Sunday, 3 June 2012

Bagaimana Tapak Paleolitik Bingkor ditemui

RENCANA empat bahagian ini menggarisbawahi kepentingan bidang arkeologi kepada manusia di mana penemuan-penemuan yang dilakukan serta kajian yang sangat saintifik akan dapat membantu kita mengenali asal usul kita.
     Dalam bahagian kedua ini, penyelidik di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM Pulau Pinang, Jeffrey Abdullah,  memperincikan kaedah saintifik yang digunakan untuk menjejaki bengkel manusia zaman batu di Bingkor, Keningau serta kepentingan arkeologi kepada manusia moden.

===================================================================

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

MENJEJAKI satu lokasi khusus yang tidak diketahui kedudukannya dengan tepat, di satu kawasan yang luas, bukan suatu tugas yang mudah.

Lebih-lebih lagi jika tugasan itu adalah untuk mencari objek yang tertanam di perut bumi sejak ribuan, malah jutaan tahun dahulu.

Tapi itulah cabaran yang mendepani ahli arkeologi. Dan minat mendalam dalam bidang itu menjadi pendorong bagi mereka untuk terus membantu kita memantapkan jati diri dengan mengenali asal-usul kita menerusi penemuan-penemuan artifak purba.

Tapak Paleolitik Bingkor di Keningau, pertama seumpamanya di Sabah Barat, tidak ditemui secara kebetulan. 

Jeffrey
Ia adalah hasil beberapa survei yang dilakukan sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah, sebelum penemuan bersejarah itu pada November 2011.

“Kawasan Keningau dipilih setelah survei di Ranau yang dilakukan pada tahun 2009 di bawah projek Projek Arkeologi Sabah Barat tidak menemui kawasan yang berpotensi,” kata Jeffrey Abdullah, Ketua Penyelidik dan pensyarah di PPAG.

Projek yang dikendalikan oleh Jeffrey di bawah geran Universiti Sains Malaysia itu adalah untuk mencari tapak-tapak yang berpotensi sebagai tapak arkeologi di sebelah barat Sabah memandangkan 90 peratus kajian arkeologi sebelum ini tertumpu di bahagian timur Sabah.

“Tapak Paleolitik Keningau dapat dikesan melalui pelbagai cara termasuk penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS),” katanya sebelum menambah teknologi canggih itu digunakan untuk mengecilkan kawasan yang perlu ditinjau kerana GIS adalah satu analisis mengenai ruangan.

Bagaimanapun, teknologi itu sahaja tidak memadai kerana pengesanan sesuatu tapak arkeologi juga perlu bergantung kepada kefahaman mendalam mengenai tingkahlaku masyarakat prasejarah dan persekitaran pada masa lampau.

“Masyarakat prasejarah beradaptasi dengan persekitaran maka jika kita tahu apakah persekitaran yang menjadi pilihan mereka, kita akan mempunyai pembayang untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang mungkin berpotensi,” katanya sambil menambah peta dan maklumat kajian terdahulu juga penting.

Kajian geologi oleh Collenatte pada tahun 1965 meyakini bahawa kawasan Keningau merupakan sebuah lembangan tasik.

Oleh itu, berdasarkan kajian arkeologi terdahulu seperti di Lembah Tingkayu di Kunak, Lembah Mansuli di Lahad Datu dan Lenggong di Perak, yang menunjukkan bahawa masyarakat Zaman Batu Lamanya beradaptasi dengan persekitaran tasik kuno, maka Jeffrey dan rakan-rakan penyelidiknya yakin bahawa manusia prasejarah pernah menduduki kawasan Keningau.

“Berdasarkan keyakinan itu, pada Ogos 2009, saya mengetuai sekumpulan penyelidik yang turut dianggotai Ketua Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah, Peter Molijol dan beberapa kakitangannya termasuk Affendy Rahmat, Osman Nassib, Thomas Leong dan Anthony Sintau, untuk melakukan survei arkeologi di kawasan Keningau. 

“Hasilnya, kami telah menemui alat-alat batu di permukaan tanah yang berusia dari Zaman Batu Lama,” jelas Jeffrey, berasal dari Kampung Nagapas, Papar.

Alat-alat batu yang mereka temui termasuklah alat batu pebel dan repeh.

SALAH satu alat batu pebel yang pertama 
ditemui di Keningau ketika survei pada 2009.
Alat batu pabel merupakan batu kelikir sungai yang dipecahkan menjadi alat batu bermata tepi tajam dan dipercayai digunakan sebagai penetak dan sebagainya sementara alat repeh adalah repehan batuan bermata tepi tajam yang digunakan sebagai alat penghiris atau pemotong.

Berikutan hasil tinjauan tersebut, Jeffrey melancarkan projek keduanya iaitu Projek Arkeologi Sabah, juga di bawah geran Universiti Sains Malaysia, pada bulan Julai tahun 2011.

Ekskavasi cubaan telah dilakukan di Apin-Apin, Keningau, diselia oleh Siti Faridah Hanim Damsi dari PPAG dan turut membabitkan beberapa kakitangan Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah.

Bagaimanapun, lokasi itu didapati kurang berpotensi. 

EKSKAVASI cubaan pertama di Apin-Apin 
pada Julai 2011 oleh kumpulan penyelidik PPAG dan 
Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah

Berdasarkan kepada analisis GIS yang dilakukan oleh Jeffrey selepas itu, kawasan di daerah pedalaman itu yang berkemungkinan mempunyai potensi untuk dilakukan tinjauan akhirnya dikenal pasti.

“Dengan bantuan data analisis GIS itu, sekumpulan penyelidik dari PPAG, USM dan Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah, yang dianggotai Velat Bujang, Siti Faridah, Mohammad Faris, Affendy, Osman dan turut 

dibantu kakitangan dari Bahagian Muzium Keningau, sekali lagi telah melakukan survei arkeologi di Keningau pada bulan November 2011,” kata Jeffrey yang mula menceburkan diri dalam bidang arkeologi sejak 1992 di Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah.

Semasa survei dilakukan, katanya, pengkaji-pengkaji perlu mencari kesan-kesan aktiviti dan tinggalan-tinggalan manusia lampau seperti artifak, sisa makanan dan sebagainya. “Sekiranya ada kesan-kesan aktiviti dan tinggalan-tinggalan tersebut maka itu menunjukkan bahawa kawasan tersebut pernah diduduki oleh manusia pada masa lampau,” jelas Jeffrey.

Berkat kesungguhan kumpulan penyelidik itu, mereka akhirnya menemui beberapa tapak berpotensi di Keningau termasuklah tapak yang diekskavasi baru-baru ini di Kg Lipasu, Bingkor, 15 km dari bandar Keningau. 



PENGAMBILAN sampel tanah untuk pentarikhan OSL 
biasanya dilakukan pada waktu malam bagi mengelak sampel 
tersebut daripada terkena cahaya matahari. 
Dalam gambar ini kelihatan kakitangan PPAG dan Muzium 
Sabah (dari kiri) Osman Nassib, Azwan Hashim dan 
Jamain Musi menunjukkan demonstrasi pengambilan sampel itu.

Kaedah OSL tentukan usia tapak Paleolitik Bingkor


“Usia sebenar tapak itu hanya akan dapat ditentukan selepas proses pentarikhan dilakukan.

“Kami telah mengambil beberapa sampel dari lapisan budaya di tapak itu untuk dibuat pentarikhan.

“Tapi berdasarkan pemerhatian awal, kami percaya ia berusia setanding, jika tidak lebih tua, berbanding Mansuli (235,000 tahun),” jelas Jeffrey.

Menurut Jeffrey, ada dua kaedah pentarikhan yang biasanya digunapakai oleh ahli arkeologi untuk menentukan usia sesuatu tapak iaitu teknik yang dikenali sebagai pentarikhan OSL atau optically stimulated luminescence dan pentarikhan radiokarbon. Kedua-dua pentarikhan itu berguna untuk keadaan-keadaan yang berbeza. 

“Pentarikhan radiokarbon memerlukan sampel daripada bahan organik seperti tulang, arang, cengkerang atau kayu tetapi di kawasan terbuka seperti di tapak Paleolitik Bingkor itu, biasanya sampel organik sukar terawet dan mudah hilang.
“Oleh itu, berlaku kesukaran untuk mendapatkan sampel organik.”

Bagi mengatasi masalah itu, kata Jeffrey, pentarikhan menggunakan kaedah OSL digunapakai.

“Dalam kaedah itu, usia tapak ditentukan dengan mengambil kira BILA kali terakhir sampel yang diambil itu terkena pancaran matahari sebelum ia ditutupi tanah.

“Prosesnya agak teknikal untuk dihuraikan tapi dalam bahasa yang mudah, dos sinaran pada butiran tanah yang terkena matahari akan dikira untuk menentukan bila kali terakhir ia terdedah kepada cahaya matahari,” katanya.

Keperluan itu menuntut sampel tanah untuk pentarikhan OSL diambil dalam keadaan gelap kerana jika sampel diambil dalam keadaan bercahaya, ia tidak akan memberikan bacaan yang tepat. 

Jeffrey menambah, hanya satu sampel diperlukan pada satu lapisan tanah dan sampel itu haruslah disimpan dalam bekas gelap dan sama sekali tidak boleh terkena cahaya matahari.

Sampel biasanya diambil dengan menggunakan paip PVC yang tebal agar ianya tidak pecah ketika dihentak ke dalam lapisan tanah.

“Paip PVC itu akan dihentak ke dalam tanah dengan alat khas tapi sebelum ia dihentak dalam kedudukan melintang, bahagian permukaan tanah yang hendak diambil haruslah dibuang terlebih dahulu. Semua ini perlu dilakukan dalam keadaan gelap. 

“Biasanya, selepas paip PVC itu dikeluarkan dari tanah, paip PVC yang mempunyai tanah di dalamnya akan dibalut dengan bahan pembalut sebanyak yang mungkin.

“Kedua-dua bahagian hujung paip PVC itu kemudian perlu ditutup rapat supaya kandungannya tidak ditembusi cahaya.

“Sampel-sampel tanah tersebut kemudian dihantar ke sebuah makmal di Korea untuk tujuan penentuan usia tapak,” katanya sambil menambah kos untuk satu sampel ialah RM2,000.

Jumlah sampel yang dihantar bergantung kepada berapa banyak lapisan budaya yang ditemui.
Lapisan budaya merujuk kepada lapisan batu yang ditinggalkan oleh manusia purba dan Tapak Paleolitik Bingkor mempunyai sekurang-kurangnya tiga lapisan budaya.

Untuk memastikan pentarikhan itu diiktiraf, sampel perlu dihantar ke makmal yang telah diterimapakai oleh semua penyelidik.

Salah satu makmal untuk pentarikhan OSL yang diterimapakai secara meluas ialah Korea Basic Science Institute, di Korea.


Artifak dianalisis secara terperinci


Artifak-artifak yang dibawa dari tapak kajian akan dibersihkan dan dilabelkan. Bagi artifak yang mengalami kerosakan, kerja konservasi perlu dilakukan terlebih dahulu. 

SLAID disediakan untuk analisis palinologi dan melihatnya
di bawah mikroskop di Makmal PPAG, Universiti Sains Malaysia
“Analisis seterusnya adalah mengenal pasti jenis artifak dan teknologi pembuatannya. Kajian saintifik ini penting terutama untuk mengetahui jenis bahan artifak tersebut dan cara pembuatannya,” kata Jeffrey yang memulakan kajian terawalnya di Gua Balambangan, Kudat. 

Beliau juga pernah terlibat dalam kajian di Gua Samang Buat dan Tapak Terbuka Mansuli, kedua-duanya di Lahad Datu. 

Menurut Jeffrey, analisis saintifik itu juga akan mengenal pasti sumber bahan asas yang digunakan untuk membuat artifak tersebut. 

“Ada banyak kaedah yang boleh digunakan dalam penentuan jenis-jenis bahan asas iaitu kaedah geokimia seperti analisis XRF, XRD, Petrografi dan sebagainya. 

TIGA kakitangan PPAG (dari kiri) Azwan Hashim, 
Ratnah Wati dan Nor Erma Abdullah sedang 
melakukan analisis makmal ke atas artifak-artifak 
yang dibawa dari tapak ekskavasi

“Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM mempunyai kelengkapan dari segi analisis unsur-unsur bahan. Kesemua ini bertujuan untuk mengetahui teknologi artifak tersebut. 

“Sampel tanah juga, yang diambil dari petak eksakvasi, akan dilakukan analisis debunga untuk mengetahui persekitaran pada masa dahulu berdasarkan kepada jenis tumbuhan yang wujud pada masa dahulu,” jelasnya.

Selepas kajian dan analisis itu selesai, artifak-artifak tersebut akan dipulangkan kepada pihak muzium sementara hasil kajian itu pula akan diterbitkan dalam bentuk artikel di jurnal-jurnal atau dalam bentuk buku. 

“Maklumat kajian itu juga akan dikongsi dengan orang ramai menerusi pameran-pameran,” katanya yang turut membuat kajian mengenai megalit di Sabah. 


Bidang kaji purba penting kepada dunia moden


“Bidang arkeologi memainkan peranan penting dalam dunia moden kerana melalui bidang ini kita boleh mengetahui tentang masa lampau masyarakat purba dan bahagian-bahagian kawasan yang belum lagi ditemui di bumi ini,” tegas Jeffrey.

Melalui bidang arkeologi juga, katanya, kita boleh mengetahui bagaimana keadaan dunia ini pada masa lampau.

Menurut Jeffrey, memandangkan objektif utama arkeologi adalah untuk memahami bagaimana dan kenapa tingkahlaku manusia berubah mengikut masa, maka ahli arkeologi akan mencari corak perubahan budaya tersebut mengikut masa seperti misalnya perkembangan pertanian, kemunculan bandar-bandar dan kejatuhan beberapa tamadun utama dunia.

“Ahli arkeologi akan mencari petunjuk-petunjuk tentang kenapa peristiwa-peristiwa seperti itu berlaku. Ini juga boleh membantu kita merancang untuk masa hadapan.

“Masa lampau kita adalah warisan budaya kita. Malah menjadi tugas arkeologi juga untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada generasi akan datang. Memahami corak dan perubahan dalam tingkahlaku manusia akan menambahkan pengetahuan kita tentang masa lampau malah mampu membantu dalam merancang bukan sahaja masa depan kita tetapi untuk generasi akan datang.

“Dengan mengetahui masa lampau, ia akan dapat membentuk jati diri seseorang dan adanya rasa bangga terhadap tanah airnya.

“Selain itu, penemuan-penemuan tapak-tapak yang baru juga akan dapat dimanfaatkan untuk perkembangan pelancongan terutama dalam bidang arkeopelancongan,” katanya.


Bidang arkeologi kurang diceburi


JEFFREY (kiri) memberi tunjuk ajar kepada penuntutnya,
Siti Faridah Hanim Damsi.
Bidang arkeologi adalah satu bidang yang masih kurang diceburi terutama oleh rakyat tempatan. 

Bilangan ahli arkeologi di negeri ini boleh dihitung dengan jari dan Jeffrey sendiri adalah satu-satunya ahli arkeogeologi yang berasal dari Sabah.

Ahli arkeogeologi merujuk kepada pakar kaji purba yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang geologi. 

Memandangkan kajian demi kajian yang dibuat di Sabah membuktikan bahawa potensi arkeologi di negeri ini sangat besar, kita memerlukan lebih ramai ahli arkeologi atau arkeogeologi tempatan untuk menggerakkan usaha memajukan bidang itu.

“Bagi saya, potensi bidang arkeologi di Sabah masih luas dan besar. Banyak lagi kawasan-kawasan yang belum diterokai atau ditinjau yang berkemungkinan mempunyai potensi sebagai tapak arkeologi.

“Kerana itu dari segi kerjaya, bidang arkeologi mempunyai potensi yang sangat baik tetapi untuk berjaya dalam bidang ini, kita perlu mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang kaji purba,” katanya.

Bagi Jeffrey, kejayaan menyingkap misteri masa lampau dan membantu melengkapkan lagi prasejarah Sabah khususnya dan Malaysia amnya memberikan kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

“Lebih banyak kita tahu tentang masa lampau tanah air kita maka akan bertambah rasa bangga kita terhadap tanah air kita,” katanya.


JEFFREY (kanan) Peter (tengah) dan Affendy meninjau satu lagi tapak berpotensi tidak
jauh dari lokasi Tapak Paleolitik Bingkor.

TIGA pekerja lapangan membantu Jeffrey dalam kajian megalit di Sabah yang dimulakan sejak tahun 2009.

SUMBER: 
Harian Ekspres, 3 Jun 2012










No comments:

Post a Comment