Tuesday, 9 October 2012

Lagi kes anak hilang


Nota: Penyiaran artikel ini adalah sebagai khidmat masyarakat. -- Z-o-o-m! Team


SEORANG ibu, Fatimah Mustapha, 63, berharap anak lelakinya, Mohd Azizi Mustapha, 30, yang hilang sejak setahun lalu itu dapat ditemui dan berada dalam keadaan selamat.

Mohd Azizi
Fatimah, yang berasal dari Bachok, Kelantan berkata anaknya yang bekerja sebagai tentera di Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Kem Kukusan, Tawau, di sini sejak Januari 2004, hilang hampir setahun lalu.

“Setiap malam saya menangis mengenangkan apa yang berlaku ke atas anak lelaki saya yang hilang hampir setahun lalu. Saya sangat rindukannya dan tiada apa yang mampu saya lakukan selain berdoa dan berharap satu hari nanti dia akan diketemukan,” katanya dalam kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada pemberita di TAWAU, pada Selasa (9 Oktober, 2012).

Menurut Fatimah, Mohd Azizi merupakan anak keenam daripada tujuh adik beradik, pernah menghilangkan diri hampir sebulan pada tahun 2010 sebelum kembali melaporkan diri ke kem tersebut.

Katanya anaknya itu kemudian menjalani hukuman tahanan di kem tersebut dan dikatakan menghilangkan diri buat kali kedua selepas itu.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana sudah agak lama tidak bertemu dengannya. Kali terakhir dia pulang ke kampung ialah pada tahun 2010 beberapa bulan sebelum menghilangkan diri buat kali pertama.

“Hendak datang mencari Mohd Azizi sendiri (di Tawau) tidak mampu saya lakukan kerana kekangan jarak yang jauh selain sumber kewangan terhad,” katanya.

Menurut Fatimah, beliau sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok pada 26 September 2010 dan amat berharap sekiranya anaknya ditemui, pihak tentera membawanya pulang ke Semenanjung untuk diadili.

“Jika itu dapat dilakukan, bukan sahaja mudah untuk saya melawatnya, tetapi kemungkinan untuk dia menghilangkan diri saya rasa tipis,” katanya.

Fatimah berharap kepada sesiapa yang mengenali Mohd Azizi supaya menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pihak Kem Kukusan.

Baru-baru ini, keluarga Nurul Asekin Amat, berumur 18 tahun dari Tanjung Aru, turut meminta bantuan orang ramai untuk mengesan gadis itu yang tidak pulang ke rumah sejak sebulan lalu.

Menurut bapanya, Amat Hussin, Nurul tidak pulang ke rumah yang terletak hanya 500 meter dari tempat kerjanya di Tanjung Aru setelah keluar bekerja pada jam 1.30 tengahari, 14 September lalu.


No comments:

Post a Comment