Tuesday 22 February 2011

Persatuan baru untuk artis tunggu sijil RoS?

Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

MINGGU lalu, akhbar ini menyiarkan kenyataan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Siringan Gubat yang menyarankan agar bintang-bintang realiti TV dari Sabah menubuhkan kesatuan atau badan yang boleh membantu mempromosi bakat mereka.

Langkah itu, menurut beliau, mampu membantu mereka bersaing dengan artis-artis lain, seterusnya membentuk rangkaian di seluruh negeri agar bakat mereka dapat dipasarkan kepada masyarakat tempatan.

“Ramai artis Sabah lahir daripada program realiti seperti Akademi Fantasia, One In A Million, Mentor dan Raja Lawak, namun nama mereka seakan menghilang dan sepi dari industri seni yang penuh mencabar itu.

“Sehingga ke hari ini, antara nama-nama itu belum ada yang timbul sebagai bintang yang berjaya. Belum ada yang setanding dengan M. Nasir atau Siti Nurhaliza, malah ada yang keluar sebagai naib johan (tetapi) kini sudah menyepi, hilang tanpa berita,” katanya semasa berucap ketika merasmikan sebuah program membabitkan belia di Ranau, baru-baru ini.

Hiburan Ekspres percaya Datuk Siringan mengeluarkan kenyataan itu dengan niat yang ikhlas, ingin melihat artis-artis tempatan berjaya “seperti M. Nasir atau Siti Nurhaliza”.

Bagaimanapun, kenyataan beliau itu tidak begitu diterima baik oleh kalangan penggiat seni di Sabah sendiri.

Keratan akhbar itu, yang dipaparkan di laman sosial Facebook, mendapat ulasan yang kurang memberangsangkan.

Sudah tentu kenyataan Datuk Siringan itu “mengejutkan” penggiat-penggiat seni di Sabah khususnya mereka yang bergiat di pentas nyanyian yang selama ini mengharapkan pembelaan sewajarnya dari segi bayaran dan peluang.

Umum mengetahui bahawa bayaran yang diterima penyanyi-penyanyi tempatan sangat “ciput” berbanding artis yang dibawa dari luar.

Isu ini sudah lama berlarutan dan bakat artis tempatan kita terus diperlekeh.

Kecuali jika anda adalah Abu Bakar Ellah atau Clarice John Matha, usah berharap untuk mendapat bayaran yang “setimpal” dengan bakat dan populariti yang dimiliki.

Walaupun ada usaha-usaha di pihak Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun untuk menaikkan bayaran artis yang dijemput membuat persembahan, itu hanya membabitkan acara-acara anjuran kerajaan.

Selebihnya, bayaran yang diterima masih terlalu kecil malah khabarnya, ada kes di mana artis kita tidak dibayar oleh penganjur acara, atau wakil mereka, yang kaki putar alam.

Susulan kenyataan Datuk Siringan itu, ada segelintir artis tempatan kita mempersoalkan keperluan untuk menubuhkan sebuah lagi persatuan atau kesatuan baru sedangkan artis-artis realiti TV itu, seperti yang dirujuk oleh Datuk Siringan, sebenarnya boleh saja bernaung di bawah bumbung Pertisa, persatuan artis yang ditubuhkan untuk menaungi artis-artis tempatan Sabah.

Tapi itu pun satu masalah juga, kata mereka, kerana entah bila kali terakhir pemerhati industri seni tempatan dimaklumkan mengenai aktiviti Pertisa.

Dalam pada itu, minggu lepas Hiburan Ekspres dikejutkan oleh satu lagi berita yang disampaikan oleh sumber yang layak dipercayai.

Menurut sumber itu, sebuah persatuan baru untuk menaungi artis tempatan kita sudah pun ditubuhkan.

Khabarnya, persatuan itu kini sedang menunggu sijil pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS), maksudnya penubuhan persatuan itu sudah mendapat “lampu hijau” daripada badan itu.

Sumber itu, yang mendakwa rapat dengan salah seorang anggota pengasas persatuan tersebut, berkata persatuan itu ditubuhkan untuk membantu artis-artis tempatan mencari peluang untuk terus berkarya, termasuk memohon sumber kewangan daripada Dana Industri Kreatif yang diperkenalkan sejak Mac 2010.

“Apa yang dapat saya beritahu sekarang, orang-orang kuat persatuan baru itu sudah ditemuduga oleh RoS dan kini hanya menunggu sijil pendaftaran dikeluarkan.”

Kata sumber itu lagi, persatuan itu bukan semata-mata untuk penyanyi tetapi juga mereka yang bergiat dalam industri filem.

“Ia diterajui seseorang yang terbabit dalam bidang perfileman dan dibantu oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam industri hiburan tempatan malah ada di antara mereka merupakan ahli-ahli Pertisa,” jelasnya sebelum menambah, jika tiada aral melintang, sidang media mengenai perkara itu akan diadakan seawal-awalnya minggu pertama Mac ini.

Agaknya inilah perkembangan yang dinanti-nantikan oleh penggiat-penggiat seni di Sabah selama ini memandangkan industri hiburan di Sabah tidak terletak di bawah mana-mana kementerian.

Tambahan lagi, artis-artis tempatan Sabah mendakwa mereka tidak nampak bagaimana Pertisa dapat membantu mereka mengembangkan bakat dan minat.

Kalau apa yang disampaikan oleh sumber itu benar, kita mengharapkan perkembangan terbaru ini kelak akan dapat menyaksikan nasib artis-artis kita lebih terbela, sepertimana yang diharapkan oleh Datuk Siringan.

No comments:

Post a Comment