Sunday 27 February 2011

Elak anak pokok gaharu jadi bonzai

BARU-BARU ini, BOYD PV menyertai rombongan sekumpulan lapan pelabur dan bakal pelabur tanaman pokok gaharu dari Sabah ke beberapa wilayah di Thailand untuk mendalami industri gaharu yang sudah lama bertapak di Negara Gajah Putih itu. Tempat-tempat yang diliputi dalam lawatan itu ialah Chanthaburi, Trat, Rayong, Pattaya dan berakhir di Bangkok. Laporan Khas ini adalah yang kedua daripada empat bahagian. 

ANAK pokok karas atau lebih lazim disebut sebagai pokok gaharu perlu dialihkan ke ladang dari polibeg sebelum mencapai ketinggian 3 kaki. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh penanam-penanam pokok karas kerana kegagalan melakukannya akan membantutkan tumbesaran pokok bernilai tinggi itu.

Seperti juga kebanyakan pokok lain, pokok gaharu mempunyai akar tunjang yang perlu menusuk jauh ke dalam tanah.

 
Akar tunjang pokok gaharu yang
disimpan terlalu lama dalam
polibeg akan berpintal dan ini boleh
membantutkan tumbesarannya,
kata Dr Mohammad.
"Jika dibiarkan terlalu lama di dalam polibeg, akar tunjangnya akan berpintal dan ini akan mengganggu tumbesaran pokok itu kelak," kata Dr Mohammad Lohmoh, Pengarah Projek dan Perancangan, Agarwood Network (Thailand) Co. Ltd (ANT).

Dr Mohammad memberitahu perkara itu kepada peserta-peserta program lawatan anjuran syarikat tempatan Gaharu Asia Sdn. Bhd. ketika mereka dibawa melawat ladang nurseri milik ANT di Bo Rai, wilayah Trat.

Ladang seluas lima ekar itu menempatkan lebih 1 juta anak pokok karas dari spesies hibrid Aquilaria crassna dan Aquilaria subintegra.

"Apabila akar tunjangnya sudah berpintal, ia akan menjadi seperti pokok bonzai, tidak akan membesar ataupun lambat membesar walaupun diberi baja yang cukup," katanya.

Kerana itu, Dr Mohammad menasihati penanam-penanam pokok gaharu agar memindahkan anak benih mereka ke ladang apabila mencapai ketinggian antara 1 kaki dan 2 kaki.

"Atau apabila diangkat, ia tidak tercabut," tambahnya.

Pemilihan benih pokok gaharu juga adalah satu faktor yang wajar diberi perhatian oleh bakal penanam, katanya, sambil menambah pokok karas atau nama saintifiknya Aquilaria spp mempunyai pelbagai spesies.

DOKTOR GAHARU... Mohammad Lohmoh

Carian dalam gerbang maklumat Wikipedia memberikan nama-nama berikut: Aquilaria Crassna, Aquilaria malaccensis, Aquilaria beccariana, Aquilaria subintegra, Aquilaria Rostrata dan Aquilaria Microcarpa, antara lain.

Di Malaysia, spesies paling lazim ditemui di hutan primer dan sekundernya ialah Aquilaria malaccensis. Ia adalah dari famili Thymelaeaceae dan terdapat lebih daripada 20 spesis yang berkaitan dengan genus Aquilaria ini.

Di Thailand pula, Aquilaria crassna dan Aquilaria subintegra paling banyak ditemui.

"Di ladang ini, kami hanya menanam benih dari baka yang kami hasilkan sendiri iaitu kacukan Aquilaria crassna dan Aquilaria subintegra," jelas Dr Mohammad, 31, yang mempunyai pengalaman lebih 13 tahun dalam bidang penanaman gaharu dan pernah menghasilkan tesis berkaitan gaharu ketika menuntut dalam bidang pertanian di Universiti Kasek Sak di Thailand.

Menurut Dr Mohammad, pokok hibrid yang mereka hasilkan itu mempunyai kadar tumbesaran yang cepat.

"Aquilaria subintegra diketahui memang cepat membesar berbanding spesies lain sementara Aquilaria crassna pula mempunyai kandungan minyak yang tinggi. Jadi, hibrid daripada kedua-dua spesies ini menghasilkan pokok yang cepat membesar dan mempunyai kandungan minyak yang sangat tinggi," katanya.

Dalam tempoh 45 hari selepas bijinya ditanam, ia boleh membesar sehingga 1 kaki, jelasnya lagi.

Anak benih hasil kacukan Aquilaria crassna dan Aquilaria subintegra ini dibekalkan di Sabah sebagai "GAT" oleh Gaharu Asia Sdn Bhd.

Dr Mohammad menambah, pokok-pokok induk hibrid itu dihasilkan lebih 20 tahun lalu dan ladang bersepadu ANT di daerah sama yang berkeluasan 20 ekar mempunyai sekitar 2,000 pokok induk yang menghasilkan biji benih hanya sekali dalam setahun iaitu dari bulan Mei hingga Julai.

"Dalam tempoh singkat itu, apabila pokok-pokok induk di ladang bersepadu kami mula berbuah, pekerja-pekerja kami akan memanjat pokok-pokok itu untuk mengambil biji-bijinya sebelum dimakan burung atau tertanggal dengan sendirinya," katanya.

Biji-biji pokok karas berada dalam buah yang akan pecah apabila matang dan menampakkan biji-biji kecil yang tergantung dari buah itu. Saiznya hampir sama dengan biji limau manis dan berwarna gelap.

Biji pokok gaharu yang telah matang

Biji-biji halus kelihatan tergantung
selepas buahnya pecah

"Biji-biji itu perlu ditanam dalam tempoh tujuh hari selepas dipetik. Satu biji benih dimasukkan ke dalam satu polibeg," kata Dr Mohammad, merujuk kepada kaedah yang diamalkan di nurseri itu.

Biji-biji benih yang sudah ditanam kemudian perlu disiram setiap pagi dan petang untuk memastikan percambahan anak benih yang sihat dan cepat.

(Ketika lawatan itu, bahagian timur dan tenggara Thailand sedang mengalami musim kemarau dan ini memaksa kerja penyiraman di ladang itu dibuat lebih kerap).

Kerja membubuh baja pertanian ke dalam polibeg dibuat seminggu sekali dan ia perlu dilakukan pada sebelah pagi.

Apabila anak pokok sudah bercabang di hujungnya, kerja mencantas cabang yang lebih kecil perlu dilakukan.

Menurut Dr Mohammad, ini perlu untuk mempercepatkan tumbesaran anak pokok itu kerana cabang yang banyak memerlukan lebih banyak baja.

Apabila anak pokok itu mencapai ketinggian hampir 1 kaki, proses "menyusun" anak pokok itu perlu dilakukan untuk memastikan semua anak pokok itu mendapat sinaran matahari yang mencukupi.
  
Kedudukan pokok gaharu selepas disusun.

Sebahagian daripada 1 juta anak pokok
gaharu yang ada di ladang ANT

 
"Anak pokok lebih tinggi diletakkan di belakang dan yang lebih rendah diletakkan di hadapan. Selepas proses itu, kita akan dapat melihat susunan menurun dari yang tinggi kepada yang lebih rendah," jelasnya.

"Untuk membantu tumbesaran dan memperbaiki struktur tanah, kami juga menggunakan baja cecair bio-organik yang kami hasilkan sendiri," katanya. (Lihat laporan berasingan)

"Di ladang nurseri ini, kami mengupah penduduk kampung di kawasan sekitar untuk melakukan kerja-kerja ini dan mereka dibayar upah mengikut hari bekerja," katanya sambil menambah kadar kematian anak benih spesies hibrid itu sangat rendah iaitu hanya sekitar 1 peratus.

Anak-anak pokok di ladang nurseri itu dibekalkan kebanyakannya kepada pengusaha-pengusaha projek tanaman gaharu di Thailand, Kemboja dan Malaysia.

"Mana-mana anak pokok yang tidak terjual dan telah mencapai ketinggian 3 kaki akan diasingkan untuk dilupuskan.

"Tapi kami kerap didatangi oleh pembeli-pembeli dari Semenanjung Malaysia yang hanya mahu membeli anak-anak pokok yang sudah mencapai ketinggian 3 kaki.

"Kami jual murah saja kepada mereka," katanya yang bertutur dalam bahasa Melayu loghat Siam.

Baja bio-organik kembalikan kesuburan tanah

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com


Kangkung adalah salah satu bahan
yang diperlukan untuk menghasilkan
baja bio-organik, kata Prof Auma

KERAJAAN Thailand menggalakkan rakyatnya menggunakan baja bio-organik dalam semua aktiviti pertanian mereka.
 Ini kerana baja mesra-alam itu memberikan kesan jangka pendek dan panjang yang sangat baik kepada kesuburan tanah serta tanaman yang diusahakan.

Lagi lama digunakan, lagi sedikit kuantiti yang kita perlukan, kata Prof Auma Tasa, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Agar Netwook (Thailand) Co. Ltd. (ANT).

"Selain dapat memperbaiki struktur tanah, ia tidak berbahaya kepada manusia, tidak seperti baja kimia yang ada di pasaran," katanya kepada peserta-peserta lawatan itu.

Baja bio-organik memanfaatkan kewujudan mikro-organisma ataupun bakteria baik yang dapat membantu meningkatkan tahap kesuburan tanah.

Kaedah menghasilkan baja bio-organik tidak rumit dan bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkannya mudah diperolehi.

"Kita hanya perlukan tumbuhan seperti kangkung yang tumbuh liar di parit-parit, gula dan air hujan atau sungai yang tidak tercemar dan bekas yang tidak tembus cahaya untuk menyimpannya," kata Prof Auma sambil menambah lebih lama baja itu disimpan, ianya lebih berkesan.

Ini kerana kandungan mikro-organisma di dalam baja itu akan bertambah berlipat kali ganda.

"Memandangkan ia mengandungi mikro-organisma hidup, ia harus disembur ke daun, batang dan tanah di sekitar pokok ketika matahari tidak begitu terik.
Seorang peserta memasukkan hirisan sayur kangkung
ke dalam bekas untuk menghasilkan baja bio-organik.
Aktiviti ini adalah salah satu latihan praktikal
untuk peserta-peserta lawatan.

"Semburan pada sebelah pagi harus dilakukan sebelum jam 10 manakala pada sebelah petang, baja itu harus digunakan selepas jam 5 petang," katanya.

Beliau menambah, baja bio-organik boleh digunakan untuk semua jenis tanaman, termasuk sayur-sayuran, pokok buah-buahan malah padi.

"Balik ke Sabah nanti, kamu cuba. Saya yakin kamu akan kagum dengan apa yang kamu lihat," katanya kepada peserta-peserta lawatan yang khusyuk mendengar sesi taklimat itu di bengkel Seng Tung, di wilayah Trat.

Tanam gaharu perlu ada teknologi



Pokok-pokok gaharu yang telah diinokulasi oleh peserta-peserta lawatan.

Boyd PV

Prof Auma menerangkan sesuatu
kepada peserta lawatan

UNTUK membolehkan pokok karas menghasilkan resin gaharu, ia perlu mengalami "kesakitan" atau stres.

Dalam persekitaran semulajadi, "kesakitan" itu mungkin datangnya daripada serangan serangga, burung, penyakit dan pelbagai elemen semulajadi yang lain.

Ia satu proses yang terjadi di luar kawalan manusia dan resin yang terhasil juga tidak menentu kuantitinya.

"Namun dengan terciptanya teknologi vaksin, kita tidak perlu lagi bergantung kepada elemen semulajadi seperti yang berlaku di dalam hutan asli," kata Prof. Auma Tasa, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Agarwood Network (Thailand) Co. Ltd., ANT yang membangunkan teknologi vaksin gaharu di Negara Gajah Putih itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Peserta-peserta lawatan dibawa ke ladang milik ANT di daerah Bo Rai, wilayah Trat untuk mempelajari teknik menyuntik pokok karas dengan vaksin.

Menanam gaharu perlu ada teknologi, kata Prof Auma kepada para peserta lawatan. (Beliau merujuk kepada teknologi vaksin).

"Tanpa teknologi usaha pasti akan sia-sia kerana pokok gaharu yang ditanam tidak memberikan hasil yang diharapkan selepas menunggu lama," jelasnya.

Apabila pokok karas mencapai umur 3 tahun ia sudah boleh disuntik dengan vaksin.

"Inilah kelebihan teknologi vaksin yang kami bangunkan. Kita tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mula menyuntiknya dan hasilnya dapat dilihat selepas hanya beberapa minggu. Seawal-awalnya dua tahun selepas di suntik, pokok gaharu sudah boleh dituai," kata Prof Auma sambil tangannya pantas membelek-belek bekas yang menempatkan peralatan yang diperlukan untuk melakukan inokulasi.
  
Dalam beberapa bekas, kelihatan pelbagai peralatan termasuk tukul besi, pisau, besi berlubang dengan ukur lilit sekitar 2-3 cm sepanjang kira-kira 3 inci, mesin penebuk, alat janakuasa mudah alih, hos getah, botol plastik kosong, dua bekas plastik berisi cecair vaksin berwarna kekuningan, bekas untuk menyukat kuantiti cecair vaksin, pita untuk mengukuhkan kedudukan botol apabila dipasang pada pokok dan pen penanda.

Bahagian pokok yang ingin disuntik perlu dipilih dengan teliti untuk memudahkan kerja pemasangan peralatan inokulasi.

"Sebaik-baiknya pilih di bahagian bawah batang pokok, kira-kira 1 atau 2 kaki dari paras tanah untuk diinokulasi," katanya sambil mengupas kulit pokok di bahagian yang perlu disuntik.

"Kulit ini perlu dikupas terlebih dahulu, sebesar duit 50 sen. Ini adalah untuk memudahkan besi dibenam ke batang pokok," jelasnya sambil menambah kulit pokok gaharu sangat liat dan sukar ditembusi.

Prof Auma kemudian mula membenamkan besi itu ke batang pokok dengan mengetuknya menggunakan tukul dengan pergerakan pantas. Besi itu masuk sedikit demi sedikit dan pada kedudukan sedikit mendongak.


Batang besi dibenamkan ke pangkal
pokok karas menggunakan tukul.

Apabila besi sudah terbenam kukuh sedalam kira-kira 2.5 cm, Prof Auma mengambil mesin penebuk dan mula menyukat kedalaman tebukan yang diperlukan.

"Kita perlu menebuk hingga ke bahagian tengah batang pokok," katanya sebelum memutarkan alat penebuk ke dalam rongga besi yang dibenamkannya di batang pokok itu.


Batang besi berongga terbenam
kukuh pada batang pokok.

Selepas cebisan kayu yang dikorek itu dibersihkan, beliau dibantu oleh Dr Mohammad untuk memasukkan cecair vaksin sebanyak 350ml ke dalam botol plastik kosong yang sudah dipasang dengan hos getah lutsinar sepanjang kira-kira 30 cm dan menyambungkan hos itu ke hujung besi yang terbenam pada pokok.

"Kuantiti cecair yang perlu digunakan bergantung kepada saiz pokok yang ingin disuntik," katanya sebelum memberi maklumat berkaitan kepada peserta-peserta kursus.

"Apabila memasukkan hos getah, pastikan botol berada pada kedudukan di bawah supaya kandungannya tidak tumpah. Selepas hos getah ini dipasang dengan ketat dan tidak ada ruang untuk air mengalir keluar, pusingkan perlahan-lahan hos getah sambil mengangkat botol ke atas," katanya.

Seorang peserta memasang
botol berisi vaksin ke besi yang
dibenam pada batang pokok karas.
Selepas botol berada pada kedudukan terbalik, ia diikat dengan pita, ditebuk satu lubang kecil pada bahagian atas menggunakan pisau bertujuan menghilangkan tekanan dalam botol untuk memudahkan pengaliran cecair ke dalam pokok.

Paras cecair di dalam botol kemudian ditanda dengan pen dan tarikh ia dipasang dicatat dengan jelas.

"Paras cecair perlu ditanda kerana ia akan dapat memberitahu kita dengan mudah sama ada cecair itu "diminum" oleh pokok atau tidak. Jika paras cecair itu tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas beberapa jam, bermakna ada bahagian tertentu yang mungkin tersumbat.

Cecair vaksin yang dihasilkan oleh ANT.
Perhatikan tiga ulat hidup dalam ceciar itu.
"Jika keadaan ini berlaku, botol itu perlu ditanggalkan dan lubang pada pokok itu perlu dibersihkan dengan mengoreknya menggunakan ranting. Kemudian pasang semula botol itu seperti tadi," katanya.

Dalam masa kurang 15 minit, demonstrasi itu selesai dan semua peserta lawatan kemudian bergilir-gilir melakukan praktikal mereka.

Pada sebelah petang hari yang sama, mereka dibawa ke sebuah ladang usaha sama ANT bersama seorang pelabur bergelar Datuk dari Semenanjung Malaysia.

Di ladang itu, sebatang pokok gaharu sebesar pergelangan tangan yang telah disuntik dengan vaksin enam bulan sebelum itu, ditebang untuk membuktikan kepada peserta keberkesanan vaksin yang dihasilkan oleh ANT.

"Untuk menghasilkan minyak, kita tidak perlu menunggu sehingga dua tahun sebelum menebangnya. Kaedah penggunaan vaksin juga berbeza," kata Prof Auma.

Menurut beliau, batang pokok berusia 1 tahun setengah perlu ditakik di banyak tempat, dari pangkal hingga ke bahagian atas pokok dan vaksin dititiskan sedikit ke setiap bahagian yang ditakik.

Enam bulan selepas itu, ia boleh ditebang dan diproses untuk menghasilkan pati minyak.

Pokok karas, kata Prof Auma, haruslah ditebang pada ketinggian kira-kira 2 kaki dari pangkal kerana pokok itu akan mengeluarkan tunas baru selepas ditebang.

"Kaedah ini dapat mengurangkan kos penanaman semula," katanya.

Ladang usaha sama seluas kira-kira 10 ekar itu dijaga oleh sebuah keluarga Siam dan dipenuhi dengan 2,000 pokok karas pelbagai peringkat tumbesaran.

Ia terletak kira-kira 40 km ke selatan bandar Muang di mana peserta-peserta menginap sepanjang tiga hari berada di wilayah Trat.

Perhatikan gaharu yang terbentuk di tengah batang kayu karas.
Pokok gaharu ini ditebang selepas enam bulan diinokulasi

O Bahagian ketiga Laporan Khas ini minggu hadapan membawa anda ke wilayah Rayong, di mana para peserta lawatan diberi pengetahuan mengenai teknologi pemprosesan cebisan kayu karas untuk menghasilkan pati minyak gaharu serta melihat produk-produk berasaskan gaharu lain yang dihasilkan secara usaha sama oleh ANT dan sebuah syarikat tempatan di sana.

Tuesday 22 February 2011

Persatuan baru untuk artis tunggu sijil RoS?

Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

MINGGU lalu, akhbar ini menyiarkan kenyataan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Siringan Gubat yang menyarankan agar bintang-bintang realiti TV dari Sabah menubuhkan kesatuan atau badan yang boleh membantu mempromosi bakat mereka.

Langkah itu, menurut beliau, mampu membantu mereka bersaing dengan artis-artis lain, seterusnya membentuk rangkaian di seluruh negeri agar bakat mereka dapat dipasarkan kepada masyarakat tempatan.

“Ramai artis Sabah lahir daripada program realiti seperti Akademi Fantasia, One In A Million, Mentor dan Raja Lawak, namun nama mereka seakan menghilang dan sepi dari industri seni yang penuh mencabar itu.

“Sehingga ke hari ini, antara nama-nama itu belum ada yang timbul sebagai bintang yang berjaya. Belum ada yang setanding dengan M. Nasir atau Siti Nurhaliza, malah ada yang keluar sebagai naib johan (tetapi) kini sudah menyepi, hilang tanpa berita,” katanya semasa berucap ketika merasmikan sebuah program membabitkan belia di Ranau, baru-baru ini.

Hiburan Ekspres percaya Datuk Siringan mengeluarkan kenyataan itu dengan niat yang ikhlas, ingin melihat artis-artis tempatan berjaya “seperti M. Nasir atau Siti Nurhaliza”.

Bagaimanapun, kenyataan beliau itu tidak begitu diterima baik oleh kalangan penggiat seni di Sabah sendiri.

Keratan akhbar itu, yang dipaparkan di laman sosial Facebook, mendapat ulasan yang kurang memberangsangkan.

Sudah tentu kenyataan Datuk Siringan itu “mengejutkan” penggiat-penggiat seni di Sabah khususnya mereka yang bergiat di pentas nyanyian yang selama ini mengharapkan pembelaan sewajarnya dari segi bayaran dan peluang.

Umum mengetahui bahawa bayaran yang diterima penyanyi-penyanyi tempatan sangat “ciput” berbanding artis yang dibawa dari luar.

Isu ini sudah lama berlarutan dan bakat artis tempatan kita terus diperlekeh.

Kecuali jika anda adalah Abu Bakar Ellah atau Clarice John Matha, usah berharap untuk mendapat bayaran yang “setimpal” dengan bakat dan populariti yang dimiliki.

Walaupun ada usaha-usaha di pihak Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun untuk menaikkan bayaran artis yang dijemput membuat persembahan, itu hanya membabitkan acara-acara anjuran kerajaan.

Selebihnya, bayaran yang diterima masih terlalu kecil malah khabarnya, ada kes di mana artis kita tidak dibayar oleh penganjur acara, atau wakil mereka, yang kaki putar alam.

Susulan kenyataan Datuk Siringan itu, ada segelintir artis tempatan kita mempersoalkan keperluan untuk menubuhkan sebuah lagi persatuan atau kesatuan baru sedangkan artis-artis realiti TV itu, seperti yang dirujuk oleh Datuk Siringan, sebenarnya boleh saja bernaung di bawah bumbung Pertisa, persatuan artis yang ditubuhkan untuk menaungi artis-artis tempatan Sabah.

Tapi itu pun satu masalah juga, kata mereka, kerana entah bila kali terakhir pemerhati industri seni tempatan dimaklumkan mengenai aktiviti Pertisa.

Dalam pada itu, minggu lepas Hiburan Ekspres dikejutkan oleh satu lagi berita yang disampaikan oleh sumber yang layak dipercayai.

Menurut sumber itu, sebuah persatuan baru untuk menaungi artis tempatan kita sudah pun ditubuhkan.

Khabarnya, persatuan itu kini sedang menunggu sijil pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS), maksudnya penubuhan persatuan itu sudah mendapat “lampu hijau” daripada badan itu.

Sumber itu, yang mendakwa rapat dengan salah seorang anggota pengasas persatuan tersebut, berkata persatuan itu ditubuhkan untuk membantu artis-artis tempatan mencari peluang untuk terus berkarya, termasuk memohon sumber kewangan daripada Dana Industri Kreatif yang diperkenalkan sejak Mac 2010.

“Apa yang dapat saya beritahu sekarang, orang-orang kuat persatuan baru itu sudah ditemuduga oleh RoS dan kini hanya menunggu sijil pendaftaran dikeluarkan.”

Kata sumber itu lagi, persatuan itu bukan semata-mata untuk penyanyi tetapi juga mereka yang bergiat dalam industri filem.

“Ia diterajui seseorang yang terbabit dalam bidang perfileman dan dibantu oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam industri hiburan tempatan malah ada di antara mereka merupakan ahli-ahli Pertisa,” jelasnya sebelum menambah, jika tiada aral melintang, sidang media mengenai perkara itu akan diadakan seawal-awalnya minggu pertama Mac ini.

Agaknya inilah perkembangan yang dinanti-nantikan oleh penggiat-penggiat seni di Sabah selama ini memandangkan industri hiburan di Sabah tidak terletak di bawah mana-mana kementerian.

Tambahan lagi, artis-artis tempatan Sabah mendakwa mereka tidak nampak bagaimana Pertisa dapat membantu mereka mengembangkan bakat dan minat.

Kalau apa yang disampaikan oleh sumber itu benar, kita mengharapkan perkembangan terbaru ini kelak akan dapat menyaksikan nasib artis-artis kita lebih terbela, sepertimana yang diharapkan oleh Datuk Siringan.

Sunday 20 February 2011

Penanam gaharu di Sabah digesa tubuh persatuan


BARU-BARU ini, BOYD PV menyertai rombongan sekumpulan lapan pelabur dan bakal pelabur tanaman pokok gaharu dari Sabah ke beberapa wilayah di Thailand untuk mendalami industri gaharu yang sudah lama bertapak di Negara Gajah Putih itu. Tempat-tempat yang diliputi dalam lawatan itu ialah Chanthaburi, Trat, Rayong, Pattaya dan berakhir di Bangkok. Laporan ini adalah bahagian pertama daripada empat bahagian.
 
 *************************************************************** 


Prof. Auma (kiri) dan seorang peserta
lawatan dari Putatan, Mahlil Mokti,
bersama sebatang gaharu sepanjang hampir
empat meter di hadapan Bengkel Tung Seng.
UNTUK memastikan gaharu yang dimiliki dapat dipasarkan pada harga jauh lebih tinggi, pelawa pembeli Arab datang sendiri ke Sabah dan berurusniaga terus dengan mereka.
     Itu pandangan dan nasihat Prof Auma Tasa, 54, kepada penanam-penanam gaharu di negeri ini.
     Beliau adalah Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Agarwood Network (Thailand) Co. Ltd. (ANT) di Thailand yang membangunkan vaksin berkualiti dan mampu menghasilkan damar gaharu pada kadar lebih cepat dan menyeluruh.
     Ramai penduduk di Sabah, terutamanya di luar bandar, teruja apabila dikhabarkan mengenai harga gaharu atau pati minyaknya yang dikatakan sangat lumayan dan ini mendorong mereka berlumba-lumba menanam pokok bernilai tinggi itu.
     Bernama dalam laporannya pada 25 Julai, 2006 menyebut bahawa nilai gaharu boleh mencecah di antara RM5,000 hingga ke RM100,000 sekilogram bergantung kepada grednya, manakala harga pati minyaknya pula mencecah sepuluh kali ganda dari nilai gaharu.
     Menurut Prof Auma, di negaranya, bergantung kepada gred dan peranan orang tengah, gaharu dijual pada harga RM1,000 hingga RM3,000 sekilogram. Pati minyaknya pula adalah sekitar RM3,000 satu tola. (Tola adalah sukatan yang digunakan dalam urusniaga pati minyak gaharu. Satu tola bersamaan 12.5 ml).
Prof Auma Tasa
      "Jika gaharu ataupun pati minyaknya dijual kepada orang tengah, harganya akan ditentukan oleh orang tengah, konsepnya sama seperti kebanyakan urusan jual beli komoditi yang lain," katanya dalam satu temu bual di bengkel syarikat ANT di Seng Tung, wilayah Trat, Thailand, baru-baru ini.
     Memberikan contoh, jika melalui orang tengah, 1kg gaharu dibeli pada harga RM1,000 dan dijual semula kepada orang Arab pada harga mencecah sehingga RM8,000 atau lebih, katanya.
     "Itulah sebabnya adalah lebih baik jika usaha-usaha dapat dilakukan untuk menjemput orang Arab datang sendiri ke Sabah dan menyertai ekspo produk berasaskan gaharu.
     "Ekspo itu kelak yang akan menentukan harga, bukannya orang tengah," jelasnya yang pernah menganjurkan ekspo serupa di Thailand membabitkan pembeli-pembeli khususnya dari negara Arab dan negara-negara di Asia Timur.
     Sehubungan itu, Prof Auma menasihati penanam-penanam gaharu di Sabah agar menubuhkan sebuah persatuan untuk memastikan nasib mereka terbela.
     "Dengan adanya sebuah badan yang dapat menyatukan semua penanam dan pelabur gaharu, usaha ke arah penganjuran ekspo akan lebih mudah kerana hasil gaharu akan dapat dikumpul dan pengeluar gaharu akan mendapat manfaatnya tanpa membabitkan khidmat orang tengah," jelasnya.
     Menurut Prof Auma, penganjuran ekspo bukan sesuatu yang mustahil kerana gaharu mempunyai permintaan yang sangat tinggi dalam industri minyak wangi, produk perubatan, perubatan ayurvedic dan majlis keagamaan tertentu.
     Tapi sebelum perkara itu dapat direalisasikan, katanya, Sabah perlu mampu memenuhi permintaan yang tinggi dan berterusan terhadap gaharu.
     "Gaharu berakar umbi dalam kehidupan masyarakat di Timur Tengah. Ia adalah sebahagian daripada budaya mereka.
     "Sebagai contoh, bau asap dari damar pokok gaharu yang dibakar menggambarkan status seseorang atau sesebuah keluarga itu. Sebelum tetamu datang, mereka akan membakarnya untuk mengharumkan ruang tamu dan gred bau gaharu itu melambangkan status keluarga itu.
     "Lebih harum baunya, lebih tinggi status mereka," katanya sambil menjelaskan bahawa damar pokok gaharu mempunyai beberapa gred dengan yang terbaik dirujuk sebagai "Double Super". Gred lain ialah "Super A", "A", "B" dan seterusnya berdasarkan kepada warna, bentuk, kepadatan dan bau gaharu itu.
     Pokok gaharu atau pokok karas mempunyai pelbagai spesies antaranya Aquilaria malaccensis, Aquilaria crassna, Aquilaria beccarian, Aquilaria subintegra, Aquilaria agallocha dan Aquilaria sinensis.
Di Malaysia, spesies Aquilaria malaccensis adalah yang paling lazim ditemui. 

Deretan gaharu bersaiz besar yang
terhasil daripada proses inokulasi.

     Menurut Prof Auma lagi, di negara-negara Arab, mereka tidak mampu menghasilkan gaharu kerana faktor iklim dan terpaksa bergantung kepada bekalan dari luar.
     "Bekalan itu pula, sebelum ini, banyak bersumberkan kepada hutan. Untuk melindungi pokok gaharu liar daripada penuaian yang berleluasa, tindakan telah diambil untuk melindunginya dengan meletakkan pokok gaharu dalam senarai Lampiran II, Convention on International Trade In Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES). Ini bermakna pokok gaharu liar dan yang hidup di dalam hutan tidak boleh diperdagangkan.
     "Keadaan ini menyebabkan bekalan semakin sukar diperolehi. Prinsip asas ekonomi…permintaan mengatasi penawaran. Itu dilihat antara sebab yang melonjakkan nilai gaharu," katanya yang bertutur dalam bahasa Melayu loghat Siam yang agak pekat.
     Didorong oleh hakikat kesukaran mendapatkan damar pokok gaharu dan permintaannya yang sangat baik, ANT telah melakukan penyelidikan makmal selama lebih 10 tahun untuk menghasilkan vaksin yang mampu mempercepatkan pertumbuhan damar pada pokok gaharu selepas diinokulasi (inokulasi adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada proses menyuntik pokok gaharu dengan cecair vaksin).
     "Ia adalah teknologi yang kami cipta dan dipatenkan pada tahun 2010. Vaksin ini boleh menjamin pengeluaran damar dari akar hingga ke ranting. Teknologi ini belum ada di mana-mana tempat lain di dunia," katanya.
     Prof. Auma pernah bekerja sebagai doktor di hospital kerajaan. Tetapi didorong minat yang mendalam terhadap industri gaharu, beliau meninggalkan kerjaya itu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang biokimia di Mahidol Universiti, Thailand.
     Sejak itu, beliau mula membangunkan teknologi vaksin melalui R&D secara berterusan selama lebih 10 tahun sehinggalah beliau menemui vaksin yang mampu mendorong pokok gaharu menghasilkan damar dalam tempoh yang singkat dan menyeluruh.
     "Ini bukti keberkesanan vaksin yang kami hasilkan," katanya sambil menunjukkan gaharu sepanjang hampir empat meter dari akar hingga ke ranting yang dipamerkan di bengkelnya.
     Dengan adanya teknologi vaksin itu, katanya, sumber bekalan damar gaharu tidak lagi perlu bergantung kepada hutan.
     "Hari ini, kita boleh mengawal pengeluaran damar gaharu dengan pengunaan vaksin ini," jelasnya.
Pokok gaharu perlu mengalami "kesakitan" untuk membolehkan damar terbentuk.
     Dalam keadaan semulajadi, ia memerlukan faktor seperti serangan serangga, jangkitan penyakit, kerosakan fizikal atau kekurangan sumber yang perlu untuk pertumbuhan normal bagi pokok itu bertindak balas dan menghasilkan damar.
     Pokok gaharu yang diinokulasi dengan vaksin yang dihasilkan oleh syarikat ANT dikatakan akan mula menunjukkan damar hanya selepas beberapa minggu. Damarnya akan dapat dikesan sehingga ke ranting.
     Pokok gaharu boleh diinokulasi selepas berusia 3 tahun atau mencapai ukur lilit tertentu dan seawal-awalnya dua tahun selepas diinokulasi, pokok itu boleh boleh dituai, Prof Auma menjelaskan.
     Apa perbezaan dari segi kualiti di antara damar gaharu yang terbentuk secara semulajadi dan damar yang terhasil daripada teknik inokulasi?
     "Tidak ada bezanya. Cuma kita perlu faham, lebih lama usia gaharu itu terbentuk, lebih tinggi nilainya. Dalam hal ini, kebanyakan gaharu yang ada dalam hutan mempunyai nilai yang tinggi kerana ia sudah terbentuk puluhan tahun.
     "Gaharu yang terhasil daripada inokulasi dianggap "muda" tapi ia tetap mempunyai nilai pasaran. Kelebihannya, ia dapat dihasilkan dengan banyak untuk memenuhi permintaan dan kita tidak perlu mengganggu gaharu yang ada di dalam hutan," katanya.
     Bengkel Seng Tung memproses kayu-kayu gaharu untuk dijadikan kayu hiasan selain menerima gaharu yang dijual oleh penduduk di kawasan sekitar.
     "Show wood (kayu hiasan) mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarkat di Timur Tengah. Mereka suka memiliki kayu gaharu hiasan yang besar dan panjang kerana gaharu-gaharu yang dihasilkan oleh hutan biasanya dalam bentuk kepingan-kepingan kecil.
     "Melalui kaedah teknologi vaksin ini, kita boleh mendapatkan gaharu bersaiz lebih panjang," jelasnya yang mula didedahkan dengan pokok gaharu sejak kecil oleh bapanya.
     "Saya percaya kepada masa depan industri gaharu. Saya juga percaya penanam-penanam di Sabah berkongsi visi yang sama dengan saya iaitu memajukan industri gaharu yang dapat mengubah taraf ekonomi penduduk," katanya.
     Apa masalah-masalah yang biasanya dihadapi oleh penanam-penanam gaharu di Thailand?
     "Seperti juga di negara lain, ia membabitkan soal kepercayaan.
     "Menanam tun krisana (istilah di Thailand bagi pokok gaharu) tidak sukar. Asalkan kita ada tanah dan benih, ia boleh dilakukan.
     "Tapi mendapatkan vaksin yang sesuai untuk proses inokulasi adalah satu masalah bagi kebanyakan penanam di sini.
     "Sejak berpuluh tahun dahulu, mereka terdedah kepada kegiatan penipuan demi penipuan oleh individu tidak bertanggungjawab yang mendakwa memiliki teknologi vaksin yang berkesan."
     Sekarang ini, agak sukar untuk mengembalikan kepercayaan mereka, katanya.
      "ANT sendiri berdepan kesukaran untuk meyakinkan mereka. Apa yang kami dapat lakukan ialah pergi sendiri ke ladang yang ditanami dengan gaharu dan bertemu dengan kumpulan pelabur yang berminat.
"Kami biasanya akan menyuntik beberapa batang pokok dengan vaksin kami untuk membuktikan sendiri keberkesanannya dan kembali semula bersama kumpulan pelabur itu untuk melihat hasilnya seperti yang kami lakukan baru-baru ini di wilayah Yasaton di sebelah utara negara ini."
     Menurut Prof Auma, mereka telah menyuntik 57 batang pokok di ladang itu dan akan kembali semula ke sana pada 19 Mac ini untuk melihat kesan vaksin itu pada pokok-pokok terbabit.
     "Kerana penipuan-penipuan yang berlaku sebelum ini, kami perlu berusaha keras untuk memulihkan semula kepercayaan mereka terhadap teknologi vaksin ini," tutur Prof Auma sebelum menambah, mereka hanya dapat berusaha dan bertawakal agar dijauhkan daripada bertemu dengan mereka yang suka mengambil kesempatan.
   

(Gambar atas dan bawah)

Seorang pekerja,
Lampei Chan-Ake, menunjukkan
kepada peserta kaedah ‘mencolek’
batang pokok gaharu
untuk dijadikan kayu hiasan.



Cebisan-cebisan kayu
yang terhasil dalam
proses ini boleh digunakan
untuk menghasilkan pati minyak gaharu.
Difahamkan, cebisan-cebisan
ini boleh dijual pada
harga antara RM20 dan
RM50 sekilogram,
bergantung kepada saiznya.






  
Sebahagian daripada kayu hiasan daripada pokok gaharu yang dihasilkan untuk pasaran di Timur Tengah.



Secebis kisah si pencari ‘emas hitam’

 

ODD (kiri) bercerita secara terbuka mengenai
pengalamannya sebagai pencari gaharu
di dalam kawasan larangan. Kelihatan di sebelah
kanan ialah jurubahasa, Dr Mohammad.
SEWAKTU meninjau aktiviti di bengkel Seng Tung di wilayah Trat, penulis dimaklumkan mengenai kehadiran seorang lelaki Siam yang ingin menjual gaharunya.

Ood Apipong, 45, datang dengan sebuah kereta lama berwarna biru bersama satu karung guni yang memuatkan gaharu-gaharu pelbagai gred yang telah dibersihkan.

Dia berharap untuk dapat menjual gaharu berkenaan kepada bengkel itu untuk menyara kehidupan keluarganya, katanya.

Peluang bertemu dengan penduduk kampung yang terbabit dalam penanaman gaharu adalah sesuatu yang penulis idamkan kerana ingin berkongsi maklumat itu dengan pembaca akhbar ini khususnya bagaimana khazanah alam yang satu ini dapat mengubah taraf ekonomi mereka.
Menerusi khidmat seorang jurubahasa, penulis mendapat tahu bahawa Ood sudah 25 tahun "berkecimpung dalam bidang itu".

Apabila penulis meminta kepastian dari mana beliau mendapat gaharu yang dibawanya itu, jawapan jujurnya membuatkan penulis tergamam seketika.

"Dari hutan," kata jurubahasa Dr. Mohamad Lohmoh. Beliau adalah Pengarah Projek dan Perancangan, Agarwood Network (Thailand) Co. Ltd.

Mencari gaharu di dalam hutan adalah pekerjaan utama Ood.

"Biarpun pendapatan tidak menentu, ia cukup untuk menyara keluarga saya," jelasnya.

Selain mencari sumber gaharu di hutan, beliau turut menanam 2,000 pokok gaharu di kawasan rumahnya di wilayah Trat. Pokok-pokoknya itu sudah berusia 20 tahun.

"Saya masuk ke dalam hutan hampir setiap bulan. Malah ada ketikanya, saya berada di dalam hutan beberapa bulan untuk mencari gaharu," katanya tanpa berselindung.

Menurut Ood, mereka akan keluar secara berkumpulan dan hasil jualan gaharu yang mereka perolehi kelak dibahagi sama rata.

Ood dan rakan-rakannya sudah meneroka hampir seluruh kawasan hutan di negaranya. Malah, mereka juga pernah mengambil risiko ke Kemboja dan Malaysia untuk tujuan sama.

"Dulu hutan tidak ada yang punya," katanya.

Agak sukar untuk memahami kata-kata lelaki yang tidak lekang dengan senyuman itu tetapi menurut Dr Mohammad, apa yang Ood maksudkan ialah pengharaman pengambilan gaharu dari hutan hanya dikuat kuasakan pada tahun-tahun kebelakangan ini sedangkan Ood sudah terbabit dalam aktiviti itu sejak berpuluh tahun lalu.

Walaupun menyedari risiko daripada aktiviti haram mereka itu, pulangan yang diperolehi mengapikan semangatnya untuk meneruskan aktiviti yang menjadi sumber pendapatan utamanya itu.

"Di Kemboja, kami pernah disaman dan gaharu kami dirampas oleh pihak berkuasa di sana," akui Ood sambil tersenyum.

Di Malaysia, Ood dan rakan-rakannya pernah memasuki hutan di sekitar negeri Pahang dan Kelantan satu ketika dulu.

"Di Pulau Pinang, kami menjual gaharu kami kepada seorang tauke bernama Ah Ho manakala di Pahang, kami berurusan dengan Ah Chew," katanya yang belum terfikir untuk meninggalkan pekerjaan yang sudah sebati dengan dirinya itu.

Kenapa perlu terus mencari gaharu dari hutan sedangkan dia mempunyai 2,000 pokok berusia 20 tahun yang sepatutnya mampu memberi pulangan lumayan?

"Tidak ada modal untuk membeli vaksin," jawabnya ringkas.

Penulis kemudian difahamkan bahawa selepas digred, gaharu yang dibawa oleh Ood bernilai RM9,000.

Kes Ood adalah salah satu contoh di mana pencari-pencari gaharu sanggup mencuri hasil hutan yang sangat berharga itu kerana nilai ekonominya walaupun mereka mengetahui bahawa perbuatan itu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Di Sabah, perbuatan mencuri gaharu di dalam kawasan Taman-Taman Sabah adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Taman-Taman 1984.

Menurut Thomas Yussop, Ketua Seksyen Perlindungan dan Penguatkuasaan, Taman-Taman Sabah, sesiapa yang ditangkap melakukan perbuatan itu di kawasan Taman-Taman Sabah boleh didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan buat kali pertama, pesalah boleh dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau didenda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

"Setakat ini sudah ada beberapa kes seumpamanya berlaku," kata Thomas ketika dihubungi.

Bagi kesalahan mengambil gaharu di kawasan hutan simpan di Sabah, sesiapa yang ditangkap melakukan perbuatan itu boleh didakwa di bawah Enakmen Hutan 1968.

Di bawah enakmen itu, seseorang yang ditangkap kerana menceroboh kawasan hutan simpan boleh didakwa di bawah Seksyen 20(1)(c)(i) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Enakmen itu turut menyebut, sekiranya seseorang itu ditangkap ketika menebang hasil hutan, Seksyen 20(2) boleh digunakan untuk mendakwa tertuduh di mahkamah.

Hukuman yang menanti untuk jenis kesalahan di bawah seksyen itu ialah penjara untuk satu tempoh antara 1 tahun dan 20 tahun DAN denda tidak melebihi RM500,000.

Sumber dari Jabatan Perhutanan Sabah memaklumkan bahawa setakat ini, sudah ada kes seumpamanya dibawa ke mahkamah membabitkan pencari-pencari gaharu dari negara jiran Indonesia dan Thailand.

Mereka telah pun didakwa di bawah Seksyen 20(1)(c)(i).

Kerana itulah, dengan adanya teknologi vaksin yang dapat "memaksa" pokok gaharu mengeluarkan damar, penanaman gaharu secara kecil-kecilan atau secara komersil dilihat dapat membantu mengurang atau menghapuskan aktiviti mencuri khazanah alam bernilai tinggi itu seperti yang dilakukan oleh Ood dan rakan-rakannya.

Himpunan gaharu yang dibawa oleh Odd. Dipercayai bahawa wang bernilai
90,000 bath (RM9,000) telah bertukar tangan dalam transaksi itu.

* Dalam bahagian kedua Laporan Khas ini minggu depan, Prof Auma bercakap mengenai kaedah inokulasi sementara Dr Mohamad berkongsi pengetahuan mengenai teknik pembenihan pokok gaharu yang diamalkan oleh ladang nurseri mereka di daerah Bo Rai, wilayah Trat. -- Boyd PV