranya kawasan itu mempunyai penduduk, saya fikir adalah wajar untuk mereka bekerjasama dengan penduduk setempat bagi memastikan ianya dijaga kerana saya nampak tapak itu ada potensi untuk dijadikan produk arkeo-pelancongan,” tambahnya.
Dalam hal ini, kata Masidi lagi, bukan sahaja Sabah mendapat untung kerana mempunyai produk pelancongan yang baru tetapi sebenarnya orang-orang kampung yang tinggal berdekatan juga akan mendapat limpahan manfaat daripada ketibaan pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara.

“Mudah-mudahan pada masa akan datang, mereka boleh menyediakan kemudahan inapdesa, mengadakan jualan barangan kraftangan atau menyedia kemudahan perkhidmatan kepada pelawat.

“Jadi penduduk kampung harus turut sama menjaga keselamatan tapak pra-sejarah itu untuk kepentingan mereka juga,” katanya.


Buruan pencari harta karun


Menteri itu percaya dalam keghairahan kita mempromosikan arkeo-pelancongan sebagai satu produk baru, kita harus berhati-hati agar usaha promosi itu tidak menyebabkan artifak tidak ternilai yang kita ada menjadi buruan pencari-pencari harta karun.
“Kalau kita tidak berhati-hati, kita akan kehilangan semua artifak itu sebelum kita sempat membuat sesuatu dan menyimpannya sebagai warisan untuk dikongsi bersama generasi masa kini dan masa akan datang,” katanya.


Pesanan kepada pelajar

Sejujurnya, kata Masidi, arkeologi bukan satu bidang pilihan sepertimana kejuruteraan, kedoktoran, peguam dan sebagainya.

“Ini mungkin disebabkan tugas-tugas arkeologi itu sendiri memerlukan mereka kerap berada di luar kawasan dan dalam keadaan mencabar untuk jangka masa panjang kerana mereka ini adalah saintis,” beliau memberikan pendapat.
Bagaimanapun, Masidi yang turut bertanggungjawab dalam hal-ehwal pelajaran di Sabah, mengharapkan lebih ramai penduduk Sabah sendiri terlibat dalam kerja-kerja arkeologi.


“Selama ini kita banyak bergantung kepada pakar dari luar khususnya USM (PPAG) dan kita wajar berterima kasih kepada USM kerana banyak membantu kita membuat penemuan-penemuan arkeologi di negeri ini.

“Saya harap penemuan-penemuan arkeologi ini akan dapat membuka minda penduduk-penduduk Sabah khususnya pelajar-pelajar kita untuk menceburi bidang ini.

“Mungkin ramai yang tidak berminat untuk menjadi ahli arkeologi disebabkan pasaran kerjanya tidak begitu memberangsangkan tetapi saya fikir kita harus melihat dari perspektif lain bahawa bidang arkeologi ini bukan sekadar melakukan kerja-kerja ekskavasi atau kajian dan sebagainya tapi sebenarnya ia satu bidang profesional berkemahiran tinggi.”



___________________________________________________________________________

Penyelidikan arkeologi penting kepada pembangunan Muzium Sabah


PENGARAH Jabatan Muzium Sabah, Joanna Datuk Kitingan melihat penyelidikan arkeologi sebagai penting kepada pembangunan Muzium Sabah.

“Kerana itu, saya sangat amat berbesar hati kerana Muzium Sabah menerusi Bahagian Arkeologi, sering bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM untuk meneroka lebih banyak tapak arkeologi di negeri ini,” katanya.
Joanna Datuk Kitingan

Joanna mengakui, buat masa ini Bahagian Arkeologi, Jabatan Muzium Sabah hanya digerakkan oleh enam kakitangan yang diketuai Peter Molijol.

“Kerana itu kami sangat berharap untuk mendapat tambahan pegawai arkeologi. Kita sebenarnya tiada ahli arkeologi ketika ini walaupun kita ada Peter yang cukup berpengalaman dalam kerja-kerja arkeologi.

“Pada masa sama, kami mengharapkan lebih ramai pelajar dari Sabah mengambil jurusan ini kerana kita memang kekurangan pelapis sedangkan Sabah mempunyai potensi arkeologi yang sangat besar,” katanya.

Muzium Sabah juga akan meneruskan kolaborasi yang sedia wujud dengan penyelidik-penyelidik terutamanya dari PPAG, USM.

“Kerjasama sama itu sudah terjalin hampir 20 tahun lalu. Jadi ia akan kami teruskan kerana lebih banyak penemuan kita lakukan, lebih banyak jawapan akan kita dapat mengenai asal usul kita dan apabila kita lebih jelas mengenai asal usul kita, ia akan dapat meningkatkan jati diri kita,” katanya.



Sumber:
Harian Ekspres, 17 Jun 2012




No comments:

Post a Comment