Wednesday 25 January 2012

Lexband ambil risiko rakam lawak jenaka

Boyd PV

myyzoom.blogspot.com

SEKITAR lewat tahun 70-an dahulu, peminat ketika itu pernah bergelak ketawa mendengar rakaman audio kaset sketsa lawak jenaka Datuk Jamali Shadat, Atan dan Hamid Gurkha.

Kemudian sekitar tahun 90-an, muncul pula rakaman audio genre sama oleh Din Beramboi (allahyarham) dan beberapa pelawak lain juga menyusul selepas itu.

Tapi di Sabah, belum ada lagi mana-mana pelawak tempatan yang berani mengambil risiko menghasilkan rakaman sketsa lawak jenaka secara komersil sehinggalah Lexband Anthony mengambil opsyen itu akhir tahun lalu.

Satu nama baru dalam industri seni tempatan, Lexband, 30, memiliki bakat yang pelbagai. Dia boleh mencipta lagu, menulis lirik, menyanyi dan berjenaka.

Tapi katanya, dia lebih gemar merujuk dirinya “pengkarya”.

Apapun panggilan yang diberi kepadanya, Lexband yakin dia adalah pelopor kepada genre lawak jenaka dalam bentuk CD audio di Sabah.

“Belum pernah ada sesiapa menghasilkan produk seperti itu di negeri ini,” katanya ketika berkunjung ke pejabat percetakan akhbar ini di Tanjung Aru, baru-baru ini.

Anda boleh mencipta lagu, boleh menyanyi tetapi anda memilih untuk menghasilkan rakaman audio sketsa lawak jenaka. Boleh jelaskan kenapa anda memilih satu percaturan yang sangat berani ini?

“Berdasarkan pengamatan, album CD audio susah jalan. Kerana itu, saya meninjau opsyen lain dan kebetulan minat saya cenderung kepada bidang lawak jenaka. Kerana itulah saya memilih untuk menghasilkan rakaman audio sketsa lawak jenaka dalam bentuk CD, sesuatu yang belum pernah dibuat oleh mana-mana pelawak di Sabah,” katanya yang memiliki syarikat rakaman sendiri, LRX Production berpangkalan di Papar.

Album Lexband Kilang Ketawa memuatkan beberapa sketsa lawak jenaka yang diselitkan dengan beberapa buah lagu.

Antara trek lawak jenaka dalam album itu ialah Dukun FB, Senam Abang Misai, Berita Abukas, Saya Tidak Gila dan Ikan Masin.

Trek lagu pula ialah Bustop, Main Bubut Bubut, Oi DJ dan I Love You Banana.

“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan rakaman sketsa lawak jenaka ini kerana saya ada banyak idea untuk membuatkan orang ketawa.

“Tapi untuk menjaga kualiti, saya pastikan apa yang saya muatkan dalam album Lexband Kilang Ketawa ini adalah karya terbaik saya setakat ini,” katanya yang khabarnya masih sibuk memenuhi jadual temubual bersama stesen-stesen radio tempatan untuk mempromosi album lawak jenakanya itu.

Khabarnya juga, dalam tempoh dua minggu album lawak jenakanya itu berada di pasaran, lebih 500 unit telah terjual. Angka jualan itu adalah pembayang memberangsangkan mengenai potensi album itu di pasaran.

“Kalau ada rezeki, saya akan menghasilkan album kedua sketsa lawak jenaka ini tapi ia bergantung kepada sambutan peminat.”

Dengan bakat berjenaka yang dimilikinya, tidakkah tergerak di hati Lexband untuk cuba melebarkan sayap ke pentas lebih besar dengan menyertai program-program realiti berkaitan lawak jenaka atau lakonan di televisyen?

“Tidak,” katanya sebelum menambah, dia ingin mencipta nama mengikut rentak dan caranya sendiri.

Dalam bidang nyanyian, dua singlenya – Main Bubut Bubut dan Bustop – diterima baik oleh peminat dan kerap mendapat ruang siaran khususnya oleh stesen radio swasta tempatan.

Pencapaiannya dalam carta lagu-lagu tempatan juga boleh dikira bagus di mana lagu-lagunya mampu memberi siangan kepada lagu-lagu oleh penyanyi senior yang lain.

“Saya bersyukur kerana karya saya diterima. Saya akan terus menghasilkan lagu sama ada untuk saya nyanyikan sendiri atau saya berikan kepada orang lain untuk mereka nyanyikan kerana ia memberikan saya kepuasan,” kata Lexband yang memilih untuk menonjolkan identiti Sabah dalam karya-karya yang dihasilkannya.

“Bagaimanapun,” katanya, “saya belum terfikir untuk menghasilkan album penuh (lagu) dalam masa terdekat ini. Biarlah saya melakukannya secara berperingkat. Cuba dulu yang ini (sketsa lawak jenaka) dan kalau ada rezeki nanti, saya akan muncul dengan album penuh yang memuatkan lagu-lagu nyanyian saya.”

Nama Lexband muncul seiring dengan kemunculan lagu Main Tapuk Tapuk yang diciptanya untuk penyanyi Elmar.

Banyak lagu lain disumbangkannya kepada rakan-rakan artis lain dan yang terbaru, Lexband menghasilkan lagu Saya Urang Sabah untuk Rey.

Biarpun belum ada makluman rasmi mengenai lagu itu, Saya Urang Sabah telahpun diperdengarkan kepada kalangan rakan-rakan Rey dan Lexband di rangkaian sosial Facebook.

Lagu itu juga sudah mula mendapat ruang siaran di stesen radio tempatan.

“Saya rasa sangat terharu apabila Rey sudi menyanyikan lagu ciptaan saya. Saya harap kolaborasi ini menjadi,” katanya.

Saturday 21 January 2012

Gambar terakhir Izwan Pilus



GAMBAR ini dipercayai adalah gambar terakhir Izwan Pilus sebelum  penyanyi  dan pengacara itu meninggal dunia di Hospital Ampang di Kuala Lumpur petang Jumaat, 20 Januari 2012 akibat jangkitan kuman pada darah.

Izwan atau nama sebenarnya, Khairil Izwan Pilus, 33, meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang.

Pemergian Allahyarham disahkan oleh adiknya, Khairil Azam Pilus atau dikenali sebagai Aril yang merupakan bekas peserta Akademi Fantasia 7 (AF7) menerusi mesej di akaun Twitter miliknya.

Sementara itu, pengurus kepada Allahyarham, Shaiful Shazwan ketika dihubungi BERNAMA berkata penyanyi itu dimasukkan ke hospital tersebut pada awal pagi tadi kira-kira 12.30 tengah malam selepas mengalami sesak nafas.

"Keadaannya semakin kritikal pada waktu petang sebelum beliau meninggal di hospital," katanya.

Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke kampung keluarganya di Taman Nyalas Permai, Jasin, Melaka untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelembang, Gubah, Jasin.

Allahyarham merupakan bekas finalis Bintang RTM 2004 dan pernah merakamkan album Erti Kasih pada 2006 dan popular dengan lagu berjudul 'Kembali Senyum', sebuah lagu asal daripada drama Korea 'Full House' yang diadun semula dalam versi Melayu.

Pada Disember tahun lepas, Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada empat beradik, bersama adiknya, Aril, dimasukkan ke hospital Pusrawi selepas demam panas berpanjangan selama seminggu.


Monday 16 January 2012

wishing all Chinese friends... Gong Xi Fa Chai...

Friday 13 January 2012

Kisah Benar: Papa kedana gara-gara percayakan wanita Facebook

Di sinilah Fathad tidur sejak lebih sebulan lalu.

Fathad menunjukkan laporan polis
yang dibuatnya terhadap wanita itu di
Balai Polis Penampang pada 27 Disember 2010
 
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 40 tahun dari semenanjung kecewa, keliru, marah dan tidak mempunyai wang – semuanya gara-gara dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada seorang wanita, yang didakwanya menyebabkan dia kerugian RM10,000.

“Semua duit saya habis,” dakwa Abd. Fathad Mohd Saghir, yang sejak bulan lepas terpaksa tidur di atas sekeping kotak kertas di sebuah stesen minyak di Petagas.

Fathad mendakwa telah ditipu oleh teman wanitanya, berbangsa Kadazan-Iban dan berumur 42 tahun, yang dia sangkakan sangat mencintainya.

Menurutnya, mereka berkenalan sejak tiga tahun lalu dan dalam tempoh itu, wanita itu mendorongnya untuk percaya bahawa dia juga amat mencintainya.

“Saya akan masukkan ke dalam akaunnya antara RM500 dan RM600 setiapkali dia meminta wang,” kata Fathad, yang berkata mereka mengenali satu sama lain melalui Facebook pada 2009.

“Saya juga pernah belikan dia kasut, telefon bimbit malah beg tangan berjenama. Pendek kata, apa sahaja yang dimahukannya, saya akan berusaha tunaikan.”

“Rakan-rakan saya meletakkan nombor telefon bimbit, nama dan butiran peribadi lain di laman sosial itu dan di situlah saya menemui wanita idaman saya itu.

“Dia membuatkan saya benar-benar percaya bahawa dia sudi berkahwin dengan saya.”

Malah sebelum mereka bertemu, dia sudahpun menghantar sejumlah wang kepadanya.

Mereka akhirnya bertemu ketika Fathad berkunjung ke sini selama tiga hari dan turut dibawa bertemu anggota keluarga wanita itu sebelum dia kembali ke semenanjung.

Fathad mendakwa dia dan bekas teman wanitanya terus berhubungan selepas dan meneruskan hubungan jarak jauh sepanjang tahun itu.

Pada 2010, dia mendapat tahu rahsia wanita itu yang didedahkan oleh salah seorang anggota keluarganya.

“Rupanya dia sudah dua kali jadi janda, tapi saya tetap menerima dia seadanya,” katanya sambil menambah dia tidak kisah dengan masa lalu wanita itu dan bersedia untuk memberi komitmen kepada hubungan mereka.

Seperkara lagi yang membuatkan Fathad sangat marah ialah hakikat bahawa wanita itu mematikan telefon bimbitnya ketika lawatan keduanya dan itu menjadi punca mereka bergaduh besar.

“Saya datang ke rumahnya tapi keadaan menjadi semakin tidak terkawal, jadi saya tempah penerbangan pulang ke Kuala Lumpur,” katanya. “Saya mendapat alamatnya melalui bungkusan-bungkusan yang saya hantar kepadanya sejak 2009.

“Dia sangat tidak setia dan tidak menghargai apa yang telah saya lakukan untuknya.”

“Saya bantu dia selama tiga tahun dan inikah balasan yang saya dapat?”

“Walaupun dengan apa yang terjadi, saya masih mengirim wang kepadanya.”

Disember lalu, Fathad datang ke Sabah sekali lagi. “Saya berkunjung ke rumahnya dengan hasrat untuk mengahwininya. Malangnya, dia menghubungi polis dan saya ditangkap kerana dia mendakwa saya mengganggunya.”

“Saya rasa sangat malu.” Ramai orang di kawasan kejiranan di mana bekas teman wanitanya itu tinggal nampak dia digari.

Fathad mendakwa dia mendorongnya untuk percaya bahawa dia mahu mengahwininya. Sekarang dia sangat tidak berpuas hati dan mahukan semula wangnya yang menurutnya, berjumlah RM10,000.

Dia juga ingin mengingatkan golongan lelaki di luar sana khususnya agar berwaspada dengan wanita pisau cukur seperti bekas teman wanitanya itu dan berkata wanita itu adalah pembohong yang suka menggoda lelaki untuk kepentingan dirinya.

Dia juga berharap golongan lelaki dapat mengesan sifat-sifat wanita yang boleh membawa kepada situasi yang dialaminya.

“Dia hanya mahukan wang. Saya sepatutnya nampak perkara itu. Dia pergunakan saya,” katanya yang amat kesal kerana mempercayainya.

Menurut rakan sekerja Fathad, Abdullah Asri, dia baru sahaja menyertai SRT-EON Security dan bergantung kepada ehsan mereka untuk makan minumnya setiap hari.

“Di sinilah dia tidur,” kata Asri sambil menunjukkan kotak kertas dan sebiji bantal di lantai di dalam premis stesen minyak itu.

“Bekas teman wanitanya tinggal di Petagas.”

“Sekarang ini dia hanya ada kami,” katanya.

Fathad membuat laporan polis di Penampang pada 27 Disember.

Credit: Rini Zahlifah Ismail

Burung Kakak Tua lebih popular berbanding Candy?

Terkejut juga apabila buka blog pagi ini, posting mengenai Burung Kakak Tua yang suka mencarut mengatasi populariti artikel mengenai Candy Clement dan single terbarunya. ... alahai.... :)

Thursday 12 January 2012

Burung Kakak Tua ke pusat pemulihan kerana mencarut!

Mr. T

BURUNG berkenaan, dipanggil Mr. T, akan didik dengan cara yang betul supaya dia boleh mengajar di sekolah dan universiti.

Perkataan kegemaran burung bersayap biru itu termasuk “B*****d”, “s**t” dan “b****r” yang dipelajarinya ketika tinggal di sebuah rumah persendirian selama tujuh tahun.

Tapi kini Mr T tinggal di sebuah rumah lain bersama beberapa ekor Kakak Tua dan pemilik barunya berharap dia tidak akan mengajar perkataan-perkataan biadap itu kepada rakan-rakan barunya.

Mr T digantung sekolah sehinggalah dia berubah.

Al kisahnya……..

(www.bernama.com.my)

Wednesday 11 January 2012

Semakin ramai warga tempatan jadi keldai dadah: Kastam

MODUS operandi sindiket dadah berubah ketara tahun lepas apabila menjadikan ramai warga tempatan, terutamanya gadis, sebagai keldai dadah, kata Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Datuk M. Govinden baru-baru ini.
Beliau berkata berbanding pada 2009 dan 2010 yang menyaksikan ramai warga Iran dan India ditahan kerana mengedar dadah, pihaknya mencatatkan peningkatan tangkapan ke atas warga tempatan pada 2011.
“Pada 2009 dan 2010, seramai lapan orang rakyat Iran dan India ditahan. Pada 2011, warga Iran masih ramai (ditahan), India pula tak ramai tetapi trend baru apabila lapan warga tempatan dan sembilan warga Eropah dan Nigeria ditahan di KLIA,” katanya pada program bicara Bernama TV “Hello Malaysia”.
Govinden berkata sindiket dadah dilihat sering menggunakan gadis tempatan berumur antara 19 dan 20 tahun yang diumpan dengan barangan berharga.
“Statistik pada Jun tahun lepas menunjukkan 17 wanita tempatan telah ditahan di China. Itu belum lagi di negara-negara lain. Mereka terpesona dengan tawaran sindiket yang antaranya membeli beg tangan berjenama mahal.
“Ibu bapa perlu memandang berat dan mengambil perhatian serius dengan perkembangan tidak sihat ini.
“(Modus operandi) mereka didapati ke sana (negara lain) dengan tangan kosong dan tidur hanya satu malam sebelum pulang membawa satu beg berisi dadah,” katanya.
Govinden berkata statistik Kastam KLIA tahun lepas mendapati rampasan dadah di lapangan terbang itu berjumlah 1,097 kg dengan nilai pasaran RM261 juta.
“Itu rampasan Kastam sahaja, belum lagi agensi penguatkuasaan yang lain. Nilainya mungkin lebih,” katanya.

Sumber: Bernama

UJIBAKAT / KRU FILEM

PENGARAH filem kelahiran Sabah, Chris Chong sedang mencari pelakon lelaki dan wanita serta kru untuk filem terbarunya yang akan menjalani penggambaran di Sabah.

Sekiranya anda berminat, anda dipelawa menghadiri sesi ujibakat pada tarikh-tarikh berikut:

Sabtu, 14 Januari 2012
Perpustakaan Penampang
9pg hingga 5ptg


Ahad, 15 Januari 2012
Imperial International Hotel, Alia Hall, Tingkat 8
10pg hingga 5ptg


Semua peringkat umur. Pengalaman TIDAK diperlukan.

Lawati laman Facebook Tanjung Aru Pictures Auditions untuk butiran lanjut.

Tuesday 10 January 2012

Pinjaman sehingga RM300,000 tanpa penjamin, cagaran

PUTRAJAYA: Dalam usaha memastikan peningkatan pengeluaran makanan negara tercapai, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menawarkan pinjaman tanpa penjamin dan cagaran kepada usahawan tani yang terlibat dalam ternakan, tanaman sayuran dan perikanan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata menerusi pinjaman yang diuruskan Agro Bank itu, sejumlah RM55 juta peruntukan disediakan yang membolehkan pinjaman dibuat sehingga maksimum RM300,000.

“Tetapi pinjaman itu adalah khas kepada mereka yang sudah memulakan projek tanaman, ternakan atau pertanian. Mereka yang sudah memperoleh pinjaman dari Tekun atau institusi pinjaman lain juga boleh memohon,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Noh berkata kadar faedah adalah rendah iaitu empat peratus setahun, dengan tempoh pembiayaan sehingga 60 bulan dan terbuka kepada mereka berusia 18 hingga 60 tahun.

“Sesiapa yang berminat hanya perlu membawa surat sokongan dari persatuan-persatuan pertanian yang diiktiraf oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan terbuka untuk projek ternakan ikan dalam sangkar dan ikan hiasan; ternakan lembu fidlot dan ruminan; taman pengeluaran makanan; dan penanaman sayur-sayuran serta bunga-bungaan.

Sumber: Bernama

Monday 9 January 2012

UIA, KGMSB kaji faedah perubatan kayu gaharu

UNIVERSITI Islam Antarabangsa (UIA) dan sebuah syarikat tempatan, Kayu Gaharu (M) Sdn Bhd (KGMSB) menjalin kerjasama untuk membangunkan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai inokulasi ke atas pokok gaharu dan faedahnya dalam pelbagai bidang, termasuk perubatan.

Kedua-dua pihak itu pada 9 Januari 2012 menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi tujuan itu di Kuala Lumpur .

UIA diwakili oleh Rektornya Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin manakala KGMSB diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Osman Hanapi.

Ketika berucap pada majlis itu, Osman berkata kajian ke atas pokok gaharu yang menggunakan inokulan hasil daripada kerjasama UIA dan KGSMB telah mendapat pujian pengguna.

“Saya yakin inokulasi ini akan dapat membantu pengusaha-pengusaha gaharu amnya bagi membangunkan modal insan yang mana kajian inokulan tersebut akan dipatenkan dan akan dijual dalam pasaran dengan harga yang murah,” katanya.

Beliau berkata kerjasama yang dijalankan itu, yang bermula sejak Mac tahun lepas bagi kajian ke atas bidang perubatan seperti penggunaan gaharu untuk anti kanser, anti radang, ubat pelali/bius dalam pembedahan dan terapi dadah, telah menunjukkan tindak balas yang amat positif.

Osman berkata hasil kerjasama tersebut, pihaknya mencadangkan untuk membangunkan OUDH Resources Centre di UIA bertujuan menyebarkan maklumat berkenaan dengan gaharu kepada masyarakat selari dengan pasaran halal yang merangkumi produk-produk gaharu seperti minyak wangi, teras kayu, produk kosmetik dan produk perubatan.

Sementara itu dalam satu kenyataan akhbar, UIA berkata universiti itu memulakan usaha kerjasama dengan KGMSB sejak 2010 dalam pelbagai fasa penyelidikan dan pembangunan produk berkaitan gaharu dan inokulan.

“Pada masa ini, UIA dan KGMSB telah menghasilkan haruman berasaskan gaharu di bawah ARSeries,” kata kenyataan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Rektor penyelidikan dan Inovasi UIA Prof Dr Ahmad Faris Ismail.

Sumber: Bernama

Tuesday 3 January 2012

Azam Tahun Baharu Artis Sabah

Staff Party 2011