Wednesday 29 December 2010

Dapatkan maklumat terperinci sebelum mula tanam gaharu

Brazilan
Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

POKOK karas atau gaharu dilaporkan mampu memberi pulangan yang sangat lumayan jika dilakukan dengan betul dan secara serius.

Tetapi sebelum menceburi bidang penanaman pokok gaharu, bakal usahawan dinasihati supaya membuat penyelidikan sendiri dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai pokok itu termasuk pasaran dan prospek ekonominya.

Kegagalan penanam memahami sepenuhnya segala aspek berkaitan tanaman bernilai tinggi itu serta perniagaan yang dikaitkan dengannya hanya akan merugikan penanam itu sendiri.

Ini adalah kerana hasil yang dijana oleh pokok gaharu hanya dapat dilihat seawal-awalnya lima tahun.

Tersilap langkah, penanam mungkin berdepan dengan kerugian sepertimana yang pernah dialami oleh seorang usahawan gaharu warga tempatan dari Kota Belud, Brazilan Daved, 38, di awal pembabitannya dalam industri gaharu ini.

Berkongsi pengalamannya, Brazilan berkata dia pernah melakukan kesilapan kerana begitu mudah mempercayai maklumat daripada seseorang yang membekalkan vaksin untuk pokok gaharu baka tempatan, Aquilaria malaccensis, yang ditanamnya.

GAHARU jelas kelihatan pada dahan pokok yang sudah diinokulasi selama tiga bulan.
"Kerana terlalu mudah percayakan maklumat yang diberikan oleh pembekal vaksin itu, saya bukan sahaja mengalami kerugian yang banyak tetapi turut menyaksikan kepercayaan orang kampung terhadap saya terjejas," akuinya kepada Harian Ekspres baru-baru ini.

Meneruskan ceritanya, Brazilan berkata dia membeli vaksin daripada seorang pembekal di Kelantan kerana vaksin yang dibekalkannya itu didakwa mampu mendorong pokok gaharunya mengeluarkan resin dalam tempoh yang singkat.

Vaksin adalah sejenis cecair khusus yang disuntik ke batang pokok gaharu selepas mencapai usia atau ukur lilit tertentu untuk mendorong pengeluaran resin berharga berwarna gelap dipanggil gaharu.

"Saya diberitahu bahawa dengan menggunakan vaksin itu, pokok gaharu boleh dituai seawal-awalnya dalam tempoh setahun. Percaya bulat-bulat dengan apa yang diberitahu oleh pembekal itu, saya membeli bekalan vaksin daripadanya dalam kuantiti yang banyak dan menjualnya semula kepada penduduk kampung dengan niat agar kami sama-sama akan dapat menikmati hasilnya dalam masa yang singkat.

"Itu apa yang saya percaya ketika itu tanpa sebarang keraguan.

"Genap setahun, apabila saya tebang satu batang pokok gaharu yang disuntik dengan vaksin itu, saya tidak nampak gaharunya. Saya tebang beberapa pokok lagi tapi hasilnya tetap sama.

"Kecewa dengan keadaan itu, saya segera menghentikan penjualan vaksin itu.

"Dan cabaran lebih besar yang saya perlu hadapi ketika itu ialah bagaimana saya harus berhadapan dengan penduduk kampung yang pernah menyuntik pokok gaharu mereka menggunakan vaksin yang saya jual," katanya yang pada waktu itu mengusahakan syarikat De Darason Gaharu Plantation dan Info Global Enterprise.
POKOK GAT berusia tiga tahun yang baru disuntik dengan cecair vaksin SSAC (dalam botol).

TAPAK semaian GASB di Kampung Tigasah, Keningau.


Enggan mengalah dengan kegagalan itu, Brazilan terus mencari pengetahuan yang akan dapat membantunya merealisasikan impian menjadi seorang usahawan gaharu berjaya kerana beliau sangat yakin pokok berkenaan berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Beliau kemudian menyertai beberapa ceramah dan seminar mengenai penanaman pokok gaharu di Semenanjung.

Penyertaannya dalam salah satu seminar itu mempertemukan beliau dengan salah seorang pengusaha gaharu paling berjaya dari Negara Gajah Putih, Dr Mohamed Lohmoh, pemilik syarikat Agarwood Network Thailand (ANT).

"Saya dibawa ke ladangnya di Chantaburi, Thailand selama dua minggu untuk melawat kilang dan ladang milik syarikatnya. Melihat semua yang ada di depan mata saya ketika itu, hati saya tambah bersemangat untuk menjadi usahawan gaharu berjaya seperti Dr Mohamed.

"Ladang seluas 15 ekar yang dipenuhi dengan tanaman 200,000 batang pokok gaharu yang hampir matang, makmal menghasilkan vaksin, kilang memproses gaharu, pelbagai jenis peralatan dan apa sahaja yang berkaitan dengan perniagaan itu, semuanya tambah meyakinkan saya bahawa pokok gaharu mampu menjana pendapatan lumayan," katanya yang mula bergiat dalam penanaman gaharu sejak 2008.

Di ladang itulah juga Brazilan diperkenalkan dengan pokok gaharu baka hibrid, GAT, yang dihasilkan oleh ANT melalui teknik kultur tisu.

"Ia adalah jenis pokok gaharu yang mengeluarkan resin bermutu tinggi dan mendapat permintaan cukup baik di mana harganya boleh mencecah tiga kali ganda berbanding baka tempatan (Aqualaria malaccensis) di pasaran antarabangsa khususnya di kalangan pembeli di negara-negara Arab.

Di ladang itu, Brazilan mengikuti kursus mengenai industri gaharu termasuk pembenihan, penjagaan, suntikan vaksin dan sebagainya.

Dr Mohamed, kata Brazilan, pernah ke Dubai untuk memasarkan pati minyak gaharu GAT yang dihasilkannya. Setiap liter pati minyak GAT boleh mencecah harga AS$50,000 malah ada pembeli yang sanggup menawarkan harga setinggi AS$70,000 untuk kuantiti yang sama.

Yakin dengan prospek tanaman gaharu baka hibrid yang dihasilkannya, Dr Mohamed kembali ke Thailand dan mula giat menanam pokok gaharu GAT serta menjalinkan kerjasama secara kontrak dengan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar ladangnya.

"Penanaman kontrak itu diperkenalkan untuk memastikan ANT mempunyai bekalan gaharu GAT yang banyak dan berterusan di mana peserta ladang kontrak akan menjual semua hasil tuaian pokok gaharu mereka kepada ANT.

"Semua itu membuka mata saya bahawa industri gaharu adalah satu bidang yang mampu mengubah nasib penduduk kampung macam saya seperti yang sedang berlaku di Chantaburi ketika ini," katanya.

Selepas Brazilan kembali ke Sabah, beliau menubuhkan syarikat Gaharu Asia Sdn Bhd (GASB) pada 2009 di mana beliau adalah Pengarah Urusan syarikat itu.

Pada Disember 2009, GASB menandatangani MoU dengan ANT untuk membolehkan syarikat milik Bumiputera itu membawa masuk teknologi terkini penanaman pokok gaharu, vaksin khusus dan benih hibrid GAT dari Thailand ke Sabah.

Konsep perladangan kontrak juga turut dibawa ke Sabah oleh syarikat itu untuk membolehkan penduduk kampung sama-sama berpeluang meningkatkan status ekonomi masing-masing.

Setakat ini, kata Brazilan, syarikatnya sudah mendaftarkan lebih 2,000 peladang kontrak di seluruh Sabah melalui jerayawara berterusan yang dilakukan syarikatnya ke hampir setiap daerah di Sabah.

GASB membuka pejabatnya di pekan Keningau dan mengusahakan ladang seluas 50 ekar di Kampung Tigasah, Keningau. Ladang itu, yang terletak 17 kilometer dari pekan, telah mula ditanami dengan GAT secara berperingkat.

Mereka turut membuka pejabat cawangan di Limbang, Sarawak.

Selain memasarkan anak benih GAT, syarikat itu juga turut memasarkan vaksin SSAC (Stress Stain Aroma Compound) yang dihasilkan di makmal ANT di Thailand.

Berikut adalah maklumat penting yang perlu difahami oleh penanam dan bakal penanam pokok gaharu:

"Vaksin yang digunakan untuk menyuntik pokok gaharu haruslah bersesuaian dengan jenis pokok gaharu yang ditanam. Jika tidak, vaksin itu tidak akan memberikan hasil yang kita harapkan malah dalam keadaan tertentu, pokok gaharu yang disuntik dengan vaksin yang tidak sesuai akan mati," kata Brazilan.

Bagaimana pula nasib mereka yang sebelum ini telah menanam pokok gaharu tempatan Aqualaria malaccensis jika benar wujud perbezaan harga yang ketara di antara baka itu dan GAT?

"Masih ada pasaran untuk malaccensis walaupun harganya tidak sebaik GAT. Cuma, pemilik pokok malaccensis perlu menggunakan vaksin yang dikhususkan untuk pokok berkenaan," jelasnya.

Bagi GAT, pokok boleh disuntik dengan SSAC apabila ia mencapai usia 3 tahun atau mencapai ukur lilit tertentu.

Dengan penggunaan vaksin SSAC, resin akan mula kelihatan sehingga ke ranting selepas tiga bulan disuntik kerana baka hibrid ini mempunyai kadar serapan yang tinggi berbanding baka tempatan.

Dengan penjagaan yang baik dan teliti, hasilnya boleh dituai seawal-awalnya dua tahun selepas disuntik, kata Brazilan.

Memulakan usaha menanam pokok gaharu tidak sukar kerana anak benih pokok itu mudah didapati.

"Tetapi pastikan penanam memilih anak benih yang mampu memberi pulangan lebih baik selepas lima tahun," katanya kerana tempoh penanaman serta penjagaan bagi semua jenis pokok gaharu hampir sama.

Semua maklumat berkaitan akan dikongsikan dengan penanam dan bakal penanam pokok gaharu dalam satu seminar yang akan diadakan di Keningau dan di Chantaburi, Thailand pada penghujung Januari ini.

Seminar 10 hari itu adalah anjuran bersama GASB dan ANT.

Ada satu contoh kenapa penanam harus mengetahui serba serbi mengenai pokok gaharu sebelum mengambil keputusan untuk menanamnya.

Brazilan berkongsi cerita ini dengan harapan bakal penanam pokok gaharu mendapat iktibar daripada pengalaman orang lain:

"Tidak lama dulu, saya dan kakitangan syarikat mengadakan jerayawara di daerah kecil Engkilili di Sarawak.

"Kami didatangi seorang lelaki yang pada waktu itu bersikap sangat sinis terhadap kami.

"Menurutnya, dia sudah menanam pokok gaharu sejak 20 tahun lepas di atas tanah seluas 50 ekar tetapi tanaman itu langsung tidak memberi pulangan seperti yang pernah diberitahu kepadanya. Kepercayaannya terhadap potensi pokok gaharu sudah terhakis.

"Saya merasa agak tercabar tetapi pada masa sama saya melihat satu peluang perniagaan yang besar kerana jika benar dia mempunyai tanah seluas 50 ekar yang dipenuhi dengan tanaman pokok gaharu berusia 20 tahun, bayangkan betapa besar peluang niaga yang boleh saya perolehi daripadanya," kata Brazilan.

Beliau kemudian dibawa oleh lelaki itu, yang merupakan seorang pemimpin setempat, untuk melawat ladangnya tidak begitu jauh dari pekan Engkilili.

"Dalam perjalanan, saya tersenyum sendiri apabila membayangkan pokok gaharu berusia 20 tahun yang memenuhi kawasan seluas 50 ekar.

"Tapi sebaik sahaja saya melangkah masuk ke ladang itu, saya dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dan mula faham kenapa usahawan itu tidak berjaya memasarkan "pokok gaharu" yang ditanamnya.

"Fizikal dan ciri-ciri pokok itu sudah cukup untuk memberitahu kita bahawa ladang seluas 50 ekar itu rupanya dipenuhi dengan tanaman pokok Koningau (kayu manis) berusia 20 tahun, bukannya pokok gaharu!" katanya.

Itulah sebabnya, Brazilan menggalakkan penanam dan bakal penanam membuat penyelidikan terperinci mengenai gaharu sebelum mula menanamnya.

"Kita mahu elak keadaan di mana selepas mengeluarkan modal dan menunggu selama 5 tahun, kita tidak mendapat apa-apa daripada pelaburan itu kerana tersilap langkah sejak dari awal," katanya.


BRAZILAN (kiri) bersama Pengarah GASB, Ann Celestina (tengah) dan Pengurus Besar, Nora Hiew.




 



 

Thursday 23 December 2010

Impian Natal Arnold Wences


ARNOLD akan merakam album
tribute untuk mendiang Jahari Majai
Boyd PV
myyzoom.blotspot.com

TIDAK ada apa yang amat diimpikan oleh Arnold Wences Linus untuk sambutan Krismas tahun ini selain kesempatan untuk berkumpul bersama keluarga dan sanak saudaranya di Kampung Toboh, Tambunan.

"Kalau dapat berkumpul bersama keluarga dan sanak-saudara ketika menyambut Krismas, itu saya anggap satu hadiah paling bermakna kerana dalam kesibukan masing-masing, mencari masa yang sesuai untuk berkumpul satu keluarga adalah sesuatu yang jarang dapat dipenuhi pada hari-hari biasa," katanya dalam satu temuramah online baru-baru ini.

Tambahan lagi, menurut Arnold, atau mesra dipanggil Enol, awal tahun depan, dia ada perancangan untuk berhijrah ke Kota Kinabalu.

"Sebab itulah, saya sangat berharap untuk dapat berkumpul bersama-sama keluarga dan sanak saudara pada Hari Krismas nanti kerana tahun depan, saya tidak selalu dapat dapat bersama mereka," jelasnya.

Tidak ada majlis khusus tertentu yang akan dihadirinya pada Krismas nanti, yang akan disambut esok. Selepas bersama-sama umat Kristian lain merayakan Krismas di gereja, Enol akan ke rumah terbuka keluarga sebelah ibunya sebelum mereka beramai-ramai bertandang ke rumah keluarga sebelah bapanya pula.

"Kalau sempat, saya juga akan berkunjung ke rumah saudara mara yang lain serta kawan-kawan," katanya yang sangat berharap untuk dapat menjamah hidangan kek Lapis Sarawak pada hari Krismas nanti.

"Itu kuih kegemaran saya," akui juara Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2006 itu yang kini berumur 23 tahun.

Selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang muzik di UMS tidak berapa lama dulu, Enol bekerja di sebuah studio rakaman sebagai jururakam audio dan merekabentuk kulit album untuk menimba pengalaman.

Dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah tapi buat masa ini, katanya, membina kerjaya yang lebih kukuh adalah keutamaannya.

"Bila sudah ada kerja yang bagus nanti, saya bercadang untuk menyambung pelajaran secara sambilan. Itu hasrat yang ingin saya capai dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Untuk rakaman album, perancangan terdekatnya ialah menghasilkan album Kaandaman Dii Jahari Majai di mana Enol akan merakam semula kesemua 12 lagu dari album Nung Noilan Ku yang pernah dirakamkan penyanyi idolanya itu.

"Album itu adalah sebuah album tribute kepada Jahari Majai. Ia akan diterbitkan oleh Ambose Mudi, pencipta dan penulis lirik untuk album Jahari Majai.

"Saya akan menyanyikan semula lagu-lagu beliau di bawah bimbingan komposer Ambose. Projek di bawah label Vision Recording Studio (VRS) di Tambunan ini dirancang untuk menghidupkan kembali kenangan terhadap penyanyi Janda Ki Tanak Limo dan Mansau-Ansau itu serta mencari dana untuk disumbangkan kepada keluarga mendiang. Jika tiada halangan, projek ini akan bermula awal tahun depan.

"Selain itu, saya sedang menggumpul material untuk album saya yang akan datang tapi untuk masa terdekat ini, saya mungkin akan tampil dengan single dulu. Saya sedang berusaha ke arah itu," katanya yang mengakui masih fobia dengan pengalaman yang dilaluinya beberapa tahun dahulu di mana dia tidak dapat menyanyi gara-gara penyakit ganjil yang dialaminya.

"Waktu itu saya rasa badan saya lemas, selalu muntah-muntah malah saya pernah muntah darah.. rasa sakit seluruh badan sehingga menyukarkan saya untuk terusk aktif menyanyi. Tapi biarlah, Tuhan Maha Adil dan Pengasih," katanya tanpa mengulas lanjut.

Bagaimanapun, Enol kemudian mengakui semangatnya pulih untuk kembali bergiat aktif di persada seni tempatan setelah bertemu dengan seseorang.

"Dia seorang gadis yang cukup baik, berasal dari Tambunan tetapi bekerja di Kota Kinabalu.

"Dia banyak memberi dorongan kepada saya untuk tidak mudah patah semangat. Ketika ini, kami masih di peringkat mengenali hati budi masing-masing. Soal jodoh saya serahkan kepada Tuhan," kata Enol.

Didesak untuk menggambarkan sejauh mana hubungan mereka, ini jawapan Enol yang penulis salin terus dari transkrip temu bual itu:

Arnold (1:21 AM): Mm, kami mungkin kawan, mungkin juga couple.. tapi bagi saya.. she’s so special...
Arnold (1:21 AM): Saya rasa saya tidak sanggup kehilangan dia... cukup-cukuplah apa yang pernah saya lalui dulu.


Pada kesempatan ini, Enol ingin mengucapkan Selamat Hari Natal dan Tahun Baru kepada kedua ibu bapanya Wences dan Georgina, kepada ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan, serta semua pembaca Harian Ekspres yang menyambut Krismas.





 

Wednesday 22 December 2010

Alex Raja Lawak mengimbau kenangan Krismas 2005


Alex semakin ligat mencipta nama
Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

DIA sering membuatkan kita ketawa dengan telatah dan dialog lucunya. Itu sudah semestinya kerana Alexander Ahat adalah produk yang terhasil daripada program Raja Lawak, anjuran Astro.

Tetapi tidak ramai mengetahui bahawa di sebalik gelagat lucunya, jejaka yang lebih mesra dipanggil Alex ini menyimpan duka yang sehingga kini masih mempunyai kesan dalam hidupnya.

Sambutan Krismas 2005 menyimpan kenangan yang akan terus tersimpan rapi dalam ingatannya kerana itulah kali terakhir Alex menyambut perayaan itu bersama bapanya, Ahat Masalun.

"Pada hari Krismas tahun 2005, bapa saya menunjukkan sikap yang sangat berbeza daripada biasa. Dia terlalu cerewet mengenai persiapan untuk jamuan keluarga.

"Pada subuh hari itu (Krismas 2005), saya menemani bapa saya untuk membeli ikan di pasar Safma di Kota Kinabalu. Waktu itu pun dia sebenarnya tidak berapa sihat. Tapi kerana mahu memastikan dia dapat menyediakan keperluan untuk jamuan kami sekeluarga, dia gagahkan juga untuk keluar mencari ikan pari, ikan kayu dan basung untuk dimasak sebagai hidangan tengahari.

"Memandangkan bekalan ikan tidak banyak pada pagi itu, bapa saya sanggup bertekak dengan pembeli lain semata-mata untuk mendapatkan ikan yang dimahukannya," Alex bercerita dengan nada yang sebak.

Temu bual ini berlangsung pejabat Daily Express di Tanjung Aru baru-baru ini.

"Jarang dia berperangai seperti itu… Selepas pulang ke rumah, dia baru sedar kami terlupa membeli sebahagian daripada bahan untuk memanggang ikan-ikan itu. Sekali lagi kami keluar ke pasar kerana dia tetap juga mahu mendapatkan semua yang telah disenaraikan sedangkan sebenarnya barang-barang itu boleh saja digantikan dengan bahan lain. Contohnya madu, kita boleh gantikan dengan gula jika perlu," kata Alex.

Hampir setahun selepas itu, pada 2 Disember 2006, bapanya meninggal dunia pada umur 57 kerana komplikasi penyakit yang dialaminya.

"Kenangan itu akan kembali menjelma setiap kali Krismas tiba," akuinya yang akan menyambut Krismas tahun ini bersama ibunya, Jamine Gunda, dan ahli keluarga lain di Kampung Simpudu, Papar.

Pemenang tempat ketiga program Raja Lawak musim ke-4 ini juga sempat mengimbau kenangan ketika menyambut Krismas pada tahun 1995. Ini juga antara kenangan Krismas yang sukar dilupakannya.

"Itulah kali pertama (Krismas 1995) saya menyambut Krismas berjauhan dengan keluarga. Ketika itu saya masih bersekolah dan terpilih menyertai Jambori Pengakap Sabah kali pertama di Semporna.

"Sedih memanglah sedih sebab kali pertama berjauhan dengan keluarga ketika Krismas. Selepas menyertai upacara sembahyang Krismas di gereja, kami kembali ke khemah dan menyanyi lagu-lagu Krismas. Itu saja. Selebihnya kami sibuk dengan acara jambori. Tidak ada apa-apa hidangan istimewa.

"Tapi semua itu menawarkan pengalaman yang cukup berharga yang mengajar kita mengenai kasih sayang kerana pada waktu itu, rakan-rakanlah yang menjadi keluarga kita," kata Alex.

Semua itu sudah lama berlalu. Kini, Alex adalah seorang selebriti yang kian memahat nama di persada seni tanah air. Jumlah peminatnya bertambah dari hari ke hari.

Selepas berakhirnya program Raja Lawak yang disertainya awal tahun ini, kehadirannya semakin disedari oleh orang-orang di sekelilingnya.

"Itu kerana badan saya besar jadi orang senang nampak," katanya merendah diri diselitkan dengan nada gurauan. Tapi hakikatnya, bakat mantan jurulatih PLKN ini jauh lebih besar daripada saiz tubuhnya.

Kerana bakatnya yang besar itulah maka selepas program Raja Lawak berakhir, dia sering disambar penganjur acara untuk menjayakan pelbagai majlis termasuk majlis-majlis makan malam korporat dan acara-acara terbuka di seluruh negara.

Mengacarakan program travelogue Warung Kita musim ke-3 di Astro juga memberi ruang kepada Alex untuk memperkukuh profail seninya.

Dalam bidang lakonan pula, satu demi satu peluang ditawarkan kepadanya.

Drama lakonannya, Biar Betul Bendul di Astro Warna menyediakan platform yang cukup baik untuk dia mengasah bakat lakonan. Osman Berani juga menunggu untuk ditayangkan di Astro. Di saluran RTM pula, peminat akan dapat melihat lakonannya menerusi Impian.

Ada sumber memberitahu perundingan sedang dibuat untuk membawa Alex terbabit dalam satu projek bersama pengarah dan pelakon tersohor tanah air Afdlin Shauki dalam masa terdekat ini. Boleh anda berkongsi dengan peminat khabar gembira ini?

"Sebenarnya saya agak keberatan untuk bercerita mengenai perkara ini kerana belum ada sebarang hitam putihnya. Tapi selepas Krismas ini, saya akan kembali ke Kuala Lumpur dan berharap ada perkembangan yang memberangsangkan dalam perkara ini yang boleh saya kongsikan dengan peminat," jelasnya.

Alex sedang bercuti di Sabah sejak hampir sebulan lalu tapi bukan bercuti dalam erti kata yang sebenarnya kerana masih ada penganjur acara yang menjemputnya menjayakan beberapa acara sepanjang tempoh dia bercuti.

"Saya tidak kisah malah saya sangat bersyukur kerana itu semua rezeki yang Tuhan bagi."

Untuk pembaca-pembaca Harian Ekspres yang merayakan Krismas, Alex ada pesanan untuk anda:

"Selamat menyambut Hari Krismas 2010 dan Tahun Baru 2011. Semoga sambutan Krismas tahun ini meninggalkan kenangan indah untuk kamu semua. Saya perlu beredar sekarang kerana "maggi saya sudah kembang!"