Sunday 27 February 2011

Elak anak pokok gaharu jadi bonzai

BARU-BARU ini, BOYD PV menyertai rombongan sekumpulan lapan pelabur dan bakal pelabur tanaman pokok gaharu dari Sabah ke beberapa wilayah di Thailand untuk mendalami industri gaharu yang sudah lama bertapak di Negara Gajah Putih itu. Tempat-tempat yang diliputi dalam lawatan itu ialah Chanthaburi, Trat, Rayong, Pattaya dan berakhir di Bangkok. Laporan Khas ini adalah yang kedua daripada empat bahagian. 

ANAK pokok karas atau lebih lazim disebut sebagai pokok gaharu perlu dialihkan ke ladang dari polibeg sebelum mencapai ketinggian 3 kaki. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh penanam-penanam pokok karas kerana kegagalan melakukannya akan membantutkan tumbesaran pokok bernilai tinggi itu.

Seperti juga kebanyakan pokok lain, pokok gaharu mempunyai akar tunjang yang perlu menusuk jauh ke dalam tanah.

 
Akar tunjang pokok gaharu yang
disimpan terlalu lama dalam
polibeg akan berpintal dan ini boleh
membantutkan tumbesarannya,
kata Dr Mohammad.
"Jika dibiarkan terlalu lama di dalam polibeg, akar tunjangnya akan berpintal dan ini akan mengganggu tumbesaran pokok itu kelak," kata Dr Mohammad Lohmoh, Pengarah Projek dan Perancangan, Agarwood Network (Thailand) Co. Ltd (ANT).

Dr Mohammad memberitahu perkara itu kepada peserta-peserta program lawatan anjuran syarikat tempatan Gaharu Asia Sdn. Bhd. ketika mereka dibawa melawat ladang nurseri milik ANT di Bo Rai, wilayah Trat.

Ladang seluas lima ekar itu menempatkan lebih 1 juta anak pokok karas dari spesies hibrid Aquilaria crassna dan Aquilaria subintegra.

"Apabila akar tunjangnya sudah berpintal, ia akan menjadi seperti pokok bonzai, tidak akan membesar ataupun lambat membesar walaupun diberi baja yang cukup," katanya.

Kerana itu, Dr Mohammad menasihati penanam-penanam pokok gaharu agar memindahkan anak benih mereka ke ladang apabila mencapai ketinggian antara 1 kaki dan 2 kaki.

"Atau apabila diangkat, ia tidak tercabut," tambahnya.

Pemilihan benih pokok gaharu juga adalah satu faktor yang wajar diberi perhatian oleh bakal penanam, katanya, sambil menambah pokok karas atau nama saintifiknya Aquilaria spp mempunyai pelbagai spesies.

DOKTOR GAHARU... Mohammad Lohmoh

Carian dalam gerbang maklumat Wikipedia memberikan nama-nama berikut: Aquilaria Crassna, Aquilaria malaccensis, Aquilaria beccariana, Aquilaria subintegra, Aquilaria Rostrata dan Aquilaria Microcarpa, antara lain.

Di Malaysia, spesies paling lazim ditemui di hutan primer dan sekundernya ialah Aquilaria malaccensis. Ia adalah dari famili Thymelaeaceae dan terdapat lebih daripada 20 spesis yang berkaitan dengan genus Aquilaria ini.

Di Thailand pula, Aquilaria crassna dan Aquilaria subintegra paling banyak ditemui.

"Di ladang ini, kami hanya menanam benih dari baka yang kami hasilkan sendiri iaitu kacukan Aquilaria crassna dan Aquilaria subintegra," jelas Dr Mohammad, 31, yang mempunyai pengalaman lebih 13 tahun dalam bidang penanaman gaharu dan pernah menghasilkan tesis berkaitan gaharu ketika menuntut dalam bidang pertanian di Universiti Kasek Sak di Thailand.

Menurut Dr Mohammad, pokok hibrid yang mereka hasilkan itu mempunyai kadar tumbesaran yang cepat.

"Aquilaria subintegra diketahui memang cepat membesar berbanding spesies lain sementara Aquilaria crassna pula mempunyai kandungan minyak yang tinggi. Jadi, hibrid daripada kedua-dua spesies ini menghasilkan pokok yang cepat membesar dan mempunyai kandungan minyak yang sangat tinggi," katanya.

Dalam tempoh 45 hari selepas bijinya ditanam, ia boleh membesar sehingga 1 kaki, jelasnya lagi.

Anak benih hasil kacukan Aquilaria crassna dan Aquilaria subintegra ini dibekalkan di Sabah sebagai "GAT" oleh Gaharu Asia Sdn Bhd.

Dr Mohammad menambah, pokok-pokok induk hibrid itu dihasilkan lebih 20 tahun lalu dan ladang bersepadu ANT di daerah sama yang berkeluasan 20 ekar mempunyai sekitar 2,000 pokok induk yang menghasilkan biji benih hanya sekali dalam setahun iaitu dari bulan Mei hingga Julai.

"Dalam tempoh singkat itu, apabila pokok-pokok induk di ladang bersepadu kami mula berbuah, pekerja-pekerja kami akan memanjat pokok-pokok itu untuk mengambil biji-bijinya sebelum dimakan burung atau tertanggal dengan sendirinya," katanya.

Biji-biji pokok karas berada dalam buah yang akan pecah apabila matang dan menampakkan biji-biji kecil yang tergantung dari buah itu. Saiznya hampir sama dengan biji limau manis dan berwarna gelap.

Biji pokok gaharu yang telah matang

Biji-biji halus kelihatan tergantung
selepas buahnya pecah

"Biji-biji itu perlu ditanam dalam tempoh tujuh hari selepas dipetik. Satu biji benih dimasukkan ke dalam satu polibeg," kata Dr Mohammad, merujuk kepada kaedah yang diamalkan di nurseri itu.

Biji-biji benih yang sudah ditanam kemudian perlu disiram setiap pagi dan petang untuk memastikan percambahan anak benih yang sihat dan cepat.

(Ketika lawatan itu, bahagian timur dan tenggara Thailand sedang mengalami musim kemarau dan ini memaksa kerja penyiraman di ladang itu dibuat lebih kerap).

Kerja membubuh baja pertanian ke dalam polibeg dibuat seminggu sekali dan ia perlu dilakukan pada sebelah pagi.

Apabila anak pokok sudah bercabang di hujungnya, kerja mencantas cabang yang lebih kecil perlu dilakukan.

Menurut Dr Mohammad, ini perlu untuk mempercepatkan tumbesaran anak pokok itu kerana cabang yang banyak memerlukan lebih banyak baja.

Apabila anak pokok itu mencapai ketinggian hampir 1 kaki, proses "menyusun" anak pokok itu perlu dilakukan untuk memastikan semua anak pokok itu mendapat sinaran matahari yang mencukupi.
  
Kedudukan pokok gaharu selepas disusun.

Sebahagian daripada 1 juta anak pokok
gaharu yang ada di ladang ANT

 
"Anak pokok lebih tinggi diletakkan di belakang dan yang lebih rendah diletakkan di hadapan. Selepas proses itu, kita akan dapat melihat susunan menurun dari yang tinggi kepada yang lebih rendah," jelasnya.

"Untuk membantu tumbesaran dan memperbaiki struktur tanah, kami juga menggunakan baja cecair bio-organik yang kami hasilkan sendiri," katanya. (Lihat laporan berasingan)

"Di ladang nurseri ini, kami mengupah penduduk kampung di kawasan sekitar untuk melakukan kerja-kerja ini dan mereka dibayar upah mengikut hari bekerja," katanya sambil menambah kadar kematian anak benih spesies hibrid itu sangat rendah iaitu hanya sekitar 1 peratus.

Anak-anak pokok di ladang nurseri itu dibekalkan kebanyakannya kepada pengusaha-pengusaha projek tanaman gaharu di Thailand, Kemboja dan Malaysia.

"Mana-mana anak pokok yang tidak terjual dan telah mencapai ketinggian 3 kaki akan diasingkan untuk dilupuskan.

"Tapi kami kerap didatangi oleh pembeli-pembeli dari Semenanjung Malaysia yang hanya mahu membeli anak-anak pokok yang sudah mencapai ketinggian 3 kaki.

"Kami jual murah saja kepada mereka," katanya yang bertutur dalam bahasa Melayu loghat Siam.

1 comment:

  1. macam mana kalau kita tukar kepada polibeg yang lebih besar dan lebar sebelum akar tergulung...

    ReplyDelete