Sunday 27 May 2012

Tapak Paleolitik Bingkor merungkai misteri budaya manusia zaman batu

RENCANA empat bahagian ini menggarisbawahi kepentingan bidang arkeologi kepada manusia di mana penemuan-penemuan yang dilakukan serta kajian yang sangat saintifik akan dapat membantu kita mengenali asal usul kita.
      Bahagian pertama ini mengupas penemuan tapak Paleolitik Bingkor Keningau oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia dan Jabatan Muzium Sabah. 

     Penemuan itu sangat signifikan kerana ia adalah penemuan pertama seumpamanya di Sabah Barat yang akan menyumbang kepada data arkeologi global.

****  ****  **** ****  ****  **** ****   ****  ****  **** ****  ****  **** ****    ****  ****  **** **** 
****  ****  **** ****  ****  **** ****   ****  ****  **** ****  ****  **** ****    ****  ****  **** ****


Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

PENEMUAN tapak purba zaman Paleolitik di Kg Lipasu, Bingkor, 15 kilometer di pekan Keningau, membuka lembaran baru yang sangat signifikan kepada perkembangan arkeologi bukan sahaja di Sabah tetapi juga dunia.

Ini kerana, tapak zaman batu awal itu adalah yang pertama seumpamanya ditemui di Sabah Barat.

Sejak penemuan tapak arkeologi pertama Sabah di Tingkayu, Kunak pada tahun 1965 oleh Tom dan Barbara Harrisson, semua kajian dan penemuan data prasejarah yang menyusul selepas itu hanya tertumpu di sebelah Sabah Timur. Ini termasuklah tapak Mansuli di Lahad Datu yang berusia 235,000 tahun, tapak Tingkayu, Kunak (75,000), tapak Gua Samang Buat, Lahad Datu (46,000) dan tapak Bukit Tengkorak, Semporna (5,000), sekadar menyebut beberapa nama.

Hanya pada tahun 2009, sekumpulan penyelidik di bawah Projek Arkeologi Sabah Barat, yang diketuai pensyarah di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), Jeffrey Abdullah, mula melakukan tinjauan di Sabah Barat untuk melihat potensinya dalam bidang arkeologi.

“Kajian atau survei yang mereka lakukan itu telah menemui banyak jumpaan permukaan berupa alat batu Paleolitik (zaman batu awal) di sekitar Keningau,” kata Pengarah PPAG, USM, Prof. Dr Mokhtar Saidin ketika lawatan bersama media ke tapak itu yang turut disertai Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Joanna Kitingan, baru-baru ini.

Penemuan-penemuan di permukaan itu memberi pembayang jelas bahawa manusia prasejarah pernah menduduki kawasan tersebut.

Prof Dr. Mokhtar menerangkan 
penemuan kumpulan penyelidik terbabit.
“Beberapa kerja lapangan dilakukan selepas itu di bawah Projek Arkeologi Sabah untuk mencari kedudukan sebenar bengkel pembuatan alat batu tersebut dan pada November 2011, kumpulan penyelidik kami, dengan kerjasama Bahagian Arkeologi, Jabatan Muzium Sabah, menemui tapak ini yang terletak di tepi sebuah ladang kelapa sawit,” jelasnya sambil menambah kawasan berbukit itu dipercayai adalah bekas sebuah tasik kuno. 

Hasil ekskavasi di tapak itu sejak 15 Mei lalu dan dijadual berakhir 29 Mei ini telah mengesahkan penemuan bengkel pembuatan alat batu Paleolitik itu. 

Kerja-kerja ekskavasi itu diketuai Siti Faridah Hanim Damsi, 26, seorang penuntut peringkat sarjana bidang arkeologi di PPAG, USM, yang sedang menyiapkan tesisnya di bawah bimbingan Jeffrey. 

Siti Faridah turut dibantu oleh dua orang pembantu penyelidik PPAG dan beberapa kakitangan dari Bahagian Arkeologi, Jabatan Muzium Sabah yang diketuai Peter Molijol serta mengupah lima pekerja sambilan untuk mempercepatkan kerja.

“Di tapak ini, mereka menemui peralatan pembuatan alat batu seperti pelandas, batu teras dan batu pemukul yang berasosiasi dengan sisa kerja dan juga beberapa alat batu telah siap seperti alat penetak dan repehan.

TAPAK terbuka Bingkor mempunyai 
sekurang-kurangnya tiga lapisan budaya
berdasarkan kepada lapisan-lapisan 
batu yang ditemui
“Penemuan mereka ini menunjukkan telah ada manusia awal di sini yang membuat alat batu mereka dan tapak ini masih in situ (belum diusik),” katanya.
Batu-batu itu ditemui pada kedalaman sekitar 1.5 meter dari permukaan dan berada di bawah lapan jenis lapisan tanah sekaligus memberi pembayang awal mengenai usia sebenar tapak itu.

Lebih menarik lagi, tapak terbuka Bingkor itu mempunyai sekurang-kurangnya tiga lapisan budaya. (‘Lapisan budaya’ merujuk kepada lapisan batu yang ditinggalkan oleh manusia purba dan tiga lapisan budaya secara literalnya bermakna kawasan itu pernah diduduki sebanyak tiga kali). 

“Pentarikhan akan menentukan usia sebenar tapak ini. Bagaimanapun, kami percaya ia setanding, jika tidak lebih tua, daripada tapak Mansuli (235,000 tahun) kerana tapak terbuka Bingkor mempunyai lebih dari satu lapisan budaya.

“Lebih dalam lapisan budaya itu, maka lebih tua usianya,” jelas Prof. Dr. Mokhtar.

Penemuan penting

Dalam pada itu, Jeffrey berkata penemuan tapak terbuka Bingkor itu sangat penting kerana ianya menggarisbawahi kepentingan Sabah Barat kepada kajian Paleolitik bukan sahaja untuk negara ini tetapi juga kepada dunia.

“Apabila usia tapak ini sudah ditentukan kelak, kita akan dapat melihat arah pergerakan migrasi manusia purba. Setakat ini, berdasarkan penemuan kami, tapak tertua di Borneo ialah di Mansuli, Lahad Datu. 

JEFFREY menerangkan kepada media beberapa alatan batu 
yang ditemui di tapak itu.
“Dan buat masa ini, kami percaya bahawa migrasi manusia Paleolitik di Borneo bermula dari Mansuli ke kawasan lain.

“Bergantung kepada usia tapak terbuka Bingkor ini, jika ia lebih tua berbanding Mansuli, ia bermakna migrasi manusia Paleolitik sebenarnya bermula dari Pedalaman Sabah, bukan dari Pantai Timur, dan ini satu data yang penting.

“Lebih banyak penemuan tapak Paleolitik di Sabah akan memberi gambaran lebih jelas kepada kita mengenai arah pergerakan migrasi mereka, dari mana dan ke mana.

“Apabila digabungkan kepada penemuan lain di Malaysia dan di peringkat global, kita akan dapat melihat dengan lebih jelas arah migrasi itu.

“Tapak terbuka Bingkor ini sangat signifikan kepada bidang arkeologi dunia kerana ia menyumbang kepada data penting itu,” kata Jeffrey sambil menambah ahli arkeologi di seluruh dunia mendukung teori ‘Out Of Africa’ di mana manusia bermula dari benua kedua terbesar dunia itu berdasarkan penemuan fosil manusia terawal berusia antara 5 hingga 7 juta tahun di sana.

Kenapa sebelum ini tumpuan lebih terarah ke bahagian timur Sabah?
Jeffrey memberikan jawapannya: “Kadar pembangunan di Sabah Timur sangat pesat. Banyak kawasan baru dibuka untuk tujuan pertanian, perladangan serta pembangunan lain dan ini menimbulkan kebimbangan bahawa kepesatan pembangunan itu akan merosakkan khazanah tidak ternilai yang wujud di kawasan tersebut.

“Sebab itulah maka kajian-kajian arkeologi sebelum ini lebih tertumpu di kawasan Sabah Timur untuk menyelamatkan mana-mana tapak purba yang ada di kawasan tersebut.”

Data direkod dengan terperinci

SEBAHAGIAN daripada pekerja lapangan sedang melakukan kerja-
kerja ekskavasi di salah satu daripada dua petak di tapak itu.
Bercanggah dengan kepercayaan umum, kerja-kerja arkeologi sendiri sebenarnya merosakkan sesuatu tapak prasejarah yang ditemui.

Ini kerana kerja-kerja ekskavasi perlu dilakukan untuk menimbulkan artifak-artifak tidak ternilai itu dan proses tersebut pada masa sama akan merosakkan sesuatu tapak arkeologi itu. 

“Sebab itulah, kedudukan setiap artifak yang ditemui serta butiran lain perlu direkodkan dengan terperinci.

“Data kedudukan artifak direkodkan berdasarkan kedalaman, jarak dari dinding utara serta dinding kiri ATAU kanan (mana-mana yang paling hampir) untuk mencari kedudukan tiga dimensinya.

“Selepas itu artifak-artifak itu akan dimasukkan ke dalam beg plastik lut sinar dan akan dibawa balik ke makmal untuk proses analisis yang lebih terperinci dan sangat saintifik,” jelas Jeffrey.

Tanah-tanah yang dikorek juga akan disaring untuk mencari batuan kecil.

Manusia prasejarah 
SITI Faridah (kanan) meneliti batu yang ditemui untuk direkodkan.

Berdasarkan penemuan peralatan batu itu, ahli arkeologi mentafsirkan bahawa manusia Paleolitik adalah sebuah masyarakat yang tahu akan konsep alatan dan senjata.

Mereka menggunakan alatan yang diperbuat daripada batu untuk memotong, menghiris, menetak, menebang, berburu dan pelbagai keperluan lain.

“Perlu diingat, kajian arkeologi mengkhusus kepada manusia prasejarah yang hanya tahu menggunakan batu sebagai alat untuk bekerja 
atau sebagai senjata untuk berburu.

“Bukan semua batu sesuai digunakan kerana ada batu yang keras dan ada juga batu yang lembut. Tetapi manusia Paleolitik ini tahu batu mana yang sesuai digunakan untuk menghasilkan alatan mereka.

“Kebanyakan alatan batu yang kami temui menunjukkan bahawa manusia Paleolitik menggunakan batu sungai untuk dijadikan alatan kerana ianya keras dan mudah dibentuk.”

PEKERJA lapangan sedang menyukat 
kedalaman sebuah artifak yang ditemui. 
Setiap artifak yang ditemui akan 
disukat kedalamannya serta kedudukannya 
dari dinding utara dan dinding tepi 
terdekat untuk menentukan
 bacaan tiga dimensinya. 
Prof. Dr. Mokhtar, yang mengambil bidang geologi di peringkat awal pengajiannya sebelum beralih ke bidang arkeologi, berkata manusia zaman batu menggunakan pelbagai kaedah untuk ‘menajamkan’ tepi batu teras untuk dijadikan senjata.

“Antaranya ialah dengan mengetuk hujung batu teras ke batu pelandas untuk menghasilkan bahagian tajam pada hujung batu itu,” katanya sambil menunjukkan cara pembuatan alatan batu kepada kumpulan media.

Mereka juga mungkin menggunakan kaedah lain seperti mengetuk kedua-dua batu teras untuk menghasilkan bahagian tajam, katanya

Serpihan batu yang terhasil, atau dalam bidang arkeologi disebut ‘repehan’, juga boleh digunakan sebagai alat untuk kerja ringan seperti memotong tumbuhan atau melapah kulit haiwan yang diburu sementara bahagian yang lebih besar dan keras boleh digunakan untuk memotong daging, tulang dan sebagainya.

“Malah mereka juga mungkin menggunakan alat batuan untuk menebang pokok,” kata Prof Dr. Mokhtar.

Banyak tafsiran lain boleh dibuat hanya dengan melihat kedudukan batu-batu yang ditemui di tapak termasuklah sama ada orang yang bekerja di bengkel itu bekerja menggunakan tangan kiri atau kanan, tambahnya. 

Itulah sebabnya kenapa tapak yang ditemui perlu berada dalam keadaan in situ bagi memastikan data yang diproses kelak akan memberikan keputusan yang jitu.

Khazanah negara

Semua tapak arkeologi adalah khazanah negara. Kerana itu, usaha-usaha perlu diambil untuk mewartakan sesuatu kawasan di mana tapak prasejarah itu ditemui.

Selepas penemuan tapak arkeologi di Bingkor itu, Jabatan Muzium Sabah akan mengambil langkah susulan untuk mendapatkan semula tanah tersebut untuk dibangunkan sebagai tapak terbuka muzium arkeopelancongan.

Joanna
“Kita mempunyai kaedah tertentu yang untuk mendapatkan semula tanah tersebut dan saya fikir itu bukan satu masalah,” kata Joanna sambil menyifatkan penemuan di Bingkor itu merupakan sesuatu yang penting kepada bidang arkeopelancongan di negeri ini.

Sejak penemuan itu mendapat publisiti di media, ia mula dikunjungi orang ramai meskipun kerja-kerja ekskavasi masih berjalan.

Ini mungkin didorong oleh minat orang ramai untuk mengetahui lebih mendalam tentang penemuan itu yang boleh dikaitkan dengan asal usul mereka. 

Bagaimanapun, kehadiran ramai orang ketika kerja-kerja ekskavasi sedang berjalan mungkin memberikan kesulitan kepada pengkaji-pengkaji terbabit yang kini bersaing dengan masa untuk menyiapkan penyelidikan itu.

Memandangkan kawasan itu boleh didatangi dengan mudah oleh sesiapa sahaja, langkah-langkah segera perlu diambil untuk memastikan tapak itu bebas daripada tindakan laku musnah oleh individu yang tidak memahami kepentingan longgokan artifak yang pada mata kasar kelihatan tidak ubah seperti batu tepi sungai yang langsung tidak mempunyai sebarang nilai.

PROF. Dr Mokhtar (berdiri, keenam dari kanan), Joanna (berdiri, keempat dari kanan),
Jeffrey (berdiri, kelima dari kiri) dan Peter (berdiri, kedua dari kanan) mengabadikan kenangan bersama yang lain di hadapan dua petak yang diekskavasi (di bawah khemah).


SUMBER: Harian Ekspres, 27 Mei 2012 

Thursday 10 May 2012

Paling cantik

Shirley (tengah) diapit oleh  Janedy (kiri) dan  Julie.

SHIRLEY Anthony, berumur 22 tahun dari Keningau dipilih sebagai pemenang pertandingan ratu cantik D Junction Miss Oriental 2012 yang berlangsung di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Mengiringi gelaran itu ialah hadiah wang tunai RM5,000, mahkota, selempang, trofi, hamper dan sijil.

Shirley turut memenangi gelaran sampingan ~ Miss Oriental Best Cheongsam ~ dan menerima hadiah wang tunai RM500, selempang, trofi, hamper dan sijil.

Naib johan ialah Janedy Yap yang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 sementara di tempat ketiga ialah Julia Lee yang menerima wang tunai RM1,000. Kedua-dua mereka juga menerima hadiah iringan berupa mahkota, selempang, trofi dan sijil.

Pemenang gelaran sampingan lain ialah Christine Deborah @ Gegurl (Miss Popular), Natasha Aprilia (Best Catwalk), Charlyn Christopher Sherman (Miss Personality), Samatha Justin (Miss Photogenic) dan Janedy Yap (Miss Body Beautiful).

Kesemua pemenang gelaran itu menerima hadiah wang tunai RM500, selempang, trofi, hamper dan sijil.



Wednesday 9 May 2012

Ivye mohon maaf kepada peminat

'Semua orang ada masa
lalu dan saya tidak mahu
terus meratapi apa
yang sudah berlalu' 
 
Boyd PV
Harian Ekspres

SELEPAS namanya mencanak naik menerusi album pertama berjudul Hiti Oku Poingandad pada tahun 2007, populariti Ivye Alexandra kini seperti semakin mengecil di pentas hiburan tempatan.

Malah, kemunculan album keduanya, Babang, hampir tiga tahun lalu juga tidak banyak membantu mengembalikan populariti penyanyi ini yang suatu ketika dahulu pernah bernaung di bawah label Moe’s Music Production.

Penganjur acara sukar mendapatkan khidmat Ivye malah wartawan hiburan juga sukar menjejakinya untuk mendapatkan perkhabaran terbaru.

Ivye Alexandra terus menyepi. Sesekali kedengaran gosip mengenai kisah peribadinya. Namanya pun gosip, penat orang bercakap, cerita itu akhirnya berlalu begitu sahaja. Tapi, itu cerita beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, penulis berpeluang bertemu Ivye dalam satu sidang media di Kota Kinabalu untuk mengumumkan konsert besar-besaran yang menghimpunkan tidak kurang 20 artis tempatan. (Konsert itu dijadual dilangsungkan dalam masa terdekat. Bagaimanapun, berlaku perubahan besar dalam butiran mengenai projek itu dan perkembangan mengenai konsert mega itu akan dilaporkan kemudian setelah semua butiran itu dimuktamadkan).

Tampak lebih bersemangat, Ivye menerima pelawaan untuk ditemubual.

Antara butiran yang dikongsikannya ialah penyanyi ini akan muncul dengan dua single dalam masa terdekat.

“Singles itu akan dimuatkan dalam album kompilasi bersama rakan artis lain,” katanya.

Ivye mengharapkan single Ganit Piupusan (ciptaan Apis Budin dan Ivye) dan Misuai Nodi Ralan (ciptaan Sekar Madusa) akan kembali memperkukuhkan namanya di persada muzik tempatan.

Bagaimanapun, Ivye tidak mengiyakan ataupun menafikan kaitan kedua-dua lagu itu dengan kehidupan peribadinya.

Umum mengetahui Ivye telah putus tunang dengan penyanyi Reno Rodney Fabianus.

“Ia sekadar lagu,” katanya ringkas sambil tersenyum manja bagai memberi isyarat dia enggan berkongsi kisah sedih yang pernah dilaluinya.

Selain menyanyi, Ivye juga terbabit dalam bidang lakonan.

Selepas menjayakan watak utama menerusi telefilem format VCD Esther Eshtera beberapa tahun lalu, Ivye kembali dalam telefilem berjudul Sompoton yang disiarkan di TVi sedikit masa lalu. Telefilem itu menggandingkan dia dengan pelakon Noni AF dan Marlin Malalin, antara lain.

Terbaru, dia menjayakan telemovie format DVD Ampal The River Man yang khabarnya sedang dalam proses penyuntingan.

Semua ini membuktikan, asalkan kita komited dan gigih dalam berkarya, rezeki tetap ada dalam bidang ini.

Walaupun sudah agak lama menyepi, Ivye tetap diberi ruang dan peluang untuk berkarya kerana dia mempunyai apa yang diperlukan untuk berada dalam bidang ini.

Jadikan kesilapan lalu sebagai iktibar dan teruskan berkarya dengan disiplin dan komitmen yang tinggi. Ivye harus memanfaatkan peluang kedua ini dengan sebaiknya.

“Saya memohon maaf kepada peminat kerana pernah menjauhkan diri dari persada seni.

“Saya tidak ingin mengenang apa yang telah saya lalui sebelum ini tapi apa yang dapat saya katakan, saya kini sudah sedia untuk bangkit dan memulakan langkah baru dalam bidang ini. Saya mengharapkan sokongan semua,” kata Ivye.

Butir bicaranya kali ini lebih matang.

“Semua orang ada masa lalu dan saya tidak mahu terus meratapi apa yang sudah berlalu,” tambahnya dengan tenang.

Mengenai perniagaan salun rambut miliknya yang gagal bertahan, Ivye mengakui itu adalah cabaran orang berniaga.

“Saya tidak dapat memberi tumpuan kepada perniagaan itu dan minta orang lain tolong uruskan. Saya sangat terkilan kerana tersilap pilih orang untuk diberi kepercayaan sehingga mengalami kerugian besar.

“Saya diberitahu, pelanggan tidak ramai datang ke salun saya tapi pada masa sama, produk-produk di salun saya habis. Dari situ saya sudah dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena. Tidak mahu memeningkan kepala, saya jual perniagaan itu,” katanya.

Tapi pengalaman itu tidak membuatkan dia serik untuk terus berniaga.

Ketika ini, Ivye sibuk mengusahakan sebuah butik di daerah kelahirannya, Tambunan.

“Setakat ini, perniagaan butik saya berjalan dengan baik. Selain menerima tempahan menjahit pakaian, butik itu juga menjual pakaian siap yang eksklusif rekaannya,” kata Ivye yang turut mempunyai perancangan untuk membuka sebuah café, juga di Tambunan, dalam masa terdekat.

“Doakan usaha saya berhasil,” katanya.

Thursday 3 May 2012

Daily Express, OCDN raih 13 Emas

MUSA (tengah), Pairin (kelapan dari kanan), Alison (sebelah kanan Pairin) dan Joniston (di kiri Musa) memotong kek pada majlis itu sambil diperhatikan oleh pemenang anugerah dan ahli jawatankuasa penganjur.


Report by Chris Maskilone
KOTA KINABALU: Akhbar Daily Express dan Overseas Chinese Daily News (OCDN) Sabah Publishing House memenangi 13 Emas di Anugerah Kewartawanan Shell Kinabalu ke-20 di Magellan Sutera di sini pada Hari Pekerja – kutipan terbesar mereka setakat ini.

Express juga mengekalkan penguasaannya ke atas Anugerah Kewartawanan Inggeris dan Anugerah Laporan Inggeris melalui Penulis Khas, Mary Chin.

Penyertaan Mary yang menang ialah satu siri tiga bahagian mengenai potensi Sabah dalam mesyuarat, insentif, konvensyen dan expo bagi Anugerah Kewartawanan Inggeris dan “Hope yet for those left out” bagi Anugerah Laporan Inggeris.

OCDN juga memenangi Anugerah Kewartawanan Cina melalui Gravin Wong dengan artikelnya bertajuk “Komuniti Sabah yang memerlukan” dan Anugerah Laporan Cina melalui pasukannya yang dianggotai Jimmy Goh, Wang Chee Shian, Leag Koon Lan, Bong Tze Pin dan Tee Kok Wai.

Express memenangi Anugerah Laporan Perniagaan dan Ekonomi melalui Mary dengan penyertaannya “Sabah leads with an all-women hotel” serta merit melalui penyertaan “Sabah paddy output declining since 2004 – market potential for Sabah’s beras hitam, monopoly with responsibilities” oleh James Sarda dan Stephanie Lee.

Satu lagi Emas adalah Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar dimenangi oleh gandingan Neil Chan, Hayati Dzulkifli dan Kan Yau Chong bagi laporan mereka mengenai pentingnya tanah paya yang sihat di Sabah.

Bagi Anugerah Laporan Hiburan, penulis khas, Kan Yau Chong memenangi Emas dengan penyertaannya “Mother tonque method fall-proof: Professor” sementara Jason Santos memenangi anugerah merit melalui tulisannya bertajuk “Hamburg-based Malaysian’s You Tube tribute.”

Kan memenangi anugerah merit dalam kewartawanan Inggeris melalui tulisannya “Hail Sabah”.

Seksyen Bahasa Melayu, Harian Ekspres juga menyumbang dua Emas melalui Siti Kazalinah Kamaludin dan Petrus Valentinus.

PETRUS menerima anugerah daripada Musa.
Siti Kazalinah memenangi Anugerah Laporan Hiburan melalui artikelnya bertajuk “Perjuangan Kulintangan Razali” manakala Petrus memenangi anugerah merit dengan penyertaannya “Artis Sabah mula bangkit.”

Petrus memenangi Anugerah Laporan Perniagaan dan Ekonomi Bahasa Melayu dengan laporan bersirinya “Meninjau Industri `emas hitam’ di Thailand.”

Anugerah merit lain yang dimenangi Express adalah untuk Anugerah Kewartawanan Sukan melalui Oh Geeng Lu melalui penyertaannya “Brazilian-Japanese martial art charm” dan dua dalam Seksyen Kadazandusun melalui Maziah Abdullah @ J Sipanil dan Marcellus Benedict Puvok.

Ketua Pemberita OCDN, Bong Tze Pin memenangi dua Emas dalam Anugerah Laporan Perniagaan dan Ekonomi bagi tulisannya “Harapan Untuk pengindustrialisasian getah di Sabah” dan Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar Cina melalui penyertaan “Keperluan segera untuk melindungi hutan bakau.”

Anugerah emas OCDN yang lain adalah melalui Gravin dalam Anugerah Kewartawanan Sukan dan penyertaannya “demam Hip-hop” serta bagi Anugerah Fotografi dengan gambarnya bertajuk “A Spoiled beauty”.

OCDN juga memenangi Anugerah kewartawanan Alam Sekitar Cina melalui Leag Koon Lan bagi penyertaannya “mewujudkan rasa tanggungjawab terhadap lautan kita” dan Gravin dalam Laporan Hiburan Cina dengan penyertaannya “artis serba boleh Bernard Hiew: Lebih daripada inspirasi, keyakinan.”

Bahagian pertama anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, sementara Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyampaikan anugerah pada bahagian kedua yang merupakan anugerah-anugerah utama.

Turut hadir ialah Naib presiden, Pengeluaran, Huluan Antarabangsa, Shell Asia Pasifik, Alison Goliger dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.