Thursday, 25 October 2012

Banteras iklan tipu pengguna: CAPS

James Baga
PERTUBUHAN Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) mendesak kerajaan agar memberantas segala bentuk iklan palsu, menipu, dan mengelirukan pengguna melalui penguatkuasaan berterusan apabila tambahan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dikuatkuasakan mulai Januari depan.

Presidennya, James Baga, berkata CAPS menyambut baik langkah kerajaan yang meluluskan tambahan akta itu demi perlindungan pengguna namun dalam masa sama berharap ia dikuatkuasakan dengan penuh kesungguhan.

“Iklan-iklan palsu dan mengelirukan amat berleluasa di negeri ini dan jika keadaan ini dibiarkan tanpa pemantauan, ia akan memudaratkan para pengguna.

“Syarikat-syarikat pengiklanan adalah terdiri daripada golongan profesional yang boleh memperdayakan pengguna melalui iklan yang cantik dan menarik. Jika masalah ini tidak ditangani dengan serius, pengguna akan terus menerus diperdayakan dan menjadi mangsa manipulasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Menerusi tambahan akta yang diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada individu atau organisasi yang didapati menerbitkan iklan palsu dan mengelirukan melalui media cetak atau elektronik.

Memetik contoh iklan seperti beli 1 percuma 1, diskaun sehingga 70%, jualan penghabisan stok, harga kilang dan cabutan tiket bertuah, James berkata ini adalah antara yang selalu digunakan oleh peniaga untuk menarik pelanggan.

“Pengguna selalunya tertarik dan terpedaya dengan iklan-iklan seperti ini tanpa mengetahui yang mana satu betul dan yang mana satu palsu. Kehadiran bermacam-macam bentuk iklan yang mengelirukan di negeri ini memberi gambaran bahawa penguatkuasaan hilang tanpa dikesan,” tambah beliau.

Dalam hubungan ini, CAPS mencadangkan agar satu badan khas dibentuk khusus untuk memantau dan mengawal selia semua jenis iklan di negeri ini.

Kata James, badan tersebut akan memastikan iklan yang ada kaitan dengan kepenggunaan sememangnya bertujuan tulen dan tidak ada udang di sebalik batu, sambi menambah, kelulusan harus diperolehi terlebih dahulu daripada badan tersebut sebelum sebarang iklan dikeluarkan kepada awam.

1 comment: